RSS

Monday, January 9, 2012

Pusingan dan Kitaran (Reciprocity)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Tersebutlah satu kisah. Bukan cerita asal saya. Tapi saya namakan cerita ini "Kisah Tempurung Kelapa!" (sila baca dalam nada muzik Doraemon).

2. Kenapa? Nak tahu, bacalah dulu ya?

3. Begini kisahnya.

4. Ada seorang suami. Dia ada seorang isteri dan dianugerahkan 2 orang anak. Dia sangat sayangkan isterinya, sehinggakan apa jua yang isterinya minta, semua dia bagi.

5. Kedua ibu bapa si suami ini masih hidup dan mereka tinggal bersama mereka di rumah.

6. Malangnya, si isteri tak menyukai perkara ini. Dia langsung tak menghormati mentuanya. 

7. Atas permintaan si isteri, ibu bapa si suami walaupun tinggal bersama, tetapi diasingkan bukan sahaja di sebuah bilik yang dibina khas di laman rumah dan terpisah daripada rumah banglo dua tingkat mereka, malah juga diasingkan segala bentuk kemudahan mereka seperti pinggan mangkuk serta pakaian yang dibasuh.

8. Orang tua si suami ini masih mampu bersyukur dan bersabar kerana dengan rahmat Tuhan, kedua-dua orang cucu mereka, sangat rapat dan suka akan mereka. Mungkin kerana ibu bapa mereka ini sibuk bekerja, maka mereka lebih senang bermain dan berjenaka dengan atuk dan opah mereka.

9. Kecil lagi mereka ni. Seorang 6 tahun, namanya Boboi, dan seorang lagi si adik manja dipanggil Gegirl. Gegirl baru berusia 5 tahun.

10. Suatu hari, sewaktu ayah mereka tiada di rumah, mereka melihat ibu mereka memberi nasi kepada atuk dan opah mereka untuk makan tengahari. Waktu tu cuaca panas terik. Mak mereka pun nampak macam panas hatinya. Mungkin diminta oleh si suami untuk memberi makan kepada atuk dan opah agaknya.

11. Jelas terpancar tak ada keikhlasan di situ. 

12. Namun yang lebih memeranjatkan kedua-dua budak kecil ini adalah apabila melihat bekas yang digunakan oleh ibu mereka untuk mengisi nasi dan lauk untuk atuk dan opah. Tempurung kelapa!

13. Naluri budak kecil yang sentiasa ingin tahu, mereka bertanya kepada ibu mereka tentang itu. Kata ibu mereka, tak mengapalah diberikan makan orang tua itu dalam tempurung kelapa sebab mereka dah tua dan tak kisah pun. Malah dimarahi pula kedua-dua kanak-kanak kecil yang jujur dan baik hati ini.

14. Peristiwa itu benar-benar terpahat di dalam hati Boboi dan Gegirl. Namun, lebih remuknya hati atuk dan opah mereka, siapa pula yang tahu. Hanya Tuhan yang memahami.

15. Sehinggalah suatu hari si suami isteri ini bersama-sama anak mereka Boboi dan Gegirl berjalan-jalan di pekan pada satu hujung minggu. Hujan rintik-rintik dan angin lembut membelai orang yang lalu lalang.

16. Ketika mereka hendak pulang menuju ke tempat letak kereta, Boboi dan Gegirl ternampak satu tempurung kelapa yang terapung-apung dibawa arus air hujan di dalam longkang kecil di tepi jalan.

17. Lalu Boboi memberanikan diri bertanya kepada ibunya, "Mama, nak ambik yang tu!" Pinta Boboi sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah tempurung kelapa yang sedang hanyut mengikut arah mereka berjalan.

18. Ibunya terkejut dan menjawab,"Eh Boboi, apalah kamu ni, kan kotor tu!"

19. "Tapi Boboi nak jugak mama. Boboi nak jugak!" Rungut Boboi. Ibu dan ayahnya saling berpandangan.

20. Lalu ditanya oleh si ayah," Boboi nak buat apa dengan tempurung kelapa tu?"

21. "Boboi nampak mama bagi kat atuk dan opah makan pakai yang tu. Boboi pun nak simpan jugak. Nanti bila Boboi dah besar, Boboi nak bagi mama dengan papa makan guna tempurung kelapa jugak!"

22. Tersentap hati pasangan suami isteri ini. Merah padam muka mereka. Barulah mereka tahu, kata-kata anak mereka ini, mungkin satu amaran dan petunjuk dari Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui!

23. Apa yang anda terfikir? Faham bukan? Berbalik kepada tajuk kita, itulah putaran kehidupan kita. Dalam bahasa omputeh ia dipanggil 'reciprocity.' Atau kalau nak ayat yang lagi panjang dan mudah faham, omputeh kata, 'What you give you get back.'

24. Sebelum saya teruskan, jom kita sentuh sikit hati kita dan menangis bersama-sama dengan menonton video di bawah ini.


25. Harapnya, kita benar-benar tersentuh dengan peringatan oleh Ustaz Don Daniyal dan mengambil inisiatif yang sepatutnya sebagai pengajaran daripada kata-kata beliau. Moga Allah SWT sentiasa merahmati beliau dan membantu beliau dalam usaha dan pengorbanannya pada deen kita.

26. Perkara ini sepatutnya sudah sebati dengan kita. Ia fitrah dan sepatutnya sudah lama difahami. Apa dia?

27. Bahawa seorang anak yang baik insya Allah akan menjadi ibu bapa kepada anak yang baik. Dengan kata lain, jika kita berbuat baik kepada ibu bapa kita, insya Allah kita akan dikurniakan oleh Allah SWT anak-anak yang juga berbuat baik kepada kita sebagai ibu bapa mereka.

28. Inilah hakikat satu kehidupan yang fana, yang manusia ini saling memerlukan, dan keperluan itu semua adalah anugerah Allah SWT.

27. Contoh yang lain ialah juga dalam aspek perhubungan kita dengan orang awam.

28. Sudah saya sebut dalam Facebook timeline saya bahawa formula saya dalam mencari jodoh begini:

"Kalau dengan saya pun awak menggatal, maka bila kita kahwin nanti tak mustahil awak menggatal dengan orang lain jugak, sebab awak tak menjadikan pernikahan itu syarat wajib untuk menggatal."

 29. Maksudnya mudah. Kalau kita tahu betapa sakitnya hati bila orang lain mengorat pasangan kita atau pasangan kita mengorat orang lain, kita juga perlulah dulu elakkan diri daripada mengorat atau dingorati oleh orang lain (err.. jangan report kat Dewan Bahasa dan Pustaka ya? hehe). Demikianlah halnya sama ada sebelum kahwin mahupun selepas.

30. Kebaikan atau keburukan yang kita lakukan biasanya akan kembali kepada kita, dalam bentuk dan waktu yang kita sendiri pun kadang-kadang tak sedar.

31. Dan sebagai orang Islam, kita percaya pada Hari Akhirat. Maknanya, jika ada kebaikan kita yang tak dihargai, atau kejahatan kita yang tak kita peduli, maka Allah yang Maha Mengetahui akan mengadili semua ini dengan seadil-adil penghakiman di sana kelak.

32. Video di bawah pun sudah viral di internet dan saya cuma berkongsi sekali lagi sebagai pelengkap kepada apa yang saya maksudkan.


32. Akhir sekali, sebagai respon kepada perjuangan hak asasi manusia berlebihan tempoh hari, dan masih berterusan pengikutnya sehingga kini, saya ada menulis dua artikel berkaitan gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT)  khususnya di negara kita di sini: a)Nak Jadi Gay? dan b)Nak Jagi Gay? (Versi 2.0)

33. Untuk artikel yang anda baca ini, saya ada terfikir satu perkaitan dengan isu gay dan lesbian ini.

34. Ia satu logik yang cukup mudah difahami. Cuba kita tanya kepada golongan yang mahu menjadi gay dan lesbian ini. Katakanlah, jika ibu atau bapa mereka juga adalah gay atau lesbian, dan berterusan sehingga akhir hayat mereka sebagai gay atau lesbian, adakah mereka sebagai anak akan dilahirkan atau wujud di dunia ini?

35. Tidak. Tidak sama sekali. Manusia memerlukan lelaki dan perempuan untuk melahirkan zuriat. Dan hubungan itu mestilah melalui cara yang halal; pernikahan.

36. Satu soalan lagi ialah, saya dapat rasakan jika (katakanlah) individu yang gay atau lesbian ini dilahirkan dengan kedua-dua ibu bapanya adalah perempuan, atau kedua-dua ibu bapa mereka adalah lelaki, adakah mereka tak akan rasa malu? Kalau saya, saya amat malu.

37. Oleh itu, wahai manusia yang mengaku mempunyai pertalian sesama kita sekalian, kita balik ke pangkal jalan. Jangan malukan ibu bapa anda, jangan malukan diri sendiri, dan jangan malukan anak-anak anda (yang hanya akan wujud jika anda kahwin berlainan jantina ya?)

38. Semoga Allah SWT sentiasa membantu kita semua ameen.

39. Sebagai penutup, saya ada satu pengumuman pendek. 

40. Tempoh hari, saya ada tertarik lantas membeli sebuah buku yang bernama Furu' Al-Masa'il yang karya asalnya ialah sebuah kitab lama atau kitab kuning ditulis oleh seorang tokoh agama yang cukup hebat, Maulana Al-Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.

41. Yang menariknya, kitab ini disusun semula dalam bentuk tulisan, ilustrasi serta gaya bahasa Melayu moden untuk manfaat orang awam seperti saya. Gambar muka depannya di bawah.

42. Maka, saya bercadang untuk mengambil sedikit masa yang terluang (jika ada) dari semasa ke semasa untuk berkongsi kandungan kitab ini secara ringkas yang saya mampu insya Allah.

43. Dan saya akan kongsikannya di laman IH.DE.NA saya insya Allah.

44. Moga bermanfaat kepada semua. Doakan saya. Saya amat perlukan doa itu.

Terima kasih dan Allahua'lam.
Pautan ke Laman Facebook Dakwah saya, (IH.DE.NA)
Muka depan (cover page) Kitab Furu' Al-Masail
Salam sayang daripada:


2 comments:

RI said...

terima kasih di atas perkongsian. Blog yang menarik. Punyai video dan animasi seperti ustaz Azhar Idrus. Teruskan usaha yang baik ini. salam perkenalan.

Ibnu Hanaffi said...

Jazakallah khairan kasira ya akhi Hakim. Salam perkenalan.

Doakan saya dan keluarga tercinta. =)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq