Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Terima kasih atas ziarah saudara/ri. Semoga Allah SWT membantu kita memperbetulkan NIAT.
2. Lebih baik kita menjadi 'Sobr' Warrior, daripada menjadi Cyber Warrior.
3. Bukankah Allah SWT telah mengajar "..dan mintalah tolong dengan sabar (صبر) dan solat (صلاة)."
4. Maaf, blog ini (dan kedhaifan, kefaqiran serta kejahilan saya) bukanlah sesuai menjadi platform terbaik untuk membahas panjang secara lebih ilmiah tentang Wahabi mahupun soal siapakah Ahlu Sunnah wal Jamaah.
5. Habib Abdullah di Yayasan Restu pernah berpesan bahawa apabila kita renungi keadaan di negara yang bergolak (terutamanya yang ramai umat Islam), adakah pernah kita terfikir bahawa pergolakan ini mungkin berpunca daripada dosa kita (umat Islam) di tempat lain (seperti Malaysia dan Indonesia)?
6. Pernah kah kita beristighfar kerana memikirkan mungkin dosa kita menjadi asbab turunnya bala kepada ummat ini?
7. Adakah kita terlalu sibuk mengira/menganalisa kesalahan dan kezaliman orang sehingga tak sedar dengan kezaliman diri sendiri?
8. Saya berharap saya diterima di sisi Allah SWT sebagai seorang penuntut ilmu, apatah lagi jauh sangat untuk sampai darjat kepada penyampai ilmu.
9. Dalam perjalanan ini, saya melihat bahawa ilmu tasawuf, yang berkaitan dengan soal hati dan jiwa (umumnya) dan yang lazim dikaitkan dengan golongan sufi, adalah satu keperluan; kerana tanpanya agama itu menjadi sempit, simplistik, keras dan kering.
10. Ia menjadi sempit, simplistik, keras dan kering dek hilangnya keseimbangan (mizaan, 'adl) serta wasatiyah yang padahal adalah keindahan Islam sendiri.
11. Islam ad-deen itu bukan setakat merangkumi soal zahir (lahiriah) tetapi juga hal-hal batin (dan ghaib).
12. Di sinilah mungkin terdapat pergeseran antara yang selalu disebut sebagai konflik sufi-salafi; yang pastinya bukanlah ingin dihuraikan di sini.
13. Sebagai kemuncak kepada artikel ini, saya ingin menasihati diri sendiri dan rakan-rakan lain (terutamanya) yang masih baru 'berjinak-jinak' dengan agama, untuk berhati-hati dalam perjalanan kita menuju Tuhan jalla wa 'ala.
14. Ilmu tasawuf banyak mengajar kita memerhatikan soal hati (penyakitnya dan rawatannya).
Jika baik hati (seketul daging) ini, baiklah seluruh anggota badan.
-Rasulullah SAW
15. Namun kita terkadang terlajak ke arah lain pula.
16. Betapa sehinggakan kita menjadi FITNAH kepada agama.
17. Janganlah sama sekali, atas sebab mengiktiraf ilmu hakikat dan meraikan ilmu tasawuf menyebabkan kita meringan-ringankan hal syariat.
18. Padahal inilah antara punca kenapa muncul begitu banyak kritikan terhadap golongan sufi yang mulia (saya tak layak mengaku ahli sufi).
19. Contohnya, kita meringan-ringankan hal solat.
20. Kita berhujah bahawa biarlah kita bermaksiat (dengan meninggalkan solat atau meringan-ringankannya) kerana jika kita banyak beribadah, nanti timbul riyak (salah satu penyakit hati) pula.
21. Alasan apa begini?
22. Memanglah ibadah itu boleh menimbulkan riyak.
23. Namun mengelakkan riyak bukanlah dengan mengelakkan ibadah.
24. Masalahnya bukan pada amalan ibadah, namun masalah sebenar adalah pada hati individu yang melakukan ibadah itu.
25. Solatlah dulu, kemudian bulatkan hati dengan niat kerana Allah SWT.
26. Bukannya tidak solat, kemudian berasa selamat daripada riyak. Ini 'kezaliman' namanya.
27. Justeru, kesimpulan saya begini.
28. Kritikan, musibah dan apa jua yang kita pandang buruk; apabila menimpa kita, ia mungkin saja cerminan kepada kezaliman diri kita sendiri.
29. Sama-samalah kita bermuhasabah dan percayalah, perubahan luaran itu bermula dengan perubahan dalaman.
30. Anggota zahir itu akan berubah bertambah baik, jika hati batin kita kita sucikan dulu.
31. Demikian juga dalam hidup bermasharakat. Perubahan individu (yakni 'organ dalaman') akan mengubah menambah baik masharakat (yakni 'tubuh badan') itu sendiri.
32. Ingatlah satu pesanan yang selalu kita dengar, bahawa jika kita membenci, bencilah hanya sekadar saja. Demikian juga, jika kita menyayangi, sayangilah sekadar saja.
33. Sebagai penutup, renungilah 3 potongan ayat Al-Quran dalam bentuk terjemahan/tafsiran berikut:
.....dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan KAMU TIDAK BERLAKU 'ADIL..
(Surah Al-Maidah, ayat 8)
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, BIARPUN TERHADAP DIRI KAMU SENDIRI.....
(Surah An-Nisaa', ayat 135)
"...pada hari di mana TIDAK bermanfaat lagi harta benda dan anak-anak, melainkan mereka yang datang kepada Allah SWT dengan hati yang bersih sejahtera (بقلب سليم)."
(Surah Syu'ara', ayat 88-89)
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
..................................
Artikel lain (tentang seruan 'kembali kepada Al-Quran dan Sunnah'): Renungan atas Pegangan
0 comments:
Post a Comment