RSS

Wednesday, November 14, 2012

Kematian Satu Hadiah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"(Allah) yang menciptakan MATI dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun."
Surah Al-Mulk, ayat 2.


1. Saat saya menulis sekarang, kita sudah berada di tahun hijrah yang baru, 1 Muharram 1434 Hijrah. 

2. Saya bersetuju bahawa pengakhiran yang baik banyak bergantung kepada permulaan yang baik.

3. Semoga kita memulakan tahun baru ini dengan sebaiknya supaya kita menutup tahun ini dengan baik juga kelak.

4. Begitu juga kehidupan. Ada awal dan akhirnya. Dan ada hikmahnya kehidupan itu bermula dan berakhir. Telah disebut salah satu hikmahnya dalam ayat Al-Quran di atas.

5. Sebagai tambahan ada dua implikasi penting lain yang saya nak sentuh di sini.

6. Pertama, jika kita lahir Islam, tak ada jaminan kita mati pun Islam. Maka usahalah ke arah itu. Moga kita mati dalam keadaan yang terbaik dan diredhai-Nya, husnul khatimah. 


"...........Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."
Surah Ali-'Imran, ayat 102
7. Kerana itu juga kita sentiasa berdoa insya Allah:

8. Lebih kurang maksudnya doa di atas, "Ya Allah matikanlah kami dalam Islam, matikanlah kami dalam iman, dan jadikan pengakhiran (kematian) kami sebagai pengakhiran yang baik."

9. Insya Allah ameen! Implikasi yang kedua pula ialah, kita sedia maklum bahawa ada manusia di muka bumi yang lahir dalam keluarga bukan Islam. Maka menjadi tugas kita melakukan dakwah, supaya mereka menemui Islam lantas menganutinya dan berakhir (mati) dengan baik suatu hari nanti. Islam itu percuma di dunia, tapi tak ternilai pada hari akhirat!

10. Berdasarkan tajuk artikel ini, saya bertanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana kematian itu satu hadiah.

11. Pertamanya, suka saya tegaskan, ia hanyalah hadiah buat mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

12. Bagaimana pula satu ujian boleh menjadi satu hadiah?

13. Contoh mudah ialah, buat pelajar yang menduduki peperiksaan atau ujian.

14. Ujian itu akan memastikan hanya pelajar yang cemerlang mendapat hadiah.

15. Ujian itu menjadi wadah untuk menapis siapa yang bijak, dan siapa yang tidak. Siapa yang belajar dan mengulangkaji pelajaran, siapa yang tidak.

16. Demikianlah kehidupan manusia di muka bumi ini. Hanya yang berjaya mengharungi ujian itu, akan mendapat hadiah syurga kelak. Dan tidaklah dapat dimasuki syurga itu, melainkan selepas matinya dia di muka bumi. Sebab itulah mati itu untuknya satu hadiah! Dan tiadalah hadiah yang terbesar melainkan dapat bertemu dengan Tuhan yang Maha Agung!

17. Analogi yang kedua ialah sukan. Mana-mana sukan pun ada tempoh masanya.

18. Jika berterusan tanpa wisel penamat, maka pemain bola sepak misalnya, akan pengsan kepenatan.

19. Dan buat yang menjaringkan gol lebih banyak, tiupan wisel lah yang ditunggu-tunggu! Tiupan wisel kemenangan! Demikianlan hadiah buat yang menang. Sebagaimana mati itu hadiah buat yang beriman.

20. Konsep ini sudahpun digambarkan dalam satu hadis oleh Nabi SAW apabila baginda SAW menyebut tentang dua jenis kerehatan apabila seseorang meninggal dunia. Dua jenis itu seperti berikut.

21. Pertama, buat orang yang beriman, apabila dia meninggal dunia, dia akan direhatkan daripada pelbagai dugaan, cabaran dan fitnah dunia. 

22. Kedua, buat orang kafir dan zalim pula, kematian mereka akan memberikan kerehatan kepada planet bumi dan orang-orang baik yang mendiami dunia semasa ketiadaan mereka! 

23. Justeru kita orang beriman haruslah bersabar dalam menghadapi golongan yang zalim dan kafir di muka bumi ini. Masanya tidak lama. Ingat, kita akan mati dan mereka pun, namun takdir kita berbeza.

24. Firman Allah SWT:

"Dan janganlah engkau mengira bahawa Allah lengah daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan mereka sampai hari pada waktu itu mata (mereka) terbelalak."
Surah Ibrahim, ayat 42

25. Moga Allah SWT melindungi kita semua dan menjadikan mati sebagai kerehatan kepada kita insya Allah ameen ameen ameen.

26. Saya sebenarnya sudah lama ingin menulis tentang topik kematian ini. 

27. Dua faktor pencetus adalah seperti berikut.

28. Pertama, supaya ia menjadi satu perbincangan yang baik antara saya dan rakan-rakan yang lain.

29. Ada yang bertanya tentang apa pandangan saya tentang kematian.

30. Sudah lama tertangguh, saya ingin mohon maaf kepada dua sahabat yang saya muliakan, Dr Najwa Baizurah dan Siti Hajar Almuansyah. Moga kupasan saya dalam artikel ini boleh dijadikan pembuka kepada perbincangan kita selanjutnya (jika ada).

31. Faktor pencetus kedua pula ialah filem Perang Cina yang saya tonton.

32. Pernah dengar Red Cliff? Dah lama dah cerita ni tapi saya special sikit, sebab tu baru tengok hehe (sekadar gurauan untuk senyum-senyum kambing).

33. Saya yakin banyak lagi cerita kisah perperangan yang lain dan ada persamaan yang cukup besar dalam cerita-cerita dengan genre begini.

34. Persamaan ini yang asyik bermain-main di fikiran saya. Saya bertanya kenapa dan bagaimana.

35. Yakni, bagi pejuang yang berperang ini, mereka bukan sahaja tak takut pada mati, malah mereka mahu dan bangga jika mereka mati!

36. Sungguh. Saya tertanya-tanya. 

37. Jika dikaitkan dengan para syuhada' terutamanya pada zaman Nabi SAW dahulu pun, demikianlah sifat mereka.

Gambar hiasan
38. Mahu mencari kemuliaan dengan cara mati kerana Allah.

39. Kita?

40. Atau mungkin saya perlu tanya- Saya?

41. Sekaligus mengingatkan saya pada satu hadis Nabi SAW yang memberi jawapan yang jelas tentang keadaan umat Islam di dunia sekarang yang dibunuh sesuka hati dan dibenci.

42. Hadis itu menerangkan bahawa akan tiba satu zaman musuh umat Islam sudah hilang gerunnya pada umat Islam, walaupun pada ketika itu umat Islam cukup cukup ramai seperti sekarang.

43. Pada ketika itu kita (umat Islam) hanya ibarat buih-buih di lautan (yang hanya hanyut).

44. Kita bukannya tsunami yang kuat dan mampu menggertak, tapi hanya layak dilanyak dan digelak!

45. Puncanya apa?

46. Penyakit Wahn, kata Nabi SAW.

47. Apa itu penyakit Wahn? 

48. Jawab Nabi SAW kepada sahabat RA, Wahn ialah sayang dunia, benci mati!

49. Allah............

50. Di mana kita?

51. Ya Allah, jadikanlah kami orang yang sentiasa mengharapkan pertemuan dengan-Mu.

52. Dan jadikan waktu itu waktu paling gembira buat kami, tatkala kami menemui-Mu dengan hati yang bersih dan suci ameen ameen ameen.

"Pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak lagi berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang suci bersih (qalbun saleem)."
Surah As-Syua'ara, ayat 88-89

53. Sebagai penutup, suka saya petik kata-kata Saidina Ali RA.

54. Kata beliau, manusia itu tidur. Bila mati baru mereka terjaga!

55. Mengapa tidak kita kejutkan diri kita sekarang? Menyediakan diri sebelum 'hadiah' itu datang, dan semoga ia benar-benar datang sebagai satu hadiah.

56. Saya amat-amat syorkan rakan-rakan kalian untuk meneliti kata-kata seorang insan yang bukan Muslim (Allahuaklam) tetapi cukup dalam maksud perkataannya.

57. Boleh tengok versi kartun yang cukup cantik dan menarik di sini.

58. Di bawah ini pula adalah video asal apabila dia menyampaikan penyataan itu. Dia merujuk kepada hidup di dunia ini yang hanya satu pengembaraan dan ia akan berakhir. Cuba tonton video di bawah bertajuk, 'Bill Hicks- It's Just a Ride'.


59. Menariknya sudah lama dahulu Nabi SAW telahpun mengingatkan tentang perkara yang sama melalui kalamullah dalam Al-Quran. Subhanallah!

60. Firman Allah SWT:

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
Surah Al-'Ankabut, ayat 64

61. Sekian sahaja untuk kali ini. Saya benar-benar mengharapkan agar ada sesuatu yang dapat dipelajari daripada artikel ini dan mohon doakan saya dan keluarga saya.

62. Mohon doakan juga peperiksaan akhir saya yang bermula pada hari Jumaat ini, 16 November 2012 insya Allah.

63. Saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata Inggeris yang cukup dalam dan menarik maknanya seperti berikut:

"When you were born, you cry and everybody else smiles, live your life so that when you die, you smile and everybody else cries."

Allahu ta'ala aklam. Barakallahufikum. Wassalamualaikum wbt.

0 comments:

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq