RSS

Thursday, August 7, 2014

Istimewa Aidilfitri: Sharah Kalimah La Ilaha Illa Allah (لا إله إلا الله)



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Berikut adalah sedikit sebanyak mafhum saya daripada penerangan Ustaz Hafiz Tohfah* hafizhohullahu ta'ala tentang sharah (komentar) kalimah agung La ilaha illa Allah (لا إله إلا الله).

*Salah seorang guru beliau ialah Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz hafizhohullahu ta'ala dari Yaman.

2. Penerangan ini dibuat dalam sesi terakhir pengajian Kitab Risaalah Jaami'ah yang bertempat di Masjid Negeri di Shah Alam, Selangor, dalam hari-hari terakhir bulan Ramadhan yang baru berlalu.

3. Sedikit sebanyak tambahan (isi kandungan dan huraian) saya selitkan juga di sini hasil daripada pengajian dan pembacaan saya di tempat yang lain insya Allah.

4. Pertamanya, kaedah yang digunakan dalam kalimah agung ini ialah penafian atau negation dalam Bahasa Inggerisnya. Bagaimana tu ya?

5. Kita ambil satu analogi. Jika saya minta anda ke kedai dan tolong belikan saya sos cili, maka anda akan membeli sos cili.

6. Lalu jika anda bertanya, sos tomato mahu beli tak? Saya jawab, tak perlu. Anda bertanya lagi, sos tiram? Saya jawab, tak perlu. Kicap? Tak perlu.

7. Anda boleh terus tanya setiap satu barang yang ada dijual di kedai itu (hingga berlarutan ke hari esoknya) kerana arahan saya bersifat umum dan tak menafikan untuk membeli barang-barang yang lain.

8. Bayangkan jika saya kata tolong pergi ke kedai dan JANGAN beli apapun melainkan sos cili.

9. Justeru, anda akan faham terus bahawa hanya perlu beli sos cili kerana selain sos cili sudah awal-awal lagi dinafikan; tanpa perlu anda berpenat lelah tanya satu persatu.

10. Demikianlah kalimah agung ini yang bermula dengan perkataan TIDAK.


11. TIDAK ADA TUHAN SELAIN ALLAH.

12. Maknanya, hanya Allah SWT sahaja, TIADA selainnya. Dalam analogi tadi, beli sos cili sahaja, tak perlu tanya dah nak beli yang lain atau tak.

13. Kalaulah kita gunakan ayat Allah SWT itu Tuhan, maka ada yang akan menjawab, ya kami setuju Allah SWT itu Tuhan, tapi di sisi kami ada lagi Tuhan yang lain seperti anak Tuhan, Tuhan Mataharilah, Tuhan Bulanlah. Wal 'iya zubillah.

14. Ringkasnya, kaedah penafian ini secara langsung menafikan terus Tuhan selain Allah jalla wa 'ala.

15. Kedua, yang kita terjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai Tuhan, kalimah Arabnya ialah ilah yakni  إله.
.
16. Kalimah inilah yang mesti dijelaskan sebaiknya.

17. Dua istilah penting yang digunakan di sisi kita agama Islam ialah istighna' dan iftiqar. Untuk belajar lebih mendalam tentang hal ini, Ustaz Hafiz berpesan agar pergi mengaji ilmu Sifat 20.

18. Mudahnya, istighna' memberi makna bahawa Allah SWT Maha Kaya dan tidak berkehendak dan tak memerlukan kepada apa-apapun.

19. Iftiqar pula memberi erti bahawa segala setiap sesuatu adalah faqir dan memerlukan (yakni bergantung) kepada Allah SWT.

20. Daripada pemahaman ini, justeru ustaz menyimpulkan bahawa segala yang dianggap tuhan seperti patung berhala, matahari dan sebagainya adalah tidak layak sama sekali digelar tuhan atau ilah.

21. Maka kita tak kata bahawa tuhan agama lain lemah dan tuhan agama kita kuat. Atau tuhan agama lain kita tak sembah, kita sembah tuhan umat Islam sahaja.

22. Sebaliknya, kita katakan kepada sekalian manusia yang menyembah selain Allah jalla wa 'ala bahawa yang kamu sembah itu tak layak sama sekali digelar atau dianggap tuhan. Dengan kata lain, adalah pelik untuk kita gunakan istilah 'tuhan yang lemah' kerana jika ia lemah, maka secara automatik ia bukan tuhan!

23. Yakni, kita tak menafikan wujud berhala, wujud matahari dan sebagainya, kerana mereka memang wujud (pada pandangan mata kita) namun kita nafikan bahawa mereka ini adalah tuhan; kerana bagaimana berhala contohnya, yang memerlukan kepada manusia untuk membina dan mengukirnya boleh dianggap tuhan, sedangkan jika ia tuhan, maka ia tak perlu kepada sesiapapun.

24. Ustaz juga berpesan bahawa walaupun begitu, kita menggunakan perkataan tuhan apabila berdialog dengan yang bukan Islam kerana itu adalah sekadar bahasa yang digunakan dalam interaksi kita dengan mereka namun iktiqad dalam hati kita ialah apa yang disembah selain Allah adalah bukan tuhan sama sekali.

25. Ringkasnya, TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, menjelaskan kepada kita bahawa yang layak digelar Tuhan itu hanyalah Allah SWT sahaja. TIADA selain-Nya.

26. Sebagai penutup, suka saya sebut bahawa Rukun Islam kita yang pertama ialah DUA kalimah syahadah. Dua kalimah ya, dan bukan satu sahaja.

27. Insya Allah jika ada rezeki saya dapat belajar lebih dalam, saya cuba kongsikan pula penjelasan tentang kalimah yang kedua, yakni bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah.



28. Pun begitu, eloklah saya sentuh sikit di sini.

29. Ahli Falsafah Barat yang bukan beragama Islam sekalipun, dengan izin Allah SWT mampu menggunakan kekuatan intelek mereka untuk merumuskan bahawa Tuhan itu Mesti (logiknya) Satu sahaja.

30. Sebagai umat Islam, tanpa menafikan peranan intelek, bahkan semakin bertambah iman kita kerana intelek yang sihat pasti menerima bahawa Tuhan itu Maha Esa, beza kita adalah bahawa kita menerima Ke-Esaan Tuhan kerana kita beriman kepada Rasulullah SAW.

Sami'naa wa atho'na.. Kami dengar dan kami ta'at..

31. Rasulullah SAW yang membawa segala-galanya kepada kita; keseluruhan agama, Rukun Islamnya, Rukun Imannya semuanya datang kepada kita melalui panduan dan tunjuk ajar baginda SAW.

32. Tanpa baginda, tiada kalimah La ilaha illa Allah, tiada ibadah solat. tiada ibadah puasa, bahkan tidak kita mengenal Tuhan melainkan dengan sebab Allah SWT merahmati kita dengan sebaik-baik Rahmat, Rahmatan lil 'alamin, iaitulah Nabi Muhammad SAW, penutup segala Nabi.

33. Justeru, musuh Islam telah sekian lama cuba menjatuhkan kredibiliti baginda SAW kerana mereka faham benar, apabila runtuhnya keyakinan kita kepada Rasul, maka segala-galanya yang lain juga (dalam agama kita) akan runtuh.

34. Atas dasar inilah perlu dipupuk (semula) kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, dan cara yang terbaik adalah dengan banyakkan berselawat. Banyakkan juga beristighfar, kerana dosa-dosa kita boleh menjadi hijab dan pendinding daripada menerima kasih sayang Allah SWT dan kekasih-Nya, Rasulullah SAW.

35. Apabila disyariatkan solat untuk diperintah kepada anak-anak pada usia 7 tahun, sepanjang tempoh SEBELUM itu bukanlah waktu kosong atau waktu 'Atheisme' untuk anak-anak, sebaliknya senggang masa yang ada mestilah diisi dengan memupuk rasa cinta dalam diri anak-anak terhadap Allah SWT dan Rasul.

36. Akhir sekali, para ulamak menyebut bahawa kalimah لا إله إلا الله sangat istimewa kerana kalimah agung ini (walaupun agak panjang) hanya terbentuk (dieja) menggunakan 3 huruf sahaja yakni huruf alif, lam dan ha. Jika kita gabungkan 3 huruf ini, akan terbentuk perkataan ilah yang bermaksud Tuhan.

37. Bilangan huruf yang membentuk keseluruhan kalimah agung ini pula ialah 12, mewakili 12 bulan dalam setahun.

38. Dalam Islam, daripada 12 bulan setahun, terdapat 4 bulan haram yang merupakan bulan-bulan istimewa. Sebagaimana kalimah لا إله إلا الله diwakili 12 huruf, kalimah Allah pula diwakili 4 huruf, mewakili 4 bulan haram iaitu bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.

Safar
Rabi'ul awwal
Rabi'ul akhir
Jamadil awwal
Jamadil akhir
REJAB
Sya'ban
Ramadhan
Syawal
ZULKAEDAH
ZULHIJJAH
MUHARRAM

39. Menariknya, dalam kalimah Allah (yang terbentuk daripada huruf alif, lam, lam dan ha), huruf alif terpisah daripada tiga huruf selepasnya yang saling bercantum. Hal yang sama boleh kita perhatikan pada bulan Rejab, yang terpisah berbanding dengan tiga bulan haram yang lain iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram (seperti ilustrasi di atas). Masha Allah, semoga Allah SWT membuka mata hati kita untuk terus memahami rahsia-rahsia dan ma'na di sebalik ciptaan-Nya.

40. Sekian sahaja catatan dha'if saya yang penuh kekurangan dan kelemahan. Saya mohon Allah SWT jadikan ia bermanfaat untuk kita semua. Dengan rendah hati saya juga mohon maaf atas segala kesilapan, dan harapan saya agar teguran diberikan. Jazakumullahu khayran kaseera.

Wallahu a'lam. Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih.

1 comments:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq