RSS

Saturday, August 11, 2012

Jaminan Syurga


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Bimbang juga saya melihat perkembangan politik tanah air apabila melibatkan isu agama.

2. Isu yang terbesar dan hangat (pada hemah saya) pastilah tentang status Parti DAP sebagai kafir harbi.

3. Semua ini adalah gara-gara Karpal Singh yang mencabar langkah mayatnya dulu kalau mahu hudud dilaksanakan Malaysia.

4. Bertambah buruk pula apabila Karpal mengaku bahawa kenyataan dan pendiriannya mewakili Parti DAP yang dikepalainya itu.

5. Justeru DAP ialah kafir harbi dan wajib diperangi?

6. Saya menulis untuk menyentuh tentang beberapa perkara di sini.

7. Pertama, kita perlu faham bahawa bukan pukul orang sahaja salah, pukul rata pun ada yang tak kenanya. Pukul rata = generalize

8. Sudah lebih setengah abad kita merdeka. Jumlah orang bukan Melayu yang masuk Islam terlalu sedikit.

9. Yang peliknya, bangsa seperti Cina bukan berpegang kepada satu agama sahaja, malah banyak sangat. Sebahagiannya adalah dalam bentuk falsafah dan kepercayaan moral, tapi yang pasti banyak pula yang bercampur-campur pegangan dalam satu-satu masa.

10. Kenapa pulak dalam banyak-banyak, tak pernah terlintas di hati mereka untuk try agama Islam?

11. Pernah tak kita fikirkan?

12. Ia bukan persoalan prioriti di sini. Saya tak menyangkal bahawa orang Melayu majoritinya (BUKAN SEMUA YA) adalah Islam dan memerlukan perhatian yang lebih, namun persoalan yang besar di sini ialah, jika selama ini kita tumpukan ke arah pembangunan orang Melayu sebagai umat Islam yang hebat, kenapa orang bukan Islam seolah-olah tak berminat dengan Islam? 

13. Pasti ada sesuatu yang tak kena dengan umat Islam Melayu ini.

14. Adalah malang sekali jika terdapat kecenderungan yang besar malah dalam masyarakat Melayu sendiri yang melihat bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam.

15. Menentang Melayu itu seperti menentang Islam. Maka apabila ada orang Melayu yang menipu dan makan suap, dia TAK BOLEH ditentang walaupun dia melakukan sesuatu yang tak Islamik, kerana menentangnya seolah-olah menentang Islam.

16. Seolah-olah siapa yang Melayu, TERJAMIN syurga baginya.

17. Hujah saya mudah.

18. Kita perlu selamatkan diri kita. Kemudian ahli keluarga kita. Kemudian bangsa kita dan masyarakat kita- itu semua betul sama sekali, jika kita ingin berbincang soal first thing first.

19. Namun saya melihat kerangka pemikiran orang Melayu secara amnya masih tidak membesar, walaupun kerangka pemikiran seorang Muslim seperti yang dianjurkan oleh Islam teramat luas.

20. Inilah salah satu sebab saya melihat bahawa memperjuangkan Islam atas nama Melayu adalah satu perkara yang problematik.

21. Kerana suasana kita sekarang memerlukan kita menyelamatkan orang Melayu dengan cara yang lebih bijaksana, yakni seperti yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri.

22. Saya berpendapat bahawa caranya adalah dengan mentarbiyah umat Melayu Islam agar lebih bersedia untuk hidup dalam masyarakat majmuk dengan harmoni, tanpa berkompromi dalam hal-hal berkaitan agama.

23. Berbalik kepada hal DAP tadi, jangan kerana kebencian kita padanya menyebabkan kita menolak dan membenci semua orang Cina dan India. Serta orang-orang bukan Melayu yang lain.

24. Jika ada orang bukan Melayu yang menganut agama Islam, mereka digalakkan mengikut orang Melayu pula, sama ada memakai kain pelekat atau baju kurung, terutamanya pada hari Raya.

Gambar hiasan. Kalau nak, beli sendiri =p
25. Saya hairan, adakah yang memakai baju Melayu dan baju kurung itulah yang nampak 'Islam' walaupun mungkin dia seksi dan mengasyikkan, mengalahkan model Hollywood yang kadang-kadang mempunyai fesyen pakaian membalut badan seperti mumia?

26. Kekuatan orang Melayu sebagai umat Islam adalah dengan membezakan apa yang Melayu dan apa yang Islam. Antara apa yang cultural dan apa yang religious.

27. Besar harapan saya agar kita mengikhlaskan diri dalam memperjuangkan Islam yang sebenar.

28. Saya berpendirian, bahawa kelebihan utama Islam adalah pada penerimaannya terhadap masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama, dan pada prinsipnya yang tak memaksa orang lain menerima Islam sama ada melalui paksaan politik mahupun bentuk paksaan yang lain.

29. Saya khuatir, adakah apabila kita memperjuangkan sebuah negara Islam, kita sebenarnya maksudkan atau impikan satu wilayah yang hanya terdiri daripada orang Melayu sahaja?

30. Jika inilah matlamatnya, saya pun tak setuju dengan negara Islam berkonsepkan sedemikian.

31. Kerana sekali lagi, menjadi Melayu bukan asbab masuk syurga. Menjadi Melayu bukan asbab menjadi Islamik.

32. Hakikat sebenar yang harus diterima ialah, hidayah itu tak akan mengenal bangsa dan warna kulit, dan selagi mana kita memperjuangkan agama atas dasar bangsa, dengan alasan apapun, ia adalah satu kaedah yang sempit lagi menyempitkan.

33. Selagi mana kita tak mahu menghayati kemampuan Islam dalam membentuk masyarakat majmuk yang menghormati manusia daripada bangsa dan agama yang lain, selagi itu Islam akan dilihat sebagai musuh oleh orang bukan Islam.

34. Selagi itu jugalah kita akan terus bergantung pada kemelayuan Islam di Malaysia, yang sudah mula luntur dan goyah, dan kemuncaknya nanti, Islam dijauhi dan dibenci hanya kerana Islam itu tak lain hanyalah satu peninggalan atau sifat orang Melayu.

35. Dalam masa yang sama, orang Melayu akan terus mundur, kerana hanya mampu menjadi jaguh kampung yang hebat hanya sesama orang Melayu, tetapi bila bersaing dengan bangsa lain, kita tewas dan tumpas, lembik seperti kena lenyek.

36. Jika ada yang melihat keagungan Melayu sebagai umat Islam kerana keislaman nenek moyang kita, maka mereka telah ingkar pada sejarah, kerana orang Melayu terlebih dahulu menganut agama Buddha dan Hindu, di samping animisme.

37. Hentikanlah hujah sedemikian. Bahkan Islam jelas melarangnya. Bahkan Al-Quran jelas menceritakan. Tentang orang-orang kafir yang tak menerima Islam hanya kerana mahu mengikut nenek moyang yang menyembah berhala.

38. Katakan wahai sahabatku semuslim semelayu, kita bukan Muslim kerana ibu atau bapa kita, bukan juga kerana kita Melayu. Soal siapa ibu bapa kita atau apa bangsa kita tak boleh lagi diubah.

39. Yang boleh berubah ialah keislaman kita, tapi kita tetap memilih untuk kekal sebagai Muslim, kerana kita yakini ia agama yang benar, dan kerana itu juga kita mahukan orang lain walaupun daripada bangsa yang berbeza untuk juga mendapat manfaat daripada Islam.

40. Orang Melayu sukar berubah. Namun kerana kecantikan Islam, budaya animisme, Buddhisme dan Hinduisme ditinggalkan (walaupun tak semuanya- seperti sesetengah budaya dan upacara).

41. Persoalannya, mengapa orang Cina yang boleh berubah-ubah agama, malah banyak yang berpindah kepada Kristian walaupun dulunya pernah menjadi penganut Hindu atau Buddha, tak nampak kecantikan Islam?

42. Sekali lagi soalan saya, mungkinkah kerana orang Melayu terlalu memelayukan Islam sehingga hilang kecantikannya sebagai agama yang universal dan paling hebat?

43. Saya tinggalkan persoalan sebegitu untuk kita fikirkan sejenak. Saya tak mengajak kita membenci, tapi beringat dan berfikir, untuk menyayangi dan mencintai melangkau batasan ke'bangsa'an.

Wallahuaklam. Assalamualaikum wbt.

P/S: Satu lagi artikel berkaitan tapi dalam Bahasa Inggeris: Between The Malayized Muslim and The Islamized Malay

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq