RSS

Sunday, August 25, 2013

Ulama' Jahat (Suuk)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Teknologi yang berkembang pantas memungkinkan adanya gajet elektronik yang mempunyai banyak fungsi dalam satu-satu masa.

2. Telefon mudah alih (mobile phone) sekarang mempunyai fungsi seperti kamera, mp3 dan radio, fungsi internet dan banyak lagi.

3. Namun tak dinafikan dalam hal fotografi misalnya, kamera yang berfungsi hanya sebagai kameralah adalah yang terbaik dalam bidangnya.

4. Demikian juga kelihatan manusia cenderung kepada kepelbagaian kepakaran dalam hidup mereka masa kini. Lagi-lagi dalam hal yang melibatkan ilmu, kerana kononnya ilmu kini berada di hujung jari (melalui internet).

5. Siapa yang tahu membezakan antara ilmu dan sekadar informasi (maklumat) pasti tak akan bersetuju dengan penyataan ilmu di hujung jari ini.

6. Kerana walaupun banyak maklumat bertebaran di muka bumi, tetapi ia menjadi ilmu hanya jika ia bermanfaat dan dikendalikan oleh orang yang mahir dalam bidang ilmunya, serta terus-menerus mengamalkan malah memperbaik dirinya dalam bidang ilmu tersebut.

7. Malangnya, kini semua sempadan mahu dihapuskan. Orang awam dan orang pakar seolah-olah tiada bezanya lagi. Seorang doktor perlu bersedia menjawab hujah pesakitnya ketika sesi diagnosis kerana di tangan pesakit itu juga terpapar 1001 maklumat daripada laman web Wikipedia tentang masalah yang dihadapinya.

8. Bahkan dalam hal agama pun, ada usaha kuat sesetengah pihak mahu menyamaratakan semua agama, lantas berkembanglah fahaman pluralisme agama.

9. Akhirnya, makin ramai antara manusia itu mahu menjadi hero. Mahu menjadi matahari, selain mereka adalah planet-planet yang mengorbit di sekelilingnya.

10. Dialah pusat, yang lain semuanya berputar berpandukan dia. Dialah benar, tiada kebenaran melainkan yang difikirkannya benar.

11. Akhirnya, berlakulah kegelinciran dalam meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Akhirnya, terkorbanlah satu prinsip yang dinamakan KEADILAN.

12. Saya memohon rakan-rakan, terutamanya yang kurang cerdik seperti saya, untuk berjihad melawan nafsu dengan berlepas diri daripada 'keseronokan' melabelkan golongan ulamak dengan gelaran ulamak jahat (ulamak suuk), siapapun dia, sebaliknya sama-sama mendoakan agar Allah SWT melindungi kita daripada golongan ini, dan mohonlah kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa mereka dan agar mereka berubah.

13. Saya fikir, kita amat jarang memandang sekeliling kita sebagai cerminan diri. Kerosakan di sekeliling kita boleh saja mencerminkan kebinasaan dan kerosakan yang sedang berlaku dalam diri kita sendiri.

14. Sesiapa yang cermin kaca matanya berdebu, akan sentiasa melihat cuaca yang jerebu.

15. Sebentar tadi saya ada terbaca perkongsian menarik di Facebook oleh Ustazah Syarifah Fatimah tentang satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH yang berbunyi:

"Apabila ada seorang lelaki berkata, 'orang ramai sekarang ni sudah rosak'; maka dia sendiri (orang yang berkata seperti itu) yang paling rosak di kalangan mereka."

16. Dihuraikan bahawa, apa yang kita takutkan terbit dari hati orang yang berkata itu ialah seolah-olah dia selamat, lantas berbangga diri atas keselamatannya, seolah-olah semua orang melainkan dia sudah rosak.

17. Bukankah itu bahaya? Satu ilusi diri yang membunuh diri sendiri?

18. Dalam isu Mesir misalnya, apabila kita tak bersetuju dengan sesetengah ulamak, pastikan kita lakukannya atas sandaran ulamak yang tak bersetuju dengan ulamak tersebut.

19. Inilah adab dan inilah caranya. Biarlah mereka membentangkan kritikan kepada satu sama lain kerana mereka berada pada darjat atau maqam yang sama dan mereka faham benar etika dalam perbezaan pendapat.

20. Malah, saya amat yakin, kerana pemahaman dan ilmu mereka yang cukup mendalam, justeru jika mereka tak bersetuju tentang satu perkara, mereka boleh saja bersetuju dengan ulamak yang sama dalam bab yang lain pula, kerana itu sudah sedia lazim dalam tradisi keilmuan.

21. Kita pula orang awam, sekali kita tahu kesilapan ulamak (ataupun pendapat yang tak dipersetujui oleh sebahagian ulamak yang lain), lantas kita mempunyai fikiran seolah-olah SEMUA daripada ulamak itu kita tolak! Na'uzubillah!

22. Lebih teruk lagi, kita dengan berani mencaci dan menjatuhkan nama ulamak itu, malah di khalayak ramai (melalui media sosial)! Na'uzubillah!

23. Berhati-hatilah wahai rakan-rakan, jika anda seperti saya, yang dhaif dan tidak cerdik ini.

24. Sebelum saya tutup bicara, saya mohon kita sedar perkara berikut.

25. Banyak kali, kita mengagung-agungkan orang bukan kerana dia pandai, tetapi kerana kita yang bodoh. Demikian juga, kita mungkin membenci orang kerana kita tak tahu tentangnya. Justeru, berpada-padalah.

26. Betapa ramai orang yang ilmunya lebih tinggi sikit berbanding kita, mengguna-gunakan kita orang awam yang kurang cerdik ini, untuk menyokong aliran pemikiran mereka. Kita mohon perlindungan Allah daripada perkara ini.

27. Kita mohon juga agar Allah membantu kita bersama-sama ulamak yang ikhlas dalam membimbing kita, bukan hanya untuk kejayaan di dunia, malah kejayaan di akhirat.

28. Sesungguhnya, tepat benarlah kata-kata Gus Anam yang diambil daripada gurunya Prof Dr As Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki, yang diambil pula daripada gurunya As-Shaykh Said Al-Yamani, bahawa:

"Jikalau seseorang bertambah ilmunya dan luas cakrawalanya, MAKA IA AKAN SEDIKIT MENYALAHKAN ORANG LAIN."

29. Tolonglah jangan rugikan masa menyalahkan orang lain, kalaulah kita tumpukan masa menuntut ilmu yang luasnya tidak terkira ini, maka kita akan terlalu sibuk sehingga tak sempat melihat kesalahan orang, bahkan yang lebih menarik, bertambahnya ilmu akan menghadirkan kesedaran kepada kita bahawa selama ini kita yang salah. 

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Bila gambar berkata-kata; moga lebur segala sengketa...

2 comments:

Anonymous said...

salam nak tanya belajar di imu? boleh bgi email nak tanya pasal imu...

Ibnu Hanaffi said...

Waalaikumussalam wbt. Ya, tapi sekejap je saya belajar di imu. Emel saya- amirulasyrafhanaffi[at]gmail.com ;-)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq