Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Artikel ini akan cuba menjawab persoalan adakah pensyariatan sembelihan korban dalam Islam sesuatu yang rasional dan baik untuk manusia secara umumnya.
2. Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa telah timbul persoalan daripada sesetengah penganut agama tertentu kononnya manusia seharusnya hanya makan tumbuh-tumbuhan.
3. Dengan kata lain, manusia seharusnya menjadi seorang vegetarian ataupun mengamalkan sifat herbivor. Hal ini kerana membunuh binatang untuk dimakan menyakitkan mereka- maka dianggap kejam.
4. Sebagai umat Islam, adalah penting untuk kita percaya bahawa apa jua yang dituntut dalam Islam ada kebaikan dan rasional yang tersendiri.
5. Maka jika kita ditanya, jawapan pertama kita kepada orang bukan Islam ialah- kita taat pada suruhan Allah SWT dan para Rasul-Nya- tiada bantahan terhadap kedua-duanya sama sekali.
6. Pun begitu, tak menjadi masalah untuk kita sediakan jawapan dari segi logik akal dan saintifik sebagai satu pelengkap- kerana bahkan Islam itu agama fitrah, apa yang dituntut memang selari dengan fitrah semulajadi manusia.
Jawapan
7. Manusia tak boleh hidup tanpa makanan. Bahkan haiwan dan tumbuhan pun memerlukan makanan.
8. Maka mereka yang vegetarian pun akan makan tumbuh-tumbuhan. Persoalannya, jika memakan haiwan dikira kejam, orang yang makan sayur-sayuran juga adalah kejam!
9. Kenapa? Kerana tumbuh-tumbuhan juga secara saintifik dikira sebagai benda hidup dan bernyawa.
Soalan: Tapi tumbuh-tumbuhan tak rasa sakit!
10. Perkara ini tidak tepat. Kajian saintifik terkini menunjukkan bahawa tumbuh-tumbuhan ada deria sakit. Namun, pastilah mereka tidak mengeluarkan suara yang boleh didengari. Malah mereka juga tak bergerak. Tapi ini tak menafikan bahawa mereka mempunyai nyawa dan perasaan seperti haiwan.
Soalan: Tapi tumbuh-tumbuhan tak banyak deria, berbanding haiwan.
11. Adakah dengan sebab itu dibolehkan berlaku kejam terhadap tumbuhan? Jika ya, ia seolah-olah menyatakan begini.
12. Kita dilarang memukul orang yang sempurna anggota, tapi tak mengapa memukul dan menganiaya orang cacat, sebab mereka kurang deria dan anggota? Begitu?
13. Sudah pasti tidak! Kurang deria atau sama banyak deria bukanlah syarat yang melayakkan kita untuk menganiayai sesiapa dan apapun.
14. Namun persoalannya sekarang, memakan tumbuhan, apatah lagi haiwan bukanlah bermaksud bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya itu adalah fitrah.
15. Jika dilihat alam semulajadi di sekeliling kita, malah dari sudut Sains sekalipun, wujudnya kelompok yang memakan dan kelompok yang dimakan (prey-predator relationship) adalah kerana itulah fitrah, perkara biasa dalam menjamin kelangsungan hidup.
16. Jika anda belajar Sains, pasti anda pernah mendengar tentang rantai makanan (food chain) dan siratan makanan (food web) yang menggambarkan hubungan simbiosis ini.
17. Malah tahukah anda terdapat jenis tumbuh-tumbuhan yang memakan haiwan! Contohnya, tumbuhan seperti periuk kera menjadikan serangga sebagai makanan. Adakah tumbuhan ini kejam? Tidak, inilah lumrah alam. Bahkan jika periuk kera ini tak diberi makan, itulah yang kejam!
Soalan: Ada satu pepatah menyatakan "You are what you eat." Maksudnya, kita adalah apa yang kita makan. Jadi, bukankah orang yang makan haiwan akan bertindak ganas seperti haiwan?
18. Hakikatnya, manusia memang mempunyai persamaan dengan haiwan tetapi yang membezakan kita dengan haiwan ialah akal, yang membolehkan kita membezakan mana yang baik dan buruk, tak seperti haiwan.
19. Sebab itu manusia pergi sekolah untuk belajar, tetapi haiwan tidak.
20. Namun, memakan haiwan tak menjadikan manusia seperti haiwan. Malah, tidak pernah berlaku di dunia ini, lembu bertukar menjadi Incredible Hulk berwarna hijau kerana tiap-tiap hari makan rumput hijau.
21. Menariknya, Islam pun hanya membenarkan penganutnya memakan haiwan tertentu sahaja. Dan haiwan-haiwan ini adalah haiwan ternakan yang bukan sahaja jinak, malah hidup di persekitaran yang bersih.
22. Contohnya, umat Islam boleh makan daging lembu, kambing, ayam dan banyak lagi.
23. Haiwan pemangsa yang kasar dan ganas, biasanya haiwan karnivor seperti harimau dan singa pula, diharamkan untuk dimakan.
24. Malah haiwan reptilia seperti ular dan buaya pun haram dimakan.
25. Selain itu, haiwan yang berkuku dan bergigi tajam juga dilarang. Sebagai contoh, kucing dan burung helang tak boleh dimakan.
26. Ini satu lagi bukti kecantikan Islam, dalam membantu umatnya membuat pilihan antara mana yang baik dan buruk dengan menggunakan anugerah akal yang ada.
Soalan: Ada lagi tak sebab lain dan hikmah dibolehkan umat Islam makan haiwan?
27. Ada. Tapi biarlah rahsia. Err.. baiklah, itu gurauan semata-mata.
28. Selain sebab yang dinyatakan di atas, ada banyak lagi hujah saintifik, contohnya tentang bekalan tenaga dan zat penting yang diperlukan oleh tubuh badan manusia.
29. Dalam subjek Biologi, kita diajar bahawa hanya tumbuhan boleh menghasilkan makanan dan tenaga sendiri. Sebab itu agaknya tumbuhan tak mempunyai mulut. Mereka hasilkan makanan sendiri melalui proses yang dinamakan fotosintesis.
30. Ini membolehkan manusia memperoleh tenaga yang diperlukan apabila makan tumbuh-tumbuhan, kerana di dalamnya terdapat zat dan tenaga.
31. Jika seekor lembu memakan rumput, maka tenaga daripada rumput itu akan diperoleh oleh lembu, namun tenaga itu berkurang. Demikian juga, jika seekor harimau makan lembu, maka tenaga daripada rumput tadi pun juga semakin kurang.
32. Hal ini kerana tenaga ini hilang dalam bentuk haba dan sebagainya, daripada rumput, semakin kurang bila sampai kepada lembu dan semakin kurang bila sampai kepada harimau. Catatan di bawah diharapkan memberi sedikit gambaran.
Rumput: 100Kcal tenaga -> Lembu: 10Kcal tenaga -> Harimau: 1 Kcal tenaga
33. Dengan kata lain, kita melihat bahawa dari sudut saintifik juga, umat Islam haram memakan haiwan pemangsa kerana kurangnya tenaga yang boleh diperoleh daripada mereka, kerana semakin jauh pemangsa ini daripada pengeluar (yakni tumbuhan), semakin kurang tenaga yang disimpannya.
34. Lebih penting daripada itu, golongan vegetarian juga mengalami masalah kekurangan zat makanan yang signifikan.
35. Kajian saintifik banyak membuktikan hal ini.
36. Antara simptom yang dialami oleh golongan vegetarian adalah seperti masalah urat saraf, anemia, osteoporosis dan lemah sistem pertahanan badan (immunity)- yang penting untuk melawan penyakit.
37. Hal ini berlaku kerana zat penting untuk badan amat kurang untuk didapati daripada tumbuhan. Antara zat yang dimaksudkan ialah Vitamin B12, Zat besi (iron), zink (zinc), Asid lemak Omega-3 dan juga kalsium.
38. Malah, tanpa diet daging, seseorang akan mengalami masalah kekurangan zat protein, kerana zat ini bukan sahaja sangat kurang didapati dalam sayur-sayuran, malah asid amino dan zat protein yang diperoleh daripada sayur-sayuran tidak sama dengan yang didapati daripada haiwan, lantas memberi kesan terhadap kekuatan otot (muscle) pada tubuh badan.
39. Ada lagi. Dan yang ini saya paling suka.
40. Pernah tak anda perhatikan struktur gigi manusia? Kemudian bandingkan dengan struktur gigi haiwan karnivor dan herbivor?
41. Haiwan herbivor hanya mempunyai struktur gigi rata dan besar yang dinamakan gigi geraham. Ini kerana mereka perlu mengunyah dan menghadam makanan seperti tumbuhan yang sarat dengan serat (fiber) dan perlu dikunyah atau dihancurkan dengan menggunakan gigi geraham.
42. Haiwan karnivor pula hanya mempunyai gigi runcing yang tajam yang dinamakan gigi taring. Gigi ini digunakan untuk merobek dan memotong daging yang mereka makan.
43. Kita manusia? Ada kedua-dua bukan? Subhanallah! Hebat tak Allah?
44. Perkara ini jelas membuktikan tentang kejadian manusia sebagai makhluk Allah SWT yang memang makanannya berbentuk tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.
45. Jika anda kaji ilmu Sains dengan lebih dalam, perkara yang sama juga berlaku dalam bab sistem penghadaman manusia (digestion system).
46. Proses dan kewujudan enzyme (sejenis protein penting untuk penghadaman) yang ada di dalam badan manusia sudah cukup menunjukkan bagaimana manusia mempunyai kemampuan untuk menghadam makanan yang diperoleh sebagai daging daripada haiwan mahupun sayur-sayuran dan tumbuhan.
47. Tak kanlah ciptaan ini semua sia-sia betul tak? Pasti ada hikmah dan gunanya alhamdulillah.
48. Akhir sekali, boleh juga dinyatakan di sini bahawa, kalaulah semua umat manusia adalah vegetarian maka pasti keseimbangan alam akan terjejas!
49. Hal ini kerana akan wujudlah keadaan yang dinamakan over-population kerana haiwan membiak dan beranak pinak dalam kadar yang cukup banyak tanpa dimanfaatkan daging mereka untuk kehidupan manusia. Bahkan inilah baru dikira kejam!
Soalan: Habis tu, siapa yang vegetarian tak boleh jadi Muslim lah?
50. Seorang vegetarian boleh menjadi seorang Muslim yang baik.
51. Kerana Islam tak menghalang seseorang untuk memilih hanya mahu makan tumbuhan sahaja.
52. Tetapi Islam membenarkan umatnya untuk turut sama makan daging haiwan. Maka kesimpulannya, tidak mengapa untuk menjadi seorang Muslim vegetarian dan tidaklah pula salah kalau tak mahu- semudah itu sahaja.
Isu penyembelihan binatang korban
53. Adakah cara penyembelihan Islam kejam dan menyakitkan? Bahagian berikutnya akan menjawab dan menolak penyataan ini insya Allah.
54. Pertamanya, kita perlu menilai cara-cara penyembelihan yang dianjurkan dalam Islam.
55. Pisau atau pemotong yang digunakan disunatkan tajam. Bermakna, Islam amat menekankan aspek memudahkan si penyembelih dan juga untuk mempercepatkan proses penyembelihan itu yang juga baik untuk binatang yang disembelih.
56. Kedua, dilarang juga untuk membiarkan binatang sembelihan lain melihat 'rakannya' disembelih. Hal ini dengan jelas menunjukkan kasih sayang dan toleransi yang ditonjolkan dalam Islam walaupun terhadap binatang korban- agar mereka tak ditakut-takutkan dengan melihat 'rakan' mereka disembelih.
57. Selain itu, cara penyembelihan Islam amat menekankan aspek membuang sebanyak mungkin darah daripada binatang korban, yang akan dijelaskan kebaikannya selepas ini.
58. Baik. Sembelihan dalam Islam hanya boleh dimakan jika lehernya dipotong sehingga putus corong pernafasan udara (windpipe/trachea), salur makanan (esophagus) dan juga pembuluh darah (vein and artery)- dan sembelihan itu haram dimakan jika syarat ini tak dipenuhi.
59. Pertama, melalui cara ini, kita dapat memastikan bahawa darah daripada seluruh tubuh badan binatang sembelihan dapat dikeluarkan.
60. Kajian saintifik telah membuktikan tentang bagaimana daging daripada binatang yang disembelih melalui cara begini lebih segar dan tahan lama.
61. Malah, fakta saintifik cukup jelas dalam menerangkan tentang bahaya darah sebagai medium pembiakan terbaik untuk microorganisma dan kuman.
62. Maka, langkah membuang darah sebanyak mungkin daripada binatang korban memastikan dagingnya lebih selamat untuk dimakan oleh manusia.
63. Jika anda lihat gambar di atas, hanya bahagian bawah leher yang dipotong, tetapi saraf tunjang (spinal cord) tidak sama sekali dirosakkan.
64. Dengan cara ini, pertama, darah yang dipam oleh jantung tidak lagi sampai kepada saraf otak di kepala sembelihan, kerana saluran darah telah diputuskan.
65. Maka, secara mudahnya, sembelihan tidak mengalami rasa sakit!
66. Bagaimana pula dengan saraf tunjang? Ia tidak dirosakkan kerana bila ia masih berfungsi, ia akan memastikan bahawa jantung sembelihan masih boleh berfungsi seperti biasa dengan mengepam darah keluar yakni ke arah leher sembelihan untuk menampung kekurangan darah di bahagian itu.
67. Namun, darah itu hanya akan terus keluar dan ini berita yang baik kerana memang tujuan sembelihan adalah untuk membuang sebanyak mungkin darah yang ada.
68. Begitu juga dengan persoalan sembelihan yang menggeletar atau menggelumpur seolah-olah menanggung kesakitan.
69. Sebenarnya ia merupakan tindak balas biasa pada otot sembelihan kerana kurangnya darah di bahagian kakinya. Malah pergerakan ini sebenarnya membantu menyalurkan darah keluar daripada badan sembelihan. Ia tak semestinya petanda bahawa sembelihan mengalami kesakitan!
70. Dalam satu kajian saintifik yang dijalankan oleh Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya Dr Hazim di School of Veterinary Medicine, Hannover University di negara Jerman, mereka telah membuat penemuan yang cukup mengujakan.
71. Dengan menggunakan alat dan mesin seperti electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG), mereka meneliti tindak balas dan aktiviti otak dan jantung ketika biri-biri dan lembu disembelih.
72. Kajian ini membandingkan reaksi kesakitan (pain) yang dialami oleh sembelihan antara dua kaedah, yakni kaedah Islamik melalui penyembelihan terus dan kaedah captive bolt stunning (CBS) yang diamalkan di negara barat.
73. Kaedah captive bolt stunning dilakukan dengan menembak di bahagian kepala sembelihan untuk menjadikannya tidak sedar (unconscious) sebelum disembelih.
74. Dengan menggunakan EEG dan ECG tadi, terbukti bahawa kaedah Islamik ternyata lebih baik berbanding CBS.
75. Dalam kajian yang dilakukan terhadap biri-biri, tidak ada tanda-tanda reaksi pada mesin yang digunakan apabila binatang itu disembelih. Selepas lebih kurang 3-4 saat, mesin menunjukkan bahawa haiwan itu sudah tidak sedar lagi atau unconscious!
76. Namun, kaedah CBS bukan sahaja menunjukkan sebaliknya (ada reaksi gelombang tertentu sewaktu sembelihan ditembak) malah mengambil masa yang lebih lama berbanding kaedah Islamik sebelum sembelihan tadi tak sedarkan diri.
77. Lebih menarik, dalam CBS, darah yang keluar tidak banyak selepas sembelihan. Ini kerana sembelihan telah pun mati ketika disembelih (darah tak dapat dipam keluar sepenuhnya).
78. Maka, dijangka lebih kurang 45% darah akan membeku dan masih terdapat di dalam badan sembelihan tadi, menjadikannya lebih berisiko mengakibatkan penyakit kepada manusia dan tidak tahan lama!
79. Malah, jika anda masih ingat, dalam kaedah Islam, berlaku perkara sebaliknya. Saraf tunjang yang tak dirosakkan memastikan tak berlakunya cardiac arrest, lantas memastikan jantung masih boleh berfungsi mengepam darah keluar alhamdulillah.
80. Demikianlah hebatnya syariat Islam kerana ia adalah perintah dan panduan yang diajar oleh Allah SWT sebaik-baik Pencipta untuk manfaat kita umat manusia melalui ajaran Nabi SAW yang amat kita cintai.
81. Moga usaha kerdil saya berkongsi tentang perkara ini menambahkan lagi iman kita kepada Allah SWT insya Allah.
82. Sebagai penutup izinkan saya kongsikan satu ayat Al-Quran yang cukup hebat dan powerful mesejnya apabila Allah SWT menyentuh soal penyembelihan ini. Firman Allah SWT:
"Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan kamu......"
(Surah Al-Hajj, ayat 37)
83. Sekian sahaja, wallahuaklam, wassalamualaikum wbt.
P/S: Artikel ini adalah sebahagian daripada Projek Menjawab Salah Tanggapan Terhadap Islam yang sedang saya usahakan. Insya Allah jika tiada aral melintang dengan izin Allahu ta'ala, saya akan lancarkan dan umumkan tentang projek ini pada bulan Ramadhan atau sebagai hadiah Aidilfitri tahun ini. Insya Allah, mohon doakan. Jazakumullahu khair ;-)
0 comments:
Post a Comment