Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Adakah agama hanya untuk orang agama?
2. Atau adakah agama untuk semua orang?
3. Jika untuk orang agama sahaja, siapakah yang menepati kriteria 'orang agama' atau 'agamawan'?
4. Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)........"
(Surah An-Nisa', ayat 58)
5. Pada hemah saya, kedua-dua penyataan di atas benar belaka, bahawa agama itu untuk agamawan dan agama itu juga untuk semua orang, dengan syarat mestilah difahami dalam konteks yang betul, yang berbeza antara keduanya.
6. Dalam bahasa mudah, agama itu diuruskan oleh orang yang ahli (mahir) dan berpengetahuan di dalamnya. Dia yang menguasai ilmu itu dan dialah yang perlu menjadi rujukan dalam hal agama.
7. Namun, dalam konteks menguruskan diri berlandaskan agama, semua orang WAJIB melakukannya.
8. Maksudnya, tiada siapa yang boleh lari daripada ruang lingkup agama dalam kehidupan sehariannya; kerana Islam mencakupi semua aspek; dari sekecil-kecil atau seremeh-remeh perkara, kepada yang paling besar dan penting.
9. Maka itu sahaja bedanya. Ahli agama dan agamawan, mereka menguruskan agama, yakni menjadi sumber rujukan dan pemimpin dalam urusan agama.
10. Setiap satu daripada kita pula, yang berstatus orang awam, juga mesti beragama, tetapi bukan mengikut andaian dan nafsu kita, sebaliknya berdasarkan ajaran agama, sebagaimana yang difahami dan dijelaskan dengan betul oleh orang berilmu agama.
11. Jadi, janganlah saling bergaduh mana satu yang betul, padahal konteks perbincangan terlebih dulu yang perlu difahami.
12. Ibaratnya, semua orang boleh minum air, atau ambil manfaatnya. Namun, tak logik nak kata bahawa air boleh didapati di mana-mana.
13. Sudah jelas bahawa air itu adalah untuk semua orang, tapi bukan ia didapati daripada semua orang atau di mana-mana, contohnya daripada api. Seperti agama, ia ada sumbernya; ia ada tempat pengambilannya.
14. Dari segi dakwah dan menyampaikan agama pula, memang benar setiap individu Muslim masing-masing memikul amanah, namun sekali lagi, mesti adil pada diri sendiri.
15. Sedang para 'alim ulamak tahu dan faham benar ilmu agama, kita pula menyampaikan apa yang difahami oleh para 'alim ulama', dan bukannya suka-suka menafsirkan ajaran agama sesuka hati kita sehingga bertentangan dengan cara faham para 'alim ulama'.
16. Bahkan, dengan menjadi seorang individu Muslim yang baik pun, insya Allah cukup besar peranannya sebagai satu bentuk dakwah (tarikan) secara tak langsung kepada orang bukan Islam dan sesama Muslim.
17. Moga kita pandai menilai di mana tempat yang seadilnya buat kita dan moga Allah SWT sentiasa kekalkan taufiq dan hidayah yang dikurniakan-Nya. Ya Allah, kurniakanlah kami hikmah, dan ajarlah kami menjadi orang yang adil (dalam membuat penilaian). Ameen...
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.
0 comments:
Post a Comment