Anda boleh muat turun buku ini (pdf) di sini. Sumber: Ustaz Ismat Nazirin |
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Ustaz Ismat Nazirin bin Mat Isa (Kiri) |
1. Semalam, mengakhiri bulan Mac 2012, saya ditugaskan sebagai bidan terjun untuk mengacarakan sebuah majlis ilmu atau program yang bertajuk Fiqh Medik (Perubatan) di International Medical University, IMU (Bukit Jalil).
2. Sebagai bidan terjun, saya tak menyambut kelahiran mana-mana bayi di muka bumi, apatah lagi terjun dari tingkat empat bangunan IMU yang sebenarnya tak tinggi pun. Namun, saya masih juga bidan terjun.
3. Mengenang kembali artikel yang lepas bertajuk Doctoring The Black Sheep, sedikit sebanyak keberadaan saya di tempat yang bernama Bukit Jalil ini menyentuh hati dan perasaan.
4. Sebagai insan yang lemah dan banyak kekurangan, kadang-kadang saya sensitif dan sentimental. Kadang-kadang mungkin jugak emosional. Tapi buat masa ini, saya masih mampu pendam dan simpan di dalam hati, di balik senyuman yang cuba dilemparkan, kerana mengharap ia terbalas dengan senyuman insan lain yang melihat.
5. Banyak orang tak faham pengorbanan yang kita lakukan. Banyak perkara yang cukup mudah terlepas pandang. Jarang-jarang kita bersyukur atas kebaikan orang lain. Kadang-kadang mungkin saya pun begitu.
6. Bila diri rasa seolah-olah tak dihargai, rasa cinta dan sayang mula menebal terhadap segelintir yang masih mampu menunjukkan rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap pertolongan yang dihulurkan.
7. Orang-orang inilah, yang walaupun sedikit bilangannya, namun keikhlasan hati mereka dalam meminta tolong dan membalasnya dengan kebaikan dan kerendahan hati, mendapat doa saya dari jauh agar diredhai segala usaha dan pengorbanan mereka. Ameen.. Sekali lagi, mereka ini kecil bilangannya.
8. Manusia cukup kuat berdengki. Mungkin saya pun begitu. Namun, saya cuba bina kekuatan untuk menjauhinya, melalui kisah Al-Quran seperti kisah jahatnya Iblis.
9. Iblis laknatullahi 'alaih, bukannya kafir kerana tak percayakan kewujudan Allah SWT (Atheist dan pagan perlu muhasabah tentang 'kelebihan' iblis dalam bab ni), tapi kerana kedengkiannya kepada Nabi Adam AS dan juga rasa bongkaknya tak mahu taat dan patuh pada Allah SWT apabila disuruh sujud hormat pada Nabi Adam AS.
10. Konon-kononnya dia yang dicipta daripada api lebih mulia berbanding Adam AS yang dicipta daripada tanah. Adakah kita dengki dan bongkak seperti iblis?
11. Sebagai pengacara majlis, saya sempat berkongsi pendapat yang sebahagiannya adalah dicedok daripada isi kandungan ceramah yang dibicarakan oleh dua orang penceramah yang hadir semalam, yakni Dr Zainur Rashid Zainuddin dan Ustaz Ismat Nazirin bin Mat Isa.
12. Kedua-dua tokoh ini adalah antara individu yang saya hormati dan segani.
13. Pertama, tentang mudahnya Islam.
14. Fiqh atau fekah merujuk kepada kefahaman kita terhadap Islam, yakni dispesifikkan oleh para 'ulamak sebagai ilmu amali atau perbuatan yang berdasarkan dalil dan nas yang sahih lagi kukuh.
15. Ilmu fiqh ini menunjukkan bahawa Islam itu amat mudah. Islam kelihatan susah dan memang dirasai susah bila kita tak berilmu. Dalam erti kata lain, Islam itu tak susah, tapi kita yang menyusahkannya (kerana kurang ilmu).
16. Ayat 5 dan 6 Surah Al-Insyirah (surah yang ke 94 dalam Al-Quran) menjelaskan bagaimana Allah SWT menyebut dalam setiap kesulitan adanya jalan keluar atau kemudahan. Kemudian diulang sekali lagi perkara yang sama.
17. Dahulunya, saya faham bahawa kalau kita sakit selama seminggu, maka lepas tu akan sembuh. Atau kalau kita kesempitan wang, kemudian kita akan meraih semula kestabilan ekonomi selepas tempoh tertentu. Mungkin ada benarnya perkara ini, yakni kita yakin Allah SWT sentiasa memberikan pertolongan kepada hamba-Nya yang perlukan-Nya.
18. Namun adakah hanya selepas tempoh tertentu?
19. Tidak juga. Bila seseorang didatangi kepayahan, sebenarnya secara automatik juga keringanan itu hadir. Dalam bahasa Arab, keringanan atau kemudahan diterjemah sebagai rukhsah.
20. Jadi, seorang musafir contohnya yang mengalami 'kesulitan' dari aspek masa, tak perlu tunggu lama, kerana dalam tempoh musafirnya itulah dia diberi keringanan atau rukhsah. Dia boleh menjamakkan solatnya dan memendekkannya juga (qasar).
21. Demikian juga bila orang sakit tak boleh berdiri. Dia tak perlu tunggu untuk pulih, namun dalam kesakitannya itu, Allah SWT mengasihinya dengan memberikan keringanan (yakni rukhsah) untuk tak solat berdiri tetapi duduk.
22. Jika tak mampu, boleh mengiring. Jika tak mampu lagi, boleh berbaring. Jika tak mampu lagi, menggunakan mata. Atau jika tak mampu juga, pergi terjun lombong (baik, ayat terakhir itu sekadar gurauan ya).
Dalam setiap kesulitan, ada kemudahan. Yakinilah! |
23. Terima kasih Ustaz Ismat. Banyak lagi kandungan praktikal beliau kongsikan sebenarnya. Moga Allah rahmati beliau dan ganjari dengan syurga milik-Nya, ameen ameen ameen. Rakan-rakan yang hadir, sila betulkan saya di mana yang tersilap. Terima kasih.
24. Dr Zain pula adalah sumber motivasi yang cukup besar terutamanya kepada pelajar perubatan (walaupun saya bukan lagi pelajar perubatan).
25. Saya kagum pada sumbangan beliau terhadap masyarakat sebagai seorang doktor dan aktivis yang cukup aktif dalam isu Palestin dan Timur Tengah, namun yang paling saya kagumi adalah sumbangan dan kasih sayangnya terhadap Baitul Muslim (yakni keluarga) yang beliau bina dan ketuai.
26. Beliau dengan jelas menunjukkan contoh bagaimana keluarga memainkan peranan yang paling penting dalam membentuk generasi ulul albab yang kita impi-impikan selama ini. Masanya akan tiba untuk hari itu. Dan yang menentukannya adalah generasi muda kita pada hari ini.
27. Kita tak mungkin dapat lakukan tanpa peranan yang dimainkan oleh orang seperti Dr Zain.
Dr Zain: Dekan Melayu Muslim pertama di IMU Clinical School, Seremban |
28. Saya juga sempat menyentuh tentang pergerakan Revolusi Feminisme yang cukup aktif dan berleluasa di negara Barat, dan juga saya yakini mempengaruhi rakyat negara kita sama ada melalui media, mahupun melalui orang-orang tertentu yang 'mengaji' di negara Barat kemudian membawa balik fahaman songsang ini.
29. Pejuang Revolusi Feminisme berjuang melenyapkan identiti gender, walaupun dalam masa yang sama menaikkan status wanita dan membenci kaum lelaki. Mereka ini percaya mereka tak perlukan lelaki dan lebih afdhal atau mulia menjadi seorang lesbian.
30. Lebih baik 'memberi khidmat seks' kepada lelaki dalam bentuk pelacuran kerana itu tandanya lelaki perlukan wanita untuk hidup (yakni lelaki yang gilakan seks) tetapi hubungan suami isteri melalui pernikahan adalah satu penghinaan kerana dalam hubungan pernikahan (marriage) lelaki dilihat sebagai raja dan pemanipulasi wanita. Mereka say no to marriage. Ternyata bobrok!
30. Lebih malang, pekerjaan suri rumah atau homemaker dianggap hina dina dan memalukan. Padahal wanita itu kemuliaan mereka letaknya pada peranan mereka sebagai ibu dan isteri. Lelaki yang bergelar suami pun lahir dari rahim seorang wanita bergelar ibu!
31. Kekuatan fizikal lelaki tak kan mampu melawan kekuatan emosi seorang ibu yang menanggung kesakitan melahirkan anak yang diibaratkan seperti 20 tulang diretakkan sekaligus dalam masa yang sama.
32. Bagaimana si wanita yang lemah fizikalnya boleh menahan dan menanggung kesakitan ini?
33. Bila mereka menjerit bertarung nyawa mengeran dan berusaha keras menolak keluar kandungan rahim, perasaan itu berubah secara total, kepada senyuman dan kadang-kadang air mata kegembiraan, kerana tangisan seorang bayi yang baru lahir kedengaran di telinga mereka- satu anugerah yang paling agung ketika itu. Siapa mereka ini? Merekalah seorang ibu.
34. Dan tidak adalah seorang ibu melainkan dia itu seorang isteri.
35. Sebagai penutup, ingin juga saya sebut tentang peranan rumah sakit.
36. Menjadi tugas kita sebagai yang memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan, mahupun sebagai pesakit, untuk menghayati akan mudah dan hikmahnya Islam.
37. Mereka yang sakit masuk hospital dan klinik bukan saja sakit fizikal tetapi juga emosi. Ustaz Ismat selalu tekankan akan peri pentingnya mengajak orang sakit untuk solat. Walaupun kadang-kadang orang ini sewaktu sihatnya pun dia tak solat!
38. Tapi adakah itu alasan untuk tak mengajaknya solat? Padahal itulah masa terbaik untuk 'merawat' hati dan rohnya yang sudah lama rindukan fitrah dan kasih sayang Allah SWT.
39. Semoga apabila pesakit ini sihat dan keluar daripada hospital, mereka juga sihat sebagai seorang yang mula menjaga solat.
40. Adakah peranan kita hanya melihat atau kita ada sesuatu yang perlu dibuat? Kepada doktor dan jururawat di luar sana, peranan 'kita' bukan hanya untuk memastikan bahawa bila mereka keluar, mereka sihat. Tetapi lebih baik lagi kita pastikan bila mereka keluar, mereka juga solat- itulah yang hebat dan membawa berkat. Ok dah habis, cut!! (Tuan Direktor yang jerit bukan saya)
Allahuaklam wassalamualaikum wbt.
-Terima kasih yang tak terhingga terutamanya kepada sahabat yang dimuliakan Sabiq dan Aqi serta rakan-rakan serumah yang lain yang menumpangkan patik di rumah kalian. Demikian juga yang sempat berjumpa dan gagah mengukirkan senyuman. Semua itu adalah hadiah yang berharga buat seorang pejuang yang pernah 'tumbang' di Wilayah Bukitul Jalil.
-Maaf kepada yang tak sempat saya temui. Perjalanan balik saya dari BJ ke Damansara panjangnya ibarat perjalanan musafir dari KL ke negeri utara. Sebab itu saya bergegas. Moga ketemu lagi!
0 comments:
Post a Comment