RSS

Monday, October 21, 2013

Selamat Tinggal Borneo!


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Kenyataan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman telah menjadi bualan ramai rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan isu kalimah Allah dan keputusan mahkamah baru-baru ini.

2. Artikel yang menyiarkan kenyataan itu boleh dibaca di sini.

3. Sebelum saya berbicara lebih lanjut, izinkan dengan ringkasnya saya sebut di sini, bahawa ada sesetengah orang Islam, apatah lagi yang bukan Islam masih keliru dengan persoalan sebenar dalam isu kalimah Allah.

4. Sehinggakan ada orang bukan Islam yang menggunakan istilah A-word (merujuk kepada Allah) kerana beranggapan (atau sekadar sindiran sinis) bahawa orang bukan Islam tak boleh lagi menggunakan atau menyebut, mahupun mengeja nama Allah.

5. Padahal, bukan itu soalnya. Fahamilah betul-betul. Isunya adalah apabila perkataan God mahu diterjemah kepada Allah dalam penulisan Bahasa Melayu.

6. Menterjemah God kepada Allah bermakna perkataan seperti Son of God akan diterjemah menjadi anak Allah, padahal sepatutnya anak Tuhan.

7. Sesungguhnya Allah SWT suci daripada sifat sedemikian. Dia tak beranak dan tak diperanakkan. Frasa 'Anak Allah' ibarat menyatakan 'Segi tiga berbentuk bulat'. Tak masuk akal!

8. Ringkasnya, yang tak dibenarkan adalah kerana khuatir penggunaan itu menjadi peNYALAHgunaan.

9. Justeru, apa yang saya faham, jika seorang bukan Islam ingin menyanyi lagu negeri yang ada nama Allah di dalamnya, atau ingin menyebut kuat-kuat bahawa Allah SWT Maha Esa, dan lain-lain keadaan yang sesuai dengan sifat Allah SWT, maka silakan.

10. Berbalik kepada soal ISMA tadi, kenyataan beliau ialah:

“Mereka boleh buat pilihan lain untuk berpindah ke mana-mana negara kalau sudah tidak lagi boleh menerima kedaulatan Islam dan raja yang menjaga kedaulatan agama itu.”

11. Baik, begini komentar saya.

12. Lenggok bahasa sedemikian memang mengguriskan hati mereka yang tak gembira dengan keputusan mahkamah (bahawa kalimah Allah dilarang digunakan seperti yang diinginkan) sehinggakan ia menjadi mesej secara tak langsung bahawa satu-satunya pilihan sekarang adalah untuk keluar daripada negara Malaysia.

13. Jika dilihat dari aspek ini, maka kenyataan ini tidak patut dikeluarkan. Malah jika memang demikian niatnya, saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang hina dina tegas tak bersetuju. ISMA telah menjawab balik dengan menyatakan bahawa sebenarnya kenyataan itu diputar belit atau mungkin disalahfahami. Allahu'aklam.

14. Namun, saya berharap sahabat-sahabat (terutamanya yang bukan Islam) dari Sabah dan Sarawak lebih cenderung untuk melihat kepada pilihan lain, yakni bersatu padu dan bersama-sama saling menghormati satu sama lain dan mencintai negara kita ini.

15. Selain hal di atas, saya ingin sentuh juga perkara-perkara berikut.

16. Sebagai seorang Muslim, saya faham bahawa Islam ialah agama yang harmoni dalam ketegasannya.

17. Saya cenderung untuk bersetuju dengan ISMA dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan dan sumbangan orang Melayu dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan kedaulatannya, lebih-lebih lagi jika sumber rujukan ISMA ialah idea dan pendekatan yang dibawa oleh tokoh ulamak besar nusantara (dan antarabangsa), Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.



18. Pun begitu, saya harap, ISMA dan ahli-ahlinya, mahupun siapa jua orang Melayu Muslim yang lain, mengelakkan daripada mempunyai mentaliti bahawa Islam hanya akan kuat dan berdaulat jika semua orang di negara kita, atau di tempat kita tinggal adalah Melayu dan Islam sahaja.

19. Mentaliti sedemikian saya fikir ada kemungkinan menyumbang ke arah tercetusnya idea untuk orang bukan Melayu atau bukan Islam agar 'keluar' atau 'dihalau'.

20. Bukan sahaja ia tak praktikal dalam idealisme sebenar Islam (sefaham saya) memikirkan komposisi rakyat Malaysia berbilang latar-belakang, bahkan jikapun praktikal, ia menutup ruang dakwah dan ia bukan matlamat unggul kita umat Islam.

21. Lemahlah kita jika kita fikir kita akan meninggi hanya jika kita berada sesama kita. Jaguh kampung sahaja. Pandanglah lebih tinggi. Orang Melayu hebat ke-Islamannya jika dihormati dalam kalangan orang bukan Melayu dan orang bukan Islam yang tinggal di bawah satu bumbung dengan mereka.

22. Sama juga, dalam isu yang lebih dalam, tentang persoalan mazhab (huraian ini tiada kaitan dengan ISMA).

23. Tidak bolehlah kita melaungkan slogan meninggalkan mazhab dan meletakkan hanya satu standard sahaja untuk diikuti umat Islam. Apatah lagi slogan cacat menyeru orang awam agar berlepas diri daripada mazhab.

24. Menurut Sheikh Faraz Rabbani, hal ini bukanlah panggilan kepada perpaduan dan toleransi, tetapi satu usaha memecahbelahkan masharakat. Jika hanya satu mazhab yang mahu diikut, maka akan bergaduh besar dan masing-masing mahu mazhab mereka yang 'menang'.

25. Padahal kepelbagaian pendapat ulamak itu satu rahmat yang luas. Dan pendapat mereka yang berbeza-beza itu adalah dalam hal cabang dan semuanya betul lagi benar.

26. Perpaduan bukanlah dicapai apabila hanya satu idea diterima dan yang lain wajib mengikutinya, tetapi menurut Sheikh, betapa perbezaan sesama kita tak sepatutnya menjadi halangan untuk kita hidup bersama.

27. Menurut Sheikh Abdal Hakim Murad, 90 peratus daripada umat Islam dalam 90 peratus tempoh masa perjalanan sejarahnya hidup harmoni kerana penerimaan dan toleransi antara satu mazhab dengan mazhab yang lain. Adakah formula yang lebih baik berbanding yang ini?

28. Sebagai penutup, saya sentuh sikit lagi tentang kalimah Allah.

29. Kelihatannya, ada usaha sesetengah pihak untuk sama-sama mengaku tentang konsep keesaan Tuhan dalam agama mereka, sekaligus menjadi justifikasi bahawa bolehlah kalimah Allah itu mereka gunakan.

30. Saya mohon rakan-rakan se-Islam mematahkan terus hujah begini dengan merujuk semula kepada Rukun Islam kita yang pertama yakni shahadatayn (DUA kalimah shahadah).

31. Ya, umat Islam bukan hanya mengakui keesaan Allah SWT, malah wajib menerima bahawa Muhammad itu Rasulullah SAW dan Nabi yang terakhir.

32. Mengakui keesaan Tuhan semata-mata tidak menyamakan mana-mana agama dengan agama Islam, sama ada Kristian, Hindu dan lain-lain, kerana hanya Islam mewajibkan keimanan kepada Rasulullah SAW.

33. Hal ini bukan untuk menolak keharmonian antara penganut agama, tetapi untuk menolak kekeliruan propaganda sesetengah pihak yang menyamakan semua agama dalam semua aspek. TIDAK! Perpaduan itu memerlukan usaha mencari persamaan, tapi yang hitam katakanlah hitam, bukan putih.

Allahuaklam. Assalamualaikum wbt.


P/S: Kepada semua orang Sarawak dan Sabah, sama ada Muslim mahupun bukan, saya mahu ucapkan:
Kamek sayang kitak! =D

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq