Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
"Fitnah itu tidur. CELAKAlah bagi siapa yang mengejutkannya."
-Nabi Muhammad SAW
1. Ada yang terlalu yakin sebelum pilihan raya, sehingga berjanji untuk potong telinga dan meletakkan peratus setinggi 101% anggaran untuk menang.
2. Kekalahan yang dialami akhirnya menjadi bukti bahawa bukan keyakinan semata-mata yang menjadi penentu kejayaan dalam pilihan raya.
3. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk beriman dengan kehendak Allah, bukan setakat menyebut insya Allah. Menang atau kalah, insya Allah tetap diulang-ulang di hati.
4. Kalimah insya Allah, yang umumnya membawa maksud, moga-moga dengan kehendak Allah (tercapai apa yang kita kehendaki) seharusnya dihayati juga dalam jangka masa yang panjang.
5. Bersama-sama keyakinan ini, kita sertakan kefahaman bahawa Allah SWT lebih mengetahui akan segala-galanya. Allahu a'lam. Sesungguhnya Allah SWT lebih tahu.
6. Jika mungkin kali ini tak menang, suatu hari pasti menang insya Allah. Jika tak di dunia, insya Allah di akhirat. Bila tu? Allahu a'lam.
7. Jangan pernah berputus asa dengan Allah SWT. Kufur nanti. Wal 'iyya zu billah.
8. Sempena pilihan raya yang baru tamat tempoh hari, saya ingin ambik kesempatan ini untuk mohon ampun dan maaf banyak-banyak daripada semua orang terutamanya sahabat handai yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
9. Juga, saya terlebih lagi ingin mohon maaf daripada sahabat-sahabat yang cukup dekat dengan saya dalam banyak hal, yakni dari NGO bernama ISMA.
10. Sesungguhnya saya amat yakin, banyak tutur bicara saya yang mungkin telah melukakan hati kalian. Saya mohon maaf.
11. Sesungguhnya meminta maaf ini pendirian saya. Mungkin anda yang dilukai, merasa saya tak layak diberi kemaafan. Mungkin juga anda yang sehaluan dengan saya, menganggap bahawa mereka yang dilukai inipun tak layak untuk saya minta maaf daripada mereka. Mungkin nampak apologetic.
12. Rasulullah SAW telah banyak dikasari dan dizalimi. Malah jauh lebih teruk dan dahsyat berbanding kita. Tetapi peristiwa pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah), menjadi saksi akan satu hikmah kepada sunnah besar baginda Nabi SAW, yakni memaafkan.
13. Saya pohon kekuatan daripada Allah SWT, agar orang-orang yang melukai hati saya, saya maafkan. Kekuatan itu daripada Allah. Kelemahan itu milik saya.
14. Bermula di sini, saya ingin menyeru anak-anak muda bersama-sama berganding bahu lebih banyak bekerja dan berusaha. Masing-masing harus jujur dan ikhlas dalam perjuangan masing-masing.
15. Perjuangan saya secara peribadi adalah bersama-sama Pakatan Rakyat terutamanya Parti PAS dan PKR, dan saya melihat Parti DAP sebagai satu aset penting dalam perikatan politik ini.
16. Kita perlukan orang-orang kuat untuk menjawab pertanyaan yang relevan yang dikeluarkan oleh mereka yang tak sehaluan dengan kita.
17. Sebahagian besar yang lain pula, kita tumpukan ke arah usaha merealisasikan janji-janji dan idealisme kita dalam perjuangan ini.
18. Sama ada sedar ataupun tidak, pilihan raya kali ini banyak mengambil perhatian anak-anak muda dan menyedarkan kita akan kepentingan politik. Insya Allah, kira-kira 5 tahun dari sekarang, persaingan di pentas pilihan raya akan menjadi jauh lebih baik.
19. Akhir kata, saya mohon kita fikir sejenak.
20. Kita melihat banyak kezaliman berlaku di sekeliling kita.
21. Kezaliman ini boleh datang dalam banyak hal dan bentuk.
22. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk muhasabah, adakah mungkin, kezaliman ini semua adalah hasil daripada kezaliman diri kita sendiri?
23. Saya khuatir jika umat Islam dizalimi.
24. Namun, saya lebih risau jika umat Islam yang terlebih dahulu menzalimi.
25. Takutlah pada Allah. Bukan pada musuh. Moga Allah satukan hati-hati kita.
26. Saya tutup celoteh ini dengan bait-bait bicara berikut.
27. Ikutilah teladan Rasulullah yang penyabar,
Sediakanlah juga yang garang seperti Umar.
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt ;-)
0 comments:
Post a Comment