Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Pada 28 Februari yang lalu saya ada kongsikan satu penyataan oleh Ustaz Syed Norhisham di Facebook, yakni berkaitan kerisauan beliau tentang perpecahan dan perselisihan pendapat umat Islam di Malaysia.
2. Lantas dijawab oleh guru beliau, "Janganlah risau Syed, kerana orang yang IKHLAS pasti akan temui TITIK PERSAMAAN!"
3. Alhamdulillah, saya mulakan dengan berkongsi semula penyataan di atas dengan satu harapan, agar sahabat pembaca semua ikhlaskan diri dan berlapang dada sebelum meneruskan pembacaan. Jika tak mampu berbuat demikian, saya syorkan dengan rasa penuh rendah hati agar anda berhenti di sini sahaja.
4. Terima kasih.
5. Baik, yang nak teruskan, tanam di dalam hati, bahawa apa yang kita cari sekarang ialah titik persamaan!
6. Telur dan ayam atau chicken and egg adalah satu konsep yang diketahui ramai. Ia menggambarkan satu bentuk dilema yang seolah-olah tiada hujung pangkal.
7. Adakah ayam dahulu, atau telurnya dahulu yang wujud? Jika ayam dahulu, dari telur mana ia menetas? Jika telur dahulu, di mana pula ibu ayam yang bertelur? Maka begitulah, sampai bila pun tak akan sudah.
8. Suka saya sebut awal-awal, artikel ini adalah berkaitan pandangan dan komentar peribadi saya terhadap suasana dan pendekatan politik tanah air. Di penghujung artikel ini juga, saya akan 'dedahkan' di pihak atau parti politik mana saya 'berpihak.'
BERUBAH: PEMIMPIN DULU ATAU RAKYAT DULU?
9. Salah satu persoalan besar terutamanya dalam kalangan kita orang Islam adalah tentang siapa dulu yang perlu berubah. Adakah kita perlu mengubah kepemimpinan dahulu? Atau adakah kita tak perlu fikir soal perubahan pemerintahan, tetapi fokuskan kepada perubahan setiap individu, yakni perubahan dalam orang yang dipimpin dahulu, iaitulah masyarakat.
10. Yang mana dulu? Anda rasa?
11. Dari satu sudut, saya melihat bahawa persoalan ini adalah persoalan 'telur ayam' tadi. Kedua-dua belah pihak ada hujah masing-masing.
12. Namun, saya akan jelaskan pandangan peribadi saya, bahawa sebenarnya ayam dan telur tak perlu lagi bergaduh.
13. Ini kerana premis Kentucky Fried Chicken (KFC) tak jual telur, mereka hanya jual ayam goreng sahaja (Baik, itu sekadar selingan. Abaikan. Tolong jangan kerutkan dahi, tak comel pun =p).
14. Bagi saya, masalah ini berlaku apabila kita melihat pemimpin dan rakyat (yang dipimpin) sebagai dua entiti yang berbeza secara total. Padahal, hakikatnya wujud pertindihan identiti antara pemimpin dan yang dipimpin sebenarnya.
15. Oleh itu, persoalan siapa yang perlu berubah dulu dapat diselesaikan dengan mudah, jika kita memahami bahawa seorang pemimpin itu adalah rakyat yang dipilih untuk memimpin, dan rakyat juga adalah orang yang memimpin diri mereka dan orang lain kerana mereka juga berhak membuat keputusan.
16. Ringkasnya, persoalan perubahan bukanlah persoalan siapa dahulu, tetapi persoalan mahu atau tak mahu. Jika mahu, maka pemimpin dan rakyat boleh berubah serentak!
17. Kejap, kejap. Tak semudah itu saudara.
18. Dalam realiti politik Malaysia, perubahan yang dimaksudkan adalah tentang persoalan adakah perlu mengubah tuan rumah atau pemilik 'Rumah Putih' di Putrajaya. Dengan kata lain, adakah Datuk Seri Najib Tun Razak mesti digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)?
19. Baik. Pihak A menyatakan bahawa keghairahan mengejar Putrajaya harus dielakkan kerana bukan itu matlamat utama kita umat Islam. Pihak B pula berpendapat bahawa Putrajaya harus ditawan supaya janji membawa perubahan kepada rakyat dapat ditunaikan.
20. Sekarang lebih jelas kan? Mengapa timbulnya soal prioriti dan keutamaan tentang apa yang dikejar masing-masing? Pihak A berhujah bahawa tidak perlu fikir soal perubahan pemerintahan, sebaliknya betulkan dulu rakyat dan masyarakat bawahan. Pihak B pula mahukan perubahan pemerintahan dahulu.
21. Hujah saya begini. Jika kita merujuk kepada persaingan antara dua pakatan atau perikatan parti terbesar tanah air (Barisan Nasional-BN dan Pakatan Rakyat-PR), persoalan adakah perlu mengejar Putrajaya agak tempang dan tak munasabah.
22. Hal ini kerana ia kelihatan seolah-olah hanya PR atau pembangkang yang harus disekat di sini kerana merekalah yang terlampau gila-gilakan Putrajaya. Walaupun kalau diletakkan dalam konteks yang betul, pihak yang gila-gila ingin 'mengekalkan' Putrajaya juga sedang berada dalam 'trek' kejar-mengejar, bukan begitu ke?
23. Bukankah kedua-dua pihak sedang berusaha keras memenangi undi dan sokongan rakyat?
24. Maka mesejnya di sini ialah, persoalan adakah perlu mengejar Putrajaya atau tidak pada saya tidak relevan, kerana tidak boleh tidak, kedua-duanya memang sudah lama saling berkejaran.
25. Biar saya terus terang. Saya percaya bahawa benarlah perubahan masyarakat itu bermula dengan perubahan dalam setiap individu, namun ia tak akan berjaya tanpa ada perubahan dalam kepimpinan.
26. Baik, katakanlah kita tetap mahu 'berdegil' bahawa masyarakat dulu yang perlu berubah. Pemimpin, nanti dulu! Atau tak payah!
27. Soalnya ialah, bukankah apabila masyarakat berubah, maka sebagai manifestasi kepada perubahan rakyat, mereka akan MENGUBAH kepimpinan mereka?
28. Dengan kata lain, hujah yang menyatakan perlu mengabaikan perubahan kepimpinan bagi saya tak masuk akal. Kerana jika rakyat berubah (dan itu yang diinginkan), secara automatik lahir keperluan untuk mencari pemerintah yang lebih baik, sebagai bukti bahawa rakyat sudah berubah!
TAATI PEMIMPIN WALAUPUN MEREKA ZALIM
29. Baik. Seterusnya, ada pula yang berhujah bahawa kita perlu dengar dan taat kepada pemimpin dan jemaah Muslim sekalipun mereka 'memukul punggungmu dan merampas hartamu.' Dihuraikan bahawa maksud perkataan itu adalah betapa perlunya kita bersama-sama pemimpin sekalipun mereka zalim terhadap kita (rakyat).
30. Hujah ini adalah untuk mengukuhkan lagi pendapat bahawa tidak perlu mengubah pemerintahan.
31. Maaf, saya amat tak bersetuju. Dan saya sediakan hujah saya seperti berikut. Jika saya tersalah atau silap, saya mohon betulkan saya. Tegur-menegur itu tanggungjawab bersama, saya akan menerima dengan hati yang terbuka, jika jelas dan benar hujah saudara.
32. Pertama, betapa banyak perkataan zalim yang digunakan dalam Al-Quran. Setakat pengetahuan saya yang kerdil ini, tak pernah saya jumpa di mana-mana perkataan zalim digunakan dalam konteks yang positif atau baik.
33. Dengan kata lain, Al-Quran cukup jelas menjelaskan betapa jeleknya kezaliman, apa jua pun bentuk kezaliman itu. Tak pernah pula saya jumpa 'pengecualian' terhadap kezaliman yang dilakukan oleh seorang pemimpin.
34. Malah disebut di dalam satu artikel yang saya baca, bahawa orang yang zalim itu memang layak diperintah oleh pemerintah yang zalim sebagai balasannya, dan hujah ini membawa mesej bahawa ubahlah dulu masyarakat, kerana sebab masyarakat tak berubahlah mereka dizalimi. Tak perlu ubah pemimpin!
35. Sekali lagi saya rasa hujah sebegini agak dangkal. Bukankah salah satu bentuk kezaliman yang rakyat itu lakukan adalah dengan mengekalkan pemimpin yang zalim? Bukankah itu satu kezaliman?
36. Dengan kata lain, ya benar rakyat terlebih dulu yang perlu menjauhi kezaliman. Tetapi bukankah menyingkirkan pemimpin yang zalim itu salah satu bentuk menghapuskan kezaliman? Di mana rasionalnya untuk menidakkan keperluan mengubah pemerintahan di sini?
37. Sedangkan Nabi SAW, yang berjaya mendidik para sahabat, masyarakat dan umat Islam sewaktu zaman baginda, adalah contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin yang baik itu sangat diperlukan kerana dialah yang menentukan hala tuju ummah, dan dia jugalah yang membimbing dan menjadi ikutan masyarakat.
38. Baik, saya mahu sentuh sedikit tentang frasa 'memukul punggungmu dan merampas hartamu' yang disebut di atas. Izinkan saya gambarkan dalam satu bentuk analogi mudah.
39. Jika hari ini, seorang bapa merotan atau menghukum anaknya, dan mengurangkan duit belanja poket anaknya kerana anaknya melakukan kesalahan, adakah anak tersebut boleh menganggap ayahnya zalim? Dan dia masih perlu taat pada ayahnya yang zalim itu?
40. Jawapan saya mudah. Anak itu yang melakukan kesalahan. Dia yang menzalimi diri. Bukannya si ayah yang memukul dan menghukumnya. Kerana itu, ayahnya yang 'memukul punggungnya dan merampas hartanya' telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan pemimpin kepada si anak itu maka masih layak si ayah ini dihormati dan ditaati!
41. Dengan kata lain, dalam pemahaman saya yang dhaif lagi faqir ini, frasa 'memukul punggungmu dan merampas hartamu' merujuk kepada hak pemimpin untuk dihormati dan ditaati tatkala dia menjalankan tanggungjawabnya mendidik rakyat yang layak dididik sedemikian rupa.
42. Bukanlah maksud frasa 'memukul punggungmu dan merampas hartamu' itu pemimpin yang zalim menganiayai dan membunuh masyarakat tak bersalah, atau merompak harta rakyat dan serta makan rasuah, tetapi masih wajib ditaati! Bobrok! Tak masuk akal!
43. Sekali lagi, bukankah banyak nas dan dalil yang menjelaskan tentang perlunya mencegah kemungkaran? Tunjukkan kepada kita semua, di mana pengecualian dan keistimewaan ini dianugerahkan kepada manusia bergelar pemimpin?
44. Sebelum saya teruskan, saya rasakan seperti ada yang mula mahu berganjak lari kerana saya nampaknya macam sangat 'fanatik' dan 'lantang' menyokong pihak pembangkang atau PR.
45. Maka baik saya jelaskan di sini sekali lagi, bahawa kita sekarang sedang merujuk konteks negara Malaysia. Bukankah di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, pemerintahnya adalah pembangkang?
46. Maksud saya mudah. Jika mereka ini, yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang menzalimi rakyat, saya tak setuju jika mereka dibiarkan kekal. Saya mahu menjadi orang pertama yang mahukan pergantian orang-orang ini, dengan syarat mereka benar-benar zalim. Boleh?
47. Dengan kata lain, bagi mereka yang merasakan bahawa rasuah dalam *kerajaan BN boleh dibiarkan, anda sepatutnya juga tak sepatutnya berjuang menentang DSAI yang menyokong orang murtad, liberalisme dan pluralisme! Bukankah anda kata kita harus taat walaupun mereka zalim?
*Penyataan tentang BN dan DSAI ini bukan penyataan yang berasal daripada saya. Saya cuma berikan satu contoh. Sejauh mana kebenarannya, anda sendiri yang harus membuat penilaian. Terima kasih.
48. Fikir-fikirkanlah, jangan sampai hujah memakan diri sendiri.
49. Seperkara lagi, saya amat tak bersetuju bila ada yang menyatakan bahawa rakyat perlu lihat kesalahan sendiri dahulu sebelum melihat kesalahan pemimpin. Sepatutnya kita kata, sama ada pemimpin atau rakyat, kalau kesalahan tetap kesalahan.
50. Tak logik jika nak kata kesalahan rakyat itu OK kerana pemimpin buat salah juga, ataupun tak apalah pemimpin buat salah, rakyat pun buat juga. Tak ke bobrok penyataan begini?
51. Malah ada pula penyataan yang menyebut bahawa 'Betapa ramai rakyat yang mengabaikan solat tapi mengharapkan pemimpin seperti Umar Abd Aziz?' Eh? Tak masuk akal lah.
52. Pada hemah saya, orang yang mengabaikan solatlah yang tak mahu pemimpin seperti Umar Abd Aziz. Kerana Umar Abd Aziz pasti akan menghukum orang yang mengabaikan solat!
53. Dengan kata lain, memindahkan kesalahan atau blame kepada masyarakat itu saya boleh terima, tetapi jangan jadikan itu hujah untuk taat pada pemerintah yang zalim!
54. Atau dengan kata lain lagi, ya, masyarakat tak boleh mengabaikan solat. Tetapi bila sudah solat, menjadi tanggungjawab rakyat yang solat inilah untuk memilih pula dalam kalangan mereka, seorang pemimpin yang boleh mengimamkan mereka dalam solat! Ada faham?
55. Baik, izinkan saya masuk bab perhimpunan Bersih 3.0 pula. Pertama, ada kenyataan bahawa perlu pula menunaikan kewajipan Haji atau Umrah dulu, barulah boleh sertai Bersih 3.0.
56. Maaf, sekali lagi saya melihat hujah ini kebudak-budakkan. Benarlah Haji dan Umrah itu satu tuntutan, malah lebih penting daripada perhimpunan Bersih 3.0 dan banyak perkara kepolitikan yang lain.
57. Namun saya tak bersetuju menjadikan Bersih 3.0 sebagai satu acara untuk pak Haji dan Hajjah sahaja, melainkan jika kos atau jumlah wang yang sama diperlukan untuk berhimpun!
58. Bila bercakap soal prioriti, kita perlu membanding bezakan dua perkara yang berada pada kategori yang serupa. Pendek kata, antara membeli kereta mewah dengan menunaikan haji, lebih baiklah pergi haji. Kerana jika beli kereta mewah, tak ada duit nak pergi haji. Kan satu kategori tu?
59. Maka persoalan bolehkah menyertai Bersih 3.0 tiada kaitan dengan tuntutan Islam yang mulia ini. Kerana berhimpun sedikitpun tak merencatkan apa-apa sumber yang perlu untuk menunaikan haji insya Allah.
60. Pun begitu, saya pun ada sedikit teguran untuk yang berhimpun. Pertama, pastikan tahu matlamat berhimpun. Dan saya tak khususkan kepada perhimpunan Bersih 3.0 sahaja. Bahkan perhimpunan atas nama berjuang untuk hak Palestin pun sepatutnya begitu.
61. Bukanlah tak boleh merasai suasana dan semangat berhimpun tanpa ilmu dan input di dada, tetapi matlamat perhimpunan itu sendiri sebenarnya adalah untuk menzahirkan kesedaran tentang isu yang dibangkitkan, bermakna sudah ada ilmu di dada tentang apa yang dilaungkan dalam perhimpunan.
62. Atau sekurang-kurangnya, jika berhimpun dengan jiwa dan minda kosong sekalipun, pastikan semangat itu berterusan selepas habis berhimpun, agar tindakan yang lebih konkrit diambil dan diusahakan. Perkara ini saya tujukan terutamanya kepada orang awam dan pelajar seperti saya.
63. Pun begitu, saya tak mempunyai masalah dengan Bersih 3.0, bahkan saya menggalakkan kita sama-sama merasai suasananya, bagi mereka yang mampu dan berkeinginan.
64. Kerisauan yang berlaku kebiasaannya adalah isu barisan kepimpinan Bersih 3.0 ini, dan saya amat bersetuju, ada dalam kalangan mereka yang merupakan pejuang-pejuang dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.
65. Namun prinsip saya mudah. Itu hak mereka, kita jangan sokong dan jangan melenting. Pandangan saya ialah, Bersih 3.0 adalah pergerakan menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya, dan ini satu perkara yang dianjurkan dalam Islam.
66. Maka ia adalah satu akhlak Islam yang kita perlu junjung. Jika mereka ini (Ambiga contohnya) ingin bersama, maka apa salahnya kita benarkan.
67. Bukan pula sebaliknya. Dia yang menyokong perhimpunan yang ada unsur baik dan Islamik ini. Bukannya kita yang menyokong mereka berjuang untuk orang murtad. Itu isu dan acara lain, dan yang itu memang saya tolak bulat-bulat. Namun penolakan dan tentangan kita ada cara dan kaedahnya.
Kita wajib pastikan kita membuat pilihan dengan rela hati, bukan terkongkong dan terkurung |
68. Sebagai penutup, suka saya sentuh sedikit tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
69. Saya berharap tiada lagi yang berhujah bahawa AUKU itu perlu kerana pelajar sepatutnya fokus kepada pembelajaran. Mentaliti sebegini bagi saya, wujud hasil daripada sistem pendidikan kita yang pincang.
70. Mahasiswa yang tak matang hanya melihat ilmu itu sebagai perkara akademik sahaja, dan akademik di sini selalunya bermaksud lulus peperiksaan.
71. Padahal universitilah pusat perkembangan ilmu yang terbaik, dalam memberikan pelajar satu autoriti yang lebih besar untuk membuat pilihan sendiri serta terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan negara dengan lebih dekat, termasuklah politik.
72. Kita menolak penuh sebarang ketaksuban dalam politik, mahupun penyalahgunaan sumber manusia daripada kalangan mahasiswa untuk kepentingan parti politik tertentu.
73. Namun, perkara begini pada saya berlaku kerana AUKU, bukannya tanpa AUKU! Kekangan kepada mahasiswa selama ini menyebabkan ramai mula menjadi tidak endah dan tak matang dalam penglibatan politik.
74. Cuba kita fikir. Sepatutnya, yang menyokong AUKU kerana mahu mahasiswa tumpukan pelajaran, tak adalah pula memberi komen terhadap mereka yang menentang AUKU. Kerana bukankah prinsip mereka, mahasiswa perlu belajar sahaja ye dak?
75. Tapi tidak. Mereka juga sama aktifnya dengan yang menolak AUKU. Paradoks kan?
76. Pun begitu, bagi saya ia sebenarnya satu perkembangan yang baik. Ia membuka ruang supaya mahasiswa boleh memberikan pendapat walaupun dalam hal politik, dengan mengetahui had dan batasan masing-masing.
77. Maaf kalau ada yang tak setuju, namun bagi saya kalau betullah nak halang sebarang gangguan daripada pelajaran mahasiswa, bukan ke lebih baik membuat akta mencegah couple? Kenapa bercouple tak mengganggu pelajaran pulak yedak? *wink wink*
78. Ya mungkin saya tak serius, tapi maksud saya di sini, kita perlu faham, kita bukannya menolak AUKU untuk memaksa mahasiswa berpolitik, tapi kita mahu memberi pilihan kepada mereka yang mahu untuk diberikan peluang dan yang tidak mahu, bolehlah hidup di dunia masing-masing, mudah je kan?
79. Sebagai penutup, seperti dijanjikan ya saya perlu membuat pengakuan bersifat politik. Secara umumnya, saya lebih cenderung menyokong agar UMNO dan Barisan Nasional digantikan. Maaf bagi yang tak setuju.
80. Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya melalui Pengarah Strategiknya, Rafizi Ramli telah berjaya membawa unsur Islam yang hidup apabila menunjukkan bahawa seorang Muslim mampu membongkar kepincangan besar yang berlaku dalam negara kita, dalam bab duniawi seperti kewangan dan ekonomi, bukan sekadar dari aspek ukhrawi sahaja.
81. Dengan kata lain, Islam itu ilmu. Dan ilmu Allah SWT itu Maha Luas. Kita perlukan lebih ramai Muslim yang mahir dalam bidang keduniaan yang lain agar kita menolak kezaliman dan pemanipulasian di dalamnya!
82. Parti Islam Semalaysia (PAS) pula pada saya sudah lama membawa identiti Islam yang cukup baik untuk menjadi medan bagi mereka yang melihat Islam sebagai objektif utama dan terbaik untuk seluruh umat, baik Muslim mahupun bukan Muslim.
83. Akhir sekali, Democratic Action Party (DAP), di sebalik tentangannya terhadap hukum Islam dan sebagainya, yang merupakan perbezaan pendapat yang diraikan tetapi tak akan saya terima sebagai satu bentuk kompromi agama, sekurang-kurangnya menunjukkan kesediaan dan kepercayaan orang bukan Islam majoritinya, terhadap persahabatan dan perpaduan serta kepercayaan mereka terhadap umat Islam, melalui PAS dan PKR terutamanya.
84. Moga Allah SWT membantu kita dalam membuat keputusan yang lebih baik. Janganlah menjadi lalang yang tak ada keputusan atau play safe sahaja. Umat Islam mesti berani, bukan penakut dan bermuka-muka.
85. Dan takutlah pada Allah SWT. Bukannya pada individu tertentu. Saya secara peribadi memang tak menggemari individu tertentu dan berjaga-jaga dengan agenda mereka terhadap Islam, tetapi penilaian yang baik akan memandu kita membuat keputusan yang bijak dan berhati-hati.
86. Walaupun sesetengah orang Islam amat anti pada Parti Khalidsamad dan anwaR, namun sekali lagi saya sebut, saya positif bahawa kuasa Allah SWT dan rakyat itu lebih besar dan ramai lagi insan hebat yang boleh dipercayai jika bukan mereka berdua!
Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.. Maaf atas sebarang kekurangan mahupun kesilapan di mana-mana.
Renungilah kata-kata dan pengakuan Ustaz Hasrizal Jamil yang berani dan jujur di bawah ini:
"Saya sekadar memaklumkan kepada mereka yang LIKE halaman ini: Nama saya Hasrizal bin Abdul Jamil. Saya ada blog, buku, ceramah, dan artikel di majalah. Saya tidak pasti apa yang membawa sahabat datang ke 'halaman saya' ini.
Namun sebagai rakyat Malaysia, saya senaraikan komitmen-komitmen demokratik saya yang sah di sisi undang-undang Malaysia iaitu saya ahli PAS seumur hidup, mengundi Pakatan Rakyat, berdakwah kepada semua dan saya menolak apa-apa yang setakat ilmu, kemahiran dan maklumat saya, menunjukkan ia sebagai kezaliman dan kebatilan. Saya galakkan anda juga membuat pendirian yang jelas dalam ruang lingkup dunia realiti semasa yang ada. Saya menghormati apa sahaja pilihan anda. Facebook menyediakan butang LIKE dan UNLIKE. Untuk anda yang tidak suka, Facebook tidak menyediakan butang DISLIKE atau HATE. Izinkan saya berkongsi tip, tekan butang LIKED dan pilih UNLIKE, saya tidak akan mengganggu hidup anda lagi. Anda mampu mengubahnya."
Ustaz Zamri yang mantop pun berani 'turun padang.' |
0 comments:
Post a Comment