Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Saya dah nak tidur sebenarnya tapi takut nanti hilang daripada ingatan, atau waktu makin sibuk dengan urusan lain, eloklah saya menulis terus malam ini juga.
2. Baru sekejap tadi, dari 8.30-9.30pm saya luangkan sikit masa menonton sebuah teater oleh pelajar diploma Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam.
3. Tajuknya ialah Sidang Burung-Burung atau the Conference of the Birds (Manteq At-Tair) yang merupakan satu bentuk adaptasi daripada puisi-puisi yang ditulis oleh seorang insan sufi dari Parsi, Farid Ad-Din Al-Attar.
4. Jika anda yang sedang membaca sekarang adalah salah seorang daripada krew atau insan yang terlibat dalam pementasan tersebut, tahniah saya ucapkan.
5. Sebenarnya saya tak mahu bercakap panjang. Cuma sedikit komentar sahaja di sini.
6. Pertamanya terima kasih buat sahabat saya yang menjemput ke teater ini, Encik Mi (atau Abang Mi) yang hensem bergaya di bawah (maaf saya cilok gambar dari fb hehe).
7. Saya percaya bahawa seni merupakan satu elemen yang cukup sinonim dengan Islam. Dan pastinya, teater juga merupakan satu bentuk seni yang halus dan wajar dihargai.
8. Islam bukan agama yang keras dan kering tanpa langsung ada nilai-nilai yang boleh menyentuh jiwa. Malah, jika tak tersentuh jiwa, bukanlah Islam namanya.
9. Berapa ramai menangis membaca Al-Quran, malah kadang-kadang sayu hanya apabila mendengar alunan bacaan Al-Quran? Inilah 'seni' tersendiri yang dirasai jiwa nurani.
10. Apatah lagi jika memahami dan menghayati maksudnya, pasti lebih dalam ia menyelam ke lubuk jiwa.
11. Saya harap orang seperti Abang Mi kita di atas (dan rakan-rakan) akan terus berkarya dan menggunakan kelebihan ilmu dan kepakaran dalam bidang ini untuk turut menyumbang dalam bidang dakwah serta mempelajari Islam.
12. Jika tuan-tuan perasan, tema (design) blog saya ini pun seperti set drama.
13. Awalnya ia bersifat random (main ambik je daripada internet kemudian ubah sikit-sikit) sehinggalah sampai satu masa saya rasa ia sangat berkait rapat dengan kehidupan diri sehari-hari.
14. Yakni hidup kita ini ibarat satu kisah dan pentasnya ialah dunia ini.
15. Kita adalah pelakonnya.
16. Hidup ini harus diatur mengikut skrip (Quran dan Sunnah) seperti mana para pelakon teater mesti mengikuti skrip teater yang dilakonkan.
17. Kalau tak, rosaklah jalan cerita.
18. Yang paling berkait rapat dengan kehidupan kita ialah, sebagaimana teater, hidup kita juga PASTI ada penghujungnya (tak puas rasanya teater tadi 1 jam sahaja).
19. Mati- adalah pemutus kelazatan. Apalah sangat kelazatan dunia yang sementara.
20. Puisi ini yang diadaptasikan dalam bentuk teater yang saya tonton, mengisahkan cerita burung-burung yang bersidang mencari sebab kenapa mereka tidak mempunyai raja.
21. Sehinggalah mereka terbang berhijrah mencari raja mereka itu hingga ke negara China, sebagaimana yang dikatakan, tuntutlah ilmu hingga ke negara China.
22. Antara yang menarik ialah bagaimana setiap jenis burung ada saja karenah, ragam dan alasan tak mahu berhijrah walaupun dibantah dan dibidas oleh burung Hud-Hud, yang paling bijak antara mereka.
23. Benar sekali, ragam-ragam ini adalah gambaran dan perumpamaan yang tepat terhadap sikap manusia di dunia ini yang memang suka mengeluh mencari alasan.
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah..."
(Surah Al-Ma'arij, ayat 19)
24. Yang menariknya, jelajah si burung-burung mencari raja ini adalah ibarat pencarian Tuhan, ataupun pencarian kepada makna hidup atau makna diri yang sebenar.
23. Di penghujung cerita, rupa-rupanya raja yang dicari itu ialah cermin-cermin yang banyak, yang sebenarnya memantulkan imej diri burung-burung itu sendiri.
24. Kesimpulannya ialah, sebenarnya apa yang dicari itu sebenarnya bukan berada di luar, tetapi di dalam diri kita sendiri. Kitalah apa yang dicari itu.
25. Malah dalam mencari bukti kewujudan Tuhan, bukankah tanda-tanda itu ada pada penciptaan diri kita juga?
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru, dan pada DIRI MEREKA SENDIRI...."
(Surah Fussilat, ayat ke-53)
0 comments:
Post a Comment