RSS

Wednesday, May 30, 2012

Orang Kaya Sahaja Masuk Syurga


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.

1. Saya bukan orang kaya. Saya amat takut kalau hanya orang kaya masuk syurga. 

2. Sebab saya tak tahu, mampu atau tidak saya menjadi kaya.


3. Tapi usaha itu penting. Kita tak disuruh meninggalkan dunia. Kita diminta mengambil sebahagian daripadanya.

4. Bezanya, yang di dunia itu kita hanya jadikan alat. Untuk membantu mencapai matlamat yang tepat. Yakni kesejahteraan dan kejayaan pada hari akhirat. Hari yang tiada hujung atau penamat.

5. Malah, setiap kali selepas solat, kita amat lazim membaca doa meminta kebaikan pada kedua-duanya, dunia dan hari akhir.


6. Maka, bukanlah Islam menuntut meninggalkan terus kekayaan dunia. Bahkan sahabat Nabi SAW yang digelar As-Siddiq pun seorang saudagar yang kaya raya. 

7. Beliau ialah Abu Bakar RA. Dan beliau dijamin masuk syurga!

8. Tunggu. Selidik dulu sirah. Tentang bagaimana Abu Bakar RA membelanjakan hartanya. 

9. Malah, tidak juga Islam menuntut kita 'mengejar' kemiskinan. Kerana bahkan kemiskinan itu kata Nabi SAW, boleh menyebabkan kekufuran. Wa na'uzubillahi minzalik.

"Hampir saja kemiskinan (kemiskinan jiwa dan hati) berubah menjadi kekufuran."
-HR. Ath-Thabrani-

10. Asalkan hati dan jiwa tak miskin dengan iman, insya Allah selamatlah kita daripada kekufuran. Ameen..

11. Tujuan sebenar penulisan ini adalah untuk mencadangkan para pembaca sekalian supaya membuat penilaian yang adil.

12. Pada pandangan saya (kalau tak setuju tak apa), seorang nelayan yang membantu orang lain dengan nilai RM1, lebih baik dan mulia daripada seorang jutawan dan hartawan yang membelanjakan hanya RM10 daripada hartanya.

13. Bukan nilaian yang menjadi persoalan sekarang. Tapi keikhlasan dan juga keadaan insan yang membuat kebajikan itu.

14. Kita tak boleh mengukur keikhlasan orang. Tapi bayangkan diri kita sebagai pelaku kebajikan itu, dan nilailah keikhlasan diri kita sendiri. Maksud 'keadaan' pula dalam konteks ini ialah kedudukan ekonomi seseorang.

15. Bayangkan seorang nelayan yang mempunyai 10 orang anak dan memperoleh tidak lebih RM1000 setiap bulan. Itupun tak menentu. Pada musim tengkujuh, mungkin langsung tiada pendapatan.

16. Maka RM1 itu cukup besar nilainya buat dia. Jika dia sanggup sedekahkannya, dia sudah tunjukkan satu bentuk pengorbanan dan jihad pada hartanya.

17. Berbanding dengan seorang jutawan, apalah sangat RM10 itu. Kalau nampak di tengah jalan pun mungkin tak heran. 

18. Bukanlah salah untuk menghulurkan RM10. Malah itu lebih baik daripada tiada langsung.

19. Namun jika mampu menderma RM1000, kenapa tidak? 

20. Dikhuatiri timbul di dalam benaknya, "Alah, yang penting aku dah sedekah." 

21. Atau "Eh orang dah bagi RM10 syukurlah ya, kan tak bagi langsung baru tahu."

22. Seolah-olah harta itu miliknya. Siapa yang tak bersyukur sekarang?

23. Alamak. Inilah kerdilnya saya. Perlukan ayat yang panjang untuk buat penjelasan di atas. 

24. Cuba baca Al-Quran. Kata-kata Allah ada sebenarnya menggambarkan hal ini. Cukup tepat, ringkas, padat dan kena pada maksud dan tujuan mesej itu disampaikan.

Firman Allah bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui."
-Surah Ali-Imran: 92-

25. Demikianlah. Sudahkah kita mencapai tahap kesanggupan memberikan harta yang kita sayang kepada orang?

26. Bayangkan seorang miskin yang sangat gembira apabila kita hadiahkannya sepaket roti. Padanya mungkin, itu cukup berharga kerana sudah beberapa hari dia tak makan!

27. Bagi kita pula, bukan apa, roti tu dah nak sampai tarikh luput, daripada buang, kan ke lebih baik kita sedekah kat orang betul tak?

28. Alhamdulillah, baguslah bersedekah. Tapi cuba tanya balik, dalam kes ni, sayang tak kita pada roti tadi?

29. Astaghfirullah...

30. Berkenaan persoalan nelayan dan jutawan tadi, tidaklah saya mencadangkan bahawa menjadi nelayan lebih baik (melainkan dalam konteks sebenar yang saya sampaikan).


31. Bahkan bukankah jika kita banyak harta, lebih banyak manfaat boleh kita berikan pada orang sekeliling kita dek kemampuan dan kekayaan kita? 

32. Benar sekali. Cuma, jangan terlalu yakin. Tak ramai orang apabila kaya, pikirannya sama ketika dia masih 'miskin.' Anggaplah penyataan saya itu satu bentuk metafora, yakni satu perlambangan, atau simbolik.

33. Yakni dalam hidup ini, kita kadang-kadang (secara simboliknya) boleh menjadi seorang nelayan dan pada waktu yang lain menjadi jutawan pula. Pendek kata, kadang-kadang hidup senang, kadang-kadang sedikit malang.

34. Soalnya adalah, adakah kita mengelak berbuat baik jika kita dalam kesusahan? Padahal ketika susah itulah, pahalanya insya Allah lebih besar, dek perassaan berat dan perlunya 'jihad' untuk membuat baik dalam keadaan begitu.

35. Sebenarnya, sebelum saya terlupa, saya bukan sahaja nak bercakap tentang sang penderma atau yang menolong.

36. Saya rasa lebih penting juga, kita membayangkan diri kita sebagai seorang yang menerima derma atau yang ditolong.

37. Kadang-kadang kita jarang menghargai bantuan dan pertolongan orang pada kita.

38. Tanpa pula kita melihat kepada kesusahan yang dilaluinya.

39. Saya bagi satu contoh mudahlah untuk gambaran kita ya.

40. Pernah tak bila kita nak pergi ke mana-mana, ada sahabat kita datang ambik kita dengan kenderaan mereka?

41. Cuba ambik dua situasi. Kawan kita Man dan kawan kita Zack.

Situasi satu: Rumah Man

42. Kita nak ke rumah Man. Sampai di stesen LRT, Man datang ambil kita dengan motorsikal buruknya. Waktu tu hari hujan. Man berikan pada kita baju hujannya.

43. Sebab dia boleh tukar pakaian bila sampai rumah. Kita tidak. Tapi sampai di rumah, semestinya, ada la sikit basah-basah di badan kita kan? Mungkin kita pun merungut dalam hati. Tapi Man pula, basah kuyup letup tup tup..

Situasi dua: Rumah Zack

44. Kita nak ke rumah Zack, seorang anak jutawan. Sampai di stesen LRT, Zack datang dengan kereta Ferrarinya. Eh silap, kereta ayahnya.

45. Bukan dia pun yang memandu. Ada driver peribadi. 

46. Hari itu hujan juga. Namun kita sampai ke rumah tanpa setitik pun air hujan kena pada baju kita. Cuma mungkin beberapa titik air liur kerana terseliur dan tergamam pertama kali naik kereta Ferrari.

Man lebih baik atau Zack?

47. Baik. Masa untuk penilaian sekarang. Kalau kita 'cacat' dalam menilai, pasti kita lebih menghargai Zack.

48. Lebih selesa, malah mengiurkan!

49. Tapi siapa yang harus lebih dihargai dalam hal ini?

50. Saya harap mesej saya sampai- tentang bagaimana kita betulkan cara kita menilai dalam menghargai sumbangan dan bantuan orang. Bukan sekadar pada kadar dan bentuk bantuan yang diberikan, tetapi juga mengambil kira 'keadaan' sang pemberi bantuan itu.

51. Sebagai penutup, sekali lagi saya mahu mengulangi mesej yang sama namun menggunakan contoh dan sisi pandang yang berbeza.

52. Umumnya, dalam dunia sekarang, siapa yang paling kaya harta dunia? Orang Islam? Tidak, bukan?

53. Jika orang bukan Islam yang kaya raya ini banyak menderma dan membuat kebajikan, pertamanya kita memohon agar Allah SWT melapangkan hatinya untuk menerima hidayah, agar segala amalnya diterima Allah SWT.

54. Namun bagaimana pula yang kaya raya dengan jalan menipu dan menjadikan amalan kebajikan dan dermanya hanya sebagai penutup kejahatannya? Mengaburi dan menyembunyikan kezalimannya?

55. Mana nilainya kebaikan mereka tanpa bersaksi bahawa Allah lah Tuhan mereka?

56. Sebab itu, jangan kita dikaburi mata dengan fitnah kekayaan ini. Sedangkan Al-Masih Al-Dajjal pun menggunakan taktik yang sama. 

57. Mendatangkan apa yang indah pada mata, tapi jahat pada intipatinya. Dunia menjadi taruhan. Akhirat dilupakan, ditinggalkan.

58. Demikian juga kita di Malaysia. Ya, kita bersyukur jika ada ramai dermawan. Tetapi berhati-hatilah dengan musang berjanggut. Janggutnya itu bukanlah sunnah!

59. Maksud saya, ada orang yang menjadikan hartanya sebagai alat menyembunyikan kejahatannya.

60. Jika menipu untuk mendapatkan wang, usahlah berterima kasih atas wang yang dia sumbangkan.

61. Begitu juga dalam menilai isu politik.

62. Jangan sekadar melihat habuan dunia sebagai kebaikan orang. Ada masa kebaikan itu adalah kewajipan pemerintah.

63. Kita bersyukur atas pelaksanaan tanggungjawabnya, bukan atas dasar 'pengorbanannya' pada rakyat.

64. Malah lebih teruk jika tanggungjawab itu dianggap sebagai satu bentuk 'hadiah' daripada diri mereka sendiri- sedangkan harta itu milik Allah, atau jika di dunia, milik negara dan rakyat, bukanlah mereka punya pun.

65. Berhati-hatilah ya? Telitilah dengan mata hati, jangan biarkan ia mati.

66. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi, ayat 103-104 maksudnya:

"..............Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? (Yaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka sangkakan telah berbuat sebaik-baiknya."

67. Untuk tahu lebih lanjut siapa golongan yang rugi walaupun banyak buat baik ini, anda bukak Al-Quran dan sambung baca ayat yang berikutnya.

68. Saya tak nak tulis di sini sebab 3 perkara. 1) Sebab panjang sangat, 2) Sebab ini blog saya ikut suka hati sayalah! Jelez? Nak gaduh? (Baik yang ini gurauan sahaja ya huhu) dan 3) Supaya sekurang-kurangnya anda ada sebab untuk ambil wuduk dan baca Al-Quran.

69. Sekian sahaja untuk kali ini. Maafkan saya jika ada silap di mana-mana, mohon teguran daripada kalian.

70. Saya tinggalkan anda semua dengan satu hadis yang cukup awesome di bawah. Dalami dan selamilah maksudnya. Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” 
-Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih-

71. Tidak, bukan orang kaya sahaja masuk syurga. Bahkan lebih ramai daripada yang miskin.

72. Yang tahu membezakan apa FUNGSI dunia, apa pula STATUS hari akhirat.

73. Moga Allah SWT membantu kita mengenal pasti dengan tepat: mana satu alat, mana satu matlamat.

Ameen ameen ameen~

Tak sabar menantikan kunjungan bulan Ramadhan! =D

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq