RSS

Tuesday, June 25, 2013

Tapir dan Ular


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


Bukan mudah melihat tapir
Di balik akar ku lihat ular
Jangan mudah kafir mengkafir
Nanti terbakar mulut celupar

1. Berhati-hatilah dari mulut yang celupar.

2. Ia ada kaitan dengan gajah dan kuman.

3. Kaitannya? Ada dalam perumpamaan Melayu di bawah.

4. Gajah di depan mata tak nampak, kuman jauh di seberang nampak pulak.

5. Dalam soal pengguguran bayi hasil zina misalnya, sayu tersiat hati kita melihat kematian bayi-bayi yang tak berdosa akibat dibuang di merata tempat.

6. Soalnya, zina bukan sahaja terjadi apabila pergaulan bebas berleluasa.

7. Kaki, tangan, mata dan anggota lain amat mudah bergerak menuju zina. Na'uzubillah.

8. Namun jangan lupa bagaimana lidah yang tak bertulang juga ada peranan ke arah itu, malah ada satu aspek yang mungkin tak kita sedari!

9. Aspek tersembunyi ini, yakni dengan cara kafir mengkafir, melalui lisan (secara fizikal) mahupun bertulis seperti di media sosial, mendatangkan kesan yang cukup membobrokkan!

10. Sabda Nabi SAW, berkatalah yang baik, atau (kalau tak), maka DIAMLAH!

11. Kita semakin kehilangan rasa hormat (apatah lagi gerun) daripada masyarakat bukan Islam lagi-lagi yang memusuhi kita.

12. Kita menuding jari terhadap mereka, tapi kita lupa, hilangnya hormat itu adalah kerana umat Islam pun tak hormat sesama sendiri!

13. Dunia penuh fitnah, kita pulak menambah-nambah, sampai bila nak sudah, agama rosak semua punah!

14. Islam itu cukup luas.

15. Jangan kerana satu perkara yang membezakan kita dengan saudara semuslim, maka kita mengkafirkan mereka!

16. Biarpun ada yang jelas di mata, kita menghukum melalui apa yang zahir, tapi Allah lebih tahu, siapa yang kafir dan siapa yang tidak.

17. Bahkan ulamak membahagikan kafir kepada beberapa jenis. Ada orang yang kafir di mata kita, namun sebenarnya tidak di mata Allah SWT.

18. Dan bukanlah tugas kita untuk menghukum, sebaliknya kita diseru mencari sebanyak alasan yang mampu untuk mengelakkan daripada mengisytiharkan sesama Muslim sebagai kafir.

19. Dalam Islam, lebih baik tersilap melepaskan orang yang bersalah, daripada tersalah menghukum orang yang tak berdosa! Subhanallah, besar sungguh rahmat dan kasih sayang Allah SWT!

20. Tentang zina melalui perbuatan lidah yang saya sebut tadi, begini huraiannya.

21. Nabi SAW dalam sabda baginda, menegah kita mengkafirkan orang sewenang-wenangnya, kerana status kafir itu akan jatuh pada salah seorang daripada yang berkata atau yang dikata.

22. Jika A tuduh B itu telah kafir, maka sama ada A atau B akan benar-benar kafir.

23. Jika memang benar B kafir, maka kafirlah B. Tetapi bagaimana A boleh 100% yakin, bahawa B itu PASTI kafir?

24. Berdasarkan sabda Nabi SAW tadi, jika menggunakan contoh di atas, katakanlah sebenarnya B tidak kafir, maka status kafir itu akan jatuh kepada A! Na'uzubillah!

25. Begitulah bahayanya dalam diam kita boleh jatuh kafir hanya kerana lisan kita mengkafirkan orang yang padahal tidak kafir.


26. Berkata guru saya, Sheikh Mazlisan (moga Allah memelihara beliau), bahawa akibat kafir ini cukup besar.

27. Bayangkan amalan-amalan yang lepas terhapus begitu sahaja. Kalau seorang yang jatuh kafir itu mengucap semula pun, adakah larat dan tidakkah berat menggantikan semua amalan-amalan lepas (kerana sudah terbatal akibat jatuh kafir)?

28. Lebih teruk lagi, seorang suami isteri akan terfasakh hubungannya jika salah seorang jatuh kafir. Mereka dengan itu bukan lagi bertaraf suami isteri.

29. Bayangkan jika mereka 'bersama', pada sangkaan mereka, halal perbuatan mereka, padahal dek terputus hubungan suami isteri, sebenarnya mereka telah 'bersama' dengan tidak sah!

30. Jika si isteri hamil, bukankah bayi yang dilahirkan adalah hasil zina dan dikategorikan anak luar nikah?

31. Jika bayi yang lahir itu seorang perempuan, bagaimana pula suatu hari nanti si bapa ingin mewalikan anak itu  untuk perkahwinannya padahal dia bukan lagi seorang bapa yang sah? Dan si bapa tak sedar langsung akan hal ini (dan tak akad nikah semula dengan si ibu)?

32. Bukankah perkahwinan si anak menjadi tak sah dan bagaimana jika dia 'bersama' pula dengan suami yang baru dikahwininya? Apakah status anak yang lahir selepas itu?

33. Mungkin ini punca kemelut yang melanda umat kita hari ini.

34. Bagaimana mungkin Islam dapat ditegakkan oleh generasi yang lahir dalam status dan keadaan begini?

35. Dan kita hanya meletakkan salah pada soal orang yang bergaul bebas dan jelas pada mata kasar melakukan dosa?

36. Kita bukan ingin menghalalkan satu dosa dan menumpukan pada yang lain, tetapi tujuan saya menulis adalah supaya kita lebih berhati-hati.

37. Betapa besarnya kesan jika kita bersikap ekstrim dalam banyak perkara termasuklah dalam bab mengkafirkan orang yang tak sebulu dengan kita. Berlainan jemaah dan minhaj.

38. Mohon maaf dan pembetulan jika saya yang salah. Wahai para pembaca sahabat yang budiman, jadilah seorang dai'e, bukan qadi. Jadilah seorang yang mengajak, bukan mengejek. Jadilah seorang yang mendukung, bukan menghukum. 

39. Kita ibarat tapir, ular, gajah atau kuman, walau berbeza, tetapi dalam hutan belantara yang sama.


Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq