Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, mafhumnya. Mudahkan, jangan rumitkan.
2. Peranan orang yang diberi peluang mendalami ilmu agama adalah untuk membimbing orang awam.
3. Bukan untuk membongkak diri, tetapi untuk merendahkan diri, atas nikmat Allah SWT.
4. Saya agak kurang senang dengan sikap menakut-nakutkan orang awam dengan mempamerkan ilmu yang ada di dada.
5. Ada kekurangan di situ. Akhlak yang tempang.
6. Mudahkan, jangan susahkan.
7. Contohnya, kalau hari ini kita tanya orang biasa, yang awak solat ni, takbiratul ihram, rukuk dan bacaannya semua, apa dalil nya? Ambil nas dari mana?
8. Seriously?
9. Islam bukan cikai. Tapi ia mudah. Mudah dan cikai tak sama.
10. Islam juga mendalam, khazanah ilmunya kaya dan lumayan. Tapi bukan susah dan menyusahkan. Lain tu.
11. Sebab itu para ulamak yang hebat dalam mengajar ilmu agama pandai membahagikan antara apa yang sesuai untuk orang awam dan apa untuk orang yang terpelajar.
12. Demikian juga halnya dalam soal ilmu.
13. Ada ilmu agama yang hukumnya Fardhu 'Ain bagi orang agama, wajib bagi tiap-tiap mereka, tapi ilmu yang sama tak jatuh wajib untuk dipelajari oleh orang awam. Kena faham ni betul-betul. Pembahagian kategori ilmu ini sudah lama disusun oleh para alim ulamak.
14. Malah, adabnya, jika kita sedang mengaji dengan seorang guru atau alim ulamak, kita janganlah gopoh bertanyakan dalil tentang sesuatu penyataannya.
15. Seolah-olah dia tidak berdalil. Ini tandanya biadab terhadap seorang guru. Demikianlah akhlak yang amat ditekankan dalam Islam.
16. Bahkan ada kitab-kitab ulamak yang dikarang untuk orang awam lantas tak disediakan dalil. Ada tujuannya di situ. Bila ingin dimudahkan, ingin mendekatkan orang dengan agama, kenapa kita suka sangat nak susahkan?
17. Ilmu tanpa akhlak ibarat makanan tanpa rasa. Orang yang dengan ilmunya dia bongkak, hatinya telah bengkak.
18. Dalam isu hadis misalnya, kita faham bahawa kita perlu berhati-hati dengan hadis palsu.
19. Tapi saya mintak rakan-rakan berhati-hati dengan kelompok manusia yang suka sangat membid'ahkan banyak perkara.
20. Itu salah, ini salah. Masha Allah, kegusaran apa ini?
21. Realitinya, jumhur (majoriti) para ulamak contohnya dalam hal hadis dhaif (lemah) membenarkan hadis-hadis itu dijadikan panduan dalam hal amalan-amalan yang dilakukan untuk mengambil fadhilatnya.
22. Tidaklah adil memaksa dengan keras orang awam menolak amalan-amalan baik yang datang dari hadis yang dhaif, padahal sikap 'tunjuk pandai' sebegini senang benar menakut-nakutkan orang dan menjauhkan orang daripada agama kita.
23. Itu yang kita mahu?
24. Kalam-kalam ulamak yang menyebut tentang hadis dhaif perlu difahami sebetulnya, kerana perincian telah dibuat dengan lebih dalam soal ini.
25. Maksud saya, apabila ulamak menolak hadis-hadis dhaif, mereka menolak hadis yang terlampau kuat kedhaifannya, bukan semua hadis dhaif. Hadis dhaif itu pula mestilah tidak menyalahi hadis-hadis sahih dan hasan.
26. Adapun hadis dhaif yang membicarakan tentang nasihat-nasihat, kisah tauladan dan soal adab misalnya, bahkan disunatkan untuk beramal dengannya, menurut ulamak besar seperti Imam Nawawi rahimahullah.
27. Dan hadis yang dhaif ini, janganlah disandarkan kepada baginda Nabi SAW. Orang awam mesti memahami hakikat ini.
28. Tapi bimbinglah kami, wahai orang berilmu, dengan cara berhikmah.
29. Mudahkan, jangan susahkan.
30. Sekali lagi sebelum saya tutup, suka saya ajak rakan-rakan semua bersihkanlah hati kita.
31. Ya, kita wajib mengikut sunnah Nabi SAW dalam menyampaikan satu pun daripada ayat baginda SAW.
32. Tapi akhlak baginda kenapa dilupakan?
33. Kita manusia, ada perasaan dan akhlak, bukannya patung atau robot yang senang diprogramkan.
34. Nubuwwah itu prophethood, bukan puppethood!
35. Mohon maaf jika ada terkasar bahasa. Moga Allah kuatkan semangat kita dan tabahkan hati menghadapi cabaran yang besar dalam mendekatkan diri kepada-Nya.
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
Orang kasar seperti Bidin,
Mulut becok seperti Bedah,
Jauhkan orang dari Ad-Deen,
Duk kata semua benda bid'ah.
0 comments:
Post a Comment