Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Firman Allah SWT:
"......Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang TIDAK mengetahui? Sungguh, hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran."
(Surah Az-Zumar, ayat 9)
1. Ilmu pada zaman sekarang begitu pesat berkembang, dalam pelbagai bidang, baik keagamaan mahupun sekular.
2. Ironinya, kita semakin TAK berilmu saban hari.
3. Mungkin kerana ilmu kini hanya disimpan dalam bentuk data dan informasi dalam gajet yang boleh dibawa ke mana-mana.
4. Bateri habis, lena lah ilmu. Gajet rosak, matilah ilmu. Walaupun gajet yang dijangkiti virus, tapi ilmu pula yang hilang dari dunia. Semua nak kena format balik.
5. Kita mungkin lupa, bahawa ilmu terpenting adalah yang membawa kita lebih mengenali Tuhan.
6. Ilmu mengenali Tuhan, tak semestinya ia ilmu yang berkait dengan agama secara langsung, walaupun itulah yang terbaik.
7. Contohnya, ada orang belajar Al-Quran untuk berhujah balas dengan temannya. Maka, walaupun ilmu yang dipelajarinya ilmu Al-Quran, tetapi dia lupa tujuannya, dan dari mana datangnya ilmu itu!
8. Padahal seorang ahli kaji bintang, yang mengkaji bintang, boleh saja merenung dan memikirkan tentang kejadian alam yang ada Penciptanya. Keikhlasan hati mendekatkan dirinya pada yang Esa.
9. Alangkah mudahnya kita tertipu dengan ilmu.
10. Hari ini kita beli berkotak-kotak buku. Bertimbun-timbun kitab.
11. Lebih separuh daripadanya belum dibaca.
12. Tetapi memilikinya sahaja membuatkan seolah-olah ada perasaan bahawa kita sudah khatam buku itu.
13. Alangkah menipunya keadaan ini. Bisikan syaitan. Wal 'iya zu billah..
14. Sedangkan kawan kita belum ada buku itu, maka kita yang ada dan dah beli merasakan kita lebih pandai daripadanya semata-mata kerana kita memiliki buku itu. Padahal tak baca pun.
15. Pertimbangan yang palsu dan penuh fantasi! Cadangan saya, kalau tak keberatan, pinjamkan saja buku itu pada orang yang boleh memanfaatkannya. Bagi terus pun ok jugak. Kita pun dapat pahala sedekah insya Allah.
16. Lihatlah keilmuan Imam Shafi'e RH, yang merupakan anak murid Imam Malik RH.
17. Kedua-duanya imam besar mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
18. Imam Shafi'e sebelum belajar kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik, sudah pun menghafaz keseluruhan kitab itu!
19. Padahal Kitab Al-Muwatta' mengandungi ribuan hadis di dalamnya, dan Imam Shafi'e RH bukan setakat menghafaz teks atau matannya, malah cukup lengkap dengan sanad dan perawi hadis kesemuanya!
20. Subhanallah. Dalam keadaan ini pun, ada yang masih fikir bahawa ilmunya boleh mengatasi kefahaman imam mazhab.
21. Ya, memang salah kalau kita taksub mazhab. Tetapi problematik juga untuk orang yang mengaku ingin meninggalkan mazhab kerana mahu terus merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah.
22. Eh yang imam mazhab ni dia rujuk Bible ek? Tidak. Bahkan mereka lebih memahami Al-Quran dan Sunnah serta hadis. Sehinggakan para ulamak hadis seperti Imam Bukhari pun bermazhab (dalam memahami hadis), kerana imam-imam mazhab adalah orang yang faqih (betul-betul faham ilmu).
23. Persoalan tegas sebegini saya tujukan buat orang awam seperti saya. Berhati-hatilah. Betapa ramai orang yang ada ilmu tapi tiada kefahaman. Jangan tertipu. Ilmu sahaja tak cukup. Kefahaman adalah satu anugerah besar daripada Allah SWT.
24. Lihatlah pula Imam Al-Ghazali RH. Beliau digelar Hujjatul Islam. Kewujudan beliau adalah BUKTI dan HUJJAH bahawa Islam itu agama yang benar.
25. Diriwayatkan dalam kisah hidupnya, pernah ketika bersama satu rombongan, mereka dirompak.
26. Imam Al-Ghazali RH sangat takut kitab-kitab dan nota catatannya dirompak juga. Sehinggakan tersentak beliau oleh kata-kata si perompak.
27. Bahawa jika dirompak semua buku dan nota-notanya, maka adakah akan hilang semua ilmunya? Ujar sang perompak.
28. Imam Al-Ghazali RH melihat itu sebagai satu petanda daripada Tuhannya. Lantas berubah perspektifnya terhadap ilmu.
29. Sebab itulah, ilmu yang benar adalah ilmu yang diamalkan. Bukannya ilmu yang dikumpul seperti harta, kemudian disimpan untuk jadi hak milik seorang diri.
30. Alangkah malangnya hal yang demikian. Ibarat air yang bertakung. Tak mengalir dan rosak berkeladak.
31. Ilmu yang diamalkan, itulah ilmu yang benar. Ilmu yang benar, itulah yang dikongsikan, disampaikan dan disebarkan.
32. Jangan tertipu dengan hiasan ilmu seperti kemahsyuran. Hiasan sebegini ibarat rantai yang terlalu berat, jika dipakai pada leher akan jatuhlah kepala sehingga tertimbus ke dalam tanah.
33. Padahal Allah SWT telah memberi amaran kepada ahli ilmu, sehingga Allah ibaratkan mereka seperti anjing yang asyik menjelirkan lidahnya, jika keinginan dunia yang dicari. Rujuk Surah Al-A'raf, ayat 175-176.
34. Subhanallah, besarnya amanah orang yang diberi ilmu. Sehinggakan ilmu itu sama ada memuliakannya, atau menghinakannya! Sama ada ia menjadi hujah yang membantunya, atau hujah yang akan mendakwanya kelak!
35. Ya Allah, kurniakanlah dan tambahkanlah bagi kami ilmu yang BERMANFAAT.
36. Moga-moga kita semua, yang saban hari menuntut ilmu, tak akan pernah lupa untuk semakin tunduk dengan isi. Ikut resmi padi.
37. Janganlah kita lupa. Kita semua menyembah Allah SWT. Dialah yang mengajarkan ilmu. Kita pula menyembah pemilik ilmu, dan BUKANNYA menyembah ilmu. Bukanlah ilmu itu Tuhan. Jangan tertipu.
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
0 comments:
Post a Comment