RSS

Friday, August 16, 2013

Jelajah Muhasabah Kedah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Alhamdulillah tahniah buat pasangan abang sulong (Mohd Ridzwan Hanaffi) dan isteri (Nazhatul Fikriah Ahmad Bidin) yang baru selamat diijab kabul pada tanggal 10 Ogos baru-baru ini di Masjid Pendang, Kedah Darul Aman.

Barokallahu lakuma wabaroka 'alaikuma wajama'a baina kuma fi khayr..

Bersama Along (kanan), si pengantin baru ;-)
2. Perjalanan melalui jalan-jalan kampung dikelilingi suasana tenang kehijauan sawah padi yang sayup mata memandang sering membahagiakan hati dan jiwa. 

3. Subhanallah, Maha Suci Allah, Tuhan yang menciptakan keindahan itu sebagai tanda kebesaran-Nya. Moga Allah celikkan juga mata hati sebagaimana celiknya mata kepala saya yang sering leka dan lalai daripada mengingati-Nya.

4. Kedah memang diakui sebagai sebuah negeri yang melahirkan ramai 'ulamak nusantara. Sungguh negeri ini negeri yang mulia, malah disandarkan pada gelaran Darul Aman yang bererti sebuah negeri yang tenteram dan bahagia.

5. Sesungguhnya perkataan aman itu ada hubung kaitnya dengan perkataan iman. Maka orang-orang yang beriman, yakni yakin akan Allah serta janji-janji-Nya, pasti dia akan berasa aman, dan tidak berasa takut, tidak pula bersedih hati insha Allah.

6. Teringat bait-bait kata Sheikh Hamza Yusuf, apabila menceritakan tentang biografi Imam Besar kita, Hujjatul Islam, Al-Imam Abul Hamid Muhammad Al-Ghazali Rahimahullah (RH).

7. Beliau menceritakan, bahawa ayahanda kepada Al-Ghazali bukanlah seorang 'alim (yakni orang Melayu selalu sebut 'ulamak, yang sebenarnya adalah kata jamak (plural) bagi 'alim).

8. Tetapi ayah beliau dekat dengan para 'ulamak, menggunakan sebaiknya masa hidup untuk berkhidmat kepada 'alim 'ulamak dan berhasrat agar anak-anaknya menjadi 'ulamak juga.

9. Akhirnya, lihatlah Al-Ghazali, seorang tokoh mujaddid yang besar, lahir daripada seorang bapa yang demikian sifat dan akhlaknya. 

10. Saya mohon kepada Allah SWT, dengan kefaqiran dan kedhaifan diri saya ini, walau mungkin betapa jauhnya saya daripada menjadi seorang 'alim, moga-moga saya dapat meneladani ayahanda Al-Ghazali dan moga lahir dari keturunan dan anak-pinak saya, orang yang soleh yang redha pada Allah, dan diredhai Allah SWT.

11. Allahumma ameen.



12. Saya dimaklumkan bahawa kawasan Pendang menjadi salah satu tumpuan 'sarang' kelompok Shi'ah.

13. Maka suka saya huraikan sedikit tentang fahaman Shi'ah ini, mudah-mudahan memberi input berguna kepada kita supaya kita sama-sama mengukuhkan benteng diri bersama Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah insha Allah.

14. Suka saya sebut, telah banyak penulisan dan penjelasan yang dibuat tentang fahaman Shi'ah termasuklah dalam Bahasa Melayu. Malah, para 'alim 'ulamak kita telah lama meneliti hal ini, bahkan mengarang cukup banyak kitab bagi menjelaskan perbezaannya dengan fahaman Ahlu Al-Sunnah yang sebenar.

15. Antara yang pada pandangan saya adalah terpenting adalah tentang pendirian kita terhadap 3 khalifah yang pertama daripada Khulafa' Ar-Rashideen, moga Allah meredhai mereka semua.

16. Kelompok Shi'ah beri'tikad bahawa selepas kewafatan Nabi SAW, yang wajib memegang jawatan khalifah ialah Saidina 'Ali bin Abi Talib. Justeru, ketiga-tiga khalifah yang awal itu telah dikira merampas hak Saidina 'Ali karromallahu wajhah (moga Allah memuliakan wajahnya). Malah mereka mencerca (malah ada ke tahap mengkafirkan) Saidina Abu Bakar, Saidina 'Umar dan Saidina 'Uthman. Na'uzubillah!

17. Di sisi kita, tidak begitu. Kita mengiktiraf ketiga-tiga sahabat Nabi SAW yang cukup besar, malah dijamin syurga tersebut.

18. Kita juga tidak menolak kewajipan mencintai ahli keluarga dan keturunan Rasulullah SAW (yang dipanggil Ahlul Bayt) namun kita menolak fahaman Shi'ah yang menetapkan hanya individu-individu tertentu sebagai Ahlul Bayt.

19. Ringkasnya, kita menyayangi keluarga baginda SAW (yakni Ahlul Bayt) termasuk isteri-isteri baginda (yang merupakan ibu-ibu bagi orang mukminin), dan berbeza dengan kelompok Shi'ah, kita turut menyayangi para sahabat Nabi SAW, yang melalui mereka, Al-Quran, Hadis, Sunnah dan ajaran Islam secara keseluruhannya sampai kepada kita.

20. Kelompok Shi'ah juga telah tergelincir dek pengakuan mereka terhadap kemaksuman Saidina Ali bin Abu Talib, malah 12 orang Imam mereka, padahal di sisi kita Ahlu Al-Sunnah, hanya para Nabi dan para Rasul sahaja yang maksum.

21. Menariknya, berdasarkan hadis Nabi SAW, kemaksuman juga dijamin oleh Nabi SAW kepada ummat, apabila baginda SAW pernah bersabda bahawa umatku tidak akan bersepakat dalam hal-hal yang sesat.

22. Justeru, iktibar besar daripada itu adalah agar kita merujuk kepada ajaran majoriti ulamak Islam yang muktabar, yang sejak dari dahulu ajaran mereka diikuti, dipelajari dan disebarkan oleh ramainya antara mereka yang menjadi ulamak yang besar ini, sehingga menjadi satu jaminan buat kita, bahawa itulah ajaran yang benar.

23. Itulah yang kita kenal sebagai ajaran Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah

24. Maka, bergembiralah wahai saudara se-Islamku. Allah dengan ketetapan Qadar-Nya tidak meninggalkan kita sendirian. Janganlah bersedih mahupun berputus asa, biarpun zaman ini penuh dengan kekusutan dan kekeliruan.

25. Ada bekalan buat kita, yakni untuk mengikuti bukannya majoriti orang-orang awam yang berfahaman liberal dan berubah-ubah pendiriannya, tetapi berpegang kepada aliran yang dipegang majoriti ulamak muktabar zaman-berzaman, kerana dijamin kemaksuman kebenarannya di situ.

26. Suka saya ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan, ancaman besar buat kita sekarang adalah ilmu (yakni kekurangan ilmu). Maka pelajarilah sedalam yang mampu pegangan Ahlu Al-Sunnah Wal Jamaah, dan sampaikan pada sesama ahli keluarga tersayang.

27. Buanglah sifat ego kita, bersihkan hati kita, sayangi para 'alim 'ulamak sama ada yang terdahulu mahupun yang terkemudian, kerana tradisi ilmu kita yang benar lagi suci ini, bukan baru bermula, tetapi ia sudah lama berakar dan terus berkembang menjadi bunga-bunga yang mekar mewangi dalam hati orang-orang yang beriman.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

P/S: Ayuh perbanyakkan membaca doa untuk saudara se-Islam kita di Mesir, Syria, Palestin, Rohingya dan negara-negara bergolak yang lain. Jangan lupa, tanpa ilmu, minda kita pun turut bergolak. Ya Allah permudahkanlah ameen!

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq