RSS

Wednesday, May 2, 2012

ISTIMEWA: Kenapa Perlu Ikut Mazhab?




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Muqaddimah

1. Pernah tak anda bergaduh dengan diri sendiri? Ada tampar-tampar? Tampar manja kan?

2. Contohnya pergi kedai, nak cari ubat gigi. Anda tak tahu nak beli Colgate ke Darlie. Baik, ambil Colgate. Tapi jap jap, nak ambil saiz kecik ke saiz besar? Ada free size tak? Hmm...

3. Sedangkan lidah lagi tergigit kan? Hey dah tak ada benda lain ke nak gigit? hehe..

4. Kalau terhadap diri sendiri pun kita ada 'perbezaan pendapat' apatah lagi antara dua insan yang berbeza betul tak?

5. Itu muqaddimah pertama. Sekarang masuk muqaddimah kedua ok? 

6. (Anda kata) Apa? Baru muqaddimah? Panjang lah macam ni! 

7. (Saya kata) Padan muka!

8. Baik, sila teruskan pembacaan. Penting ni tajuk ni.

Muqaddimah kedua

9. Ada sebuah cerita. Kisah Man dan Aboy. Suatu hari, ayah mereka sakit kepala, lalu meminta mereka berdua ke kedai Ultraman 7 (bukak 23 jam je) untuk belikan empat biji Panadol Acti-slow (sejenis ubat tahan sakit).

10. Namun sampai sahaja di sana, kedai Ultraman 7 tutup! Kan da cakap, dia bukak 23 jam je! hehe..

11. Baik. Sekarang pembacaan anda seharusnya menjadi lebih interaktif, sebab saya akan lontarkan beberapa soalan. Reti main kriket kan? Sambut soalan saya baik-baik ya?

12. Untuk makluman anda, di sebelah kedai Ultraman 7 terdapat satu lagi kedai, namanya kedai runcit Rogayah. Dan kedai ini buka pada waktu itu.

13. Soalan saya, jika anda adalah Man atau Aboy, adakah anda akan pergi ke kedai runcit Rogayah? Eh, tapi kan tadi ayah suruh pergi kedai Ultraman 7 kan? Jangan derhaka ok? Tak baik tau?

14. Baik, katakanlah Man dan Aboy kedua-duanya setuju untuk pergi ke kedai runcit Rogayah. Sampainya di sana, mereka dapati bahawa Panadol Acti-slow dah habis. Yang tinggal hanya Panadol Actifast sahaja.

15. Man kata, tak apa, yang penting kita beli Panadol, sebab sakit kepala ayah boleh reda dengan apa jenis Panadol pun.

16. Tapi Aboy tak setuju. Betullah semua Panadol adalah ubat tahan sakit. Tapi ayah tak suka perisa lain. Ayah hanya boleh telan perisa Panadol Acti-slow sahaja!

17. Soalan saya sekarang, bukankah arahan yang mereka terima tadi sama sahaja? Belikan ayah empat biji  Panadol Acti-slow di kedai Ultraman 7?

18. Tetapi kenapa ada perbezaan pendapat sekarang? Adakah boleh pergi ke kedai selain Ultraman 7? Dan adakah boleh beli jenis Panadol lain selain Acti-slow?

19. Cerita begini adalah sebagai gambaran awal untuk tunjukkan, bahawa bagaimana pemahaman dan penafsiran seseorang terhadap sesuatu penyataan yang sama itu boleh jadi berbeza, dan kadang-kadang bertentangan. Ia normal. Itu mesej awal yang cuba saya sampaikan. 

Macam gambar gelas ni. Sesetengah orang akan kata, oh gelas ni separuh penuh. Sesetengah yang lain pulak akan kata, eh taklah, gelas ni separuh kosong! Berbeza tapi dua-dua boleh jadi betul kan? ;-)
Perbezaan Mazhab

20. Sebelum kita bincang lebih lanjut kenapa perlunya dan apa hujah dibolehkan kita ikut mazhab, eloklah dulu kita fahami secara sepintas lalu kenapa wujudnya mazhab yang berbeza-beza.

21. Memahami perbezaan ini pastinya membawa rahmat kepada kita, dan paling best, hati kita terasa lapang dan tenang insya Allah.

22. Pertamanya, kita perlu faham bahawa mazhab bukanlah versi Islam yang berbeza-beza, tidak sama sekali! Untuk mudah faham, mari kita bandingkan dengan agama Kristian secara ringkas.

23. Dalam agama Kristian contohnya, terdapat Kristian Katolik, Ortodoks dan juga Kristian Protestan.

24. Setiap satu daripada cabang Kristian ini saling 'mengkafirkan' antara satu sama lain! Dengan kata lain, mereka berlainan 'aqidah' walaupun nama mereka Kristian. Mereka membawa konsep ketuhanan yang berbeza, bahkan kitab Bible yang mereka gunakan pun berbeza.

25. Sebaliknya dalam Islam, keempat-empat mazhab saling mengiktiraf antara satu sama lain, sama ada yang datang terdahulu atau terkemudian.

26. Tidak ada satu mazhab yang mengkafirkan mazhab yang lain kerana yang pasti, semua mazhab berpandukan Al-Quran dan Sunnah yang sama, tidak ada versi lain!

27. Perkataan 'mazhab' secara mudahnya membawa maksud 'jalan'. Keempat-empat Imam mazhab (Hanafi, Malik, Syafi'e dan Hanbali) mempunyai pemahaman yang berbeza dalam beberapa perkara cabang (furu') dalam Islam. 

28. Maka, jika kita mengikut pemahaman mereka, kita telah mengambil jalan yang mereka ambil. Itulah 'mazhab' yang kita ikuti. Mudah je kan?

29. Oh kejap. Perbezaan dalam perkara cabang tu apa ya? Baik. Mudah sahaja. Lebih kurang beginilah penerangannya ya?

30. Dalam agama kita, selain perkara cabang, ada perkara-perkara usul atau perkara prinsip, yang PASTInya tidak boleh berubah dan langsung tak ada perbezaan pendapat tentangnya. Contohnya, tentang hal aqidah. Allah Maha Esa. Dialah satu-satunya dan tiada lain selain-Nya. Period. Imam mazhab tak argue langsung bab ni. Kerana ia perkara usul dan sudah jelas atau qat'ie disebut dalam Al-Quran dan hadis tentangnya.

31. Contoh yang lain adalah tentang bilangan rakaat dalam solat fardhu. Adik-adik, solat Isya' ada berapa rakaat? 

32. (Adik-adik) Empattt!

33. Ya. Tepat sekali. 10 Markah!

34. Ada tak mazhab yang kata solat Isya' itu 2 rakaat sahaja?

35. (Adik-adik) Tak ada...!

36. Salah! Semua mazhab kata solat Isya' hanya 2 rakaat!

37. (Adik-adik) Aik???

38. Dengan syarat Solat Isya' itu dibuat qasar (pendekkan daripada empat kepada dua)!
hehe.. adik-adik semua dah kena troll dengan Ibnu Hanaffi! =p
39. Jangan marah ye adik-adik? Baik, kita sambung.

40. Berbeza dengan persoalan usul atau prinsip, persoalan furu' atau cabang pula lebih kepada perincian dalam ibadah

41. Contohnya, imam mazhab sepakat bahawa Solat Subuh dua rakaat. Tapi dalam rakaat kedua solat Subuh, ada imam yang kata sunat dibaca Doa Qunut, ada yang tidak. Kita di Malaysia yang mengikuti Imam Syafi'e RH membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh.

42. Contoh kedua pula adalah tentang kesepakatan takbiratul ihram sebagai salah satu dari rukun solat. Namun, ada perbezaan dari aspek bilakah takbiratul ihram dibuat?

Nota: Takbiratul Ihram ialah menyatakan lafaz takbir 'Allahuakbar'. Disebut takbiratul ihram kerana selepas bertakbir, perkara yang asalnya halal dibuat (makan, minum, berkata-kata) menjadi haram untuk kita.

43. Adakah mengangkat tangan dulu baru takbiratul ihram? Atau takbiratul ihram dahulu baru angkat tangan? Atau kedua-duanya serentak? Inilah antara persoalan cabang dalam ibadah yang ada perbezaan pandangan (khilaf) dalam kalangan ulama'. 

44. Perlu diketahui, bahawa mereka bukan berbeza pendapat sesuka hati, tetapi sekali lagi ditegaskan, pandangan mereka adalah berdasarkan nas dan dalil yang kukuh mengikut ilmu dan kaedah pemahaman masing-masing. Hebatnya para alim ulama'! Ya Allah rahmatilah mereka semua ameen..

45. Elok saya nyatakan di sini bahawa, kita di Malaysia yang umumnya mengikut Mazhab Imam Syafi'e mengambil pendapat Imam Al-Bukhari yang dishahihkan oleh Imam An-Nawawi dalam Syarh Al-Muhazzabnya, yang diambil daripada Imam Syafi'e RH- yakni Nabi SAW mengangkat kedua-dua tangan baginda serentak dengan takbiratul ihram.

46. Akhir sekali, apabila kita meneliti persoalan berkaitan mazhab, sebenarnya di atas saya hanya menerangkan secara ringkas apa dan kenapa wujud perbezaan mazhab walaupun perbahasannya jauh lebih panjang.

47. Bersambung daripada persoalan itu, ada sekurang-kurangnya dua lagi soalan penting yang perlu ditanya.

Pertama, adakah perlu kita mengikut mana-mana mazhab? 

Kedua, daripada empat mazhab yang disebut, adakah wajib mengikut satu mazhab sahaja pada setiap masa dan di setiap tempat atau bolehkah kita berpindah-pindah mazhab?

48. Artikel ini akan menghuraikan lebih lanjut tentang persoalan pertama. Jika ada kesempatan, saya akan selitkan sedikit sebanyak 'pencerahan' tentang soalan yang kedua itu.

Kenapa nak ikut Mazhab?

49. Persoalan ini timbul apabila ada pihak yang bertanya adakah Nabi SAW mengajar kita untuk mengikut Al-Quran dan Sunnah atau mengikut mazhab?

50. Antara hujah yang diberikan, mazhab tidak wujud pada zaman Rasulullah SAW. Jadi, mazhab ini perkara baru, yang tak ada pada zaman Rasulullah SAW. Maka, tak apa kalau kita tak ikut mazhab. Betul ke?

51. Sebelum menjawab soalan ini dalam bentuk yang lebih ilmiah, suka saya mulakan dengan satu analogi mudah sebagai perbandingan.

52. Ada satu kisah tentang seorang anak murid yang datang ke rumah tuan gurunya untuk bertanyakan satu soalan; Adakah perlu kita mengikut ulamak atau mazhab? Bukankah lebih mudah jika kita terus sahaja ikut Quran dan Sunnah?

53. Lalu semasa di rumah tuan gurunya dia dihidangkan dengan air (kerana si anak murid ini tetamu).

54. Namun hanya ada jug air yang besar, tetapi cawan dan gelas tidak ada!

55. Terkejut, lalu bertanyalah si anak murid tadi kepada tuan gurunya, bagaimana saya mahu minum air tanpa ada gelas atau cawan?

56. Lantas, diterangkan oleh tuan guru itu, demikian jugalah Islam dan ajarannya.

57. Al-Quran dan Sunnah itu ilmunya cukup luas untuk difahami oleh orang awam dan orang biasa seperti kita. Sebab itu perlunya kita pada para ulamak melalui pemahaman mereka yang paling baik kerana merekalah pewaris nabi.

58. Air yang diminum melalui cawan ibarat ilmu yang kita warisi daripada para ulamak. Tak terdaya kita memahami Quran dan Sunnah dengan pemahaman sendiri sebagaimana tak mahu kita meminum air terus daripada jug air! Subhanallah! Maha Suci Allah!

59. Sebagai huraian lanjut, mari kita teliti satu hadis Nabi SAW berikut yang seakan-akan telah memberi satu 'isyarat' bahawa perlunya kita mengikuti para ulama' selepas kewafatan baginda SAW:

"Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurun aku, kemudian mereka yang selepas kurun itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


60. Sebaik-baik manusia ini merujuk kepada mereka yang hidup dalam tiga kurun yang pertama selepas baginda SAW. Keempat-empat Imam Mazhab feqah yang kita kenali hidup dalam tempoh tiga kurun ini! Maka tiada keraguan lagi bahawa mereka termasuk dalam kalangan manusia terbaik yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis di atas.

61. Mereka juga termasuk dalam golongan Salafussoleh, yakni orang-orang soleh zaman dahulu. Imam Abu Hanifah RH (Mazhab Hanafi) lahir pada tahun 80H, Imam Malik RH (Mazhab Maliki) pada tahun 93H, Imam As-Syafi'e RH (Mazhab Syafi'e) pada tahun 150H dan Imam Hanbali (Mazhab Hanbali) pada tahun 164H.

62. Mereka bukan sahaja terbaik kerana hidup dalam kurun yang disebut Rasulullah SAW, malah mereka juga ulama' mujtahid yang paling soleh, mulia dan disegani pada zaman masing-masing subhanallah! Moga Allah rahmati mereka semuanya ameen..

63. Persoalan adakah mengikut mazhab dikira mengikut Al-Quran dan Hadis adalah persoalan yang agak dangkal. Hal ini kerana hakikatnya keempat-empat imam muktabar ini membuat rujukan daripada Al-Quran dan Hadis- maka mengikuti mereka bermakna mengikuti Al-Quran dan Hadis (Sunnah). Mudah formulanya bukan?

64. Imam-imam ini dalam mengeluarkan hukum serta membuat fatwa, merujuk Al-Quran dan kitab-kitab hadis. Imam Abu Hanifah mempunyai kitab hadisnya sendiri yang bernama Al-Wasif. Imam Malik dengan kitab hadis terkenalnya Al-Muwatta'. 

65. Sebelum berguru dengan Imam Malik, Imam Syafi'e telah pun menghafaz seluruh kitab Al-Muwatta' Imam Malik subhanallah! Beliau (Imam Syafi'e) juga terkenal dengan kitab Al-Umm dan merujuk hadis yang terdapat di dalamnya.

66. Akhir sekali, Imam Hanbali pula merujuk kitab hadisnya yang terkenal, yakni kitab Al-Musnid yang terdapat tidak kurang daripada 35 000 hadis di dalamnya.

67. Al-Quran jelas menyebut bahawa kita mesti bertanya kepada orang yang lebih mengetahui. Ulama' yang dinyatakan bukan sahaja lebih mengetahui berbanding kita yang cetek ilmu ini, malah mereka juga menjadi ikutan ulama' sekarang dan ulama' sebelum sekarang yang susur galur ilmunya adalah daripada mereka.

"...... Dan bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."
(Surah An-Nahl, ayat 43)
68. Baik. Berikutnya adalah antara 'favorite' atau kegemaran saya tentang kenapa perlunya kita mengikut mazhab. 

69. Pernahkah anda mendengar Imam-imam hadis yang besar dan sangat masyhur seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud dan Imam At-Tirmidzi?

70. Tahukah anda bahawa mereka bermazhab Syafi'e? Subhanallah, hebat tak Imam Syafi'e RH? Moga Allah rahmati beliau ya Allahumma ameen..

71. Imam-imam hadis yang disebut di atas adalah pembuku, pengumpul, penilai dan perawi hadis. Pun begitu, dalam aspek memahami hadis dan mengeluarkan hukum daripadanya, mereka sandarkan pemahaman mereka pada Imam mazhab subhanallah!

72. Cool tak mereka? Marilah sama-sama kita sayang ulama' wahai rakan-rakan.. Boleh tak? ;-)

73. Belum puas hati lagi? hehe.. Kerana saya belum puas hati. Tahukah anda selepas ini saya akan senaraikan ramai lagi ulamak yang cukup terkenal oleh kita umat Islam kontemporari, dan mereka ini semuanya bermazhab Syafi'e? 

74. Tahukah anda bahawa mereka ini sebenarnya mengarang banyak kitab-kitab besar, bertaraf mujtahidin dan layak berijtihad (mengeluarkan hukum)? Tetapi wara' dan hebatnya mereka, bahkan mereka pun bermazhab!

75. Mereka yang amat kita sayangi ini tidak lain dan tidak bukan adalah para 'alim 'ulama' seperti Imam Abu Hassan Al-Asyaari, Imam Al-Ghazali, Imam As-Suyuti, Syeikh Ibnu Hajar, Syeikh Ramli, Imam Subki, Syeikh Zakaria Ansori, Imam An-Nawawi dan Imam Sya'rani.

76. Hakikat ini sepatutnya menjadikan kita lebih dekat pada Allah SWT, dengan lebih bertambah sayang kita pada Nabi Muhammad SAW, dan semoga timbul rasa kagum dan kasih pada para 'alim 'ulama' yang telah menghabiskan sisa hidup mereka mempelajari dan mengajar ilmu Islam kepada kita alhamdulillah.

77. Benarlah bahawa para ulama' itu pewaris para nabi. Renungilah satu hadis tentang hubungan antara ilmu dan ulama' yang cukup menyentuh qalbu, maksudnya:

"Sesungguhnya ALLAH Azza Wajalla tidak akan mencabut ilmu daripada seseorang manusia selepas diberikan kepadanya. Akan tetapi dicabut ilmu itu dengan dimatikan para ulama. Setiap kali matinya ulama ikutlah ilmu itu bersamanya sehinggalah (satu ketika tiada lagi ulama) kecuali pemimpin (ulama) yang jahil. Jika ditanya hukum, mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu, mereka sesat lalu menyesatkan orang lain." 
(Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

78. Moga Allah SWT melindungi kita dengan ilmu dan kewarakan, serta menjadikan kita bersama-sama para 'alim ulama' yang bersambung susur galur ilmunya dengan ulama' terdahulu sehinggalah sampai kepada Nabi SAW insya Allah ameen ameen ameen.


Adab dalam perbezaan pendapat

79. Sebelum saya akhiri dan membuat beberapa kesimpulan daripada artikel ini, suka saya sebut sedikit tentang etika dalam berbeza pendapat. Siapa lagi contoh terbaik jika bukan para 'alim 'ulama' dan juga daripada Nabi SAW sendiri.

80. Pertama, Imam Syafi'e pernah dipelawa untuk menjadi imam di kawasan yang majoritinya adalah bermazhab Maliki yang tidak membaca Doa Qunut- padahal dalam mazhab Syafi'e membaca Doa Qunut hukumnya sunat.

81. Namun, ketika mengimamkan mereka, Imam Syafi'e tak membaca Doa Qunut! Subhanallah, beginilah adab yang cukup mulia yang ditunjukkan oleh seorang ulama'. Beliau meraikan orang kebanyakan di situ yang mengikuti Mazhab Maliki dan tidak membaca Doa Qunut.

82. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Imam Hassan Al-Banna tentang solat sunat Terawih dalam bulan Ramadhan, kenapa perlu berbalah tentang bilangan rakaatnya padahal Terawih itu ibadah sunat, sedangkan kita sanggup meninggalkan yang wajib yakni bersatu sebagai umat Islam (kerana berbalah atas perkara sunat)!

83. Bukankah tidak patut sama sekali kita meninggalkan yang wajib (bersatu) kerana ingin berbalah tentang yang sunat (Terawih)? Satu teguran yang cukup baik untuk sama-sama kita insafi.

84. Yang kedua dan juga yang terakhir, saya rasa tidak lengkap artikel ini jika tak disertakan satu hadis yang cukup popular dan pasti disebut oleh mana-mana pihak yang membincangkan soal perbezaan pendapat dalam Islam.

85. Hadis ini menceritakan tentang satu peristiwa Nabi SAW memerintahkan beberapa orang sahabat untuk menuju ke perkampungan Bani Quraizah. Nabi SAW memberikan arahan supaya para sahabat tak menunaikan solat Asar sehinggalah sampai di perkampungan Bani Quraizah.

86. Para sahabat terbahagi kepada dua dalam memahami arahan daripada Rasulullah SAW tersebut. Sebahagian memahaminya secara literal atau bulat-bulat, sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa Nabi SAW mempunyai maksud atau rasional tertentu melalui perkataan baginda tersebut.

87. Akhirnya, golongan yang pertama tadi menunaikan solat Asar mereka di Bani Quraizah, namun pada waktu itu waktu Asar sudah habis kerana telah masuk waktu Maghrib.

88. Golongan yang kedua pula menunaikan solat Asar di pertengahan perjalanan kerana pada pandangan mereka arahan Rasulullah SAW bermaksud untuk menyuruh mereka cepat dan bergegas menuju Bani Quraizah.

89. Yang menariknya, apabila perkara ini dibawa kepada Rasulullah SAW, baginda SAW tidak menyalahkan mana-mana antara dua golongan sahabat tadi! Subhanallah!

90. Demikianlah bijaksananya Nabi SAW, meraikan perbezaan pendapat serta menjadi rahmat buat kita semua umatnya kerana baginda SAW menjadi contoh ikutan buat kita hingga akhir zaman alhamdulillah.

91. Jika Rasulullah pun boleh mengiktiraf perbezaan pendapat, siapa kita untuk tidak? 

Antara Adab dan Adobe

92. Sedikit komentar bonus untuk sidang pembaca yang saya hormati. Pada zaman multimedia sekarang, kita dimanjakan dengan pelbagai jenis perisian (softwares) yang boleh mencantikkan hasil kerja kita, sama ada dalam rekaan laman web, membuat poster, menyusun audio, mengubah foto dan banyak lagi. 

93. Antara perisian yang terkenal ialah tidak lain lagi- Adobe. Ada Adobe Photoshop lah, Adobe Illustrator lah, Adobe Dreamweaver lah dan banyak lagi.

Saya merupakan antara peminat dan pengguna Adobe Photoshop. Boleh 'jejaki' antara sedikit hasil karya saya di laman Freebies blog ini. ;-)
94. Namun, dalam menuntut ilmu serta dalam menggunakannya untuk menyatakan perbezaan pendapat dengan orang lain, kita lupa tentang satu bentuk 'perisian' yang juga tujuan ia adalah melengkapkan dan mencantikkan- adab.

95. Ketika ditemu ramah oleh Sheikh Hamza Yusuf, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, seorang tokoh falsafah dan ilmuwan Islam Nusantara yang masyhur, menyebut bahawa salah satu krisis yang sedang melanda umat Islam adalah kehilangan adab.

96. Kata beliau, 'adab' ini dalam erti kata yang sebenarnya merujuk kepada kebijaksanaan atau dalam Bahasa Arabnya ialah hikmah dan dalam Bahasa Inggerisnya ialah wisdom.

97. Tidak sama orang yang mempunyai banyak ilmu ('alim) dengan orang yang bijaksana dan fasih atau mahir (faqih) dalam bidang ilmunya. Hanya orang diberi kebijaksanaan yang mampu menggunakan ilmu yang ada sebaik yang mungkin.

98. Hasil daripada kebijaksanaan inilah yang akan mendatangkan satu keadaan yang disebut sebagai 'adl dalam Bahasa Arab, atau disebut oleh orang Melayu sebagai keadilan. Keadilan, dalam konteks yang sebenar ialah meletakkan sesuatu di tempat yang selayaknya.

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak.  Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya."
(Surah Al-Baqarah, ayat 269)
99. Maka, orang yang bijaksana ialah orang yang tidak melupakan adab dalam 'pergaulannya' dengan ilmu. Kerana pada mereka, ilmu itu bukan hanya ilmu, tetapi ia lebih bermanfaat jika ia datang sebagai satu pakej yang beserta dengan rahmat, keberkatan serta redha Allahu ta'ala, yang salah satu cara memperolehnya adalah dengan menghormati para 'alim ulama' yang menyampaikan ilmu ini.

100. Tidak hairanlah, para ulama' buat sekian lama dalam majlis ilmunya seringkali apabila berbicara tentang ilmu, tidak akan lupa untuk mengajar kepada anak murid mereka juga tentang adab dan keberkatan dalam interaksi kita dengan ilmu.

101. Semoga ilmu yang ada di dada bakal menjadi hujah dan bukti kepada iman dan amal soleh kita di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak ameen ameen ameen.

Penutup dan Kesimpulan

102. Seperti dijanjikan, saya akan cuba sentuh sedikit tentang soalan kedua tadi, yakni adakah boleh kita berpindah kepada mazhab lain, ataupun bertaqlid dengan mazhab lain selain Mazhab Syafi'e?

103. Jawapannya secara umumnya mudah sahaja. Boleh, dengan syarat kita mempunyai ilmu yang secukupnya. Bahkan tahukah rakan-rakan, ada beberapa perkara yang dipraktikkan di Malaysia bukanlah daripada Mazhab Imam Syafi'e?

104. Contohnya adalah seperti membayar zakat fitrah menggunakan wang atau duit. Padahal dalam Mazhab Imam Syafi'e, zakat fitrah ditunaikan menggunakan makanan ruji sesebuah negara seperti beras, gandum dan seumpamanya. 

105. Namun, atas faktor kesulitan yang boleh berlaku, dan untuk meraikan keselesaan dan maslahat umat Islam di negara kita, kita mengguna pakai Mazhab Hanafi yang membenarkan kita membayar zakat menggunakan duit mengikut nilaian beras.

106. Adakah anda nampak sekarang betapa besarnya rahmat yang diperoleh melalui perbezaan mazhab yang ada? Terbuktilah sekali lagi bahawa Islam itu agama yang memudahkan umatnya alhamdulillah.

107. Perkara ini juga sebenarnya terdapat dalam undang-undang syariah yang dipersetujui, maka bukanlah ia sekadar dibuat sesuka hati, melainkan melalui panduan dan nasihat para ulama' jua.

“Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.”'
Seksyen 39 (2) Akta Pentadbiran Agama Wilayah Persekutuan (1984)

Sudah nak habis. Saya hampir 'berlabuh'....
108. Kesimpulannya, saya sekali lagi menyeru kita semua untuk berjaga-jaga dengan pelbagai ancaman dari dalam mahupun luar yang cuba memecahbelahkan kita melalui pintu yang kita tidak ada ilmu padanya.

109. Tidaklah kewujudan mazhab itu satu perkara yang memisahkan kita umat Islam, malah ia sebenarnya satu rahmat yang menyatukan kita keseluruhan umat Nabi Muhammad SAW insya Allah. 

110. Banyakkanlah bersabar dalam menghadapi perbezaan pendapat, dan berlapang dadalah. Itulah yang terbaik insya Allah. Buatlah rujukan dan dekatilah para asatizah dan ilmuwan Islam. Semoga dengan cara itu juga, kita sentiasa dekat dengan Allah SWT dan jalan Rasulullah SAW.

111. Saya tutup artikel ini dengan menyebut dua perkara. Pertama, saya tujukan penulisan ini terutamanya buat para sahabat di luar sana yang sebahagian besarnya termasuk dalam kategori orang awam termasuklah saya, bukan agar tulisan ini menjadi rujukan mutlak, tetapi sekurang-kurangnya sebagai satu 'pengenalan' yang menjadi satu motivasi agar kita terus berjaga-jaga dan mendalami ilmu Islam dengan lebih lagi insya Allah.

112. Perkara kedua ialah, sebagai kesinambungan daripada yang pertama di atas, saya sebagai hamba Allah yang tersangat faqir dan dhaif dalam ilmu agama, mengaku di sini, bahawa saya dengan sedaya upaya saya telah cuba membuat rujukan yang terbaik supaya dapat menghasilkan tulisan yang sangat kerdil ini.

113. Namun, bagaimanapun PASTI terdapat banyak ketidaksempurnaan mahupun kelemahan di mana-mana. Yang paling penting ialah, jika ada kesilapan yang perlukan pembetulan, saya amat mohon jasa baik sahabat sidang pembaca, mahupun jika ada para ustaz atau ilmuwan Islam (jika ada amatlah malu saya dengan kunjungan anda- jazakallah atas kesudian singgah) untuk memperbetulkannya untuk manfaat terutamanya orang awam yang datang membaca di sini.

114. Milik Allahlah segala kebaikan dan hanya pada-Nya saya berserah diri- kerana kepada Dia jua akan saya kembali.

115. Moga tulisan ini bermanfaat dan tolong doakan saya dan keluarga. Terimalah sebuah pantun penamat dua rangkap daripada saya. Jazakumullah khairan kasira!

Hanya berkumur, malas gosok gigi,
Panjang umur, kita bersua lagi.
-Ibnu Hanaffi At-Takiri
(Seberang Takir, Terengganu, 9.40 am)
Ibnu Hanaffi's Dakwah Effort and Archives (IHDENA)
www.facebook.com/IH.DE.NA

Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.


7 comments:

Qistina Sumaiya...(^_^) said...

assalamualaikum...
saya memang gemar selongkar entry lama2..
maklumlah,
dan this one sangat ohsem!

yang sangat straight Mahhab Syafie..
saya pun selesa ikut mana2 mazhab berdasarkan keadaan.. iyalah, panduannya tetap sama, : Al-Quran dan As-sunnah..

keep up good work

Amirul Asyraf said...

Waalaikumussalam wbt.

Jazakillah khair. May Allah bless you and the whole family insya Allah ukhti Qistina ;-)

katak said...

Terima kaseh sabahat. Sangat membantu.

jika tidak keberatan, bolehkah sahabat senaraikan tentang perkara/amalan dr mazhab lain yg kita amalkan, selain yg dinyatakan. sekiranya ada.

sekali lagi, terima kaseh. bermakna artikel ni.

Amirul Asyraf said...

Alhamdulillahi ala kulli hal ;-)

Allahuaklam. Saya cuma kongsikan sekadar maklumat yang saya peroleh. Cuma saya yakin masih ada banyak lagi perkara lain daripada mazhab selain Mazhab Imam Syafi'e yang boleh dikaji dan didapati daripada insan yang lebih berilmu dan layak.

Saya cadangkan saudara/ri rujuk para ilmuwan dan ustaz. Terasa amat kerdil saya dengan batasan ilmu yang saya ada. Itupun banyak kurang di sana-sini.

Terima kasih juga untuk anda. Moga Allah rahmati dan mohon kalau ada kelapangan, tolong doakan kebahagiaan dan keselamatan saya dan keluarga.

Take care. Wassalam wbt ;-)

Anonymous said...

Jazakallah....Alhamdulillah baru saya faham...hehe

Anonymous said...

Salam.
Pada pandangan saya yang tidak seberapa ini, kewujudan mazhab adalah tidak sepatutnya berlaku.
Mungkin kita perlu membubarkan perkataan mazhab ini dan menggubal perkataan baru. Kerana penggunaan mazhab terlihat seperti Islam tidak berpandu pada keputusan bulat2. Biarpun semuanya berpandu kepada sumber yg benar iaitu Alquran dan sunah.
Jadi lebih elok jika perkataan mazhab2tidak lagi wujud bagi mengelak kekeliruan di kalangan penganut Islam.
Kerananya juga ketidakpuasan hati pengikut sesetengah mazhab ini, ada yg taksub dan sehingga wujud ajaran sendiri dsb yg boleh menyesatkan akidah, terutama golongan muda, mualaf, extremist atau yg terlalu cetek akal untuk menerima ilmu.
Jika mazhab ini digabungkan kesemuanya lalu digelar dengan satu nama, tanpa berpecah kepada 4. Ianya lebih sempurna dan tepat. Menjurus kepada ajaran yg satu, lebih tepat yakin.
Dan pendapat2 fiqah dari yg longgar hingga ke ketat digubal semula sesuai dengan keadaan semasa umat dan berpandu kitab yg semestinya menjadi pendapat yg satu, tanpa berpecah 4, alangkah lebih indah.
Sekadar memberi pendangan.
Terima kasih

Ibnu Hanaffi said...

Waalaikumussalam wbt.

Maaf saudara/ri saya menghormati pandangan anda. Pun begitu, saya berpegang dengan pendirian bahawa bermazhab itu lebih baik dan praktikal, berdasarkan penjelasan oleh ahli ilmu dan para 'alim ulamak.

Sila rujuk dua rujukan berikut untuk pembacaan lanjut ya:

1. http://jomfaham.blogspot.com/2011/01/mazhab-membantu-memahami-agama.html

2. http://www.masud.co.uk/ISLAM/ahm/newmadhh.htm

Saya kini sudah berpindah ke blog baru di ibnuhanaffi.blogspot.com.

Wallahua'lam.

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq