RSS

Friday, December 28, 2012

Teka-Teki Dalam Al-Quran


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Apa khabar semua?

2. Insya Allah, dengan nikmat kesihatan yang ada, ucapkanlah Alhamdulillah.

3. Kali ini saya akan berkongsi satu kisah teka-teki istimewa yang diambil daripada Al-Quran.

4. Perkongsian ini berdasarkan video Ustaz Nouman Ali Khan di laman berikut: Two Riddles

5. Teka-teki ini terdapat dalam Surah Al-Kahf, satu surah yang digalakkan oleh Nabi SAW untuk dibaca pada setiap hari Jumaat, hari kebesaran kita umat Islam.

6. Ia berkenaan kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidr (yang Allah SWT sebut sebagai seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba-Nya).

7. Untuk memahami latar belakang kisah mereka, boleh rujuk ayat 65-78 dalam Surah Al-Kahf.

8. Pun begitu, izinkan saya menceritakan secara ringkas latar belakang cerita ini.

9. Setelah mendapatkan keizinan, Nabi Musa mengikuti Nabi Khidr untuk mempelajari ilmu dan petunjuk daripadanya.

10. Namun ia bersyarat. Nabi Musa AS tak dibenarkan bertanya apa-apa pun soalan sehinggalah Nabi Khidr sendiri yang menerangkan tentangnya.

11. Namun, Nabi Musa tak mampu bersabar dan setelah kali ketiga dia bertanya soalan tentang tindak-tanduk Nabi Khidr, Nabi Khidr pun menerangkan tentang tindakannya dan mereka pun berpisah di situ.

12. Tiga perkara inilah yang menjadi teka-teki yang kita akan bincangkan hari ini.

13. Menariknya, bukan hanya soalannya yang menjadi teka-teki. Bahkan jawapan dan penerangan Nabi Khidr pun ada teka-teki yang cukup menarik untuk dibongkar bersama-sama!

14. Pertama: Nabi Khidr telah membuat lubang diperahu yang mereka naiki. Tanya Nabi Musa AS, adakah engkau berniat menenggelamkan penumpangnya?


15. Kedua: Lalu mereka terus berjalan sehingga mereka berjumpa dengan seorang anak muda dan Nabi Khidr membunuh anak muda itu. Tanya Nabi Musa AS, mengapa engkau membunuh jiwa yang bersih, dan bukan kerana dia (anak muda) membunuh orang lain?

16. Ketiga: Mereka terus berjalan sehingga sampai ke satu negeri, dan melihat dinding sebuah rumah yang hampir roboh, lalu Nabi Khidr menegakkannya semula. Lantas berkata Nabi Musa AS, kalau kamu mahu, kamu boleh minta imbalan (upah) dari apa yang kamu kerjakan itu.

17. Itulah kali ketiga Nabi Musa AS tak mampu bersabar, maka akhirnya mendapat penjelasan teka-teki yang bermain di fikirannya namun terpaksa berpisah dengan Nabi Khidr.

18. Saya akan nyatakan di sini ketiga-tiga jawapan kepada teka-teki ini yang sebenarnya sudah terdapat dalam Al-Quran yakni dari ayat 79-82.

19. Cuma, yang mungkin kita tak sedari, dalam jawapan kepada teka-teki itu pun ada teka-teki!

20. Mari kita bongkar bersama-sama kecantikan Al-Quran di sini.

21. Sebelum itu, kita sedia maklum bahawa Nabi Khidr diberi ilmu oleh Allah SWT yang tak diketahui oleh Nabi Musa AS sendiri, sebab itu tindakan Nabi Khidr dipersoalkan oleh Nabi Musa AS, kerana pada pandangan mata kasar dan pengetahuan Nabi Musa AS, tindakan itu tak wajar.

22. Kita juga harus memahami perkara ini dan muhasabah diri sendiri. Ada perkara di dunia ini yang pada mata kasar atau pengetahuan cetek kita, kita fikir baik, rupanya tidak baik. Demikianlah juga sebaliknya. Ada yang kita fikir tak baik, rupanya bermanfaat untuk kita.

23. Al-Quran ada menyebut tentang hal ini. Boleh rujuk Surah Al-Baqarah, ayat 216.

24. Baik, dalam penerangan terhadap ketiga-tiga tindakannya Nabi Khidr menggunakan KATA GANTI NAMA yang berbeza-beza! Biar saya terangkan.

25. Inilah teka-teki yang cukup unik.

26. Dalam situasi pertama, apabila perahu yang dinaiki dilubangi Nabi Khidr, kata Nabi Khidr, Aku yang berkehendakkan untuk melubanginya. Kata ganti nama yang digunakan ialah Aku.


..aku berkehendakkan...

27. Sila rujuk ayat 79. Dijelaskan oleh Nabi Khidr bahawa tujuan tindakannya itu adalah untuk menyelamatkan perahu itu daripada dirampas oleh seorang raja (jika digunakan).

28. Dalam situasi kedua pula, Nabi Khidr menggunakan perkataan Kami berkehendak membunuh anak muda tadi.

....Kami berkehendakkan...

29. Kenapa? Kerana anak muda ini kafir dan dikhuatiri bahawa dia akan memaksa kedua orang tuanya ke arah kesesatan dan kekafiran juga. Malah disebut bahawa Allah SWT akan menggantikan dengan seorang anak yang lebih baik kesuciannya dan kasih sayang kepada orang tuanya.

30. Sila rujuk ayat 80 dan 81.

31. Akhir sekali dalam situasi ketiga, kata ganti nama yang digunakan ialah Tuhanmu yang berkehendakkan yang demikian. Dengan kata lain, tindakan menegakkan semula dinding yang roboh itu dinisbahkan kepada kehendak Allah SWT.

....Tuhanmu menghendaki...

32. Sila rujuk ayat 82 untuk kalimah tersebut.

33. Dinding rumah yang ditegakkan semula itu adalah milik dua orang anak yatim yang tersimpan bagi mereka harta. Ayah mereka insan yang soleh, dan ketika mereka dewasa kelak, mereka boleh mengeluarkan simpanan harta mereka yang terselamat itu.

34. Kenapa Nabi Khidr tak sebut 'Aku menghendaki untuk melakukan sekian-sekian' dalam ketiga-tiga situasi di atas? Kenapa perlu bertukar-tukar kata ganti nama?

35. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu faham bahawa terdapat dua bentuk realiti di dunia ini yakni internal reality dan external reality.

36. Hakikatnya, semua internal reality  itu baik belaka kerana semuanya berlaku atas kehendak Allah SWT. Sama keadaannya seperti ketiga-tiga situasi di atas. Ada hikmah yang baik (internal reality) di sebalik apa yang berlaku.

37. Pun begitu, ada perkara yang pada external reality yakni pada pandangan mata kasar dan pengetahuan cetek kita yang kita tak mampu nilai sama ada sesuatu perkara itu benar-benar baik atau tidak.

38. Mari kita nilai semula cerita di atas. Dalam situasi pertama, membocorkan perahu pada pandangan external reality  adalah satu perkara yang buruk. Sebab itu Nabi Khidr menggunakan perkataan Aku, supaya perkara buruk itu disandarkan pada dirinya sendiri!

39. Dalam situasi dua pula, Nabi Khidr menggunakan Kami, kerana ada dua external reality di sini, satu buruk dan satu lagi baik. Pertama, membunuh anak muda. Kedua, anak yang lebih baik akan diberikan kepada orang tua tadi. Maka perkataan 'Kami' digunakan merujuk kepada Nabi Khidr dan Allah SWT.

40. Keburukan membunuh itu disandarkan pada Nabi Khidr, manakala pemberian anak yang lebih baik pula disandarkan kepada kehendak Allah SWT!

41. Akhir sekali, dalam situasi ketiga, menegakkan dinding rumah yang hampir roboh, pada external reality langsung tiada apa-apa yang buruk padanya. Sebab itu Nabi Khidr terus menisbahkan tindakan itu kepada kehendak Allah SWT!

42. Subhanallah!

43. Demikianlah cukup cantik teka-teki dalam Al-Quran.

44. Maka, sempena hari Jumaat yang mulia dan penuh berkat hari ini, marilah sama-sama kita menghargai nikmat mukjizat Al-Quran dengan membaca dan memahaminya.

45. Sunnah Nabi SAW membaca Surah Al-Kahf sebagaimana hadis dalam gambar rajah berikut:

46. Semoga bermanfaat dan sama-sama kita hayati dan kongsikan!



47. Mohon doakan kebahagiaan saya dan keluarga di dunia dan akhirat. Ameen ya Rabbal 'alamin.

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

4 comments:

Anonymous said...

MasyaAllah . . Menarik sungguh entry ni . . :)

Amirul Asyraf said...

Alhamdulillah. Jazakillahu khairan kaseera. Yang baik semuanya milik Allah SWT.

Mohon doakan saya dan keluarga =)

Unknown said...

salam..menarik...teruskan menulis ye :)

Amirul Asyraf said...

Waalaikumussalam wbt. Jazakillahu khairan kaseera ukhti MiLa. Alhamdulillah semua yg baik milik dan hak mutlak Allah =)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq