Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Apa lagi nikmat terbesar buat orang Melayu jika tidak pada Islamnya mereka. Mana tidaknya, ramai orang Melayu yang cukup menghayati keperluan untuk beriman kepada perkara ghaib. Dan ramai antara mereka yang percaya bahawa perkara ghaib itu hanyalah hantu.
2. Orang Jepun pun banyak hantu juga. Malah sebahagiannya menjadi sumber inspirasi buat orang Melayu yang 'minat' pada hantu. Di samping selipar Jepun, akhirnya lahirlah juga hantu Malaya.
3. Bezanya, kebanyakan orang Jepun tak percaya tuhan. Hantu mereka hantu tak bertuhan.
4. Orang Melayu pula sinonim dengan nama Islam. Maka, bila cerita hantu dibawa, bukan setakat hantu, Tuhan pun menjadi 'hiburan'.
5. Dalam perasaan hairan, pelik, sedih, marah pun ada, hati tak cukup senang melihat salah satu adegan kisah hantu orang Melayu yang cukup 'menghiburkan'.
6. Seorang ustaz menyebut kalimah Allah, berselawat ke atas Nabi SAW, bertungkus-lumus melawan jin yang sedang merasuk seorang wanita CUN MELECUN.
7. Sedang si suami pula memeluk isterinya itu yang sedang berteriak tak tentu pasal dirasuk hantu.
8. Ia sebuah filem. Cerita rekaan. Ustaz itu berlakon. Wanita itu berlakon. Si lelaki yang suami itu pun berlakon.
9. Tapi adegan PELUKAN itu bukan lakonan. Ia real. Seronoknya dapat peluk anak dara orang. Lebih seronok lagi apabila sambil memeluk itu, dibaca pula Subhanallah dan Allahuakbar. (Sepatutnya kalau dia sebut alhamdulillah mesti lagi syok. Bukan senang nak buat maksiat dalam 'kerelaan')
10. Seronoknya bila Tuhan dan kalimah-Nya dijadikan 'hiburan'.
11. Orang Melayu sepatutnya panggil ustaz untuk membantu mendekatkan diri pada Tuhan. Tapi dalam zaman moden hari ini, tugas ustaz dipanggil hanyalah untuk menjauhkan diri daripada hantu.
12. Ustaz yang sepatutnya menjadi Imaan-booster, kini bertukar tanggungjawab menjadi ghostbuster. Begitulah malangnya nasib seorang ustaz. Kadang-kadang ustaz pun takut tengok hantu.
13. Bukan hantu sebenar yang ustaz takutkan. Yang memanggil ustaz itulah yang 'hantu'. Mana tak terkejut beruk si ustaz. Kalau yang memanggil ustaz itu pun perangai macam hantu. Maaflah cakap, hanya hantu saje yang tak solat. Tak reti bahasa lagi ke?
14. Dalam pada nak mengajar masyarakat untuk melihat peranan Islam dalam menghalau hantu, banyaklah kajian dan usaha yang dibuat untuk berkenalan dan memahami hantu.
15. Akhirnya, makrifatullah (mengenal Allah) diketepikan, makrifatul pontianak (mengenal pontianak) menjadi subjek kegemaran.
16. Natijahnya, yang menghasilkan filem, yang membeli filem dan yang menonton filem, semuanya jauh lebih kenal hantu berbanding Tuhan.
17. Niat asal nak menjauhkan diri daripada hantu, tapi yang jadi akhirnya adalah sebaliknya- hantu makin dekat di hati. TV9 pun tak boleh nak lawan. Nak pergi jamban pun akhirnya berteman.
18. Percayalah. Jika anda seorang raja yang memiliki seluruh dunia, atau seorang jutawan yang memiliki seluruh harta alam semesta, atau seorang jejaka dan dara paling rupawan di seantero buana, atau apa jua pangkat dan kuasa yang anda ada- anda pasti takut pada hantu.
19. Yang tak takut pada hantu hanya satu golongan sahaja. Bahkan, hantu yang takut pada mereka.
20. Siapa mereka? Merekalah yang bernama hamba. Hamba siapa?
21. Hamba Allah!
"Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhan sebagai penjaga."
(Surah Al-Isra', ayat 65)
22. Memetik kata-kata penulis buku dan pemikir muda terkenal, Hilal Asyraf: "Mari menjadi hamba!"
23. Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
"Sungguh, syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhan. Pengaruhnya hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin dan terhadap orang yang mempersekutukannya dengan Allah."
(Surah An-Nahl, ayat 99-100)
0 comments:
Post a Comment