Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Kita sering dimomokkan dengan kehebatan era masa kini yang digambarkan sebagai zaman apabila dunia sudah berada di hujung jari.
2. Secara umumnya, saya memahami bahawa ia bermaksud kita boleh mendapatkan maklumat tentang apa jua di seluruh dunia ini walaupun hanya dengan menekan butang-butang di papan kekunci (keyboard) komputer (dengan jari jemari). Malah urusan seperti urus niaga juga kini boleh dilakukan dengan cara yang sama.
3. Jika cuba dilihat dari sudut pandang yang lain; yang saya rasa lebih tepat, sebenarnya dunia sekarang hanya diketahui terlalu sedikit realitinya, ibarat hanya sekecil hujung jari.
4. Cuba perhatikan gambar di atas. Daripada keseluruhan permukaan bumi yang luas itu, hanya sikit bahagian yang tersentuh hujung jari padanya.
5. Ada dua kiasan yang saya mahu ambil di sini.
6. Pertamanya, kita boleh jadi jumud tak bergerak ke mana-mana. Duduk di situ sahaja, kerana kemudahan internet misalnya, mengurangkan pergerakan kita kerana seolah-olah tak perlu. Nak makan pun sekarang, bukan sahaja tak perlu masak, malah tak perlu keluar rumah.
7. Perkara ini selalu disebut-sebut sebagai satu kemudahan zaman moden, dan saya bukan ingin menafikan manfaat yang ada daripada kemudahan sebegini, tapi janganlah sehingga kita lupa juga akan banyaknya kesenangan dunia ini yang mendatangkan mudarat.
8. Bak kata cerdik pandai, di negara orang, manusia mati kekurangan makanan, kita di bumi bertuah Malaysia ini mati dek terlebih makan! Sebut sahaja darah tinggi, kencing manis, sakit jantung; saya yakin anda faham mesej saya.
9. Apapun bukan itu fokus saya dalam penulisan ringkas ini.
10. Kiasan kedua adalah tentang jari telunjuk itu sendiri; yang difahami sebagai satu perbuatan mengarah, dari aspek bahasa badan atau body language. Maksud saya, jika seseorang ingin memberi arahan, dia biasanya tunjuk menggunakan jari telunjuk.
11. Mesej saya begini. Kita fikir kononnya kita ketahui semua (atau banyak) benda dalam dunia ini melalui internet.
12. Tanpa kita sedari, internet menjadikan kita jauh lebih sempit pemikiran; melainkan jika kita sedar. Adakah internet menyediakan maklumat yang kita perlu, atau maklumat yang kita MAHU? (ingat jari telunjuk- simbolik perbuatan mengarah, MAHU itu dan ini)
13. Cuba perhatikan pola carian kita di internet. Sebenarnya enjin carian seperti Google (setahu saya) mempunyai kebolehan menilai kegemaran (favorite) kita, seperti laman web apa yang kita sering buka, dan subjek apa atau cerita apa yang kita selalu baca. (begitu juga news feed atau timeline di Facebook dan lain-lain yang sedia 'dipilih' untuk kita; bukan oleh kita)
14. Daripada maklumat yang terlalu banyak, maka akan dipilih kelompok-kelompok maklumat yang telah dikategorikan tadi untuk menjadi santapan minda kita.
15. Contohnya, jika kita menaip kebaikan Facebook, maka pasti yang keluar adalah pautan kepada artikel mahupun sumber bentuk lain yang berkaitan dengan kebaikan Facebook (ini contoh saja).
16. Dengan kata lain, jika itulah keyakinan selama ini (bahawa Facebook itu adanya baik sahaja), maka demikianlah keyakinan kita sampai bila-bila melainkan kita mula membuka minda dan memahami sifat dan ciri-ciri internet ini.
17. Demikian juga dalam hal menyokong dan membangkang sesuatu jemaah atau kumpulan dakwah Islam.
18. Kita kadang-kadang terfikir, bahawa kumpulan kita lah yang terbaik, kerana kita dikelilingi oleh kelompok yang berpemikiran sama (demikian kecenderungan biasa manusia) dan sering saja didedahkan dengan maklumat-maklumat yang menguatkan lagi pendirian kita.
19. Dalam hal yang lain, isu Palestin, Syria, Mesir misalnya.
20. Seolah-olah media lah yang berperanan mendefinisikan hidup kita, dan realiti sekeliling kita.
21. Ada musimnya, media akan melaporkan kezaliman yang berlaku di negara-negara bergolak.
22. Adakah hanya ketika itu sahaja mereka bergolak?
23. Terkadang terasa apabila kita sibuk pula dengan isu lain, contohnya Bajet 2014 (Malaysia), seolah-olah timbul di hati semacam perasaan bahawa oh, negera-negara bergolak ini sedang rehat sekejap.
24. Tidak! Pergolakan dan kezaliman berlaku hari-hari di seluruh dunia. Kekerapannya bukan bergantung kepada kekerapan ia dilaporkan di internet (media).
25. Ya, apa yang media laporkan mungkin berlaku dalam dunia realiti. Tapi apa yang berlaku dalam dunia realiti tak mungkin semuanya dapat dilaporkan media.
Jadi apa cadangan saya?
26. Tujuan saya menulis adalah supaya saya juga dapat mengingatkan diri sendiri agar membuka mata.
27. Dalam dunia media, perlu lebih banyak pengkajian, dan jangan sesekali gopoh, malah beremosi dalam berkongsi maklumat, apatah lagi 'aib orang.
28. Di Malaysia, apabila trendnya adalah laporan media tentang jenayah yang makin meningkat; kita tak menafikan kebenarannya, namun bukan satu andaian yang baik untuk menyamakan kadar jenayah dengan kadar kekerapan laporannya di media.
29. Yang penting adalah persediaan kita untuk mati (dan hidup di alam berikutnya).
30. Dan perlindungan serta tawakkal kita kepada Allah SWT, itu yang dicari.
31. Sama ada bergantung kepada Allah SWT dan lakukan sesuatu; atau mengharapkan bantuan polis, dan akhirnya mempersalahkan polis juga atas kekurangan mereka.
32. Moga kita tak 'patah kaki' kerana internet. Sedangkan Islam mengajar kita untuk bertebaran di muka bumi, untuk mengambil manfaat dan pengajaran.
33. Mohon doakan saya juga yang terlebih-lebih lagi jahil dan hinanya di sisi Allah SWT ini. Akhirnya nanti, yang menyelamatkan kita ialah Islam yang kita 'gigit dengan gigi geraham'.
34. Kita harus kuat. Dan kuatnya kita bukan bermula dengan badan fizikal, tapi kekuatan hati dan jiwa. Sucikanlah ia, dan sucikan sentiasa.
35. Jangan sampai suatu ketika, kita menyesal, dan hanya mampu menggigit JARI. Bahkan mungkin; bukan dunia di hujung jari, tapi jari ini terlalu kecil untuk meliputi walaupun hujung dunia.
Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
0 comments:
Post a Comment