RSS

Tuesday, November 8, 2011

Nak Jadi Gay? (Versi 2.0)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

1. Berikut ialah sedikit sambungan dan perkembangan semasa tentang penganjuran Festival Seksualiti Merdeka. Artikel saya yang memulakan perbincangan tajuk ini boleh dibaca di sini.

2. Pertama, pihak polis telah mengeluarkan arahan agar festival ini dihentikan dan alhamdulillah, pihak penganjur bersetuju untuk membatalkan (walaupun festival ini sudah dijalankan dengan 'jayanya' sejak tahun 2008)!

3. Kedua, isu ini menjadi salah satu topik perbincangan hangat rakyat negara sehingga pelbagai pihak menyatakan rasa tidak setuju dalam pelbagai bentuk dan alasan. Saya kumpulkan sebahagian daripadanya (dan sudah saya khatamkan). Anda boleh merujuk pautan-pautan yang disediakan di bawah.

4. Pada kesempatan ini, saya cuma ingin menghurai dengan lebih lanjut tentang isu ini di samping memberi respon balas terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu yang menyokong penganjuran festival ini.

5. Pertama, kita sedia maklum bahawa mana-mana agama terutamanya yang terbesar seperti Islam sendiri, Kristian, Hindu dan Buddha melarang homoseksualiti dan sebarang bentuk orientasi seksual yang songsang yang lain. Maka, logiknya orang yang tak beragama saja yang sepatutnya menyokong aktiviti sebegini.

6. Pun begitu, kita mesti ingat, bahawa Malaysia negara berperlembagaan dengan Islam sebagai agama rasmi dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing, maka mereka yang tidak mempunyai agama seharusnya mencari tempat lain selain Malaysia. 

7. Bagi orang Islam pula, ketahuilah yang bumi ini milik Allah dan Dia telah mengharamkan homoseksualiti, maka jika ingin melanggar arahan-Nya, carilah tempat lain yang bukan milik Allah. Ada ke tempat lain? Perhatian: Planet Marikh pun milik Allah SWT.

8. Baik. Kalau menggunakan agama sebagai hujah tidak cukup, apa kata kita lihat dari sudut Sains pula?  

9. Walaupun sebenarnya bila bercakap tentang Sains, kita bercakap tentang agama kerana Sains itu ciptaan Tuhan, tapi oleh sebab ada yang hanya mahu melihat isu ini hanya dalam kaca mata Sains dan menidakkan terus agama, kita sama-sama sahut cabaran itu, jom!

AIDS dan HIV



10. Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit atau CDC (Centers for Disease Control and Prevention) di negara Amerika Syarikat telah mengeluarkan laporan kontemporari yang cukup mengejutkan.

11. Dalam satu statistik tahun 2006, walaupun golongan gay, biseksual dan sebagainya hanyalah kira-kira 2% daripada jumlah penduduk, lebih 53% jangkitan HIV berlaku dalam kalangan mereka ini yang melakukan hubungan sejenis! 

12. Satu lagi laporan juga dikeluarkan CDC pada September 2010 menyatakan bahawa daripada jumlah yang dijangkiti ini, separuh daripada mereka tidak sedar bahawa mereka dijangkiti HIV! Tidakkah ini satu fakta yang jelas dan menakutkan? Dan di sana juga, HIV dikenali sebagai 'Gay Disease'!

Sumber: (1), (2)

13. Tak cukup dengan itu, Organisasi Kesihatan Sedunia atau WHO (World Health Organisation) pula dalam satu laporan pada tahun 2009 mendedahkan bahawa seks sejenis oleh golongan homoseksual ini telah menjadi faktor penyumbang besar ke arah penyebaran HIV/AIDS di Asia. Penyataan ini dikeluarkan dalam satu bentuk amaran!

14. Di negara China, HIV/AIDS telah diisytiharkan menjadi penyebab kematian nombor satu dalam kategori penyakit berjangkit. Mengetahui bahaya penyakit ini, dan kaitan langsungnya yang kuat dengan amalan homoseksualiti, di mana letaknya logik untuk membiarkan budaya begini berleluasa?

Sumber: (3)

15. Justeru, soalan yang kita lontarkan kepada orang yang tidak mahu  mengikut ajaran agama sekarang ialah, adakah sekarang anda juga ingin menafikan fakta dan Sains (dari aspek kesihatan)? 

16. Menjawab persoalan hak asasi manusia pula, pertamanya kita seharusnya membezakan individualisme dan hak asasi manusia! Tidak ada manusia yang boleh hidup berseorangan, bahkan haiwan pun hidup berkumpulan dan kelompok. 

17. Maka hak asasi manusia tak sepatutnya terhad kepada hak individu tetapi mesti mengambil kira hubungan mereka dengan manusia yang lain. Mana ada manusia yang boleh tinggal berseorangan. Golongan homoseksual pun mencari pasangan!

18. Dengan kata lain, individualisme adalah sikap pentingkan diri yang melampau dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan hak asasi manusia. Dengan itu, jika orang-orang Seksualiti Merdeka berjuang atas kapasiti hak asasi manusia, mereka seharusnya membubarkan Seksualiti Merdeka!

19. Dalam artikel yang lalu, saya telah berikan contoh realiti bagaimana homoseksualiti menjadi punca rumah tangga kacau bilau. 

20. Sebagai sambungan, fakta mengenai HIV juga menunjukkan bahawa masalah sebegini tidak sama sekali melibatkan seorang individu sahaja kerana penyebaran penyakit mestilah merujuk kepada jangkitan kepada orang lain.

21. Selain itu, kita sudah bincangkan sebelum ini, bagaimana homoseksualiti adalah amalan yang mencantas proses pembiakan dan kesinambungan spesis Homo Sapien (manusia)! Adakah semua ini layak dipanggil hak individu sedangkan ia jelas mengganggu hak masyarakat yang juga merupakan manusia secara umumnya? Jadi apakah makna hak yang sebenarnya ingin dimaksudkan?

Sekadar alasan

22. Ada pihak yang membuat kenyataan bahawa festival ini hanyalah untuk mendidik masyarakat agar tidak mendiskriminasikan golongan minoriti ini, itu sahaja, bukannya untuk menggalakkan mahupun mempromosikan homoseksualiti dan sebagainya. Kemudian, disebut juga bahawa setiap orang berhak untuk tidak hidup dalam ketakutan.

23. Walaupun saya mengakui tidak ada orang yang patut didiskriminasikan, dicemuh, dihina malah diancam bunuh, namun soalan ini sepatutnya berbalik kepada mereka, iaitu jika mereka takut, mengapa mereka tidak terus tinggalkan amalan songsang sebegini?

24. Adakah layak kita membiarkan pembunuh dan perompak SELESA dan TENANG melakukan 'tugas' mereka hanya kerana tidak mahu mereka hidup dalam ketakutan? Saya tak menyamakan pembunuhan atau perompakan dengan homoseksualiti, tapi ideanya di sini ialah, bukankah ketakutan itu sebenarnya hadir daripada perbuatan yang salah?

25. Hanya yang bersalah akan hidup dalam ketakutan, dan homoseksualiti itu satu kesalahan dan satu penyakit yang mesti dirawat!

26. Persoalan perjuangan menidakkan diskriminasi pula tidak praktikal dan rasional. Kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Penjelasannya cukup mudah. Walaupun festival ini mungkin tidak mempromosikan homoseksualiti secara terbuka dan rancak, namun membenarkannya bererti memberi pengiktirafan, sekaligus dengan kata lain menggalakkan ia terus berlaku kerana tiada tentangan! Adakah perkara logik mudah begini pun sukar untuk difikirkan?

27. Jika seorang anak kecil ingin bermain api, adakah kita akan sekadar membiarkan? Padahal membiarkan bererti kita mengiktirafnya maka kita bersetuju anak kecil ini bakar diri sendiri hidup-hidup?

28. Soalan saya mudah sahaja. Saya setuju bahawa kita perlu mengajak masyarakat bertimbang rasa terhadap orang lain. Tetapi persoalan pertama ialah, adakah homoseksualiti, biseksualiti dan sebagainya harus diterima? Jawapannya semestinya tidak!

29. Oleh itu, memang kita perlu elakkan diskriminasi dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu berusaha menyediakan jalan kepada mereka ini untuk berubah dan 'sembuh'. Dengan kata lain, kita tolak sebarang kekasaran, tapi kita mesti tolak juga penyakit ini dan bukan membiarkannya berterusan!

30. Saya faham bahawa faktor seperti genetik, ketidakseimbangan hormon, mahupun trauma seksual boleh menjadi penyumbang kepada kecenderungan songsang ini. Namun, sekali lagi, faktor-faktor ini sendiri adalah bukti jelas bahawa ia satu penyakit yang seharusnya dirawat, dan bukannya dibiarkan!

31. Jawab soalan saya. Berapa ramai dalam kalangan golongan minoriti ini mempunyai kecenderungan sedemikian kerana memang sudah tiada pilihan? Saya yakin, majoriti mereka mempunyai pilihan dan bukannya dilahirkan begitu, tetapi mereka sebenarnya dikelilingi persekitaran yang mengiktiraf ketidaknormalan mereka. Menyalahkan Tuhan atau fitrah adalah alasan yang lembik semata-mata.

32. Akhir sekali, saya juga ingin bertanya kepada golongan ini, jika diberi pilihan, adakah anda mahu anak-anak anda menjadi gay, lesbian dan sebagainya? Sebenarnya anda tak perlu menjawab persoalan ini, sebab homoseksualiti untuk pengetahuan anda, tak boleh 'menghasilkan' anak maka adakah anda akan mempunyai anak?

33. Baik, soalan yang lebih wajar ditanya sebenarnya ialah begini. Bayangkan, jika ibu atau ayah anda gay atau lesbian, adakah anda fikir anda akan wujud di dunia ini? Fikir-fikirkanlah.

Latar Belakang Seksualiti Merdeka

34. Melalui penjelasan di atas, saya telah cuba jelaskan bahawa membenarkan bererti mengiktiraf. Melalui kajian saya, di negara Amerika Syarikat terdapat satu program yang dinamakan Itgetsbetter.

35. Saya tidak tahu jika Seksualiti Merdeka mendapat ilham dan motivasi daripada program begini tetapi saya merasakan ya. Program It gets better antara lainnya membolehkan golongan gay, lesbian dan sebagainya menghantar video mereka mendedahkan kepada umum tentang orientasi seksual mereka.

36. Dengan pendedahan sebegini kepada umum (internet boleh dicapai oleh masyarakat sedunia), maka mereka akan berasa lebih lega dan lebih baik (It gets better). Saya juga yakin usaha yang sama pernah dilakukan oleh Seksualiti Merdeka yang mengundang kemarahan umat Islam suatu ketika dahulu apabila seorang Muslim mendedahkan bahawa dia seorang Muslim yang gay di You Tube!

37. Harapan saya, hentikanlah semua ini. Apa lagi alasan yang mahu dikemukakan selepas ini?

38. Saya hanya mahu kita sepakat bahawa situasi ini satu penyakit. Maka kita bersama-sama selesaikannya, mencari jalan dan penawar. Saya juga bersetuju bahawa diskriminasi, cemuhan dan sebagainya harus dihentikan. Tetapi amalan songsang juga harus dihentikan. Win win situation, setuju?

39. Nasihat terakhir saya kepada golongan normal dan straight di luar sana, marilah sama-sama kita lebih berhikmah, bukannya pemarah. Kita mesti mendidik, bukan mengherdik. Saya amat kesal dan malu apabila mendapat tahu bahawa kita bertindak balas dengan bahasa-bahasa kasar, mencarut di sana-sini. Kita menghentam dosa dengan cara membuat dosa! Tak pelikkah?

40. Suka saya petik kata-kata Ustaz Hasrizal apabila beliau menyebut tentang soal ini katanya:

"Mereka memindakan penis dan vagina, kita mem'penis' dan men'vagina' kan minda."

41. Cukup tepat dan padat. Saya kongsikan apa yang saya faham, namun jika bukan ini yang beliau maksudkan, saya harap anda dapat perbetulkan saya.

42. Golongan Seksualiti Merdeka ini cuba merasionalkan orientasi seksual mereka melalui hujah dan pemikiran yang logik dan boleh diterima minda, maka mereka memindakan penis dan vagina. Malangnya, sesetengah daripada kita pula mengotori dan mengkuningkan minda kita dengan perkataan dan pemikiran-pemikiran lucah. Dengan kata lain, kenapa kita mem'penis' dan men'vagina' kan minda kita?

43. Wallahuaklam, Allah lebih tahu dan moga Dia terus membimbing kita ke jalan yang benar. Seribu kemaafan atas sebarang kekurangan. Moga bermanfaat! 

Wassalam..

Komen-komen lain di internet:

Ustaz Hasrizal Saiful Islam (1)(2)(3)
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (1)(2)

Istimewa Aidiladha 1432 Hijrah

Salam Aidiladha buat semua. Saya sajikan anda semua dengan satu vlog pendek sebagai penutup. Selamat menonton =)


0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq