RSS

Wednesday, June 13, 2012

EUROmadhon



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Bermula 8 Jun lepas sehinggalah 1 Julai nanti, berlangsunglah Perlawanan Bola Sepak Eropah.

2. Bola sepak mempunyai kaitan yang menarik dalam hidup saya.

3. Ayah saya seorang pemain bola sepak (takraw) dan seorang yang sangat aktif bersukan ketika usia mudanya.

4. Dan kata beliau, disebabkan bola sepaklah (alhamdulillah dengan izin Allah SWT) dia boleh menjaga dan mendisiplinkan diri sekaligus dapat mengelakkan daripada aktiviti kurang bermanfaat yang selalu merosakkan anak-anak muda di kampung.

5. Betapa cantiknya hikmah dan manfaat yang diperoleh daripada aktiviti seperti riadah. Sedangkan pepatah pun ada menyebut, bahawa badan yang cergas akan membentuk minda yang cerdas.

6. Bakat ayah saya ini diturunkan kepada abang sulong saya yang menjadi legenda bola sepak sejak di sekolah rendah lagi, mewakili negeri Terengganu. 

7. Di MCKK, beliaulah kapten dan tulang belakang pasukan serta pernah memegang tanggungjawab sebagai kapten negeri Perak. Beliau juga pernah terpilih untuk latihan kelayakan bagi mewakili negara Malaysia.

8. Saya pula lain sedikit. Sejak kecik, berbanding beliau dan ayah, saya mungkin agak 'lembik'.

9. Saya pernah ketika kecil tak boleh berjalan seolah-olah hampir lumpuh- mungkin kerana kurang zat makanan.

10. Tapi Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya juga menganugerahkan saya fakulti kelebihan yang lain.

11. Sejak di sekolah rendah, saya lebih selesa dan cenderung ke arah aktiviti dalam bilik darjah, yang berkaitan dengan bidang pidato dan pengucapan awam, serta aktiviti yang melibatkan penggunaan akal dan intelek secara maksimum seperti perbahasan.

12. Pun begitu, saya pernah bersama-sama pasukan bola sepak di sekolah rendah (dan pernah menjaringkan gol hehe) serta pasukan bola sepak MCKK sehinggalah Tingkatan 3 pada tahun 2005.

13. Pencapaian terbesar adalah bersama-sama pasukan menjuarai perlawanan  peringkat negeri Perak ketika di tingkatan 1 (tahun 2003).

14. Cuma saya akhirnya diminta membuat pilihan antara debat dan bola sepak ketika di tingkatan 3, supaya saya boleh memberikan komitmen yang penuh pada salah satu. Saya memilih debat.

15. Demikianlah cerita bola sepak. Sekarang, ayah saya melatih adik 'kembar jauh' saya pula. Saya lebih hensem daripada dia kerana saya tak ada lesung pipit. =p

Sama tak kami? Aiman (kiri) sekarang berusia 12 tahun ;-)
16. Sehingga sekarang, saya percaya betapa besar sumbangan ayah saya dalam membentuk kelelakian dan kekuatan fizikal serta stamina saya.

17. Di sebalik peribadi saya yang suka membaca dan melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh otak, saya masih boleh bermain dan bersukan dan alhamdulillah kaki saya tidak bangku.

18. Alhamdulillah, dan tradisi itu akan diteruskan untuk anak-anak dan cucu-cicit insya Allah.

19. Pun begitu saya secara peribadi tidak berapa minat menonton bola sepak. Saya lebih suka bermain bola sepak atau futsal.

20. Baik, tiba-tiba cerita pasal diri sendiri kan? Saya sebenarnya nak sentuh tentang EURO.

21. Ringkas sahaja. Saya mohon rakan-rakan yang cukup minat bola sepak di luar sana, baik lelaki mahupun perempuan, awasilah masa dan tenaga supaya ia tak mengganggu persediaan kita untuk taat pada Allah SWT dalam soal ibadah seperti solat.

22. Risiko yang terbesar ialah Solat Subuh. Peliharalah ia. Peliharalah.


 23. Dalam pada kita sibuk dan alpa dengan kemeriahan EURO, janganlah lupa tentang kehadiran tetamu yang paling besar tahun ini, bulan Ramadhan.

24. Persediaan itu amat penting. Dan ia bermula sepanjang masa, cuma harus digiatkan lagi, terutamanya kerana kita sudah hampir menutup bulan Rejab, yang selepasnya ialah bulan Sya'aban dan selepas itu Ramadhan.

25. Sudah tak lama lagi.

26. Untuk itu, jom kita banyakkan amalan-amalan yang baik termasuklah berpuasa sunat sebanyak yang mungkin dalam bulan ini, terutamanya pada hari Isnin dan Khamis.

27. Amalkan juga doa berikut (dalam gambar) dan hayati maksudnya.


28. Untuk amalan yang lebih lengkap dengan teks bacaan dalam tulisan Arab, rakan-rakan bolehlah muat turun satu dokumen yang menghimpunkan amalan baik bulan Rejab yang boleh kita amalkan, jika tak semua pun, mungkin sedikit sebanyak.

29. Sila download di sini: Risalah Amalan Bulan Rejab (Ditulis oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll)

30. Sebagai penutup, izinkan saya kongsikan sedikit sebanyak tentang Puasa dan Ramadhan, sebagaimana yang disyarahkan daripada Kitab Tazkirah Ramadhan oleh Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki di Surau Taman Kemensah pada 19 Ogos 2008.

31. Antaranya, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan adalah satu perkara yang sudah dimaklumi dan diketahui oleh semua orang, bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam pun faham dan tahu.

32. Maka siapa yang tidak berpuasa dengan alasan 'tidak tahu' boleh dihukumkan kufur, wana'uzubillahi minzalik.

33. Sheikh menerangkan juga tentang nafsu. Nafsu itu adalah diri kita sendiri maka adalah mustahil untuk kita membuangnya.

34. Nafsu itu penting dan perlu, kerana kata sheikh hafizhohullah, jika tiada nafsu, kita tak akan bernafsu untuk makan (untuk hidup) serta keperluan lain seperti melahirkan anak. Maka ada hikmahnya nafsu itu diciptakan.

35. Cuma, kita perlu mengawalnya, dan disinilah perlunya penggunaan aqal, dan inilah juga yang membezakan kita daripada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

36. Diceritakan (dalam banyak kitab Tasawwuf) bahawa ketika Allah mencipta nafsu, lalu ditanya 'Siapa Aku?' maka nafsu yang degil bertanya balik kepada Allah SWT soalan yang sama yakni 'Siapa Aku?'

37. Dimasukkan dalam pelbagai jenis neraka namun nafsu tetap berdegil dan jika ditanya soalan yang sama, itulah yang disoal balik olehnya.

38. Maka apabila dimasukkan ke dalam neraka lapar, barulah nafsu itu mengaku bahawa Allah SWT itulah Tuhannya.

39. Bermakna, cara terbaik untuk mendidik nafsu kita adalah dengan cara menahan diri atau berlapar.

40. Tak hairanlah Rasulullah SAW yang kita cintai memesan kita anak-anak muda yang tak mampu berkahwin supaya berpuasa.

41. Diceritakan juga bahawa syaitan itu dapat dijauhkan dan dihapuskan dengan istighfar dan zikrullah tetapi tidak nafsu.

42. Kata para 'alim 'ulama, satu nafsu itu bersamaan 70 ekor syaitan! Demikianlah kuatnya godaan dan pengaruh nafsu kita.

43. Barulah saya faham persoalan yang sering bermain di fikiran kita tentang bagaimana iblis dan syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan namun masih ada yang jahat dan ingkar- rupa-rupanya salah satu sebab yang kita harus tahu ialah bahawa nafsu masih berada bersama-sama kita.

44. Maka marilah kita mendidik dan mengawal nafsu kita sebaik mungkin.

45. Kata Imam Al-Ghazali Hujjatul Islam RH, jadikan nafsu itu tunggangan kita, bukan nafsu yang menunggang kita.

46. Sebagai penutup, marilah kita menghayati hakikat bahawa dengan berpuasa dan berlapar, kita akan lebih mensyukuri dan menghargai nikmat kenyang, maka berpuasalah.

47. Dan ketahuilah bahawa yang memberi kenyang itu bukanlah makanan, tetapi Allah Tuhan yang memiliki segala-galanya. Berikut ialah potongan ayat dalam Surah Al-Qurasy.

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik Rumah (Ka'abah) ini

Yakni (Tuhan) yang memberi makan (dan kenyang) kepada mereka,
serta mengamankan mereka daripada ketakutan.
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.


2 comments:

Anonymous said...

nice....

Amirul Asyraf said...

Alhamdulillah. Thanks ya ;-)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq