RSS

Tuesday, October 25, 2011

Oh Islam!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

1. Saya pada awalnya bercadang memuatkan di sini satu bingkisan pidato ringkas berkenaan Islam yang saya sampaikan untuk dikongsi bersama, dan juga sebagai usaha peribadi untuk turut sama belajar. Pun begitu, tidak sempat pula melainkan hanya 10% daripada proses pembikinan yang baru siap.

2. Jadi, insya Allah, jika tiada lagi aral dan dengan izin Allah, saya akan muatkan video tersebut di YouTube dan di sini hujung minggu ini. Ringkasnya, dalam video tersebut saya cuma berhasrat berkongsi sedikit sebanyak tentang apa yang perlu kita fahami tentang Islam, dengan harapan agar perkara-perkara yang disyarah nanti mampu menarik minat untuk kita lebih mendalami agama Islam yang kita anuti insya Allah. Buat masa ni, saya hanya boleh berkongsi teaser sahaja.


3. Justeru, kali ini izinkan saya sekadar berceloteh tentang Perhimpunan Satu Juta Umat (HIMPUN) yang telah dijalankan dengan jayanya pada hari Sabtu yang lalu (22 Oktober 2011) di Stadium Shah Alam, Selangor.

HIMPUN

4. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah atas penganjuran ini, dan doa saya agar Allah SWT sentiasa merahmati dan meredhai sesiapa jua yang berjuang di jalan-Nya. Pun begitu, saya ada beberapa isu tentang HIMPUN yang ingin diketengahkan di sini, dengan harapan agar kita sama-sama memperbetul beberapa perkara yang mungkin tak disedari atau terlepas pandang.

5. Isu pertama: Pihak bukan Islam mempersoalkan keadilan dalam Islam yang ditonjolkan oleh golongan Muslim di negara kita. Berdakwah untuk orang masuk Islam boleh, tapi berdakwah untuk orang masuk agama lain tidak boleh. Adil ke ni? Inikah ajaran Islam?

6. Selalunya, jawapan mudah kita ialah, sila rujuk perlembagaan! Walaupun jawapan ini betul, tetapi pada saya ia tidak cukup berhikmah. Kalau ada Muslim yang nak minum arak sebab perlembagaan tak pernah sebut tentangnya bagaimana? Ya, sudah tentu kita akan jawab, sila rujuk Al-Quran. Soalnya, bila nak guna perlembagaan, bila nak guna Al-Quran? Lu pikir la sendiri! (ni bukan saya cakap, Nabil yang cakap).

7. Maka, perkara pertama yang perlu difahami di sini ialah, rujukan utama kita ialah Al-Quran, bukannya perlembagaan. Dengan kata lain, perlembagaan jika selari dengan Al-Quran, barulah boleh diterima, tetapi jangan melihatnya seperti satu wahyu dari langit yang tidak ada cacat celanya.

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
Surah An-Nahlu (16:125)

8. Biar saya jelaskan. Saya juga amat menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha memurtadkan orang Islam. Pun begitu, perlu dijelaskan kepada semua pihak, yang menjadi masalah terbesar sekarang ialah, usaha memurtadkan Muslim ini dilakukan dengan cara yang salah dan ada unsur penipuan. 

9. Contohnya, sesetengah pihak memberikan bantuan kepada keluarga Muslim dengan syarat atau usaha menarik mereka keluar agama! Ini namanya mengambil kesempatan. Ada juga yang mengadakan 'majlis ilmu' yang memberikan hadiah berupa wang kepada para pesertanya, dan habuan ini meningkat dari satu sesi ke sesi berikutnya, sehinggalah seorang Muslim dipesongkan aqidahnya! Banyak lagi teknik licik lain yang digunakan, itu sudah pasti.

10. Pokok pangkalnya di sini ialah, Islam juga melarang bentuk penipuan sedemikian. Maknanya jika seorang Muslim berdakwah dengan cara 'membeli' orang bukan Islam dengan wang, itu adalah salah! Dengan kata lain, inilah yang sepatutnya dibanteras dan dibenci. Sama ada Islam mahupun agama lain, bentuk penipuan sebegini adalah patut ditentang sama sekali!

11. Sekarang, mungkin ada yang menyoal. Jadi, jika ada gerakan yang berusaha dengan cara baik dan bukan penipuan untuk meyakinkan seorang Muslim untuk keluar Islam, maka dibolehkan? Jawapannya sudah tentulah tidak sama sekali. Sebagai seorang Muslim, saya menyokong penuh hukum Allah ditegakkan kepada golongan yang murtad. Pun begitu, saya minta kita faham, bahawa hukum bunuh golongan murtad ini bukan sembarangan. Prosesnya panjang dan teliti. Orang yang murtad akan terlebih dahulu dibantu, dinasihati dan diberi amaran.

12. Soalnya ialah, jika seseorang diberi penjelasan dan penerangan yang adil dan telus mengenai Islam dan agama selainnya, insya Allah, seorang yang waras dan rational PASTI akan menerima Islam, tanpa perlu dipaksa! Hal ini sudah dijelaskan oleh Allah, maka kenapa perlu kita terlalu takut?

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)..."
Surah Al-Baqarah (2:256)

13. Ayat ini dengan jelas menyebut, tanpa sebarang bentuk paksaan, mahupun kekerasan, yang benar dan haq akan jelas terpampang berbanding yang batil. Adakah yang datang daripada Allah itu boleh disamai dengan yang direka oleh manusia? Sudah tentu tidak! Tetapi, masalahnya sekarang ialah, kita yang terkadang tidak mempersembahkan Islam yang sebenar. Maka, usaha yang lebih memerlukan tumpuan sekarang, ialah berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar.

"Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap."
Surah Al-Isra' (17:81)

14. Maksud saya mudah. Pertama, tolong kembalikan keyakinan orang Islam kepada Islam dengan cara yang berhikmah. Jangan ugut mereka untuk memasuki Islam atas paksaan dan undang-undang. Kedua, kita menentang sebarang kezaliman yang berbentuk penipuan dalam menyesatkan umat Islam, dalam masa yang sama, kita harus terangkan kepada yang bukan Islam, bahawa bahkan orang Islam pun dilarang menipu mereka walaupun dengan niat mengislamkan mereka.


15. Isu kedua: Adakah Islam hak ekslusif orang Melayu? Saya mohon maaf dahulu, saya sedar ini satu isu yang agak sensitif tetapi saya minta izin memberi penjelasan dan pandangan. Pertama, biar saya jawab dahulu, Islam bukan sama sekali hak ekslusif orang Melayu di Malaysia. Ia bukan sahaja kelakar dan tak masuk akal, malah sesuatu yang pada saya tidak Islamik!

16. Sebagai pendahuluan, saya akur dengan fakta bahawa majoriti umat Islam di Malaysia ialah orang Melayu, maka apabila orang Melayu kuat dan hebat, secara tak langsung Islam akan hebat! Tetapi teori ini secara praktikalnya cacat dan tidak adil. Untuk itu, biar saya jelaskan.

17. Pertama, saya tidak pernah mendengar yang Islam mengajar kita memperjuangkan bangsa untuk menegakkan agama. Tetapi sebaliknya, dengan menegakkan agama Islam secara adil, bangsa pasti terbela!

18. Saya orang Melayu. Ada sedikit darah Cina. Tetapi saya tidak setuju bahawa kita berjuang atas nama Melayu untuk menaikkan agama Islam. Bukan sahaja ia secara tidak langsung menafikan hak bangsa lain untuk menganut agama Islam, kita juga mungkin lebih menyayangi Melayu bukan Islam berbanding seorang Cina Muslim! 

19. Baik. Mungkin akan ada yang akan mula terfikir tentang perlembagaan, yang mendefinisikan seorang Melayu pasti Muslim! Tetapi soalnya di sini ialah, realiti sebenar tidak begitu. Ada orang Melayu yang tidak Islam. Atau ada juga yang namanya Muslim tapi tingkah laku dan amalannya tidak! Isu yang ingin saya bangkitkan di sini ialah, jika seorang Melayu keluar Islam, kita riuh sekampung berang tak tentu pasal, tetapi bila seorang berbangsa lain yang baru masuk Islam kemudian murtad, kita tak berapa nak kisah!

20. Pada saya, ini tidak lain melainkan ketaksuban yang tak sepatutnya kepada perlembagaan dan semangat bangsa yang tak bertempat. Ini adalah hanya satu daripada kecacatan pemikiran kemelayuan sebegini.

21. Maafkan saya sekali lagi. Saya amat tidak bersetuju, bila ada pihak yang cuba mengaitkan HIMPUN bukan untuk menyelamatkan aqidah umat Islam, sebaliknya untuk menyelamatkan aqidah umat Melayu Islam! Adakah perlu diletakkan perkataan Melayu di situ? Padahal, tanpa perkataan itupun, apabila menyebut Islam, pasti orang Melayu termasuk sekali (walaupun mungkin bukan semua). Yang lebih baik ialah, yang bukan Melayu, tetapi Islam pun termasuk sekali! Jadi, persoalan saya ialah di manakah letaknya rational perbuatan sedemikian?

22. Jika hal ini bukan menjadi pendirian rasmi penganjur HIMPUN, saya ucapkan tahniah. Anggaplah bantahan ini hanya dituju kepada yang berfikiran sedemikian. 

23. Sebelum saya teruskan, izinkan saya untuk menyebut, bahawa kita perlu bezakan orang yang kafir dan betul-betul menolak Islam, dengan orang yang tak menerima Islam kerana tidak pernah tahu tentang Islam, atau mendapat gambaran yang salah tentang Islam. Saya sudah bincang panjang lebar tentang isu ini beserta dalil tertentu dalam satu artikel bertajuk Kafir Vs Non-Muslim. Sila buat rujukan di sana.

24. Hujah saya di sini ialah, jika kita teruskan usaha memartabatkan Islam dengan cara menjadikannya hak ekslusif orang Melayu, kita telah menutup satu lagi pintu untuk orang lain mengenali Islam. Tahukah anda, berapa ramai orang bukan Melayu di Malaysia membenci Islam kerana mereka mengaitkan Islam dengan orang Melayu? Mereka fikir masuk Islam bererti masuk Melayu!

25. Memikirkan Melayu bangsa yang malas, dan sebagainya (walaupun saya tak setuju) menyebabkan mereka terus membenci Islam. Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Soallah diri masing-masing. Wajarkah kita membiarkan Islam dicemari kesuciannya kerana dikaitkan dengan kelemahan sesuatu bangsa? 

26. Saya bukan bercakap kosong. Saya ada bukti. Salah satunya adalah tentang kisah benar seorang saudari Muslim Cina yang memasuki Islam, yang dahulunya membenci Islam kerana membenci Melayu! Dia mendapat hidayah semasa belajar di luar negara! Saya juga yakin, dia bukanlah satu-satunya mangsa kepada gambaran yang salah mengenai Islam sebegini. Aduhai..

27. Ada beberapa isi lagi dan saya akan berhenti. Dah hampir lewat malam.

28. Suka saya akui, bahawa usaha mendidik Muslim adalah LEBIH utama berbanding usaha menarik lebih ramai orang masuk Islam. Pun begitu, menidakkan terus usaha berdakwah kepada bukan Islam adalah tidak wajar sama sekali! Begitu juga, usaha berdakwah kepada bukan Islam tanpa memberi perhatian kepada umat Islam adalah tindakan yang tidak patut dan salah juga. Pokok pangkalnya ialah, setiap orang ada peranan masing-masing, janganlah sampai ke satu tahap, kita fikir, hanya kita sahaja yang betul!

29. Saya melihat bahawa perkara ini sungguh menarik. Sebenarnya, apabila kita mendidik umat Islam tentang ajaran Islam, secara tak langsung kita sudah membekalkan mereka modal untuk berdakwah kepada yang bukan Islam. Demikian juga, dengan cara belajar cara berdakwah kepada yang bukan Islam, kita sama sekali boleh meningkatkan kefahaman kita tentang Islam, malah mengukuhkan aqidah. Jika boleh dua dalam satu, maka kenapa tidak?

30. Oleh itu, dalam persekitaran Malaysia yang berbilang bangsa, usaha memelayukan Islam pada saya bukan sahaja menjauhkan orang bukan Melayu bukan Islam kepada Islam, malah orang Melayu Muslim pun akan mula ragu-ragu tentang Islam jika kononnya Islam mengajar mereka membenci rakan mereka semata-mata kerana mereka tidak Melayu dan bukan Islam. 

31. Akhir sekali, saya mengajak kita untuk membuka mata dan melihat Islam dari sudut yang lebih luas. Jangan sekadar lihat di Malaysia. Lihatlah agama Allah ini dari perspektif global. Itu lebih baik daripada kita duduk di bawah tempurung Malaya.

32. Jika kita puas menindas orang bukan Islam hanya kerana kita majoriti di Malaysia, maka kita telah menzalimi saudara Muslim yang tinggal di negara lain kerana di sana mereka minoriti! Hanya berhujahkan yang mereka meniru Malaysia, orang bukan Islam di luar negara yang mewakili masyarakat majoriti boleh melakukan perkara yang sama iaitu menindas umat Islam yang minoriti di sana! Tidak adil bukan?

33. Selain itu, saya tamatkan perkongsian ini dengan fakta yang menarik. Di Malaysia, dengan populasi lebih kurang 28 juta orang, orang Islam adalah lebih kurang 17 juta semuanya. Jika kita ambil kira Melayu Muslim sahaja, sudah tentu angkanya lebih sedikit kerana yang Muslim tetapi bukan Melayu ada lebih kurang 10% dan ini bukan satu jumlah yang kecil.

34. Tahukah kita, bahawa di Republik China, terdapat kira-kira sekurang-kurangnya 20 juta orang Islam? Pun begitu, mereka masih minoriti! Demikian juga di negara India, Muslim ialah minoriti tetapi jumlah mereka lebih ramai berbanding Muslim di Malaysia!

35. Soalan saya sekarang ialah, jika kita sekadar berbangga menjadi Melayu Muslim di Malaysia kerana status majoriti, menangislah sekarang kerana secara kasarnya, orang Cina dan India Muslim contohnya, lebih ramai daripada kita Melayu Muslim! Tidak malukah kita?

36. Maka kesimpulannya, sekali lagi saya mahu kita bersikap adil dan waras. Perjuangkanlah Islam atas nama Islam dan bukannya Melayu. Saya sayangkan Melayu dan orang Melayu, tetapi saya tidak rela rakan-rakan Muslim yang lain dipinggirkan walaupun mereka bukan Melayu.

Fikir-fikirkanlah..

Wallahuaklam, wassalamualaikum wbt..


0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq