Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Huraian 1
Kaum lelaki yang gatal, mencuci mata,
Taqwanya ditanggal, hatinya membuta.
1. Taqwa merupakan pakaian yang terbaik untuk anak cucu Adam seperti kita (Surah Al-A'raf, ayat 26). Janganlah tanggalkannya. Takutlah Allah, Tuhan yang Maha Melihat, yang memberi kita deria melihat.
2. Jika kita ingin menunggu semua wanita berpakaian dengan sopan dan memelihara auratnya, maka tak akan tercapai saya rasa.
3. Semakin kita melihat dan 'menghargai' keseksian dengan melontarkan pandangan, selagi itu mereka rasa 'dihargai' dan terus menonjol-nonjol kecantikannya.
4. Jangan terlalu cepat menuding jari, menyalahkan wanita yang tak sopan dalam berpakaian. Utamakan perkara yang kita boleh buat dahulu- perubahan bermula dengan diri kita (Surah Ar-Ra'd, ayat 11).
5. Jagalah pandangan wahai orang lelaki.
6. Sesungguhnya hati itu istana. Mata menjadi salah satu pintunya. Jangan biarkan pintu itu dibuka suka-suka, kerana tatkala istana itu diceroboh dan dijajah, nescaya binasalah badan.
Huraian 2
Kaum wanita bertudung, untuk menggoda,
Ibarat orang yang kudung, kakinya tiada.
7. Menutup aurat itu tidak cukup. Membalut aurat pun bukan keperluan. Memelihara aurat lah yang wajib.
8. Kerana sekadar membalut dan menutup, belum tentu lagi memeliharanya daripada fitnah mata yang meliar mencari 'mangsa' yang 'percuma'.
9. Ia juga berkaitan dengan hati. Baguslah bertudung. Ia tanda iman.
10. Namun bertudung untuk menggoda, maka itu mencacatkan iman.
11. Semua orang tidak mahu kudung, tetapi sanggup membiarkan iman tercalar. Bukankah kecacatan iman itu lebih besar celanya?
12. Ada juga yang berhujah, biarlah tak bertudung, janji hati baik.
13. Wahai orang yang hati-hatinya baik, jika perintah Allah dilanggar, maka ia mendatangkan penyakit pada hatimu.
14. Mana mungkin hati mu baik dalam meninggalkan ketaatan kepada Dia yang memiliki hatimu?
Kesimpulan
15. Saya faham benar bahawa perihal aurat adalah perihal simptom, bukanlah PUNCA penyakitnya.
16. Namun jika tak diuruskan simptomnya, maka semakin parah penyakitnya.
17. Soal yang terbesar dalam hal ini ialah hati. Peliharalah hati, ia adalah istana setiap insan.
18. Hati yang bersih atau kotor adalah punca kepada baik dan buruk perilaku seseorang.
19. Jagalah hati, sebelum ia mati.
20. Jika ditanggal darinya mahkota, maka ia menjadi buta.
21. Jika hati sudah buta, maka apa lagi nak dikata?
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
0 comments:
Post a Comment