RSS

Thursday, October 24, 2013

Korbankan Unta, Bukan Agama


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Umat Islam tak patut dan memang tak menafikan bahawa lembu ialah binatang yang mulia di sisi penganut agama Hindu. Soalnya, adakah menyembelih lembu adalah perbuatan menghina penganut agama Hindu?

2. Padahal ibadah korban oleh umat Islam, contohnya menyembelih lembu, bukanlah bertujuan menunjukkan betapa hinanya lembu di sisi umat Islam. 

3. Bahkan sebaliknya!

4. Binatang-binatang korban dan ternakan dimuliakan kerana menjadi manfaat buat manusia, sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran sendiri pada banyak tempat.

5. Malahan, dalam satu hadis Nabi SAW, pada hari akhirat, binatang korban tadi akan datang bersama-sama tanduk, kuku dan bulu-bulunya sebagai bukti kepada individidu yang melaksanakan ibadah korban.

6. Adakah wajar umat Islam berkongsi gambar aktiviti penyembelihan di Facebook?

7. Islam mengajar kita agar menitikberatkan adab; sesama manusia mahupun alam keseluruhannya.

8. Saya kurang bersetuju jika perkongsian gambar-gambar sedemikian terus dilihat sebagai tanda-tanda tidak sensitifnya umat Islam terhadap orang bukan Islam, terutamanya penganut agama Hindu.

9. Padahal menafikan ruang perkongsian sedemikian seolah-olah menunjukkan kita tak sensitif terhadap amalan kebiasaan umat Islam.

10. Saya mohon maaf terlebih dulu jika ada yang tak setuju, mohon saya huraikan lebih lanjut dan terperinci hujah saya.

11. Pertamanya, Islam meletakkan niat sebagai asas kepada perbuatan.

12. Sesiapa yang berniat berkongsi gambar-gambar aktiviti penyembelihan lembu, sebagai tanda kesyukuran atas kemeriahan dan nikmat Allah pada Hari Raya Aidiladha adalah baik.

13. Pada hemah saya, umumnya, tak kanlah ramai orang Islam suka-suka muat naik gambar sembelihan dengan niat ingin mempersenda agama lain.

14. Demikian juga, saya rasa kita maklum bahawa aktiviti penyembelihan ini juga disiarkan di kaca televisyen padahal bukan orang Islam sahaja yang menonton TV.

15. Ada juga aktiviti penyembelihan yang dilakukan di kawasan lapang seperti padang, yang kadang-kadang mencetuskan isu juga yang berkaitan sensitiviti agama.

16. Saya berpendapat bahawa di negara Malaysia, menyedari hakikat bahawa majoriti umatnya adalah umat Islam, maka masyarakat bukan Islam sewajarnya sensitif juga (yakni peka) tentang amalan biasa umat Islam.

17. Selagi mana umat Islam tak memaksa individu bukan Islam (terutamanya penganut agama Hindu) untuk menonton, menyaksikan mahupun melihat sendiri penyembelihan itu, maka sepatutnya gambar-gambar sopan yang disiarkan, mahupun penyiaran di televisyen secara terbuka dan aktiviti di tempat terbuka (seperti padang) tak menjadi masalah. Bukankah adanya pilihan untuk tak melihat?

18. Menyembelih lembu di depan lembu lain yang hidup dan akan disembelih pun dikira tak beradab dalam Islam, menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar menghormati sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan.

19. Sebarang gambar yang berbentuk menghina binatang sembelihan, bukan sahaja mengguriskan hati orang bukan Islam (Hindu), bahkan orang Islam sekalipun tak kan setuju.

20. Mohon betul-betul faham sekali lagi, saya sama sekali tak menafikan keperluan untuk menjaga sensitiviti orang bukan Islam. Namun, saya rasakan bahawa kadang-kadang kita tak melakukannya dengan 'bertempat'.

21. Ayuh kita lihat dari sudut yang berbeza.


22. Arak dilarang dan diharamkan dalam Islam. Tapi kita mempunyai kilang arak yang besar, di Selangor contohnya.

23. Jika diadili dengan baik, kilang yang boleh dilihat ketika memandu di jalan raya ini, pasti paling banyak dipandang oleh orang Islam (kerana komposisi rakyat kita yang majoritinya orang Islam). Jika menggunakan logik yang sama, bukankah wajar untuk dipersoalkan tentang sensitiviti umat Islam yang tak dipelihara dalam hal ini?

24. Bagaimana pula dengan pegangan tauhid umat Islam (Tiada Tuhan selain Allah), yang bertentangan dengan konsep triniti penganut agama Kristian dan konsep ketuhanan agama lain, adakah tidak boleh disebut-sebut Laa ilaaha illa Allah kerana boleh melukakan hati orang bukan Islam?

25. Bagaimana pula dengan syiar Islam seperti azan, adakah perlu menafikan hak umat Islam yang ramai di sesuatu kawasan apabila ada sebilangan kecil penganut bukan Islam 'terganggu' dengan bunyi 'bising' azan?

26. Di sinilah perlunya sikap saling memahami dan saling menghormati.

27. Umat Islam perlu tunjukkan contoh yang baik.

28. Kita mesti tegas dalam hal-hal tertentu (bukan apologetik sepanjang masa) dan dalam masa yang sama mesti berhikmah, baik dan mesra dengan masyarakat bukan Islam yang lain. 

29. Perlu ada keseimbangan antara aspek Jalal dan Jamal. Sebagaimana Allah SWT garang terhadap orang-orang yang keras, dan besar rahmat dan kasih sayang-Nya terhadap orang-orang yang sentiasa mengharap.

30. Demikian juga halnya dalam dua hal yang lain. Saya sentuh dengan ringkas, kemudian saya tutup artikel ini insha Allah.

Pertama

31. Saya bukanlah peminat tegar (kipas-susah-mati) Ustaz Azhar Idrus. Tetapi secara peribadi saya kurang bersetuju dengan komentar seperti kenapa UAI suka buat lawak dan kenapa UAI kadang-kadang memberi jawapan agama tanpa beserta dalil.

32. Pertamanya, saya yakin bahawa setiap orang ada peranan dan perlu mainkan peranan masing-masing.

33. Jika ditelusuri perjalanan dakwah UAI, yang mendengar ceramah beliau ialah orang kampung dan anak muda (tak menafikan peranan da'ie lain).

34. Maka mungkin tarikan melalui lawak jenaka sekali-sekali perlu untuk menarik kumpulan-kumpulan dari latar belakang begini.

35. Tentang dalil pun sama. Bak kata pepatah, Absence of evidence is not evidence of absence.

36. Kadang-kadang UAI menjawab soalan yang diajukan tanpa dalil (kadang-kadang merujuk kitab ulamak yang memang tak sertakan dalil kerana ia satu ringkasan untuk orang awam).

37. Tak menyertakan dalil tak semestinya tak bersandarkan dalil.

38. Yang penting buat orang awam terutamanya, adalah untuk mendapat jawapan kepada persoalannya, dan agar dapat diamalkan. Kalau tak diberitahu dalil tak mengapa, walaupun jika dimaklumkan, lebih baik (jika perlu).

39. Namun dalam dunia moden, semua orang daripada pelbagai latar belakang, boleh menonton ceramah UAI di You Tube. Pastinya adanya golongan yang lebih terpelajar sikit mahukan dalil dalam setiap hujah.

40. Mungkin tak salah mintak dalil, tapi sekali lagi pinta saya, fahamilah peranan dan latar belakang masing-masing, dan iktiraflah.

Kedua

41. Soal artikel 'elit'.

42. Saya pun pernah berasa 'menyampah' dengan artikel-artikel agama yang banyak menggunakan istilah Bahasa Arab; kerana saya pun tak faham istilah yang digunakan.

43. Demikian juga ada artikel yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Orang awam biasa pasti struggle nak faham dan menghadam mesejnya.

44. Namun, saya rasa penilaian sebegini tidak adil. Dan saya pun salah juga.

45. Sepatutnya, kaedah yang boleh digunakan adalah mengiktiraf peranan dan kumpulan sasaran.

46. Jika saya tak faham sesuatu artikel, mungkin bukan saya kumpulan sasarannya (dari segi corak penulisan).

47. Samalah juga artikel dalam Bahasa Inggeris; penulisnya mungkin dapat menulis lebih baik dalam Bahasa Inggeris (atau sebab-sebab lain) tapi pasti ada kumpulan sasarannya.

48. Jika kita tak termasuk, janganlah salahkan yang menulis, tapi pertingkatkan kebolehan kita sebagai pembaca.

49. Dan jika kita faham artikel-artikel 'elit' ni pula, dan merasakan bahawa orang awam dan orang kebanyakan perlu memahaminya, kenapa kita tak mengambil inisiatif untuk mengalih bahasa atau menulis semula dalam bentuk yang lebih mudah?

50. Sekian sahaja coretan buat masa ini. 

51. Saya mohon maaf sekali lagi jika ada yang terguris di hati. Nothing personal. Niat saya adalah sekadar membahaskan beberapa persoalan yang bermain di benak fikiran saya, dan pastinya saya insan biasa yang pasti jua ada kelemahan dan tersilap dalam memberikan pendapat.

Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S: Sudut pandang yang diketengahkan bukan bermaksud memberi fatwa ya. Jazakumullahu khairan kaseera.

2.15 pagi, Khamis, 24 Oktober 2013
Read more "Korbankan Unta, Bukan Agama"

Monday, October 21, 2013

Selamat Tinggal Borneo!


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Kenyataan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman telah menjadi bualan ramai rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan isu kalimah Allah dan keputusan mahkamah baru-baru ini.

2. Artikel yang menyiarkan kenyataan itu boleh dibaca di sini.

3. Sebelum saya berbicara lebih lanjut, izinkan dengan ringkasnya saya sebut di sini, bahawa ada sesetengah orang Islam, apatah lagi yang bukan Islam masih keliru dengan persoalan sebenar dalam isu kalimah Allah.

4. Sehinggakan ada orang bukan Islam yang menggunakan istilah A-word (merujuk kepada Allah) kerana beranggapan (atau sekadar sindiran sinis) bahawa orang bukan Islam tak boleh lagi menggunakan atau menyebut, mahupun mengeja nama Allah.

5. Padahal, bukan itu soalnya. Fahamilah betul-betul. Isunya adalah apabila perkataan God mahu diterjemah kepada Allah dalam penulisan Bahasa Melayu.

6. Menterjemah God kepada Allah bermakna perkataan seperti Son of God akan diterjemah menjadi anak Allah, padahal sepatutnya anak Tuhan.

7. Sesungguhnya Allah SWT suci daripada sifat sedemikian. Dia tak beranak dan tak diperanakkan. Frasa 'Anak Allah' ibarat menyatakan 'Segi tiga berbentuk bulat'. Tak masuk akal!

8. Ringkasnya, yang tak dibenarkan adalah kerana khuatir penggunaan itu menjadi peNYALAHgunaan.

9. Justeru, apa yang saya faham, jika seorang bukan Islam ingin menyanyi lagu negeri yang ada nama Allah di dalamnya, atau ingin menyebut kuat-kuat bahawa Allah SWT Maha Esa, dan lain-lain keadaan yang sesuai dengan sifat Allah SWT, maka silakan.

10. Berbalik kepada soal ISMA tadi, kenyataan beliau ialah:

“Mereka boleh buat pilihan lain untuk berpindah ke mana-mana negara kalau sudah tidak lagi boleh menerima kedaulatan Islam dan raja yang menjaga kedaulatan agama itu.”

11. Baik, begini komentar saya.

12. Lenggok bahasa sedemikian memang mengguriskan hati mereka yang tak gembira dengan keputusan mahkamah (bahawa kalimah Allah dilarang digunakan seperti yang diinginkan) sehinggakan ia menjadi mesej secara tak langsung bahawa satu-satunya pilihan sekarang adalah untuk keluar daripada negara Malaysia.

13. Jika dilihat dari aspek ini, maka kenyataan ini tidak patut dikeluarkan. Malah jika memang demikian niatnya, saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang hina dina tegas tak bersetuju. ISMA telah menjawab balik dengan menyatakan bahawa sebenarnya kenyataan itu diputar belit atau mungkin disalahfahami. Allahu'aklam.

14. Namun, saya berharap sahabat-sahabat (terutamanya yang bukan Islam) dari Sabah dan Sarawak lebih cenderung untuk melihat kepada pilihan lain, yakni bersatu padu dan bersama-sama saling menghormati satu sama lain dan mencintai negara kita ini.

15. Selain hal di atas, saya ingin sentuh juga perkara-perkara berikut.

16. Sebagai seorang Muslim, saya faham bahawa Islam ialah agama yang harmoni dalam ketegasannya.

17. Saya cenderung untuk bersetuju dengan ISMA dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan dan sumbangan orang Melayu dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan kedaulatannya, lebih-lebih lagi jika sumber rujukan ISMA ialah idea dan pendekatan yang dibawa oleh tokoh ulamak besar nusantara (dan antarabangsa), Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.



18. Pun begitu, saya harap, ISMA dan ahli-ahlinya, mahupun siapa jua orang Melayu Muslim yang lain, mengelakkan daripada mempunyai mentaliti bahawa Islam hanya akan kuat dan berdaulat jika semua orang di negara kita, atau di tempat kita tinggal adalah Melayu dan Islam sahaja.

19. Mentaliti sedemikian saya fikir ada kemungkinan menyumbang ke arah tercetusnya idea untuk orang bukan Melayu atau bukan Islam agar 'keluar' atau 'dihalau'.

20. Bukan sahaja ia tak praktikal dalam idealisme sebenar Islam (sefaham saya) memikirkan komposisi rakyat Malaysia berbilang latar-belakang, bahkan jikapun praktikal, ia menutup ruang dakwah dan ia bukan matlamat unggul kita umat Islam.

21. Lemahlah kita jika kita fikir kita akan meninggi hanya jika kita berada sesama kita. Jaguh kampung sahaja. Pandanglah lebih tinggi. Orang Melayu hebat ke-Islamannya jika dihormati dalam kalangan orang bukan Melayu dan orang bukan Islam yang tinggal di bawah satu bumbung dengan mereka.

22. Sama juga, dalam isu yang lebih dalam, tentang persoalan mazhab (huraian ini tiada kaitan dengan ISMA).

23. Tidak bolehlah kita melaungkan slogan meninggalkan mazhab dan meletakkan hanya satu standard sahaja untuk diikuti umat Islam. Apatah lagi slogan cacat menyeru orang awam agar berlepas diri daripada mazhab.

24. Menurut Sheikh Faraz Rabbani, hal ini bukanlah panggilan kepada perpaduan dan toleransi, tetapi satu usaha memecahbelahkan masharakat. Jika hanya satu mazhab yang mahu diikut, maka akan bergaduh besar dan masing-masing mahu mazhab mereka yang 'menang'.

25. Padahal kepelbagaian pendapat ulamak itu satu rahmat yang luas. Dan pendapat mereka yang berbeza-beza itu adalah dalam hal cabang dan semuanya betul lagi benar.

26. Perpaduan bukanlah dicapai apabila hanya satu idea diterima dan yang lain wajib mengikutinya, tetapi menurut Sheikh, betapa perbezaan sesama kita tak sepatutnya menjadi halangan untuk kita hidup bersama.

27. Menurut Sheikh Abdal Hakim Murad, 90 peratus daripada umat Islam dalam 90 peratus tempoh masa perjalanan sejarahnya hidup harmoni kerana penerimaan dan toleransi antara satu mazhab dengan mazhab yang lain. Adakah formula yang lebih baik berbanding yang ini?

28. Sebagai penutup, saya sentuh sikit lagi tentang kalimah Allah.

29. Kelihatannya, ada usaha sesetengah pihak untuk sama-sama mengaku tentang konsep keesaan Tuhan dalam agama mereka, sekaligus menjadi justifikasi bahawa bolehlah kalimah Allah itu mereka gunakan.

30. Saya mohon rakan-rakan se-Islam mematahkan terus hujah begini dengan merujuk semula kepada Rukun Islam kita yang pertama yakni shahadatayn (DUA kalimah shahadah).

31. Ya, umat Islam bukan hanya mengakui keesaan Allah SWT, malah wajib menerima bahawa Muhammad itu Rasulullah SAW dan Nabi yang terakhir.

32. Mengakui keesaan Tuhan semata-mata tidak menyamakan mana-mana agama dengan agama Islam, sama ada Kristian, Hindu dan lain-lain, kerana hanya Islam mewajibkan keimanan kepada Rasulullah SAW.

33. Hal ini bukan untuk menolak keharmonian antara penganut agama, tetapi untuk menolak kekeliruan propaganda sesetengah pihak yang menyamakan semua agama dalam semua aspek. TIDAK! Perpaduan itu memerlukan usaha mencari persamaan, tapi yang hitam katakanlah hitam, bukan putih.

Allahuaklam. Assalamualaikum wbt.


P/S: Kepada semua orang Sarawak dan Sabah, sama ada Muslim mahupun bukan, saya mahu ucapkan:
Kamek sayang kitak! =D
Read more "Selamat Tinggal Borneo!"

Wednesday, October 9, 2013

Rendahkan Pandangan, Jangan Pandang Rendah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Dalam satu program oleh Interactive Dakwah Training (IDT) bersama Sheikh Nuruddeen Lemu (daripada Nigeria) bertemakan Unity in Diversity, Sheikh menyebut bahawa kita perlu menjadi seperti lautan, yang terus menerus menerima air daripada sungai.

2. Padahal lautan sudah banyak airnya berbanding sungai.

3. Kenapa? Kerana lautan letaknya di bawah dari sudut geografi. Sungai yang mengalir dari bukit turun ke bawah hinggalah ke muara dan bertemu dengan lautan di situ.

4. Rendahnya lautan menjadi simbolik kepada rendahnya dirinya; seakan alam ingin mengajar kita, walau sebanyak mana ilmu di dada, walau tinggi mana kedudukan kita, rendah dirilah.


5. Saya ingin kongsikan 2 kisah di sini, kemudian buat kesimpulan.

6. Pertamanya kisah oleh Sheikh Hamza Yusuf.

7. Kisah ini berlaku dalam satu majlis yang dihadiri beliau di rumah seorang ulamak yakni guru beliau (kalau saya tak silap Sheikh Bin Bayyah).

8. Sepertimana lazimnya, mereka dihidangkan air dan sebagainya, dan hidangan ini disediakan oleh pelayan-pelayan (waiters). 

9. Sehingga satu ketika, pengerusi memulakan majlis.

10. Kata pengerusi majlis itu, yang menghidangkan air tadi sebenarnya sudah mengaji/menghafal 7 Qiraat Al-Quran!

11. Rakan-rakan, ilmu Qiraat Quran ini ilmu yang hebat. Kita di Malaysia ini hanya mengaji tajwid contohnya, kebanyakannya hanya menggunakan satu kaedah bacaan. Itupun belum sempurna sepenuhnya.

12. Bagaimana dengan mereka yang sudah mengaji tujuh? (sedangkan kita hanya satu?)

13. Mesej saya di sini, awalnya mungkin tadi pelayan dalam majlis itu langsung tak dipandang. Namun, rupa-rupanya bila kita tahu apa ilmu yang ada pada mereka, lantas kita rasa hormat, kasih dan kagum. 

14. Demikianlah dalam banyak hal, Allah menyembunyikan wali-wali-Nya, bahkan mungkin kita tak tahu si tukang sapu di tepi-tepi bangunan yang banyak itu apakah status mereka di sisi Allah SWT.

15. Rendahkanlah pandangan, jangan pandang rendah!

16. Kisah kedua saya peroleh dalam satu majlis perhimpunan pelajar di Surau As-Siddiq di Seksyen 7 Shah Alam oleh seorang ustaz dari Masjid Sri Petaling tak silap saya.

17. Kisahnya begini.

18. Satu ketika, seorang suami isteri sedang memasak bersama. (oh so sweet! err.. selingan =P)

19. Tiba-tiba terdengar bunyi ada orang mengetuk pintu. Pengemis rupa-rupanya.

20. Lalu si suami menyediakan makanan yang dimasak tadi lalu diminta isterinya untuk memberinya kepada si pengemis di luar rumah.

21. Si isteri lantas membawa makanan kemudian membuka pintu.

22. Si isteri memandang pengemis itu.

23. Si pengemis memandang wajah isteri.

24. Si isteri memandang lagi wajah pengemis.

25. Lantas jatuh pengsan si isteri!

26. Cabut dan larilah si pengemis tadi.

27. Ketika si isteri sedar, si suami bertanya apa yang berlaku. Si suami tekun dan sabar mendengar.

28. Kata si isteri, sebenarnya, pengemis tadi itu adalah bekas suaminya.

29. Suatu masa dulu, mereka sedang masak bersama. Lalu datang seorang pengemis meminta makanan.

30. Namun suaminya itu pergi membuka pintu dan menghalau pengemis itu.

31. Akibatnya, dengan taqdir Allah SWT, lama-kelamaan si suami mula jatuh miskin dan hilang kekayaannya dan akhirnya mereka berpisah. Sebab itu si isteri jatuh pengsan kerana melihat si pengemis tadi, yang sebenarnya merupakan bekas suaminya.

32. Lantas, apabila si isteri habis bercerita, si suami pula mencelah.

33. Wahai isteriku, sebenarnya akulah pengemis yang pernah dihalau itu! Subhanallah!

34. Lihatlah bagaimana kisah ini. Bukan sahaja pengemis yang dihalau ini akhirnya mendapat kekayaan orang yang menghalaunya, bahkan Allah ambil isteri si penghalau itu dan juga berikan kepada yang dihalau!

35. Seorang hilang harta dan isteri. Seorang lagi mewarisi harta, bahkan isteri!

36. Rakan-rakan, ingatlah bahawa dalam kita mencari ilmu, berakhlaklah dengan ilmu.

37. Dengan itu, insha Allah kita akan berakhlak sesama manusia.

38. Ilmu tanpa akhlak akan menjauhkan kita daripada ilmu, dan menjauhkan daripada insan lain.

39. Akhlak pula, akan menambahkan ilmu pada kita. Malah menambahkan kenalan bersama-sama ilmu tadi. Manusia dan ilmu yang baik, menjadi teman orang yang berwangikan akhlak terpuji.

40. Akhir kata, rendahkanlah pandangan kita, jangan pandang rendah!

Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S:
Jarang bermadah,
Sering bersugi,
Orang merendah,
Makin meninggi =D

-Shah Alam, 4 Zulhijjah 1434Hijrah bersamaan 9 Oktober 2013
Read more "Rendahkan Pandangan, Jangan Pandang Rendah"

Tuesday, October 1, 2013

Kemaafan


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Bayangkan anda sedang memandu kereta.

2. Lalu ada sebuah kereta dengan 'nakal'nya memintas anda dengan cara yang tak sepatutnya.

3. Laju betul kereta tersebut.

4. Anda marah. Lalu hati mula bergetar. 

5. Sehinggakan anda berdoa pula agar diberi balasan kepadanya, mungkin kemalangan ke apa ke, supaya dia sedar!

6. Tak lama selepas itu, anda terkejut.

7. Tiba-tiba sahaja di depan anda ada kereta berhenti mengejut.

8. Anda tak sempat menekan brek, lalu melanggar kereta itu.

9. Segalanya berlaku dalam beberapa saat sahaja. Sedar-sedar, kereta anda dan kereta itu dua-dua terheret ke bahu jalan.

10. Tiada kemalangan jiwa berlaku. Anda pun cedera ringan sahaja.

11. Tapi hati lebih parah kecederaannya. Masih marah. Tapi bingung.

12. Anda melihat di luar, anda kenal sangat kereta yang anda langgar itu.

13. Itulah kereta yang memintas anda tadi.

14. Dan andalah yang mendoakan kemalangan baginya.

15. Adakah anda gembira bahawa doa anda termakbul?

Wahai rakan-rakan yang budiman,

16. Islam melalui kasih dan cinta Nabi SAW mengajar kita untuk berusaha memaafkan orang lain.

17. Jangan sesekali mendoakan keburukan kepada orang, kerana mungkin keburukan yang ditimpanya melibatkan kita. Mudarat yang diterimanya memudaratkan kita.

18. Nabi SAW ketika berdakwah di Taif, waktu itu keadaan sudah cukup menekan; ramainya yang masih ego tak mahu menerima Islam; ramai pula orang kesayangan Nabi SAW yang meninggalkan baginda menemui Tuhannya yang Esa.

19. Dan Nabi SAW dibaling batu dan dizalimi sehingga berdarah baginda. Malaikat yang melihat keadaan itu memohon kebenaran baginda untuk menyatukan dua gunung menghancurkan penduduk Taif ini di tengah-tengahnya; namun Nabi SAW tidak benarkan.

20. Bahkan didoakan pula ke atas mereka.

21. "Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

22. Ketika Perang Uhud, Nabi SAW pun cedera dan berdarah.

23. Namun baginda mengeringkan darah daripada jatuh ke tanah, kerana jika darah yang mulia itu jatuh menyembah bumi, maka binasalah orang-orang yang berbuat zalim itu!

24. Sayangnya Nabi SAW kepada ummat, sehingga begitu sekali.

25. Adakah ini fantasi? Contoh yang hanya menjadi ilusi? Tidak sama sekali. 

26. Ayuhlah memaafkan. Saling mendoakan kebaikan orang lain, biarpun mereka telah melukakan kita.

27.  Inilah legasi yang ditinggalkan Nabi SAW. Umat ini bukan umat yang mencerca. Umat ini bukan umat yang keras. Umat ini bukan umat yang berdendam.

28. Tapi umat ini bersatu atas dasar kasih sayang. Keberaniannya disulami kelembutan. Menunggu waktu rehat hanya tatkala kaki mula melangkah masuk ke syurga.


29. Hari Ahad ini (6 Oktober) insha Allah akan diadakan satu sesi pengajian (dan khatam) sebuah kitab bertajuk Solat Al-Muqarrabin yang dikarang oleh seorang wali Allah dari Yaman. Bermula dari pukul 8.30 pagi. Tempatnya di Masjid Negeri Shah Alam. Sesiapa yang berminat boleh segera hubungi saya di 011 1645 9393.

Wallahuaklam. Terima kasih, assalamualaikum wbt.
Read more "Kemaafan"

Tuesday, September 17, 2013

Drugs


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


(a) Religion is the opium of the masses.
-Karl Marx

(b) Opium is the religion of the masses.
-Sheikh Abdal Hakim Murad

1. I quote two renowned personalities from two different generations above.

2. The former, Karl Marx, a German economist, may be more well-known to us, possibly due to his association with Communism.

3. The latter, Sheikh Abdal Hakim Murad is a great scholar of Muslim ummah currently serving at Cambridge University. He is a British.

4. This article is going to be much longer than several others I recently authored (mostly in Malay language), nevertheless hopefully interesting enough to trigger us to think insya Allah.

5. To briefly begin, opium (Papaver Somniferum), is a species of plant from which drugs like morphine and heroin are made. If I am not wrong, the Malays call this drug Popi.

6. Let us analyse the language twists and gymnastics involved in the above quotes, not so much linguistically, but in the meanings they carry (as far as I try to understand).

7. People who oppose religions, for example Islam (which we rather describe as ad-deen i.e way of life) always see religions as a problem to humanity. 

8. It is as though we feed the people with religion to 'temporarily' numb them and knock them away from their own senses i.e become unconscious. As if religion has made people to be irrational, giving the same effect acquired through drugs.

9. Perhaps, that is how religion is accused of being a drug (opium) to the masses. As Islam is only second to Christianity in terms of its number of followers in the world, such a statement is an attack not only to people who are inclined towards Islam, but undoubtedly also to Muslims like us.

10. Sheikh Abdal Hakim, in response, beautifully 'engineered' the sentence into a new construct.

Opium (instead), is the religion of the masses.

11. Let me not spend more time defining what religion is, because if we are Muslims especially, there should be no problem at understanding the word religion, although most probably quite loosely.

12. What matters more is to reflect from Sheikh's contention above.

13. If we take the words literally (which we should), then we shall see a statistical proof to the statement as reported in the news, for instance on the fact that there are about half a million of chronic heroin addicts in Karachi, Pakistan now.

14. This intense addiction, hence dependence upon drugs is perhaps a new type of 'god'. And that, has been their religion, in which the consumption of drugs is their 'rituals'. And this is not unique in one place. All over the world, in many places, drugs have become gods to many people.

15. However, let us further expand the subject of discussion by looking at a much larger context of the word 'opium' from the statement of Sheikh.

16. As the plant is the creation of Allah, it must have had some benefits, and the truth is, drugs are important in medication, such as their role as painkillers. We Muslims never deny this.

17. In fact, assuming that there is something that only brings harm to this world, when we take that as a test and be patient about it, Allah will elevate our ranks and reward us with His great Mercy and infinite Treasures. In this case, we are looking at the good side of things.

18. After all, isn't life (and death) a form of test we have to face in this world?

19. So, the drugs derived from opium, is actually the 'invention' of men. They are man-made.

20. Building up our discussion from that, don't you think that there are many other man-made 'toys' in this world which people take as their gods?

21. Now, isn't it true that opium (and other man-made invention) have been the religion of the masses?

22. Something they really strive for to live in this world? 


23. In the Quran, Allah SWT has spoken to us:

"Have you seen the one who takes as his God his own desires? Then would you (Muhammad) be responsible for him?"

24. This is in Surah Al-Furqan (Chapter 25, aayat 43).

25. Look at people who submit to their desire in their struggle to amass wealth and money, that they pay their own health for such temporary belonging i.e they get ill and fall sick.

26. Then the money is used up to get back good health. Most probably, this is when one has attained old age. Do we not see where this is going?

27. In reality, religion does not take away our consciousness, instead, all it does is wake us up from our sleep; this world is just a dream!

28. Sayyidina Ali (may Allah ennoble his face), the cousin and son-in-law of Prophet (peace be upon him), once said:

We are sleeping (in this world). When we die, we wake up!

29. Islam has offered to us a model of the best ummah. We do not forsake this world for the Hereafter, neither do we forsake the Hereafter for a temporary world.

30. Instead, we go for both, with more emphasis on the latter, which is eternal. Our continuous prayers to Allah is so that we are granted goodness in this world and goodness in the Hereafter. Ameen..

31. By the time I am writing this 31st point for the article, I have actually postponed the completion of it (until point 30 above) since about months ago. By right, this is only half of what I wanted to write.

32. I ain't planning to write further anyhow.

33. Need your prayers everyone. It's not that life has been tougher. But I think I have deteriorated in many ways; or maybe it's just a feeling of new self-consciousness for better reflection (and action) from my poor self.

34. Wallahuaklam. Take care everyone, and Selamat Hari Malaysia (16 September).

35. Wassalamualaikum wbt.



Read more "Drugs"

Sunday, August 25, 2013

Ulama' Jahat (Suuk)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Teknologi yang berkembang pantas memungkinkan adanya gajet elektronik yang mempunyai banyak fungsi dalam satu-satu masa.

2. Telefon mudah alih (mobile phone) sekarang mempunyai fungsi seperti kamera, mp3 dan radio, fungsi internet dan banyak lagi.

3. Namun tak dinafikan dalam hal fotografi misalnya, kamera yang berfungsi hanya sebagai kameralah adalah yang terbaik dalam bidangnya.

4. Demikian juga kelihatan manusia cenderung kepada kepelbagaian kepakaran dalam hidup mereka masa kini. Lagi-lagi dalam hal yang melibatkan ilmu, kerana kononnya ilmu kini berada di hujung jari (melalui internet).

5. Siapa yang tahu membezakan antara ilmu dan sekadar informasi (maklumat) pasti tak akan bersetuju dengan penyataan ilmu di hujung jari ini.

6. Kerana walaupun banyak maklumat bertebaran di muka bumi, tetapi ia menjadi ilmu hanya jika ia bermanfaat dan dikendalikan oleh orang yang mahir dalam bidang ilmunya, serta terus-menerus mengamalkan malah memperbaik dirinya dalam bidang ilmu tersebut.

7. Malangnya, kini semua sempadan mahu dihapuskan. Orang awam dan orang pakar seolah-olah tiada bezanya lagi. Seorang doktor perlu bersedia menjawab hujah pesakitnya ketika sesi diagnosis kerana di tangan pesakit itu juga terpapar 1001 maklumat daripada laman web Wikipedia tentang masalah yang dihadapinya.

8. Bahkan dalam hal agama pun, ada usaha kuat sesetengah pihak mahu menyamaratakan semua agama, lantas berkembanglah fahaman pluralisme agama.

9. Akhirnya, makin ramai antara manusia itu mahu menjadi hero. Mahu menjadi matahari, selain mereka adalah planet-planet yang mengorbit di sekelilingnya.

10. Dialah pusat, yang lain semuanya berputar berpandukan dia. Dialah benar, tiada kebenaran melainkan yang difikirkannya benar.

11. Akhirnya, berlakulah kegelinciran dalam meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Akhirnya, terkorbanlah satu prinsip yang dinamakan KEADILAN.

12. Saya memohon rakan-rakan, terutamanya yang kurang cerdik seperti saya, untuk berjihad melawan nafsu dengan berlepas diri daripada 'keseronokan' melabelkan golongan ulamak dengan gelaran ulamak jahat (ulamak suuk), siapapun dia, sebaliknya sama-sama mendoakan agar Allah SWT melindungi kita daripada golongan ini, dan mohonlah kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa mereka dan agar mereka berubah.

13. Saya fikir, kita amat jarang memandang sekeliling kita sebagai cerminan diri. Kerosakan di sekeliling kita boleh saja mencerminkan kebinasaan dan kerosakan yang sedang berlaku dalam diri kita sendiri.

14. Sesiapa yang cermin kaca matanya berdebu, akan sentiasa melihat cuaca yang jerebu.

15. Sebentar tadi saya ada terbaca perkongsian menarik di Facebook oleh Ustazah Syarifah Fatimah tentang satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH yang berbunyi:

"Apabila ada seorang lelaki berkata, 'orang ramai sekarang ni sudah rosak'; maka dia sendiri (orang yang berkata seperti itu) yang paling rosak di kalangan mereka."

16. Dihuraikan bahawa, apa yang kita takutkan terbit dari hati orang yang berkata itu ialah seolah-olah dia selamat, lantas berbangga diri atas keselamatannya, seolah-olah semua orang melainkan dia sudah rosak.

17. Bukankah itu bahaya? Satu ilusi diri yang membunuh diri sendiri?

18. Dalam isu Mesir misalnya, apabila kita tak bersetuju dengan sesetengah ulamak, pastikan kita lakukannya atas sandaran ulamak yang tak bersetuju dengan ulamak tersebut.

19. Inilah adab dan inilah caranya. Biarlah mereka membentangkan kritikan kepada satu sama lain kerana mereka berada pada darjat atau maqam yang sama dan mereka faham benar etika dalam perbezaan pendapat.

20. Malah, saya amat yakin, kerana pemahaman dan ilmu mereka yang cukup mendalam, justeru jika mereka tak bersetuju tentang satu perkara, mereka boleh saja bersetuju dengan ulamak yang sama dalam bab yang lain pula, kerana itu sudah sedia lazim dalam tradisi keilmuan.

21. Kita pula orang awam, sekali kita tahu kesilapan ulamak (ataupun pendapat yang tak dipersetujui oleh sebahagian ulamak yang lain), lantas kita mempunyai fikiran seolah-olah SEMUA daripada ulamak itu kita tolak! Na'uzubillah!

22. Lebih teruk lagi, kita dengan berani mencaci dan menjatuhkan nama ulamak itu, malah di khalayak ramai (melalui media sosial)! Na'uzubillah!

23. Berhati-hatilah wahai rakan-rakan, jika anda seperti saya, yang dhaif dan tidak cerdik ini.

24. Sebelum saya tutup bicara, saya mohon kita sedar perkara berikut.

25. Banyak kali, kita mengagung-agungkan orang bukan kerana dia pandai, tetapi kerana kita yang bodoh. Demikian juga, kita mungkin membenci orang kerana kita tak tahu tentangnya. Justeru, berpada-padalah.

26. Betapa ramai orang yang ilmunya lebih tinggi sikit berbanding kita, mengguna-gunakan kita orang awam yang kurang cerdik ini, untuk menyokong aliran pemikiran mereka. Kita mohon perlindungan Allah daripada perkara ini.

27. Kita mohon juga agar Allah membantu kita bersama-sama ulamak yang ikhlas dalam membimbing kita, bukan hanya untuk kejayaan di dunia, malah kejayaan di akhirat.

28. Sesungguhnya, tepat benarlah kata-kata Gus Anam yang diambil daripada gurunya Prof Dr As Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki, yang diambil pula daripada gurunya As-Shaykh Said Al-Yamani, bahawa:

"Jikalau seseorang bertambah ilmunya dan luas cakrawalanya, MAKA IA AKAN SEDIKIT MENYALAHKAN ORANG LAIN."

29. Tolonglah jangan rugikan masa menyalahkan orang lain, kalaulah kita tumpukan masa menuntut ilmu yang luasnya tidak terkira ini, maka kita akan terlalu sibuk sehingga tak sempat melihat kesalahan orang, bahkan yang lebih menarik, bertambahnya ilmu akan menghadirkan kesedaran kepada kita bahawa selama ini kita yang salah. 

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Bila gambar berkata-kata; moga lebur segala sengketa...
Read more "Ulama' Jahat (Suuk)"

Monday, August 19, 2013

Isu Kalimah (Nama) Allah


Nota: Artikel di bawah ditulis untuk Risalah 14K yang diedarkan di UiTM Shah Alam. Untuk muat turun soft-copy risalah tersebut, sila klik pautan ini dan ini.

HALAMAN SATU

1. Ada apa pada nama? Argh, soalan ini cliché betul, kan?

2. Tidak! Ia satu persoalan yang sangat penting sebenarnya. Kerana dengan nama[1], makna dan realiti akan hadir.

3. Contohnya, jika saya sebut saya panjat gunung, mesti tak ada masalah. Bagaimana jika saya kata saya makan gunung? Ada masalah? Ada! Sebabnya? Perkataan gunung  itu mempunyai makna dan kita tahu realitinya gunung itu bukanlah sejenis makanan!


4. Artikel kali ini akan membahaskan kepentingan memahami isu kalimah Allah sebagai usaha membangkitkan semangat dalam diri kita umat Islam dalam mempertahankan nama Allah yang suci lagi mulia itu.

5. Pada penghujung artikel ini (kalau anda tak ada masa, sila terus ke muka surat akhir), saya akan sediakan satu cadangan konkrit sebagai satu tindakan yang boleh kita lakukan sebagai individu Muslim yang prihatin.

6. Tindakan ini penting supaya kita bukan hanya bercakap kosong. Bak kata orang Inggeris, let’s walk the talk!

7. Baik, berbalik kepada soal nama. Dalam tradisi keilmuan Islam, bahasa memainkan peranan yang amat besar. Demikian juga peranan nama yang merupakan salah satu elemen bahasa. Soal bahasa sangat dititikberatkan oleh tokoh ulamak besar tempatan seperti Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas[2].

8. Sebelum kita mendalami hujah tentang larangan penggunaan kalimah Allah, suka saya tunjukkan satu contoh bagaimana bahasa membentuk fikiran dan tindakan kita, lantas menjadi sebab pentingnya bahasa dalam Islam.

9. Kita ambil contoh perkataan ‘adil’. Antara pemahaman yang tidak tepat dalam memahami perkataan ini adalah apabila perkataan ‘adil’ lazim juga difahami sebagai sifat neutral (tak menyebelahi mana-mana pihak) ataupun sesuatu yang sama rata.

10. Ayuh kita teliti satu persatu salah faham yang kerap berlaku ini dan bandingkan dengan pemahamannya yang betul dalam ajaran sebenar Islam.

11. Pengertian ‘adil’ yang sebenar dalam Islam ialah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya.

12. Misalnya, jika hari ini seorang hakim mengadili sesuatu keputusan, dia tidak boleh mengaku ‘adil’ dengan bersikap berdiri atas pagar, kononnya supaya dia neutral dan tak menyebelahi mana-mana pihak. Habis tu, jika seorang salah dan seorang lagi benar, adakah dua-dua itu benar? Atau dua-dua itu salah? Tak masuk akal bukan?

13. Maka, hakim yang adil wajib menyebelahi pihak yang benar dan ini bukan berat sebelah namanya, tetapi inilah keadilan! Kebenaran mesti ditegakkan dan disokong kerana itulah tempat yang selayaknya baginya. Inilah dia keadilan.

14. Demikian juga,  jika seorang bapa membelikan baju untuk anaknya, mestilah baju lelaki dibeli untuk anak lelakinya dan pakaian perempuan untuk anak perempuannya (bukan pula baju lelaki untuk kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan). Adil itu boleh sahaja merujuk kepada perkara yang sama, tetapi tak semestinya semua yang adil itu sama!

15. Demikianlah satu contoh mudah bagaimana dengan memahami makna, kita akan bertindak dengan sewajarnya.

HALAMAN DUA

16. Baiklah. Seperti contoh di atas, isu kalimah Allah juga mesti diteliti dengan adil dan sewajarnya. Saya perlu tegaskan di sini bahawa isu ini bukan satu isu yang remeh, bahkan ia menjadi perkara aqidah buat kita umat Islam.

17. Suka saya ingatkan dulu seawal perbincangan ini, bahawa isu kita sekarang bukanlah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, yakni kalau-kalau mereka ingin menyebut nama Allah. Bukan itu masalah kita.

18. Jikapun kita mahu menghalang, mana mungkin mampu ditutup mulut semua orang? Fahamilah, isu sebenar yang kita tentang habis-habisan adalah usaha pihak tertentu yang beragama Kristian yang mahu menterjemahkan perkataan God dan Lord kepada Allah, dengan alasan kononnya Allah ialah terjemahan Bahasa Melayu kepada dua perkataan Inggeris itu. Kata mereka, terjemahan ini untuk memudahkan penganut agama Kristian yang berbahasa Melayu.


19. Nak tahu kenapa kita tolak? Ayuh sama-sama kita terjah!

20. Rakan-rakan sekalian, pertamanya, perkataan Allah bukan bahasa Melayu. Kalau dalam Bahasa Melayu, perkataan God dan Lord sepatutnya diterjemahkan kepada Tuhan. Perkataan Allah datang daripada Bahasa Arab. Maka mengapa mahu terjemah kepada Allah?

21. Kedua, perkataan Tuhan merujuk kepada kata nama am (huruf ‘T’ dibesarkan bukan kerana ia kata nama khas tetapi kerana merujuk kepada simbolik kebesaran Tuhan). Demikian juga perkataan God dan Lord. Jadi, kata nama am sewajarnya diterjemah kepada kata nama am (yakni Tuhan) juga.

22. Tidak adil untuk menterjemah kata nama am (yakni God) kepada kata nama khas (Allah) dengan andaian bahawa Allah bermaksud Tuhan. Padahal, Allah ialah kata nama khas, merujuk kepada nama Tuhan bagi umat Islam.

23. Andaian pelik itu boleh difahami lagi dengan analogi berikut. Jika saya sebut ‘My name is Tiger Wood’, maka dalam Bahasa Melayu, terjemahannya ialah ‘Nama saya ialah Tiger Wood’. Bukankah pelik jika saya terjemah kepada ‘Nama saya ialah Harimau Kayu’?

23. Atau contoh analogi lain. Katakan saya kata ‘I am going to the tower’. Adakah boleh diterjemahkan kepada ‘Saya sedang pergi ke KLCC’? Tidak sama sekali! Tower ialah kata nama am, bagaimana pula diterjemah kepada kata nama khas (yakni KLCC)?

24. Dalam bahasa Arab, (salah satu) kata nama am yang merujuk kepada God ialah ilaah. Sebab itu kita sebut Laa(Tiada) - ilaaha(Tuhan)- illa(melainkan)- Allah. Bayangkan, jika Allah diterjemahkan kepada Tuhan, maka Laa ilaaha illa Allah secara automatiknya akan diterjemah kepada Tiada Tuhan melainkan Tuhan. Tiada Tuhan melainkan Tuhan? Tak ke ganjil bunyinya tu?

25. Lagi, kalau disebut, Tuhan orang Kristian ialah Jesus dan Tuhan orang Hindu ialah Brahma (yakni the God of Christians is Jesus and the God of Hindus is Brahma), adakah terjemahan yang akan kita buat ialah ‘Allah orang Kristian ialah Jesus dan Allah orang Hindu ialah Brahma’? Na’uzubillah! Maka fikirkan, adakah God selayaknya diterjemah kepada Allah?

26. Sebab itulah kita menolak penterjemahan yang tak masuk akal dan mengelirukan ini. Pastinya ada niat lain di sebalik usaha sebegini, namun tentang niat ini akan saya terangkan lebih lanjut di halaman yang terakhir.

27. Terlebih dulu, saya akan telusuri penghujahan yang lebih berat dan ilmiah pada halaman berikutnya untuk meyakinkan lagi kita insha Allah. Moga anda terus kuatkan semangat untuk meneruskan pembacaan. 

HALAMAN TIGA

28. Adalah sesuatu yang agak mendukacitakan buat kita semua apabila terdapat juga orang Islam sendiri yang sama ada terlepas pandang, kurang teliti mahupun yang perlukan teguran kasih sayang daripada kita kerana telah tersilap bersetuju pula dengan penyalahgunaan kalimah Allah ini.

29. Antara 2 contoh hujah yang dibawakan rakan-rakan kita ini adalah seperti berikut. Pertama, Al-Quran sendiri menukilkan bagaimana orang-orang kafir Quraisy menggunakan kalimah Allah.

30. Kedua, nama Allah telah pun digunakan sebelum Islam datang lagi. Salah satu buktinya adalah pada nama ayahanda Nabi Muhammad SAW sendiri, iaitu Abdullah, yang hidup sebelum Nabi SAW dilahirkan. Justeru, sebelum Islam diwahyukan kepada baginda SAW lagi kalimah Allah sudah digunakan. Abdullah bermaksud hamba Allah.


31. Insha Allah, kedua-dua penghujahan ini akan kita teliti bersama untuk membuktikan bahawa ia tidak menyokong mahupun membuktikan bahawa perkataan God wajar diterjemahkan kepada Allah dalam Bahasa Melayu.

32. Baiklah. Ayat Al-Quran yang dimaksudkan di atas ialah Surah Al-‘Ankabut ayat 61. Terjemahannya adalah seperti berikut. “Dan sesungguhnya jika engkau tanya mereka (orang Kafir), siapakah yang mencipta langit dan bumi, dan siapa yang menundukkan matahari dan bulan, nescaya mereka akan menjawab: Allah!...”

33. Pertama: Bukankah sudah kita katakan seawal perbincangan tadi, bahawa kita tak menghalang orang bukan Islam untuk menyebut Allah? Jangan kita terkeliru dengan isu sebenar. Isu sebenar ialah menterjemahkan perkataan God kepada Allah dalam Bahasa Melayu!

34. Bahkan mengaku bahawa Allahlah yang mencipta langit dan bumi, itu adalah kebenaran dan kita tak menolak hal itu. Yang menjadi masalah adalah dalam isu sebenar, apabila contohnya makalah orang Kristian dan Bible mereka sendiri, mahu menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan kepada God daripada Bahasa Inggeris.

35. Ini satu kekeliruan dan muslihat halus yang wajib ditentang. Rakan-rakan, orang Kristian dalam penulisan mereka sentiasa mengaitkan Tuhan dengan anak-Nya (God and His son). Maka, jika diterjemahkan God kepada Allah, terlalu banyak bahagian penulisan mereka yang akan menyebut tentang Allah dan anak-Nya! Ini palsu! Batil!

36. Subhanallah! Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan itu. Ini satu pembohongan dan kata-kata kotor, kerana menisbahkan Allah sebagai Tuhan yang beranak! Rakan-rakan, adakah layak bagi Tuhan beranak-pinak?

37. Sedangkan konsep Triniti (Tuhan Tiga dalam Satu) yang dipercayai oleh penganut Kristian, telah awal-awal lagi ditolak secara jelas oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sendiri di dua tempat dalam Surah yang berlainan[3]. Lebih menarik, perkataan Triniti (Trinity dalam Bahasa Inggeris) sendiri, tak langsung disebut di dalam Bible walaupun sekali![3]

38. Dalam Surah Al-‘Ankabut juga, tetapi pada ayat 63, mereka sekali lagi menjawab ‘Allah’ apabila ditanya siapa yang menurunkan hujan. Namun, persamaan pada kedua-dua ayat ini ialah, walaupun orang kafir menjawab dengan nama Allah, kedua-dua ayat tersebut diakhiri dengan teguran dan peringatan daripada Allah SWT terhadap mereka ini.

39. Yakni, Allah SWT menyoal balik, jika betullah mereka mengiktiraf Allah sebagai pencipta langit dan pemberi hujan, maka kenapa mereka berpaling (daripada kebenaran)? Disebut juga bahawa kebanyakan mereka tidak mengerti.

40. Justeru, jika benar-benar kita fahami  kenyataan pada dua tempat dalam Surah Al-‘Ankabut ini, adakah kita setuju bahawa Allah mengiktiraf orang yang menyalahgunakan nama Allah dengan mensifatkan-Nya pada sifat yang tak layak bagi-Nya? Padahal Allah berfirman, alangkah jeleknya mulut orang yang berkata bahawa Allah telah mengambil anak![4]

HALAMAN AKHIR

41. Ringkasnya rakan-rakan, fahamilah isu, dan bersifat adillah terhadap maksud sebenar ayat-ayat dalam Surah Al-‘Ankabut yang telah kita sebutkan di atas. Baiklah, seterusnya, ayuh kita selidik hujah yang kedua pula.

42. Benar, nama ayahanda Nabi SAW ialah Abdullah. Perkara ini menunjukkan adanya penggunaan kalimah Allah sejak sebelum lahirnya Nabi SAW lagi. Namun, persoalannya, adakah kita hidup berpandukan apa yang dilakukan oleh orang-orang sebelum kelahiran Nabi SAW dan sebelum wahyu (agama Islam) diturunkan kepada baginda SAW?

43. Kalau begitu, bukankah sejak zaman Nabi Ibrahim lagi, Ka’abah sudah ada? Dan ketika zaman Nabi Muhammad SAW, bukankah ada berhala-berhala yang disembah di sekeliling Ka’abah? Menggunakan logik yang sama, adakah sekarang kita nak kata tak mengapa menyembah berhala (sebab itu yang berlaku sebelum Islam)? Pastinya tidak!

44.  Benar, perkataan Allah sudah digunakan orang Arab ketika itu. Namun, sebab itulah wahyu diturunkan kepada Nabi SAW. Kedatangan Islam telah mensucikan kalimah Allah sebagaimana Ka’abah telah disucikan daripada berhala-berhala yang akhirnya dihancurkan itu! Ya, wahyu Allah antara lain membetulkan kalimah-kalimah yang telah disalahertikan.

45. Dalam Surah Al-Ikhlas, Allah SWT telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang Diri-Nya sendiri (yakni Allah itu bagaimana sifat-Nya). Walaupun pendek hanya dengan 4 ayat, Surah ini menerangkan satu-persatu bahawa Allah itu Maha Esa; Dia tak memerlukan apapun tetapi semua yang lain berkehendak pada-Nya; Dia  tidak beranak mahupun diperanakkan; dan tiada apa atau siapapun yang sama dengan-Nya.

46. Kalimah Allah dengan pemahaman inilah yang telah masuk ke tanah Melayu dan akhirnya digunakan oleh orang Melayu sebagaimana pemahaman orang Arab selepas kedatangan Islam. Jadi sekarang, adakah kita ingin mengembalikan semula kalimah Allah kepada pemahaman sebelumnya, yakni sewaktu zaman Jahiliah?

47. Ringkasnya, God tidak sewajarnya diterjemah kepada Allah, kerana penggunaan God oleh orang bukan Islam tidak sama maknanya dengan pemahaman sebenar orang Melayu Islam terhadap kalimah Allah itu sendiri ketika ia dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui dakwah Islam.

48. Sebagai penutup, saya syorkan rakan-rakan membuat lebih banyak kajian dan pembacaan tentang bahaya dan implikasi buruk jika penterjemahan yang salah ini dibenarkan[5]. Dalam jangka masa panjang, hal ini akan membuka ruang besar fitnah kepada umat Islam sehingga anak-anak dan cucu-cicit kita boleh terkeliru dan akhirnya tergelincir.

49. Ada antara kita yang mungkin melihat penterjemahan God kepada Allah, akan membuka ruang dakwah kepada orang bukan Islam. Pada pandangan saya, ya kita perlu berdakwah. Tetapi bukan dengan cara begini. Orang bukan Islam tak akan mengkaji asal nama Allah jika kita senang-senang membenarkan penterjemahan ini.

50. Sebaliknya, pada pandangan saya yang faqir ini, jika kita menghalang penterjemahan tersebut, barulah mereka lebih berasa ingin tahu tentang kenapa kita menentang (jika mereka benar-benar ikhlas) lantas akhirnya membuka ruang untuk mereka faham, bahawa kita umat Islam percaya, Allah adalah nama bagi Tuhan sebenar yang tak beranak-pinak!

51. Tentang cadangan yang saya sebut pada halaman satu; saya dengan ini ingin menjemput kita semua atas dasar sokongan, keprihatinan dan tanggungjawab, untuk sama-sama hadir ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada hari Khamis, 22 Ogos 2013 kerana akan ada perkembangan terbaru di mahkamah pada hari berkenaan[6].


Wallahuaklam. Mohon maaf atas terlalu banyak kekurangan. Mohon maklum balas jika ada. Wassalam wbt.
______________________________________
[1] Sila baca artikel di blog saya amirulasyrafhanaffi.blogspot.com pada November 2012 bertajuk NAMAKNA: Antara Nama dan Makna
[2] Rujuk penulisan tentang profil dan sumbangan beliau oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam buku Adab dan Peradaban (MPH Publishing)
[3] Sila rujuk penerangan lebih panjang dalam artikel di blog saya pada April 2012 bertajuk Konsep Triniti Dalam Al-Quran
[4] Rujuk terjemahan ayat 4-5 Surah Al-Kahfi
[5] Antara cadangan blog untuk pembacaan ialah akarimomar.wordpress.com. Pemilik blog ini banyak membuat pendedahan yang berkaitan
[6]Untuk maklumat penuh, sila lawat azrilmohdamin.com dalam artikel bertajuk Maklumat Penting dan Terkini Kes Nama Suci Allah
Read more "Isu Kalimah (Nama) Allah"

Friday, August 16, 2013

Jelajah Muhasabah Kedah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Alhamdulillah tahniah buat pasangan abang sulong (Mohd Ridzwan Hanaffi) dan isteri (Nazhatul Fikriah Ahmad Bidin) yang baru selamat diijab kabul pada tanggal 10 Ogos baru-baru ini di Masjid Pendang, Kedah Darul Aman.

Barokallahu lakuma wabaroka 'alaikuma wajama'a baina kuma fi khayr..

Bersama Along (kanan), si pengantin baru ;-)
2. Perjalanan melalui jalan-jalan kampung dikelilingi suasana tenang kehijauan sawah padi yang sayup mata memandang sering membahagiakan hati dan jiwa. 

3. Subhanallah, Maha Suci Allah, Tuhan yang menciptakan keindahan itu sebagai tanda kebesaran-Nya. Moga Allah celikkan juga mata hati sebagaimana celiknya mata kepala saya yang sering leka dan lalai daripada mengingati-Nya.

4. Kedah memang diakui sebagai sebuah negeri yang melahirkan ramai 'ulamak nusantara. Sungguh negeri ini negeri yang mulia, malah disandarkan pada gelaran Darul Aman yang bererti sebuah negeri yang tenteram dan bahagia.

5. Sesungguhnya perkataan aman itu ada hubung kaitnya dengan perkataan iman. Maka orang-orang yang beriman, yakni yakin akan Allah serta janji-janji-Nya, pasti dia akan berasa aman, dan tidak berasa takut, tidak pula bersedih hati insha Allah.

6. Teringat bait-bait kata Sheikh Hamza Yusuf, apabila menceritakan tentang biografi Imam Besar kita, Hujjatul Islam, Al-Imam Abul Hamid Muhammad Al-Ghazali Rahimahullah (RH).

7. Beliau menceritakan, bahawa ayahanda kepada Al-Ghazali bukanlah seorang 'alim (yakni orang Melayu selalu sebut 'ulamak, yang sebenarnya adalah kata jamak (plural) bagi 'alim).

8. Tetapi ayah beliau dekat dengan para 'ulamak, menggunakan sebaiknya masa hidup untuk berkhidmat kepada 'alim 'ulamak dan berhasrat agar anak-anaknya menjadi 'ulamak juga.

9. Akhirnya, lihatlah Al-Ghazali, seorang tokoh mujaddid yang besar, lahir daripada seorang bapa yang demikian sifat dan akhlaknya. 

10. Saya mohon kepada Allah SWT, dengan kefaqiran dan kedhaifan diri saya ini, walau mungkin betapa jauhnya saya daripada menjadi seorang 'alim, moga-moga saya dapat meneladani ayahanda Al-Ghazali dan moga lahir dari keturunan dan anak-pinak saya, orang yang soleh yang redha pada Allah, dan diredhai Allah SWT.

11. Allahumma ameen.



12. Saya dimaklumkan bahawa kawasan Pendang menjadi salah satu tumpuan 'sarang' kelompok Shi'ah.

13. Maka suka saya huraikan sedikit tentang fahaman Shi'ah ini, mudah-mudahan memberi input berguna kepada kita supaya kita sama-sama mengukuhkan benteng diri bersama Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah insha Allah.

14. Suka saya sebut, telah banyak penulisan dan penjelasan yang dibuat tentang fahaman Shi'ah termasuklah dalam Bahasa Melayu. Malah, para 'alim 'ulamak kita telah lama meneliti hal ini, bahkan mengarang cukup banyak kitab bagi menjelaskan perbezaannya dengan fahaman Ahlu Al-Sunnah yang sebenar.

15. Antara yang pada pandangan saya adalah terpenting adalah tentang pendirian kita terhadap 3 khalifah yang pertama daripada Khulafa' Ar-Rashideen, moga Allah meredhai mereka semua.

16. Kelompok Shi'ah beri'tikad bahawa selepas kewafatan Nabi SAW, yang wajib memegang jawatan khalifah ialah Saidina 'Ali bin Abi Talib. Justeru, ketiga-tiga khalifah yang awal itu telah dikira merampas hak Saidina 'Ali karromallahu wajhah (moga Allah memuliakan wajahnya). Malah mereka mencerca (malah ada ke tahap mengkafirkan) Saidina Abu Bakar, Saidina 'Umar dan Saidina 'Uthman. Na'uzubillah!

17. Di sisi kita, tidak begitu. Kita mengiktiraf ketiga-tiga sahabat Nabi SAW yang cukup besar, malah dijamin syurga tersebut.

18. Kita juga tidak menolak kewajipan mencintai ahli keluarga dan keturunan Rasulullah SAW (yang dipanggil Ahlul Bayt) namun kita menolak fahaman Shi'ah yang menetapkan hanya individu-individu tertentu sebagai Ahlul Bayt.

19. Ringkasnya, kita menyayangi keluarga baginda SAW (yakni Ahlul Bayt) termasuk isteri-isteri baginda (yang merupakan ibu-ibu bagi orang mukminin), dan berbeza dengan kelompok Shi'ah, kita turut menyayangi para sahabat Nabi SAW, yang melalui mereka, Al-Quran, Hadis, Sunnah dan ajaran Islam secara keseluruhannya sampai kepada kita.

20. Kelompok Shi'ah juga telah tergelincir dek pengakuan mereka terhadap kemaksuman Saidina Ali bin Abu Talib, malah 12 orang Imam mereka, padahal di sisi kita Ahlu Al-Sunnah, hanya para Nabi dan para Rasul sahaja yang maksum.

21. Menariknya, berdasarkan hadis Nabi SAW, kemaksuman juga dijamin oleh Nabi SAW kepada ummat, apabila baginda SAW pernah bersabda bahawa umatku tidak akan bersepakat dalam hal-hal yang sesat.

22. Justeru, iktibar besar daripada itu adalah agar kita merujuk kepada ajaran majoriti ulamak Islam yang muktabar, yang sejak dari dahulu ajaran mereka diikuti, dipelajari dan disebarkan oleh ramainya antara mereka yang menjadi ulamak yang besar ini, sehingga menjadi satu jaminan buat kita, bahawa itulah ajaran yang benar.

23. Itulah yang kita kenal sebagai ajaran Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah. 

24. Maka, bergembiralah wahai saudara se-Islamku. Allah dengan ketetapan Qadar-Nya tidak meninggalkan kita sendirian. Janganlah bersedih mahupun berputus asa, biarpun zaman ini penuh dengan kekusutan dan kekeliruan.

25. Ada bekalan buat kita, yakni untuk mengikuti bukannya majoriti orang-orang awam yang berfahaman liberal dan berubah-ubah pendiriannya, tetapi berpegang kepada aliran yang dipegang majoriti ulamak muktabar zaman-berzaman, kerana dijamin kemaksuman kebenarannya di situ.

26. Suka saya ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan, ancaman besar buat kita sekarang adalah ilmu (yakni kekurangan ilmu). Maka pelajarilah sedalam yang mampu pegangan Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah, dan sampaikan pada sesama ahli keluarga tersayang.

27. Buanglah sifat ego kita, bersihkan hati kita, sayangi para 'alim 'ulamak sama ada yang terdahulu mahupun yang terkemudian, kerana tradisi ilmu kita yang benar lagi suci ini, bukan baru bermula, tetapi ia sudah lama berakar dan terus berkembang menjadi bunga-bunga yang mekar mewangi dalam hati orang-orang yang beriman.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S: Ayuh perbanyakkan membaca doa untuk saudara se-Islam kita di Mesir, Syria, Palestin, Rohingya dan negara-negara bergolak yang lain. Jangan lupa, tanpa ilmu, minda kita pun turut bergolak. Ya Allah permudahkanlah ameen!

Read more "Jelajah Muhasabah Kedah"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq