RSS

Friday, May 24, 2013

Saya Bukan Taliban


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Terlalu sikit yang saya tahu tentang Rasulullah SAW.

2. Namun antara peribadi paling mulia baginda SAW ialah sifat sabar baginda yang cukup tinggi menggunung.

3. Banyak kali dalam hidup ini darah meruap-ruap naik marah (dalam hati). Kata orang, jiwa kacau!

4. Marah pada orang dan pada diri sendiri. 

5. Biasalah, bila kita yang kerdil ini berusaha memperbaik diri, kadang-kadang kita beremosi pula dengan orang yang pada mata kasar kita tak menunjukkan usaha yang sama.

6. Contohnya, bila kita lihat orang tak solat, sedangkan kita solat, mahu je kita maki hamun dia dalam hati.

7. Namun alangkah peliknya.

8. Jika kita solat, bukankah hati kita bersih?

9. Jika hati bersih, tak mahukah kita mendoakan orang lain? Kenapa dimaki?

10. Susah, sangat susah. Selalunya emosi mendahului akal rasional.

11. Antara senjata yang tinggal akhirnya ialah berselawat ke atas Nabi SAW.


12. Subhanallah, dalam banyak masa, ingatan pada Nabi SAW yang membantu saya menahan sabar.

13. Bukan mudah. Sama sekali tidak. Namun kesabaran itu memberikan ketenangan.

14. Saya amat percaya bahawa tatkala kita melihat kelemahan dan kesilapan orang lain di depan mata kita, PASTI ada sesuatu yang tak kena pada diri kita.

15. Muhasabahlah balik. Pasti ada kesalahan yang kita sendiri lakukan.

16. Beristighfarlah, mohon ampun daripada Allah dan minta pertolongan daripada-Nya.

17. Namun kesalahan orang jika boleh ditegur, tegurlah. Pastikan berlaku baik dan berhikmahlah. Sebaik-baiknya jangan sampai lukakan hati dia.

18. Saya nak complain sikit sebenarnya ni.

19. Selalu saya dengar, orang kata kalau nak baik tak semestinya pakai serban.

20. Tak semestinya pakai purdah.

21. Tak semestinya tutup aurat.

22. Tak semestinya solat.

23. Janji hati bersih? Janji orang itu baik?

24. Pelik benar. Bukankah keingkaran pada Allah SWT (tak solat, tak tutup aurat) itu sudah tidak baik?

25. Yang agak mengusik hati saya adalah apabila seolah-olah orang kata nak jadi baik tak payah pakai jubah, tak payah pakai serban.

26. Kemudian ditambah pula dengan perencah yang lebih memedaskan.

27. Contohnya, serban itu pakaian orang Arab. Sedangkan Abu Jahal (yang kafir) itu pun memakai pakaian orang Arab. Serbanlah, jubahlah.

28. Allahu Allah.....

29. Saya berlapang dada dalam hal yang membicarakan sunnah Nabi SAW yang terbahagi pula kepada kategori yang tertentu.

30. Saya faham benar bahawa bukanlah kewajipan mungkin, untuk mencontohi cara Nabi SAW berpakaian dari sudut budaya orang Arab.

31. Namun saya nak mintak kita ambil kira dua perkara ni.

32. Pertama, tiada manusia yang bebas secara mutlak dalam memilih.

33. Yakni, kalau kita tak pakai ikut budaya orang Arab, maka kita akan ikut budaya orang atau bangsa lain.

34. Itu adalah satu kelebihan Islam sebenarnya, kerana Islam meraikan sifat dan identiti budaya yang berbeza, selagi mana berpandukan syariat.

35. Contohnya, saya orang Melayu. Dan saya suka pakai baju Melayu.


36. Tapi jangan lupa, kita selalu juga berbangga dan nampak segak memakai kot dan tali leher.

37. Betul tak orang lelaki? Orang perempuan pun kagum dengan melihat segaknya cara berpakaian moden itu.

38. Tapi cara berpakaian itu bukan makhluk asing yang cipta.

39. Ia budaya orang Barat. 

40. Salahkah? Haramkah?

41. Bukan, bukan itu yang saya maksudkan.

42. Cuma nak bagi kita tersentak sikit. Yang kita rasa ia fesyen moden itu bukan secara mutlaknya pilihan kita sendiri. Persepsi itu terbentuk melalui persekitaran kita.

43. Pada zaman sekarang masyarakat global secara umumnya melihat bahawa orang Barat paling maju dan berjaya dalam pembangunannya.

44. Sebab itu kita bangga berpakaian seperti mereka.

45. Malah, pengaruh media dan iklan sangat besar peranannya. Mempromosikan kepada kita dan membentuk fahaman kita apa definisi cantik, apa definisi segak. Zaman dulu, tak perlu pun kaum Hawa berlipstik  untuk nampak cantik, pernah terfikir tak?

46. Tengok contoh lain. Hero terkenal seperti James Bond beraksi dengan segak bergaya dalam kotnya.


47. Semua ini membentuk mentaliti kita. Sedar tak kita?

48. Sekali lagi, bukan nak cakap soal haram di sini. Nak cakap soal persepsi kita.

49. Sewaktu zaman kegemilangan Islam dahulu, semua orang mahu berpakaian seperti orang Islam. Kerana keagungan dan kebanggaan itu terletak pada bangsa yang berjaya.

50. Itu mesej saya. Itu perkara pertama.

51. Kedua, menjawab soal berpakaian seperti Abu Jahal tadi.

52. Ada benarnya kenyataan itu.

53. Tapi bukankah ada orang Melayu yang berbaju Melayu tetapi juga membuat dosa dan salahnya?

54. Soalnya bukan pakaiannya.

55. Soalnya pada niat kita yang memakainya.

56. Pada saya, pakaian adalah salah satu tanda cinta kita pada Nabi SAW, biarpun ramai orang suka ulang bahawa ia bukan satu keperluan. Benar, tapi jangan sampai memandang serong.

57. Lihatlah bagaimana orang yang sayang pada artis idolanya, sehingga dalam hal berpakaian pun mahu diikutinya. 

58. Bahkan kartun seperti anime pun orang sanggup ikut berpakaian sepertinya, walaupun ia satu karakter fantasi. Rambut pun boleh digayakan seperti kartun itu.

59. Nak dengar cerita sahabat Nabi tak?

60. Pernah dengar Uwais Al-Qarni?

61. Beliau mungkin tak dikenali di dunia, tetapi terkenal dalam kalangan penduduk langit.

62. Dikisahkan bahawa ketika Perang Uhud, baginda Nabi SAW telah patah gigi baginda.

63. Uwais Al-Qarni, apabila mendengar tentang berita itu, MEMATAHKAN GIGI NYA pula (dengan sengaja)!

64. Subhanallah, beginilah kecintaan sahabat Nabi SAW, sehinggakan perkara demikian pun nak diikut.

65. Dia mahu rasa bagaimana sakitnya rasa tercabut gigi, kerana sayangnya dia mahu ikut Nabi SAW, padahal bukanlah itu arahan Nabi SAW. Lihatlah sifat sahabat ini.

66. Justeru, persoalannya sekali lagi ialah tanda cinta kita pada Rasulullah SAW.

67. Mekah itu bumi yang mulia. Bumi tempat Nabi SAW menyampaikan risalah Islam selama 13 tahun. Adakah kerana Abu Jahal juga tinggal di situ menjadikan Mekah hina?

68. Sebagai penutup, suka saya ulas sekali lagi.

69. Benarlah bukan pakaian yang menjamin kebaikan kita. Namun, dalam kita mengajak orang melakukan kebaikan, jagalah tutur kata dan cara kita menyampaikan mesej.

70. Kita tak mahu beratkan orang dengan perkara-perkara sunnah seperti berjubah dan berpakaian mungkin. Mulia niat sebegitu.

71. Namun, jangan lupa untuk menggalakkannya juga.

72. Kerana dalam perkara yang baik, walaupun ia tak wajib, maka janganlah disebut seolah-olah ia haram pula.

73. Sekian sahaja. Mohon maaf atas kelemahan.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Ada masa saya berserban,
Tapi saya bukan Taliban.

Salam sejahtera untuk semua.. Peace.. (^_^)V



Read more "Saya Bukan Taliban"

Friday, May 17, 2013

Jangan Gatal, Nanti Kudung


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Huraian 1

Kaum lelaki yang gatal, mencuci mata,
Taqwanya ditanggal, hatinya membuta.

1. Taqwa merupakan pakaian yang terbaik untuk anak cucu Adam seperti kita (Surah Al-A'raf, ayat 26). Janganlah tanggalkannya. Takutlah Allah, Tuhan yang Maha Melihat, yang memberi kita deria melihat.

2. Jika kita ingin menunggu semua wanita berpakaian dengan sopan dan memelihara auratnya, maka tak akan tercapai saya rasa.

3. Semakin kita melihat dan 'menghargai' keseksian dengan melontarkan pandangan, selagi itu mereka rasa 'dihargai' dan terus menonjol-nonjol kecantikannya.

4. Jangan terlalu cepat menuding jari, menyalahkan wanita yang tak sopan dalam berpakaian. Utamakan perkara yang kita boleh buat dahulu- perubahan bermula dengan diri kita (Surah Ar-Ra'd, ayat 11).

5. Jagalah pandangan wahai orang lelaki.

6. Sesungguhnya hati itu istana. Mata menjadi salah satu pintunya. Jangan biarkan pintu itu dibuka suka-suka, kerana tatkala istana itu diceroboh dan dijajah, nescaya binasalah badan.

Huraian 2

Kaum wanita bertudung, untuk menggoda,
Ibarat orang yang kudung, kakinya tiada.

7. Menutup aurat itu tidak cukup. Membalut aurat pun bukan keperluan. Memelihara aurat lah yang wajib.

8. Kerana sekadar membalut dan menutup, belum tentu lagi memeliharanya daripada fitnah mata yang meliar mencari 'mangsa' yang 'percuma'.

9. Ia juga berkaitan dengan hati. Baguslah bertudung. Ia tanda iman.

10. Namun bertudung untuk menggoda, maka itu mencacatkan iman.

11. Semua orang tidak mahu kudung, tetapi sanggup membiarkan iman tercalar. Bukankah kecacatan iman itu lebih besar celanya?

12. Ada juga yang berhujah, biarlah tak bertudung, janji hati baik.

13. Wahai orang yang hati-hatinya baik, jika perintah Allah dilanggar, maka ia mendatangkan penyakit pada hatimu. 

14. Mana mungkin hati mu baik dalam meninggalkan ketaatan kepada Dia yang memiliki hatimu?

Kesimpulan

15. Saya faham benar bahawa perihal aurat adalah perihal simptom, bukanlah PUNCA penyakitnya.

16. Namun jika tak diuruskan simptomnya, maka semakin parah penyakitnya.

17. Soal yang terbesar dalam hal ini ialah hati. Peliharalah hati, ia adalah istana setiap insan.

18. Hati yang bersih atau kotor adalah punca kepada baik dan buruk perilaku seseorang.

19. Jagalah hati, sebelum ia mati. 

20. Jika ditanggal darinya mahkota, maka ia menjadi buta.

21. Jika hati sudah buta, maka apa lagi nak dikata?

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
Read more "Jangan Gatal, Nanti Kudung"

Tuesday, May 7, 2013

Insya Allah dan Allahu a' lam


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"Fitnah itu tidur. CELAKAlah bagi siapa yang mengejutkannya."
-Nabi Muhammad SAW

1. Ada yang terlalu yakin sebelum pilihan raya, sehingga berjanji untuk potong telinga dan meletakkan peratus setinggi 101% anggaran untuk menang.

2. Kekalahan yang dialami akhirnya menjadi bukti bahawa bukan keyakinan semata-mata yang menjadi penentu kejayaan dalam pilihan raya.

3. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk beriman dengan kehendak Allah, bukan setakat menyebut insya Allah. Menang atau kalah, insya Allah tetap diulang-ulang di hati.

4. Kalimah insya Allah, yang umumnya membawa maksud, moga-moga dengan kehendak Allah (tercapai apa yang kita kehendaki) seharusnya dihayati juga dalam jangka masa yang panjang.

5. Bersama-sama keyakinan ini, kita sertakan kefahaman bahawa Allah SWT lebih mengetahui akan segala-galanya. Allahu a'lam. Sesungguhnya Allah SWT lebih tahu.

6. Jika mungkin kali ini tak menang, suatu hari pasti menang insya Allah. Jika tak di dunia, insya Allah di akhirat. Bila tu? Allahu a'lam.

7. Jangan pernah berputus asa dengan Allah SWT. Kufur nanti. Wal 'iyya zu billah.

8. Sempena pilihan raya yang baru tamat tempoh hari, saya ingin ambik kesempatan ini untuk mohon ampun dan maaf banyak-banyak daripada semua orang terutamanya sahabat handai yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

9. Juga, saya terlebih lagi ingin mohon maaf daripada sahabat-sahabat yang cukup dekat dengan saya dalam banyak hal, yakni dari NGO bernama ISMA.

10. Sesungguhnya saya amat yakin, banyak tutur bicara saya yang mungkin telah melukakan hati kalian. Saya mohon maaf.

11. Sesungguhnya meminta maaf ini pendirian saya. Mungkin anda yang dilukai, merasa saya tak layak diberi kemaafan. Mungkin juga anda yang sehaluan dengan saya, menganggap bahawa mereka yang dilukai inipun tak layak untuk saya minta maaf daripada mereka. Mungkin nampak apologetic.

12. Rasulullah SAW telah banyak dikasari dan dizalimi. Malah jauh lebih teruk dan dahsyat berbanding kita. Tetapi peristiwa pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah), menjadi saksi akan satu hikmah kepada sunnah besar baginda Nabi SAW, yakni memaafkan.

13. Saya pohon kekuatan daripada Allah SWT, agar orang-orang yang melukai hati saya, saya maafkan. Kekuatan itu daripada Allah. Kelemahan itu milik saya.

14. Bermula di sini, saya ingin menyeru anak-anak muda bersama-sama berganding bahu lebih banyak bekerja dan berusaha. Masing-masing harus jujur dan ikhlas dalam perjuangan masing-masing.

15. Perjuangan saya secara peribadi adalah bersama-sama Pakatan Rakyat terutamanya Parti PAS dan PKR, dan saya melihat Parti DAP sebagai satu aset penting dalam perikatan politik ini.

16. Kita perlukan orang-orang kuat untuk menjawab pertanyaan yang relevan yang dikeluarkan oleh mereka yang tak sehaluan dengan kita.

17. Sebahagian besar yang lain pula, kita tumpukan ke arah usaha merealisasikan janji-janji dan idealisme kita dalam perjuangan ini.

18. Sama ada sedar ataupun tidak, pilihan raya kali ini banyak mengambil perhatian anak-anak muda dan menyedarkan kita akan kepentingan politik. Insya Allah, kira-kira 5 tahun dari sekarang, persaingan di pentas pilihan raya akan menjadi jauh lebih baik.

19. Akhir kata, saya mohon kita fikir sejenak.

20. Kita melihat banyak kezaliman berlaku di sekeliling kita. 

21. Kezaliman ini boleh datang dalam banyak hal dan bentuk.

22. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk muhasabah, adakah mungkin, kezaliman ini semua adalah hasil daripada kezaliman diri kita sendiri?

23. Saya khuatir jika umat Islam dizalimi.

24. Namun, saya lebih risau jika umat Islam yang terlebih dahulu menzalimi.

25. Takutlah pada Allah. Bukan pada musuh. Moga Allah satukan hati-hati kita.

26. Saya tutup celoteh ini dengan bait-bait bicara berikut.

27. Ikutilah teladan Rasulullah yang penyabar,
      Sediakanlah juga yang garang seperti Umar.


Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt ;-)

Read more "Insya Allah dan Allahu a' lam"

Sunday, May 5, 2013

Surat Terbuka Untuk Rakyat Malaysia


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun ini (5 Mei 2013), saya ingin menterjemah satu bingkisan surat peribadi yang ditulis Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli kepada seluruh rakyat Malaysia yang bertajuk 'An Open Letter to Malaysians' yang boleh dibaca di sini.

2. Selain terjemahan untuk pembacaan umum, saya tulis juga satu komentari ringkas serta satu bentuk refleksi untuk diri sendiri sepanjang mengenali beliau.

3. Namun, ruang yang terhad ini tak mungkin boleh menceritakan segala-galanya. Malah, saya mohon maaf awal-awal jika mesej yang dimaksudkan beliau tak berjaya disampaikan dengan baik oleh saya. Selamat membaca.


3 Mei 2013
Wahai sekalian rakyat Malaysia,

Saya dilahirkan di dalam sebuah rumah papan yang kecil dikelilingi pokok-pokok getah pada kira-kira 36 tahun yang lepas. Antara yang saya masih ingat ialah perigi air kerana pada masa itu rumah kami belum ada bekalan air paip, sehinggalah lama selepas itu.

Seperti ramai budak-budak kampung yang lain, saya dibesarkan dalam keadaan yang serba kekurangan. Persekitaranlah yang membentuk pemikiran (pandangan alam) saya.

Beberapa orang sepupu yang lebih tua daripada saya menjadi guru, maka saya pula mahu pergi lebih jauh daripada mereka. Jadi, sejak kecil saya telah berazam untuk menjadi seorang pensharah di universiti (yang pada saya merupakan satu kerjaya yang paling menarik ketika itu, ketika berusia 8 tahun).

Walaupun hidup ketika itu susah dan kami sedar bahawa tidak banyak yang kami ada untuk bergerak, saya membesar dengan rasa penuh bangga. Kedua ibu bapa saya mengajar kami untuk tak bersikap apologetik dalam apa jua perkara. Sejak usia muda lagi, saya telah belajar bahawa musuh kita (yang tak akan kekal) ialah sikap terlalu kasihankan diri sendiri (lembik).

Jadi, saya telah membesar dalam persekitaran keluarga yang penuh dengan semangat dan sikap positif. Dari itu, mencari kehidupan yang lebih baik dan mulia telah menjadi satu matlamat yang saya kejar dan usahakan dengan bersungguh-sungguh sejak muda lagi.

Lagipun, bukankah kita semua menjadi tuan (penentu) kepada nasib dan kejayaan kita?

Dengan kepercayaan sebeginilah saya cukup yakin bahawa, jika Malaysia ingin maju, maka kita semua mesti merawat luka-luka hasil tangan diri sendiri yang terdiri daripada kurang keyakinan, sikap mudah merasa cukup dan juga kegagalan dalam bab pengurusan.

Setelah 4 dekad berlalu dengan polisi-polisi teruk yang hanya memberi laba kepada golongan elit dan kroni yang bersekongkol sesama mereka dalam kalangan masyarakat, kesan buruknya yang melebar luas terhadap kekuatan moral dan keyakinan diri masyarakat kini kelihatan jelas sama sekali.

Apa yang benar-benar diperlukan untuk menjadikan negara kita hebat, yakni keyakinan yang kuat dalam diri kita, kini semakin menghilang, hari demi hari.

Golongan elit UMNO (seperti yang memang kita sangkakan) terus menerus menakut-nakutkan dan mengasak-asak kelompok yang kononnya mereka lindungi, iaitulah orang-orang Melayu.

Saban hari, orang Melayu disuap dengan pelbagai tipu daya yang diadun dengan baik supaya mereka percaya bahawa mereka tak akan boleh hidup tanpa perlindungan dan 'tongkat' daripada pihak kerajaan.

Kelompok orang Melayu yang bermutu telah diganti secara sistematik dengan yang kurang berwibawa dalam setiap aspek apabila pihak kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO telah mengabaikan (kaedah) meritokrasi (mencari yang terbaik) dan menggantikannya dengan kaedah lain (mencari yang biasa-biasa saja) (baik, ini memang tak tahu nak terjemah macam mana hehe)- yakni persaingan bukan lagi berlaku atas dasar kemahiran, kelayakan dan kewibawaan tetapi bergantung kepada menteri-menteri dari Parti BN dan UMNO mana yang kamu kenali.

Natijah yang tak diingini daripada sikap pentingkan diri dan pandangan sempit sebegini pastinya sangat merugikan dalam usaha kita membina negara bangsa. Budaya tidak sihat yang diamalkan pihak kerajaan BN pimpinan UMNO ini akhirnya membuka ruang kepada kegagalan dalam pengendalian kekayaan negara tanpa berkesudahan.

Buat sekian lama, saya percaya bahawa dengan mengubah kepada polisi yang berasaskan keperluan berbanding polisi berasaskan perkauman bukan sahaja satu perkara yang wajar dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua, tetapi lebih penting lagi adalah bahawa polisi sebegini diperlukan untuk mengembalikan keyakinan dan kekuatan dalam diri setiap rakyat Malaysia supaya kita boleh terus bergerak ke hadapan dengan penuh yakin. 

Adalah tak adil sama sekali untuk membebankan generasi muda negara dengan perkara yang lalu.

Mereka mempunyai setiap hak untuk membesar dengan mempercayai bahawa mereka boleh mencapai potensi terbaik dalam diri mereka di Malaysia jika benar mereka jujur, rajin dan pandai. Mereka memerlukan masyarakat yang sedia baik, tanpa perlu adanya kepahitan yang timbul daripada rasa saling tak percaya dan sentimen perkauman. Mereka perlu yakin bahawa mereka mempunyai sebuah kerajaan yang akan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan mana-mana kelompok dalam masyarakat, tidak kiralah apa latar belakang dan ciri-ciri kelompok itu. 

Orang-orang muda di negara kita perlu diberi ruang untuk membesar dalam persekitaran yang positif yang mampu merancakkan tahap keyakinan yang tinggi dalam diri kita semua dan kemampuan kita, supaya dengan itu barulah kita boleh meninggalkan igauan masa lepas yang buat sekian lama telah mencantas potensi negara kita Malaysia.

Pastinya banyak lagi yang perlu kita lakukan jika ini yang ingin kita capai. Kita mesti perbaiki sekolah-sekolah kita kerana memperbaikinya bermakna kita memperbaik masyarakat kita. Kita perlu pastikan yang terbaik yang lahir dalam kalangan masyarakat mendapat peluang sebaiknya untuk mencapai puncak kejayaan, tanpa melupakan bantuan dan sokongan kepada yang kurang bernasib baik agar tiada seorang pun yang terabai dan ketinggalan.

Rakyat Malaysia keseluruhannya mesti melihat antara satu sama lain dengan perspektif yang baru. Daripada melihat kepada perbezaan, adalah lebih baik kita raikan persamaan yang selama ini menyatukan kita semua- seperti mana dalam soal makanan (tempatan), kita melihat bahawa perkara ini telah berjaya menyatukan kita dengan jayanya, kalaulah kita sedar akan kemampuan kita merealisasikan hal ini.

Ramai juga dalam kalangan sahabat handai saya sendiri yang menganggap bahawa saya cuma berangan-angan kosong. Kata mereka, tidak jauh beza antara idealisme dan kebodohan. Namun, setiap kali mereka merendah-rendahkan harapan saya untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua, saya akan sentiasa teringat pada bait-bait lirik yang cukup cantik daripada sebuah lagu yang sudah agak lama dulu:

“You are still so young to travel so far, Old enough to know who you are, Wise enough to carry the scar, Without any blame..”

"Kamu masih terlalu muda untuk berkelana jauh, sudah lanjut usia untuk tahu siapa dirimu, sudah matang bijaksana untuk membawa luka itu, tanpa rasa bersalah..."

Malaysia masih muda. Tapi sudah terlalu banyak yang dilaluinya dan pengalaman inilah yang mempercepatkan kematangannya. Mungkin ia pernah melakukan kesilapan pada suatu ketika, namun masa depannya sangat cerah dan terang benderang. Ayuhlah kita semua pandang ke hadapan melihat apa yang akan datang dan tinggalkanlah masa lepas tanpa mengungkit kesalahan lampau.

Bila difikirkan balik, saya sangat bersyukur kerana telah berjaya membuang sifat lemah dalam diri saya sejak muda lagi. Saya berjaya lakukannya, kerana saya dianugerahkan sistem sokongan yang baik serta pendidikan yang baik jua.

Masa depan masyarakat kita bergantung kepada kelas-kelas pengajaran dan kepada anak-anak muda negara. Saya berasa gembira kerana walaupun mungkin saya kini mengejar kerjaya professional yang berbeza, keinginan untuk mendidik dan pada ilmu itu tak pernah terpadam. Jauh di dalam diri saya, saya sentiasa menganggap diri saya sendiri sebagai seorang pelajar dan juga seorang guru dan inilah yang membolehkan saya melalui satu perjalanan hidup dengan rasa rendah diri supaya dapat melihat kehidupan ini dari pelbagai perspektif yang berbeza.

Kita mesti pastikan bahawa reformasi (perubahan) dalam bidang pelajaran akan menjadi fokus penting oleh kerajaan yang akan datang agar setiap anak yang lahir layak mendapatkan peluang untuk membuang rasa lemah dan halangan pada dirinya lebih awal dalam hidup supaya mereka akan dapat menghasilkan sesuatu yang hebat kelak.

Sempena hari kita keluar mengundi hari Ahad ini, besarlah harapan saya agar seluruh rakyat Malaysia sama-sama melahirkan rasa bangga dan mengharapkan masa depan yang lebih cerah.  Zaman di mana kita direndah-rendahkan oleh kerajaan seharusnya berhenti di sini. Kitalah yang sepatutnya menentukan takdir dan masa depan negara.

Mungkin saya masih lagi begitu muda, kurang cerdik atau naif untuk mempunyai harapan terhadap hal-hal yang lebih baik untuk Malaysia. Saya bukannya mahu berlagak seolah-olah saya tahu apa yang rakyat Malaysia mahukan, cuma saya mahu menawarkan khidmat usia muda dan tenaga saya, serta kasih dan cinta yang berpanjangan untuk menjadikan Malaysia tempat tinggal yang lebih baik untuk semua orang.

Kerana kita semua bertanggungjawab terhadap generasi muda dan diri kita semua, untuk meletakkan Malaysia di tempat yang paling layak untuknya.

4. Tamat bahagian penterjemahan. Sekali lagi, maaf jika ada mesej yang lari dari maksud asalnya. Saya sudah cuba yang terbaik. Sila buat rujukan juga kepada teks asal dalam Bahasa Inggeris.

5. Komentar saya: Undilah beliau. Saya doakan beliau menjadi Menteri Pelajaran Malaysia yang baru, dengan aspirasi baru. Tak pun, Menteri Kewangan ;-)

6. Kepada beliau, saya mencadangkan hasil-hasil penulisan dan karya serta idea Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, seorang ulamak terulung nusantara dan dunia, diteliti dan dirujuk sebaiknya dalam hal reformasi pendidikan negara.

7. Sejak berada di MCKK pada tahun 2003, saya mendapat anugerah dan peluang daripada Allah SWT untuk banyak belajar daripada beliau dalam pasukan bahas Bahasa Melayu.

8. Kejayaan terbesar di bawah asuhan beliau adalah pada tahun 2007, apabila kami menjuarai pertandingan debat antara sekolah peringkat kebangsaan yang dianjurkan di UIA Gombak, setelah 4 tahun berturut-turut kecundang di peringkat akhir (2003, 2004, 2005, 2006).

9. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa-jasa beliau (yang tak terhenti hingga sekarang).

10. Realitinya, saya sambung belajar dalam ACCA (Program Professional Perakaunan) di UiTM Shah Alam sekarang pun adalah banyak bersumberkan inspirasi dan bantuan daripada diri beliau, dalam banyak aspek (Allah tahu bahawa saya bukan keseorangan dalam hal ini- beliau seorang yang pemurah alhamdulillah, tabarokallah).

11. Sesungguhnya saya dan keluarga amat bersyukur dan memanjatkan doa yang berpanjangan moga-moga beliau dan keluarga serta rakan-rakan seperjuangan akan terus berada dalam lindungan Allah SWT.


12. Selamat mengundi semua. Kita sama-sama istikharah dan doakan yang terbaik untuk terutamanya agama kita, Islam tercinta.

13. Maaf sangat-sangat atas sebarang kelemahan. Mohon cadangan dan pembetulan untuk terjemahan (jika ada). Terima kasih atas kunjungan ke blog ini. Saya akhiri dengan satu kata-kata pemanis bicara. Jika kita ingin mencontohi seseorang, jangan sekadar melihat dirinya. Malah lihatlah juga siapa yang dicontohinya.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
Read more "Surat Terbuka Untuk Rakyat Malaysia"

Tuesday, April 16, 2013

Mencari Akar (MAK)- Keluaran 1


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Sekadar nak berkongsi penulisan peribadi saya dalam risalah terbaru yang diedarkan di UiTM.

2. Saya namakannya Mencari Akar (MAK). Nak tahu kenapa, kena baca la ya?

3. Saya mula menulis risalah (untuk edaran di UiTM Shah Alam) pada bulan Ramadhan lepas yang diberi nama Buletin Ramadhan Kita (BURAK). Untuk risalah BURAK ni, boleh rujuk entri yang lepas di sini.

4. Untuk download risalah MAK keluaran sulung ni pulak, sila rujuk pautan di sini.

5. Jazakumullahu khairan kaseera. 

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S: Jika ada kesulitan untuk download, sila maklumkan terus pada saya di jako_imp[at]yahoo.com, supaya saya boleh terus emel kepada saudara/ri. ;-)
Read more "Mencari Akar (MAK)- Keluaran 1"

Thursday, April 11, 2013

Sharing Session With Tan Sri Dato' Hanafiah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Congratulations to UiTM CIMA Students Committee (UCISCO) for holding a very special event called "Sharing Session with The First Malay Chartered Accountant: Tan Sri Dato' Hanafiah Hussain" which was held at Dewan Kuliah 2 at Menara SAAS of UiTM Shah Alam after Friday prayer on the last 5th of April 2013.


2. I was sitting at the front row very near the stage that I didn't realize actually many friends from Level 14 did actually come for the session.

3. One of them who did attend the session made it known to me that he came when he talked about the fact that he sympathized with me for what happened during the session.

4. For the benefit of those who were not there, basically I asked a question to Tan Sri Dato' and he seemed to be teasing me when giving his answers (I'll explain further later on this to justify my choice of word 'tease').

5. Mind you, this is not to complain against Dato' neither am I launching a counter attack (haha) and I really plan not to be defensive here (which is not the purpose of this writing in the first place).

6. The sharing session was fantastic. It was indeed one of the best I've ever had in my life (this is truly not an exaggeration, I said exactly the same thing to Dr Rohaya, one of our Deputy Deans at the Faculty of Accountancy).

7. What is more interesting and close to heart if it's not real life experience being shared by the person himself, and especially when this is a success story?

8. Dato' Hanafiah has made it very clear to us that we Malays (and Muslims for that matter) have got brains too, that we should long ago withdraw from this mentality of feeling inferior to other people (of different races).

9. Plus, he is a classic example of a village boy, who, with strong foundation in his knowledge in religion (Islam) rose up high to be at par (if not better) than other people even from those coming from developed nations (and this was decades ago, when not as many Malays were successful yet).

10. He consistently put an emphasis on how the blessings from Allah and the elderly are of paramount importance, something which I find to be the most remarkable lesson from the event.

11. Plus, Dato' was moving around on stage as if he is 20 years old. He was very energetic, and his wit never failed to make us all laugh.

12. Not to forget, I think he strongly emphasized on the need to read a lot, and not to stop doing it because even he at 86 (this year) has been continuously living with that wonderful habit.

13. Now, here's my story. 

14. My apologies first, as I may have not put my question (during the event) in a manner that could be easily understood by audience (and Dato' of course).

15. So let me try to rephrase here.

16. Actually I began with an introduction (which was not clear I think that it was an introduction, rather than a question haha) by proposing the fact that in Islam, we are taught that Allah will make anything beneficial to this world remain for a long time (as a sign of Mercy from Him).

17. The best example would be water. Although majority (I think about 90% plus) of water on earth are not suitable for drinking, it is a Mercy of Allah that we still have enough water to drink (different issues in poor countries, whereby it's not about water, it's about distribution, not to dwell on this here though).

18. And an example of non-useful thing is like the scum in the ocean, that we have billions of them, being rapidly created, and at the same time, they disappear very quickly too, and they have no important use of course (to us).

19. And I tried to relate that with the fact that Dato' is given a long life, as a sign that the nation needs him, and Allah has granted him His Mercy and opportunity to serve the nation. Basically that was what I meant and it was meant to be an introduction (I was not asking on how to live a long life hehe).

20. In relation to that introduction, my real question was about generation gap.

21. But it was not articulated very clearly, I admit that. My apologies again (it's not Dato's fault of course).

22. Let me however reiterate here on what I really wanted to get his opinion about.

23. I mentioned about the over-reliance on internet (Sheikh Google, Wikipedia etc.) affecting our new generation nowadays (including myself) which does not only expose us to an ocean of random information and facts (which we claim to be knowledge), but it also to an extent breaks down the relationship (and therefore time spent) with the elderly like him (who is highly resourceful and rich with gems of life to share).

24. What I meant is that, as if now everything is at the tip of our finger, we do not even need our parents, or grandparents, or in extension to that, our teachers and lecturers, if not ulamak (the scholars in knowledge of Islam) to survive on earth. This is what I meant by 'generation gap'.


25. In reality we are like the leaves on trees. Because we are at a higher position, we forget that without the roots that make the trees stand, we will only be dead leaves.

26. The roots are our real identity. Our reference. Our resource of love and knowledge, because it defines us and tells us where do we come from. From a seed of plant, a tree grows. Remember that.

Even according to our Islamic tradition, we are taught that Allah will not remove knowledge on earth, except through the passing (death) of the ulamak (the scholars).

27. Let me come to the final part now. 

28. Just to share, that last time I bought a bookmark from a bookstore, written on it a wise line. It says:

"He who asks may be a fool for 5 minutes but he who doesn't is a fool forever."

29. I think the quote above only applies to us if we have questions and don't dare to ask.

30. If we do not even have a question in the first place, that's alright. I am not calling everybody a fool here. I am fool if I do that.

31. But I just want to make a point here that it's alright to be ridiculed sometimes. People may have thought that the best thing we want in life is to be praised and revered by everybody.

32. In my case, I would rather take it as a lesson in life, and a source of strength when we are being ridiculed (in my case, seemed to be ridiculed).

33. Remember how Rasulullah SAW was injured until he bled really badly? Yet he forgave them all! How forgiving he was, the best of creation.

34. After the event, I met Dato' and shook hands with him, and I did that to actually thank him.

35. It was quite a surprise however, that he actually apologized haha.

36. He apologized for pulling my legs, that's what he said, wallahi.

37. And pulling someone's leg means to tease him. And coming from him, I take it that what he meant was that he wanted me to be strong to be treated that way in the presence of public audience, because that is really one of the best ways to learn in life. So I think I have to be very thankful of him for that.

38. After all, I thought I have got that lesson and gem of life from him.

39. Life is not depending on what happens to us alone, but how do we see life, is the way it is defined, and ultimately the way it will really become.

40. I thank all of you again for your time reading this, and my apologies again for anything wrong I have done.

41. May Allah gather us in a place called Jannah, when knowledge about Him at that time, will be CERTAIN. Yes, in search of knowledge, let's look for that one!

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S: For more details about Tan Sri Dato' Hanafiah, please hit the link I made on his name above.


Read more "Sharing Session With Tan Sri Dato' Hanafiah"

Monday, April 8, 2013

Musibah Dan 17 Kebaikannya


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Artikel ini ditulis majoritinya berdasarkan ceramah oleh Sheikh Hamza Yusuf bertajuk the 17 Benefits of Tribulations yang dikarang oleh seorang 'ulamak (atau lebih tepatnya seorang 'aalim, nota: singular) yang cukup hebat, Sheikh 'Izz Ibn Abdus Salam. Rakaman mp3 yang asal boleh didengar di sini.

2. Transkrip ceramah tersebut pulak (dalam bahasa Inggeris) boleh didapati atau dibaca di sini.

3. Sesungguhnya cukup banyak sumbangan para 'alim 'ulamak kita maka moga Allah menerima usaha kecil perkongsian ini sebagai salah satu daripada yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan dan semoga diterima sebagai amal soleh oleh Allah SWT. Ameen.

4. Izinkan saya bermula.

Gambar hiasan je ni
5. Antara penerangan oleh Sheikh Hamza ialah, bahawa Nabi Muhammad SAW (walaupun bagindalah kekasih Allah yang mulia) lebih besar dan kuat ujian yang ditempuhi berbanding kita. Namun, ujian ini tak pernah mengganggu-gugat kekuatan baginda SAW.

6. Ini yang kadang-kadang kita lupa. Kita fikir, dengan semakin dekat kepada Allah SWT, semakin beriman, perbanyakkan buat baik, terus hidup kita (di dunia) jadik senang lenang?

7. Bahkan tidak. Kesenangan yang abadi itu, sahabat sekalian, hanya di syurga kelak.

8. Hakikatnya, jika kita menganggap diri kita pejuang, tapi hidup selalu senang, seperti tiada apa yang menghalang, malah jarang sekali ditimpa malang, amat risau dan khuatir kita, mungkin kita bukan pada jalan perjuangan yang sebenar.

9. Sheikh juga menyebut bahawa seseorang yang apabila ditimpa ujian, lantas dia terkesan dan jatuh semangat dan lemah, adalah tanda-tanda bahawa dia jauh daripada Allah SWT dan tanda-tanda lemahnya imannya.

10. Jelas beliau lagi, buku ini dikarang untuk memberitahu bahawa orang yang cepat terkesan (lemah) akibat ujian adalah orang yang tak faham tentang hikmah kebijaksanaan Allah SWT dalam menguji hamba-Nya, padahal orang yang benar-benar beriman dan faham, akan meraih manfaat daripada ujian yang menimpanya.

11. Bayangkan, buku ini telah lama dikarang, yakni sejak 800 tahun yang lepas, tapi sehingga kini masih diajarkan dan memberi manfaat yang besar buat umat Islam. Inilah tanda keberkatan ilmu para 'ulamak. Rugilah jika kita tak mahu mengambil kelebihan daripada permata-permata yang bersinar ini.

12. Salah satu tujuan ujian adalah untuk menyedarkan kita bahawa ada sesuatu tak kena, atau kita sesungguhnya telah melakukan dosa.

13. Sungguh Pemurah Allah SWT, jika dengan ujian yang dikenakan terhadap kita, dijadikan itu asbab untuk dosa-dosa kita diampunkan!

14. Bayangkan jika ditangguhkan pengampunan itu, atau tak terampun, bukankah pembalasan dan azab pada hari akhirat jauh lebih pedih, perit dan sakit?

15. Sheikh memberi perumpamaan seperti simptom yang dialami orang sakit.

16. Contohnya jika perut kita sakit, itu tandanya kita perlu jumpa doktor, mungkin ada sesuatu yang tak kena seperti organ dalaman kita yang tak terlihat. Bayangkan tanpa simptom ini, kita tak tahu pun yang organ kita mempunyai masalah dan itu pastinya akan mendatangkan masalah!

17. Sebab itulah penyakit seperti hypertension yakni darah tinggi sangat berbahaya kerana seseorang boleh sahaja seolah-olah rasa dia sihat dan menjalani kehidupan biasa sehari-hari seolah-olah tak ada apa-apa berlaku (kerana tiada simptom) padahal dengan darah tinggi itu, boleh jadi maut mungkin sedang bertandang!


18. Dikisahkan seorang wanita sedang berjalan-jalan, sehingga dia tersadung jatuh dan cedera kakinya, lalu dia tergelak.

19. Orang pun pelik dan bertanya, kau gila ke apa? Kenapa kau gelak?

20. Lantas dijawab, wanita itu kata dia teringat satu hadis Nabi SAW yang menyebut tentang bagaimana Allah mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya bahkan walaupun dia hanya terkena duri.

21. Wanita itu terlalu terpesona dengan keseronokan bahawa dosanya diampunkan, sehingga dia lupa kesakitan yang dia alami. Inilah kemanisan iman subhanallah!

22. Bahkan diceritakan tentang seorang sahabat Nabi yang terkena anak panah, dan diminta dicabut anak panah itu ketika dia sedang solat, kerana dia tak merasai kesakitan anak panah itu dicabut tatkala dia solat!

23. Inilah tingginya tahap keimanan yang ditunjukkan. Inilah dia yang kita semua cari-cari, keimanan yang membawa keamanan, biar apa pun melanda, baik badai mahupun ribut taufan.

24. Sheikh sambung lagi katanya, terdapat dalam satu hadis yang menyebut bahawa, Allah menguji orang yang Dia sayang kerana mahu mendengar suara sang hamba itu memanggil dan menyeru-Nya! Subhanallah!

25. Satu lagi perumpamaan ialah orang yang minum atau makan ubat yang pahit. Dia tak kisah kepahitan itu kerana dia tahu tujuannya- untuk penyembuhan.

26. Begitu juga ujian. Orang yang faham maksud dan hikmah ujian (yakni musibah) akan bahkan GEMBIRA menghadapinya, kerana dia tahu, faham dan percaya akan tujuan musibah menimpanya.

27. Ada sesuatu yang cukup cukup menarik yang Sheikh Hamza huraikan, berdasarkan tafsir Quran tentang satu ayat oleh Imam Nasafi.


28. Kita sedia maklum dah bahawa ujian itu adalah sebagai penebus dosa.

29. Tapi tahu tak kita bahawa Allah mengampunkan betapa banyak dosa kita yang lain tanpa sebarang tebusan mahupun bayaran pun?

30. Maknanya, yang kita diuji itu sikit sangat-sangat nak dibandingkan dengan apa yang sepatutnya kita layak terima!

31. Subhanallah. Bayangkanlah. Sebab itu, sekali lagi, buat orang yang beriman, dia yakin, walau berat manapun ujian melanda, ujian dan musibah itu Allah boleh jadikannya jauh lebih besar dan berat daripada yang sedia ada (kalau Allah mahu)!

32. Kerana itu orang yang beriman, dia bersyukur, bahkan mengucapkan alhamdulillah bila ditimpa musibah! Allahu Allah...

33. Selain itu, pentingnya musibah ini, adalah supaya kita faham keadaan orang lain yang ditimpa musibah. Masakan taknya, kalau kita sendiri pun pernah merasainya. Omputeh selalu sebut ni sebagai empathy.

34. Lantas dengan itu kita akan membantu mereka. Sesungguhnya sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang yang lain, maka Allah akan hilangkan kesusahannya pada hari Pengadilan kelak insya Allah!

35. Imam Muhammad Al-Hasan pernah membuat komentari menyebut bahawa, jika kita tak membantu orang yang ditimpa musibah itu, maka musibah itu akan datang menimpa kita pula! Wal 'iyaa zubillah. Moga Allah jauhkan insya Allah.

36. Maksudnya juga di sini ialah kadang-kadang ujian itu datang kepada kita melalui orang lain. Inilah hakikat dan realiti dunia yang penuh dengan ujian pastinya.

37. Kerana itulah, kita mesti melaluinya dan menempuhnya dengan baik. Anggaplah bahawa ia satu peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

38. Lagi, dengan musibahlah kita akan menghargai waktu kita senang, tatkala masih belum sampai musibah. Oleh itu, manfaatkanlah sebaiknya dan hargailah, syukurilah waktu-waktu dan senggang masa yang baik yang Allah SWT berikan kepada kita.

39. Sheikh pesan, janganlah kita lupa, bahawa mungkin dalam musibah itu, ada hikmah dan ganjaran yang besar. Sesungguhnya kita tak tahu, tapi Allah lebih tahu. Bahkan Dia Maha Mengetahui.

40. Akhir sekali, suka disebutkan di sini bahawa musibah menjadikan kita rendah diri dan melunturkan ego kita. Lihatlah Firaun yang angkuh kerana kebesaran pemerintahannya, dan lihatlah Qarun yang mendabik dada kerana hartanya yang melimpah ruah.

41. Sehingga lupa bahawa semuanya kurniaan dan ujian Allah. Semuanya milik Allah dan Dia boleh ambik bila-bila masa saja hak-Nya.

42. Kita juga perlulah mempunyai sifat redha. Bahawa kita berserah kepada Allah SWT dan meyakini sebenar-benarnya, bahawa apa yang Allah izinkan berlaku adalah yang terbaik untuk kita.

43. Sekian sahaja buat kali ini. Saya sangat syorkan rakan-rakan merujuk semula teks asal (transkrip) untuk pembacaan yang lebih lengkap supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh tentang ceramah yang cukup banyak kecantikannya ini. Moga Allah SWT menjadikan kita insan yang benar-benar beriman, serta bersabar atas ujian-Nya dan mensyukuri setiap satu nikmat-Nya.

Ameen ya Robbal 'Aalamiin.. Wallahuaklam. Assalamualaikum wbt.


"Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi?....
(Surah An-Namlu, ayat 62)

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah, ayat 153)


"....Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. 

Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami kembali."
(Surah Al-Baqarah, ayat 156)
Read more "Musibah Dan 17 Kebaikannya"

Tuesday, April 2, 2013

Asal Usul: Jatuh Cinta


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Kenapa kalau nak bercinta mesti jatuh?

2. Kenapa jatuh cinta? Kenapa bukan naik cinta? (naik angin ada pulak sigh)

3. Tak tak bukan nak cerita kisah cinta.

4. Nak bercinta dengan keluarga sahaja.

5. Kawan-kawan jangan lupa, kata omputeh, friends come and go tapi saudara kita sedarah sedaging boleh dibuat korban. Eh tak, kekal pertaliannya mereka dengan kita. Ibarat air yang dicincang, tak de benda lain ke nak cincang? Konfem la tak putus ye dak?

6. Hidup kita akan sentiasa ada naik dan turun.

7. Cuba letak tangan di dada. Pernafasan kita pun menjadikan badan kita secara fizikalnya ada naik dan turunnya.

8. Kejayaan yang paling seronok dikongsi adalah dengan sesama ahli keluarga.

9. Dan kesusahan kita, tatkala mungkin tiada yang mendengar, berdoalah kita kepada Allah SWT semoga kurang-kurang pun ahli keluarga ada di sisi mendoakan kekuatan kita.

10. Memberi semangat. Memahami kita lebih dari yang lain.

11. Macam mak saya. Dia lebih faham saya, mungkin berbanding diri saya sendiri.

12. 9 bulan lebih dia kandung saya, mana taknya. Katanya saya antara yang paling susah nak lahirkan hehe. Bukan sebab degil. Kalau hensem memang macam tu =p Maksud saya, yang hensem tu ayah saya.

13. Keluarga adalah salah satu sumber yang mengingatkan saya pada asal usul diri saya.

14. Pernah kadang-kadang saya duduk terfikir tentang keluarga malah sehingga ke tahap cuba mencari maksud di sebalik nama mak dan ayah saya yang dikasihi.

15. Ayah saya nama beliau Mohd Hanaffi.

16. Perkataan hanaffi mengingatkan saya kepada Nabi Ibrahim 'Alaihissalam (AS), yang merupakan bapa kepada nabi-nabi. Kerana pada perkataan hanaffi, ada kaitannya dengan perkataan hanif, agama Nabi Ibrahim AS.

17. Daripada Nabi Ibrahim, lahirlah keturunan Nabi Ishak, Nabi Yaakob, Nabi Yusuf, Nabi Yunus, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Harun, Nabi Zakariya, Nabi Yahya, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ismail dan penghulu segala Nabi, Muhammad SAW kesayangan kita semua.

18. Disebut dalam Al-Quran, ikutilah agama Nabi Ibrahim yang hanif (Rujuk Surah An-Nahl, ayat 123)

19. Hanif ringkasnya bererti agama yang lurus. Yakni, Nabi Ibrahim AS tak mensyirikkan Allah SWT, walaupun ayahandanya menyembah berhala. Itulah agama Nabi Ibrahim yang hanif.

20. Ibu saya namanya Noorma binti Mamat. Sepencarian saya, perkataan Noorma atau yang terdekat seperti Normah mungkin tiada maksud atau perkataan serupa dalam Bahasa Arab (Allahu a'lam) tapi ada perkataan Nur di situ, yang merujuk kepada cahaya.

21. Dan seperti orang kebanyakan yang antara lain memanggil ibu mereka Umi, Mama dan sebagainya, kami memanggil beliau Ma, atau generasi adik-adik yang memanggil beliau Mak (atau mok, dalam lenggok dialek Terengganu).

22. Maka, Noorma ialah pada saya cahaya ibu (yakni nur dan mak) saya, yang melaluinya dengan izin Allah, saya dilahirkan ke dunia.

23. Jika merujuk konteks Bahasa Melayu, perkataan norma contohnya, merujuk kepada peraturan atau ketentuan yang menjadi kebiasaan. Contohnya kita sebut, norma-norma kehidupan.

24. Ia mengingatkan saya kepada asal-usul kita sebagai manusia ciptaan Allah SWT yang telah ditetapkan peraturan serta kebiasaan tertentu yang kita panggil sebagai fitrah.

25. Sekali lagi, menggimnastikkan minda dengan nama ibu bapa saya mengingatkan saya pada asal-usul dan fitrah saya sebagai insan ciptaan Allah SWT.

26. Seperti dalam konteks Nabi Ibrahim, moga kita taat patuh pada agama Nabi Muhammad SAW yang menyambung legasi dan pegangan aqidah agama hanif, yakni menyembah hanya Allah SWT yang satu, yang disebut sebagai monotheism, dan asal-usul agama anutan kita sekarang, malah sejak Nabi Adam AS.

27.  Persoalan asal-usul adalah jauh lebih mendalam konteksnya jika kita bincangkan.

28. Contohnya, dalam Al-Quran ada menyebut, bahawa suatu ketika di alam ruh, sebelum kita semua hidup secara zahir dalam kehidupan di muka bumi ini, semua orang (termasuk yang bukan Islam) telah lama bersetuju dan mengaku bahawa Allah lah Tuhan kita semua.

29. Peristiwa besar ini dirakamkan dalam Al-Quran dalam Surah Al-A'raf, ayat 172 mafhumnya:

"....Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka berkata, Betul (Engkau Tuhan Kami) kami semua bersaksi...."

30. Namun, kita semua yang dilahirkan di dunia lupa akan perjanjian besar ini. Sebab itu kita dipanggil insaan, yang dalam bahasa Arab asalnya daripada perkataan nasiya, yang bererti lupa. Kita semua lupa! Insaan itu maksudnya pelupa!

31. Kerana itulah Allah SWT mengutuskan rasul untuk mengingatkan kita semula akan perjanjian ini dan kembali kepada fitrah dan asal perjanjian kita semua. Alhamdulillah bi ni'matil Islam, wa bini'matil eemaan..

32. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam banyak tulisan beliau selalu menekankan tentang kepentingan perjanjian pertama ini. 

33. Demikian juga kita diingatkan bahawa dari Allah lah kita semua datang (asal-usul).

34. Maka oleh kerana itulah, kepada Allah SWT jua kita semua akan kembali!

35. Silap.

36. Seorang pensyarah saya di UiTM telah mensyarahkan balik pemahaman maksud Inna lillahi wainna ilaihi roo ji'uun yang selalu diterjemah kepada 'Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.'

37. Hurai beliau, kita bukannya akan kembali. Perkataan roo ji'uun itu sebenarnya dari segi bahasa maksudnya ialah SEDANG kembali! (yakni dalam bentuk present tense, bukan future tense)

38. Wahai sekelian pembaca yang budiman, ingatlah bahawa kita semua yang mengaku hamba Allah SWT telah dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini.

39. Sebagaimana kita bertanggungjawab terhadap ibu kandung kita, kitalah juga yang ada peranan pada bumi ini. Kata omputeh, our mother nature.

40. Bumi ini juga adalah ibu kita.

41. Bukankah Nabi Adam AS dicipta daripada tanah?

42. Seolah-olah tanah dari bumi ini adalah rahim 'ibu' kita.

43. Kerana Nabi Adam yang dicipta daripada tanah adalah bapa terulung kita. Daripadanya dan Hawa, kita dilahirkan.

44. Bahkan tumbesaran kita dalam perut ibu, zat-zatnya, bukankah diperoleh daripada makanan yang masuk ke perut ibu, yang datangnya makanan ini daripada perut bumi?

45. Malah kita semua akan mati dan dikuburkan dalam tanah? Wahai sekelian khalifah, berbudilah pada tanah. Ia amanah, ia satu anugerah.


46. Sebagai penutup, saya ingin mengajak kita merenung kehebatan Allah SWT sebagai Pencipta yang Maha Mencipta.

47. Betapa kita (dan manusia lain kebanyakannya) telah dilahirkan daripada seorang lelaki (bapa) dan seorang ibu (wanita).

48. Bahawa Allah upaya dalam mencipta seorang manusia daripada hanya wanita (tanpa bapa) yaknilah Nabi Isa AS.

49. Begitulah juga Allah upaya mencipta seorang manusia daripada seorang lelaki (tanpa ibu) yaknilah Hawa, isteri Nabi Adam AS.

50. Dan tak lupa, Allah upaya mencipta seorang manusia tanpa seorang lelaki (bapa) mahupun perempuan (ibu)! Itulah Nabi Adam AS. Subhanallah..

51. Semoga Allah SWT menjadikan kita generasi yang mendirikan solat. Termasuk ibu bapa kita, keluarga kita dan anak-beranak kita semuanya. Moga Allah kumpulkan kita semua bersama-sama orang yang kita sayang di syurga dalam satu pertemuan yang melepaskan segala kerinduan menghujani segala kasih sayang kecintaan, terutamanya kepada yang pertama dan terutama, Muhammad SAW. Moga syurgalah tempat pertemuan semula itu.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Read more "Asal Usul: Jatuh Cinta"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq