RSS

Monday, April 8, 2013

Musibah Dan 17 Kebaikannya


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Artikel ini ditulis majoritinya berdasarkan ceramah oleh Sheikh Hamza Yusuf bertajuk the 17 Benefits of Tribulations yang dikarang oleh seorang 'ulamak (atau lebih tepatnya seorang 'aalim, nota: singular) yang cukup hebat, Sheikh 'Izz Ibn Abdus Salam. Rakaman mp3 yang asal boleh didengar di sini.

2. Transkrip ceramah tersebut pulak (dalam bahasa Inggeris) boleh didapati atau dibaca di sini.

3. Sesungguhnya cukup banyak sumbangan para 'alim 'ulamak kita maka moga Allah menerima usaha kecil perkongsian ini sebagai salah satu daripada yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan dan semoga diterima sebagai amal soleh oleh Allah SWT. Ameen.

4. Izinkan saya bermula.

Gambar hiasan je ni
5. Antara penerangan oleh Sheikh Hamza ialah, bahawa Nabi Muhammad SAW (walaupun bagindalah kekasih Allah yang mulia) lebih besar dan kuat ujian yang ditempuhi berbanding kita. Namun, ujian ini tak pernah mengganggu-gugat kekuatan baginda SAW.

6. Ini yang kadang-kadang kita lupa. Kita fikir, dengan semakin dekat kepada Allah SWT, semakin beriman, perbanyakkan buat baik, terus hidup kita (di dunia) jadik senang lenang?

7. Bahkan tidak. Kesenangan yang abadi itu, sahabat sekalian, hanya di syurga kelak.

8. Hakikatnya, jika kita menganggap diri kita pejuang, tapi hidup selalu senang, seperti tiada apa yang menghalang, malah jarang sekali ditimpa malang, amat risau dan khuatir kita, mungkin kita bukan pada jalan perjuangan yang sebenar.

9. Sheikh juga menyebut bahawa seseorang yang apabila ditimpa ujian, lantas dia terkesan dan jatuh semangat dan lemah, adalah tanda-tanda bahawa dia jauh daripada Allah SWT dan tanda-tanda lemahnya imannya.

10. Jelas beliau lagi, buku ini dikarang untuk memberitahu bahawa orang yang cepat terkesan (lemah) akibat ujian adalah orang yang tak faham tentang hikmah kebijaksanaan Allah SWT dalam menguji hamba-Nya, padahal orang yang benar-benar beriman dan faham, akan meraih manfaat daripada ujian yang menimpanya.

11. Bayangkan, buku ini telah lama dikarang, yakni sejak 800 tahun yang lepas, tapi sehingga kini masih diajarkan dan memberi manfaat yang besar buat umat Islam. Inilah tanda keberkatan ilmu para 'ulamak. Rugilah jika kita tak mahu mengambil kelebihan daripada permata-permata yang bersinar ini.

12. Salah satu tujuan ujian adalah untuk menyedarkan kita bahawa ada sesuatu tak kena, atau kita sesungguhnya telah melakukan dosa.

13. Sungguh Pemurah Allah SWT, jika dengan ujian yang dikenakan terhadap kita, dijadikan itu asbab untuk dosa-dosa kita diampunkan!

14. Bayangkan jika ditangguhkan pengampunan itu, atau tak terampun, bukankah pembalasan dan azab pada hari akhirat jauh lebih pedih, perit dan sakit?

15. Sheikh memberi perumpamaan seperti simptom yang dialami orang sakit.

16. Contohnya jika perut kita sakit, itu tandanya kita perlu jumpa doktor, mungkin ada sesuatu yang tak kena seperti organ dalaman kita yang tak terlihat. Bayangkan tanpa simptom ini, kita tak tahu pun yang organ kita mempunyai masalah dan itu pastinya akan mendatangkan masalah!

17. Sebab itulah penyakit seperti hypertension yakni darah tinggi sangat berbahaya kerana seseorang boleh sahaja seolah-olah rasa dia sihat dan menjalani kehidupan biasa sehari-hari seolah-olah tak ada apa-apa berlaku (kerana tiada simptom) padahal dengan darah tinggi itu, boleh jadi maut mungkin sedang bertandang!


18. Dikisahkan seorang wanita sedang berjalan-jalan, sehingga dia tersadung jatuh dan cedera kakinya, lalu dia tergelak.

19. Orang pun pelik dan bertanya, kau gila ke apa? Kenapa kau gelak?

20. Lantas dijawab, wanita itu kata dia teringat satu hadis Nabi SAW yang menyebut tentang bagaimana Allah mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya bahkan walaupun dia hanya terkena duri.

21. Wanita itu terlalu terpesona dengan keseronokan bahawa dosanya diampunkan, sehingga dia lupa kesakitan yang dia alami. Inilah kemanisan iman subhanallah!

22. Bahkan diceritakan tentang seorang sahabat Nabi yang terkena anak panah, dan diminta dicabut anak panah itu ketika dia sedang solat, kerana dia tak merasai kesakitan anak panah itu dicabut tatkala dia solat!

23. Inilah tingginya tahap keimanan yang ditunjukkan. Inilah dia yang kita semua cari-cari, keimanan yang membawa keamanan, biar apa pun melanda, baik badai mahupun ribut taufan.

24. Sheikh sambung lagi katanya, terdapat dalam satu hadis yang menyebut bahawa, Allah menguji orang yang Dia sayang kerana mahu mendengar suara sang hamba itu memanggil dan menyeru-Nya! Subhanallah!

25. Satu lagi perumpamaan ialah orang yang minum atau makan ubat yang pahit. Dia tak kisah kepahitan itu kerana dia tahu tujuannya- untuk penyembuhan.

26. Begitu juga ujian. Orang yang faham maksud dan hikmah ujian (yakni musibah) akan bahkan GEMBIRA menghadapinya, kerana dia tahu, faham dan percaya akan tujuan musibah menimpanya.

27. Ada sesuatu yang cukup cukup menarik yang Sheikh Hamza huraikan, berdasarkan tafsir Quran tentang satu ayat oleh Imam Nasafi.


28. Kita sedia maklum dah bahawa ujian itu adalah sebagai penebus dosa.

29. Tapi tahu tak kita bahawa Allah mengampunkan betapa banyak dosa kita yang lain tanpa sebarang tebusan mahupun bayaran pun?

30. Maknanya, yang kita diuji itu sikit sangat-sangat nak dibandingkan dengan apa yang sepatutnya kita layak terima!

31. Subhanallah. Bayangkanlah. Sebab itu, sekali lagi, buat orang yang beriman, dia yakin, walau berat manapun ujian melanda, ujian dan musibah itu Allah boleh jadikannya jauh lebih besar dan berat daripada yang sedia ada (kalau Allah mahu)!

32. Kerana itu orang yang beriman, dia bersyukur, bahkan mengucapkan alhamdulillah bila ditimpa musibah! Allahu Allah...

33. Selain itu, pentingnya musibah ini, adalah supaya kita faham keadaan orang lain yang ditimpa musibah. Masakan taknya, kalau kita sendiri pun pernah merasainya. Omputeh selalu sebut ni sebagai empathy.

34. Lantas dengan itu kita akan membantu mereka. Sesungguhnya sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang yang lain, maka Allah akan hilangkan kesusahannya pada hari Pengadilan kelak insya Allah!

35. Imam Muhammad Al-Hasan pernah membuat komentari menyebut bahawa, jika kita tak membantu orang yang ditimpa musibah itu, maka musibah itu akan datang menimpa kita pula! Wal 'iyaa zubillah. Moga Allah jauhkan insya Allah.

36. Maksudnya juga di sini ialah kadang-kadang ujian itu datang kepada kita melalui orang lain. Inilah hakikat dan realiti dunia yang penuh dengan ujian pastinya.

37. Kerana itulah, kita mesti melaluinya dan menempuhnya dengan baik. Anggaplah bahawa ia satu peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

38. Lagi, dengan musibahlah kita akan menghargai waktu kita senang, tatkala masih belum sampai musibah. Oleh itu, manfaatkanlah sebaiknya dan hargailah, syukurilah waktu-waktu dan senggang masa yang baik yang Allah SWT berikan kepada kita.

39. Sheikh pesan, janganlah kita lupa, bahawa mungkin dalam musibah itu, ada hikmah dan ganjaran yang besar. Sesungguhnya kita tak tahu, tapi Allah lebih tahu. Bahkan Dia Maha Mengetahui.

40. Akhir sekali, suka disebutkan di sini bahawa musibah menjadikan kita rendah diri dan melunturkan ego kita. Lihatlah Firaun yang angkuh kerana kebesaran pemerintahannya, dan lihatlah Qarun yang mendabik dada kerana hartanya yang melimpah ruah.

41. Sehingga lupa bahawa semuanya kurniaan dan ujian Allah. Semuanya milik Allah dan Dia boleh ambik bila-bila masa saja hak-Nya.

42. Kita juga perlulah mempunyai sifat redha. Bahawa kita berserah kepada Allah SWT dan meyakini sebenar-benarnya, bahawa apa yang Allah izinkan berlaku adalah yang terbaik untuk kita.

43. Sekian sahaja buat kali ini. Saya sangat syorkan rakan-rakan merujuk semula teks asal (transkrip) untuk pembacaan yang lebih lengkap supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh tentang ceramah yang cukup banyak kecantikannya ini. Moga Allah SWT menjadikan kita insan yang benar-benar beriman, serta bersabar atas ujian-Nya dan mensyukuri setiap satu nikmat-Nya.

Ameen ya Robbal 'Aalamiin.. Wallahuaklam. Assalamualaikum wbt.


"Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi?....
(Surah An-Namlu, ayat 62)

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah, ayat 153)


"....Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. 

Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami kembali."
(Surah Al-Baqarah, ayat 156)

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq