RSS

Friday, February 3, 2012

Agak-agak bila kita boleh couple?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Jawab cepat bila kita boleh couple? Dan saya harap yang menjawab soalan saya di atas perempuanlah, sebab kalau lelaki..... *gulp*

Selingan-------------> Artikel tentang LGBT (1)(2)

Download
1. Saya tertarik untuk berkongsi tentang satu soalan yang diajukan oleh seorang teman sekerja sewaktu bekerja di Sabasun Hyperruncit di Wakaf Tembesu, Terengganu. Katanya,

"Boleh tak kita buat satu benda yang orang tak suka, tapi benda tu tolong kita untuk elak daripada buat benda yang jahat dan tak elok?"

2. Jujurnya, soalan itu ditanya dengan spontan dan saya juga tak sempat memberi maklum balas yang sempurna, lebih-lebih lagi setiap kali berbincang sebegini, ada saja customer yang akan muncul mencelah perbualan (lantas perbualan terhenti di situ dan tak lagi bersambung).

3. Namun, saya ada bertanyakan contoh kepada soalannya itu, cuma tak diberitahu olehnya. Maka, terlintas di fikiran saya satu contoh yang saya reka sendiri namun saya fikir boleh jadi apa yang dimaksudkan oleh dia, dan juga contoh ini tidak mustahil berlaku dalam kalangan diri kita sendiri.

4. Sebelum saya teruskan, perlu dijelaskan bahawa sebagai rakan, saya lebih memahami dia maka penyataan 'satu benda yang orang tak suka' di atas pada hemah saya juga merujuk kepada perkara yang Allah SWT tak suka, sebab tu orang pun tak suka.

5. Contohnya, A sangat suka baca buku yang ada gambar wanita tak cukup kain (seksi). Atau A sangat suka mengorat dan berfoya-foya dengan wanita cantik dan hot. Perkara sebegini tak disukai oleh Allah SWT dan seharusnya juga tak digemari oleh masyarakat Islam.

6. Maka, bagi mengelakkan 'hobi' dan 'tabiatnya' di atas daripada berterusan, A telah mengambil langkah untuk mencari seorang girlfriend atau dalam bahasa mudahnya, berkapel (couple).

7. Dengan adanya seorang teman wanita tersayang, A boleh berjenaka dengan buah hatinya itu, makan bersama-sama, SMS tiap-tiap malam dan pelbagai lagi aktiviti romantik 'ringan' dua insan dalam perhubungan. Ya, A tak mengahwini girlfriendnya itu.

8. Dengan cara ini, A telah sedikit sebanyak berjaya membuang tabiat lamanya yakni membaca buku gambar-gambar seksi, malah dia juga tak lagi gatal untuk berfoya-foya dengan wanita lain secara rawak (bila dia berkapel).

9. Kembali kepada soalan tadi, maka dalam hal ini, adakah berkapel itu 'halal' untuk A?

10. Pada pandangan saya yang dhaif lagi faqir ini, dan juga jika ditanya pendapat dan nasihat yang jugak penting buat diri saya sendiri, jawapan saya ialah TIDAK.

11. Sebabnya?

12. Mudah: Tiada keredhaan dalam kemaksiatan! ;-)

13. Ada 2 perkara di sini.

14. Pertama, kita tak boleh hidup seolah-olah kita hanya ada 2 pilihan dan kedua-dua pilihan itu mendatangkan dosa. Walaupun perkara ini wujud, contohnya penggunaan alkohol yang memabukkan dalam bidang perubatan, namun situasi sebegini dinamakan darurat.

15. Pun begitu, jika dinilai dengan baik, sahabat kita, A tadi sama sekali bukan dalam keadaan darurat. Malah, disebut dengan cukup jelas dalam satu hadis Rasulullah SAW tentang persoalan mengawal nafsu syahwat yang maksudnya:

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat)."
Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Abu Daud dan Ibn Majjah)
 
16. Dengan kata lain, Islam ialah agama penyelesaian dan kepada A tadi, dia mempunyai pilihan untuk berkahwin, atau berpuasa jika tak mampu. Berkapel tidak termasuk sebagai salah satu pilihan.
 
17. Dalam hal perubatan sebentar tadi, kaedah feqah yang diguna pakai ialah, dalam situasi wujud dua mudarat, hendaklah memilih darurat yang lebih ringan. Jika menggunakan alkohol boleh memudaratkan akal, tapi jika tak menggunakannya pesakit mati. Justeru, kerana mati atau hilang nyawa itu mudarat yang lebih besar, alkohol dibenarkan dalam hal darurat sebegini.
 
18. Perihal darurat adalah tajuk yang panjang lebar, namun suka saya sebut dua perkara penting sahaja di sini yakni, 1) Mestilah memang tiada pilihan lain lagi (setahu saya sekarang sudah banyak alternatif untuk menggantikan alkohol dalam perubatan) serta 2) Mestilah sekadar perlu dan terhad (bukan ikut suka hati).
 
19. Perkara kedua yang ingin saya sebut ialah mungkin ada antara anda yang sedang membaca sekarang juga sedang berkapel. Maka terlebih dahulu biar saya minta maaf jika anda terguris hati. Biar saya jelaskan.

20. Soal berkapel bukan perkara yang remeh temeh kerana ia bersangkut paut dengan emosi kita yang masih berdarah muda (jika anda awet muda seperti saya lah ya? hehe =p)

21. Apa yang jelas haram maka ia HARAM, dan perlu dielakkan. Dengan kata lain, kepada yang belum berkapel, sungguh-sungguhlah elakkan! Kepada yang sedang berkapel pula, ini pandangan saya.

22. Allah Maha Penyayang. Saya amat anti dan alahan kepada orang yang terus menghukum NERAKA buat orang seperti anda. Jadi, pertamanya, saya harap anda berlapang dada dan meletakkan Allah sebagai Hakim yang Utama dan yang Paling Adil.

23. Kedua, jika anda mampu berpisah, berpisahlah. Jika tak mampu, maka usahalah untuk berinteraksi dengan couple anda seperti sahabat yang lain (yakni batas pergaulan yang Islam anjurkan) walaupun terpaksa menyimpan perasaan. Penting: Jangan pula sekali-kali berbangga kerana anda sudah berkapel!

24. Buat masa ini, bincang baik-baik dengannya untuk perancangan yang baik untuk masa akan datang, yakni berumahtangga melalui pernikahan. Dalam tempoh masa menunggu hari itu tiba, kurangkan interaksi semampu mungkin dan banyakkan berpuasa sunat.

25. Banyakkan berdoa. Sekiranya Allah izinkan, bahkan berpisah pun anda mampu, walaupun kadang-kadang tanpa anda rancang, kerana Allah SWT sangat mampu lakukan segala-galanya maka redhalah. Jangan lupa, tanyalah juga pandangan orang terdekat seperti ibu bapa dan orang berilmu seperti ustaz, ustazah atau kawan kita yang soleh.

26. Tegasnya, saya bukan menyokong aktiviti berkapel, tetapi saya berpendirian bahawa ada cara yang berhikmah buat sahabat-sahabat yang sudah termasuk dalam kategori berkapel kerana menekan mereka dengan emosi serta menghukum mereka dengan dosa dan neraka adalah bukan satu-satunya cara.

27. Sebelum saya berundur, izinkan saya berkongsi sedikit tentang kandungan Kitab Talbis Iblis Karangan Syeikh Ibnu Al-Qayyim Al Jawziyyah sebagaimana yang dihuraikan oleh Abu Abdissalam dalam satu ceramahnya yang bertajuk Traps of Shaytan (kerana ia berkait dengan perbincangan kita di atas).

Talbis Iblis (Belitan/perangkap Iblis) Oleh Syeikh Ibnu Al-Qayyim Al Jawziyyah

28. Perangkap syaitan dan iblis cukup halus dan berdasarkan huraian syeikh, ia ada kronologi, tingkatan dan turutan yang tersendiri. Ada 7 peringkat yang akan dikongsikan di bawah. Dan saya minta kita semua faham, bahawa pentingnya peringkat ini ialah, ia berturutan daripada dosa paling besar kepada dosa yang paling kecil.

29. Liciknya syaitan, dia akan memerangkap kita untuk melakukan dosa yang kecil dahulu sebelum kita 'naik tingkatan' ke peringkat yang seterusnya sehinggalah kepada dosa yang terbesar na'uzubillahi minzalik ameen.

Peringkat Pertama: Syirik dan Kufur

30. Inilah dosa yang terbesar, jika pelakunya tak bertaubat sebelum matinya, maka Allah tak akan ampunkannya nescaya nerakalah tempatnya na'uzubillah.

Peringkat Kedua: Bida'ah

31. Abu Abdissalam jelaskan bahawa, dosa bida'ah amat disukai syaitan. Kenapa? Kita bandingkan bida'ah dengan dosa besar. Pelaku dosa besar, barangkali suatu hari dia mahu bertaubat kerana dia tahu dia berdosa besar tetapi orang yang melakukan bida'ah mungkin sama sekali tak bertaubat kerana bida'ah (yang walaupun sebenarnya ialah dosa) ialah satu perkara yang dianggap baik oleh pelakunya maka dia tak terlintas pun untuk bertaubat na'uzubillah!

Peringkat Ketiga: Dosa-Dosa Besar

32. Para 'Alim 'Ulamak menggariskan beberapa perkara untuk mengkategorikan sesuatu sebagai dosa besar. Antara lainnya ialah, bila disebut tentang adanya hukuman terhadap perbuatan itu sama ada di dunia mahupun pada hari Akhirat, maka perbuatan itu dosa besar.

33. Selain itu, jika perbuatan itu disebut akan dilaknati oleh Allah SWT dan Rasulnya (SAW), maka perbuatan itu juga dikira dosa besar. Contoh yang selalu kita dengar ialah riba, berzina dan membunuh.

Peringkat Keempat: Dosa-Dosa Kecil

34. Disebut oleh Abu Abdissalam sebagai peringatan bahawa dosa-dosa kecil ini pada sesetengah orang hanya ibarat lalat yang singgah di atas muka. Kita hanya menepis (yakni ambil ringan) lalat itu dan tak ambil perhatian sangat.

35. Walhal, sambung beliau, bagi orang yang benar-benar beriman, dia tidak menilai betapa kecilnya dosa itu, tapi dia menilai betapa Besar dan Agungnya Allah SWT, sehinggakan tak sanggup dia melakukan dosa terhadap-Nya.

Peringkat Kelima: 'Berseronok' Dengan Perkara Halal

36. Dengan kata lain, kita melakukan perkara yang halal di sisi Islam, tetapi syaitan menghasut kita agar melampau batas sehingga kita lalai dan berdosa. Contohnya, kita beriadah tapi sehingga meninggalkan solat, atau kita makan makanan yang halalan toyyibah tetapi dalam kuantiti yang banyak sehingga malas beribadat.

Peringkat Keenam: Buat Perkara Baik Dah, Tapi Ada Yang Lebih Baik

37. Contohnya, kita membaca Al-Quran (dan perbuatan ini baik) tetapi sehingga kita mengabaikan anak yang sedang menangis. Dengan kata lain, syaitan menghasut agar kita salah dalam memilih keutamaan atau prioriti.

Peringkat Ketujuh: Melibatkan Orang Lain

38. Jika kita berjaya melindungi diri daripada kesemua enam peringkat dosa di atas, maka syaitan masih tak berputus asa. Dia akan menghasut orang lain untuk memburuk-burukkan kita supaya kita tak dicontohi oleh mereka.

39. Sekian saja untuk kali ini. Saya harap ia bermanfaat dan maaflah jika ada kesilapan di mana-mana. Silalah betulkan dan saya yakin antara adab menyampaikan ilmu ialah kita ikhlas untuk berkongsi dan juga ikhlas untuk ditegur jika membuat kesilapan.

40. Moga Allah jadikan kita orang beriman dan bertaqwa sehingga Hari Kiamat ameen..

41. Saya sediakan sedikit santapan rohani di bawah, satu (terjemahan) potongan ayat Quran, satu lagi maksud hadis:

Kata-kata Allah SWT yang cukup lembut dan penuh kasih sayang kepada kita,

"Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas (berdosa) terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Surah Az-Zumar (39:53)

"Setiap anak Adam itu ada kesilapan (dosa) dan orang berdosa yang terbaik ialah mereka yang bertaubat." 
(Riwayat At-Tirmidzi No 2499, 4/659)

Wallahua'lam, Allah Maha Mengetahui dan lebih mengetahui akan segala yang zahir dan tersembunyi..

Berita Terkini

42. Insya Allah, saya dalam proses menulis sebuah puisi yang bertajuk 'Pelangi Tak Berwarna' sebagaimana poster yang anda lihat di bawah. Dengan izin Allah, saya akan deklamasikannya dan rakam untuk dimuatkan sebagai satu montaj yang akan saya kongsikan di sini (blog), di laman IH.DE.NA dan Facebook saya serta di YouTube.

43. Tolong doakan ye. ;-)

Puisi Hati: Pelangi Tak Berwarna

6 comments:

Anonymous said...

mohon shared untuk ilmu bersama,jazakallah..syukran

Amirul Asyraf said...

Alhamdulillah. Silakan juga untuk masa-masa akan datang. Segala kebaikan dan puji-pujian milik Allah SWT. Moga bermanfaat. Doakan saya dan keluarga ;-)

Wassalam wbt

Nurul Nafi said...

Seronok baca entri ni. Diselit dengan contoh, jadi mudah difahami.

Peringkat-peringkat dosa tu, peringkat keenam tu kadangkala memang tak tahu mane satu yang ptt dipilih. Kene bijak menilaikan?

Ibnu Hanaffi said...

Alhamdulillah.

Ya, kena bijak menilai. Pada saya, kuncinya adalah untuk sentiasa meminta tolong dan doa daripada Allah SWT.

Semoga dengan kehendak-Nya, orang yang sentiasa berdoa akan sentiasa menjaga iman dan diberatkan hatinya ke arah perkara yang baik, lantas dijauhkan dari dosa dan maksiat ameen.. ;-)

Sebab itu tiap-tiap hari, 17 kali kita mintak diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Solat itu doa.

17 kali itu ada dalam Surah Al-Fatihah yang kita baca.

"Ihdinassiratolmustaqim.." (Tunjukilah kami jalan yang lurus)

Allahuaklam, terima kasih kerana sudi singgah. Semoga Allah redha sentiasa.

Doakan saya dan keluarga =)

AzwanRamli said...

Alhamdulillah,p'kongsian yang bagus...

# cool jer ustaz azhar...

Amirul Asyraf said...

hehe Ustaz Azhar memang cool as always =)

Jazakallah khair brother. Yang baik semuanya Allah punya. Maafkan saya jika ada kesilapan di mana-mana, itu kelemahan diri sendiri.

Doakan saya dan keluarga. Moga Allah berkati brother. Ameen..

Wassalam wbt ;-)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq