Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Saya teringat pada satu ceramah oleh Allahu yarham Sheikh Ahmad Deedat, seorang tokoh dakwah Islam yang tak asing lagi. Beliau meninggal pada tahun 2005. Moga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman insya Allah. Ameen.
2. Beliau menceritakan tentang sebuah poster atau iklan mempromosikan kereta Mercedes (dalam surat khabar yang beliau baca kalau tak silap saya).
3. Dalam iklan itu, terdapat gambar seorang perempuan seksi (mungkin tukang promosi) bersama-sama kereta Mercedes yang ingin diiklankan. Yang menariknya, tulisan pada iklan itu berbunyi "Test drive her now!"
4. Her? Ya, nama Mercedes diambil sempena dengan nama anak perempuan tokoh automotif terkenal Karl Benz- sebab itu nama kereta itu ialah Mercedez-Benz.
5. Namun, her dalam iklan itu seolah-olah turut 'mempromosikan' wanita seksi yang berada di dalamnya. Pandu uji dia (wanita) itu sekarang? Apakah maksudnya?
6. Astaghfirullah, beginilah besarnya fitnah yang melanda umat manusia sekarang.
7. Wanita dijadikan objek seks dan sesetengah yang berakal pendek dan cetek menganggap itu sebagai satu tanda penghargaan buat wanita. Memalukan!
8. Apabila Allah menceritakan kisah Nabi Adam AS diperdaya syaitan di syurga, bukanlah buah khuldi atau pokoknya yang menjadi isu.
9. Isunya ialah syaitan mahu Adam AS dan Hawa dicabut pakaiannya serta melanggar perintah Allah SWT. Buah khuldi yang dimakan itu adalah sekadar sebab sahaja.
10. Cuba kita kaitkan dengan zaman moden sekarang.
11. Industri pornografi telah dirakyatkan.
12. Kalau kisah dongeng orang kita merakamkan bagaimana si Tanggang disumpah menjadi batu, wanita-wanita zaman sekarang yang 'tak cukup kain' pula telah disumpah menjadi kulit muka depan majalah, poster, tayangan media elektronik, papan-papan tanda dan billboards serta tak lupa menjadi wallpaper yang menghiasi banyak pusat membeli belah.
13. Ini pun hanyalah asbab (sebab). Bukanlah tujuan sebenar kejahatan syaitan.
14. Tujuan sebenar syaitan ialah mengajak kita ingkar kepada Allah SWT dengan melazimi dan membiasakan amalan zina.
15. Dan saya bercakap tentang industri pornografi yang telah dirakyatkan. Maksudnya apa? Maksudnya rakyat, dari apa jua latar belakang sosial dan ekonomi, kini terlibat dalam industri ini.
16. Mana taknya, siapa yang boleh lari daripada majalah dan surat khabar? Siapa boleh lari daripada media elektronik? Dan lebih menyedihkan, di kampung-kampung yang tiada komputer dan internet pun, masih ada pameran percuma mencuci mata, kerana anak dara sekarang sudah ramai yang ambil mudah soal menjaga aurat. Sumbangan besar buat industri pornografi.
17. Penyudahnya, industri pornografi kini dirakyatkan. Lebih banyak jalan baru yang diturap menuju destinasi yang dinamakan zina- begitu liciknya syaitan.
18. Keadaan diburukkan lagi dengan sikap tak matang dan tak bertanggungjawab pihak yang dirosakkan oleh kehendak politik, apabila berita-berita pornografi dijadikan bahan bacaan utama rakyat tempatan.
19. Industri pornografi dirakyatkan lagi.
20. Tidak lupa pula penyebaran video-video lucah serta topik-topik berkaitan yang mewarnai isu politik tanah air. Ada juga bentuk senaman yang ada lenggok memalukan. Saya malu. Malu sebagai orang Melayu.
21. Industri pornografi dirakyatkan lagi.
22. Dalam pencarian ringkas yang saya lakukan, sebenarnya pornografi sebagai satu industri pernah menjadi satu industri komersial yang besar yang mendatangkan pulangan tahunan berjumlah sehingga berbillion dollar USA sejak awal kelahiran era millennium.
23. Namun sejak akhir-akhir ini, keuntungan tahunan itu berkurangan.
24. Adakah ini berita baik?
25. Tidak buat golongan kapitalis pornografi. Dan tidak juga buat kita umat Islam yang percayakan Tuhan.
26. Salah satu faktor kekurangan untung itu adalah kerana wujudnya sesetengah golongan yang mempelopori industri yang sama tetapi mereka merupakan lanun cetak rompak.
27. Maka walaupun mungkin syarikat pengeluar video pornografi serta pengendali laman web berkaitan mengalami kekurangan pengunjung, hakikatnya, penyertaan masyarakat dalam industri ini semakin bertambah kerana versi cetak rompak jauh lebih murah dan mudah didapati.
28. Untung sebenar ialah pada syaitan dan iblis laknatullah yang mahukan kacau bilau dalam kalangan masyarakat.
29. Bukankah Allah SWT melarang kita mendekati zina? Industri pornografi yang kini dirakyatkan, semakin mendekatkan kita pada zina- na'uzubillahi minzalik.
30. Wahai wanita yang tidak mahu menjaga aurat kalian, anda mempunyai saham dalam usaha merakyatkan industri pornografi.
31. Anda memudahkan orang awam melempiaskan nafsu jahatnya dengan melihat kepada anda. Anda player yang amat penting dalam industri ini. Mungkinkah rakyat perlu 'bersyukur' atas sumbangan anda dalam industri ini?
32. Wahai orang lelaki, jangan jadi orang bebal. Kita pun sama juga.
33. Betapa ramai yang kini amat suka menunjuk-nunjuk susuk badan yang perkasa dan menayangkan gambar diri tanpa berbaju.
34. Lebih memalukan, ada juga nak tunjuk kelelakian, tetapi memakai rantai seperti perempuan. Kemudian ditayang-tayang.
35. Di mana agamamu? Islam jelas dan tegas melarang orang lelaki menyerupai kaum wanita dengan memakai perhiasan sebegitu, apatah lagi jika orang lelaki mahu memakai pakaian sutera asli dan perhiasan emas.
36. Wahai wanita, itulah antara kelebihanmu. Dihalalkan untukmu pakaian daripada sutera serta perhiasan daripada emas, malah kedua-duanya adalah kesukaanmu. Tetapi orang lelaki pula diharamkan daripada kedua-duanya.
37. Adakah masih mahu merungut seolah-olah Islam sifatnya sexist dan lebih mengutamakan lelaki? Sudahlah perempuan, berlagak pula kamu mahu melawan Tuhan Maha Kuasa dengan perjuangan revolusi wanitamu!
38. Sebagai penutup, saya ingin menyebut sekali lagi bahawa perjuangan kita bukanlah antara golongan Hawa menentang golongan Adam ataupun sebaliknya.
39. Namun perjuangan kita adalah perjuangan antara Muslim beriman dan Muslimah beriman menentang lelaki jahat dan wanita yang ingkar!
40. Bersatulah atas nama haq dan keadilan, bukan atas nama gender dan seks. Orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan, akan sentiasa saling membantu.
"Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf (baik), dan mencegah dari yang mungkar...."
(Surah At-Taubah, ayat 71)
41. Saya lontarkan persoalan di atas bukanlah untuk mengkusutkan keadaan, tetapi mahu kita sama-sama mengambil pengajaran dan membentuk kesedaran.
42. Kadang-kadang persoalan yang timbul tak semestinya dilayan dengan mencari jawapan, kerana pada banyak persoalan, cara penyelesaian yang terbaik adalah dengan mencari Tuhan!
43. Wallahuaklam. Moga Allah SWT melindungi kita semua dan menguatkan iman di dada ameen ameen ameen..
0 comments:
Post a Comment