RSS

Wednesday, December 7, 2011

Wahabi vs Adabi


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah."
Surah Al-A'raf (7:12)


1. Siapa tak kenal Adabi. Satu jenama yang cukup terkenal sejak turun-temurun.

2. Semestinya Adabi lebih masyhur berbanding Wahabi, sehinggalah sejak kebelakangan ini bila isu Wahabi di Malaysia menjadi tajuk utama di muka akhbar dan berita media yang lain.

3. Menariknya, tulisan kali ini bukan tentang Wahabi atau Adabi, tetapi sesuatu yang berkaitan dengannya. Suka saya sebut, tulisan kali ini berkaitan dengan penjenamaan atau dalam bahasa omputehnya, branding.

4. Kita semua sedar, dewasa ini, penyebaran maklumat berlaku dengan cukup pesat dan setiap perkara boleh dicapai dengan mudah dan sepantas kilat, petir dan halilintar. Namun, adakah kita sedar bahawa keadaan ini juga menjadikan kehidupan bermasyarakat sekarang lebih mencabar dan lebih mudah menjadi kucar-kacir?

5. Bukan hanya entiti besar seperti Google Corp. yang mahu terus melonjakkan publisiti jenama mereka, malah setiap daripada kita mempunyai kecenderungan peribadi melantik diri sendiri sebagai ahli dalam kelompok atau kumpulan tertentu.

6. Lebih menarik lagi, adalah apabila pembentukan kelompok ini wujud dalam kalangan manusia yang kesemuanya mengaku diri mereka Muslim atau orang Islam.

7. Maka wujudlah gelaran seperti golongan Wahabi, ahli bida'ah wal punah ranah, Islam liberal, Islam sekular dan banyak lagi.

8. Selain itu, perpecahan sebegini juga wujud melalui aliran pemikiran politik yang berbeza, dan yang lebih menarik, melalui persatuan-persatuan atau jemaah Islam yang berbeda pendekatan dan objektif pergerakan.

9. Kesinambungan kepada semua ini ialah keluarnya kenyataan yang berbunyi,"Saya dan kumpulan saya adalah yang terbaik. Orang lain yang tak sejalan dengan kami salah." Atau ada yang lebih lantang apabila berkata, "Yang selain daripada kumpulan kami, maka mereka SESAT, KAFIR, dan bakal menjadi BAHAN BAKAR API NERAKA!"

10. Suka saya bawak kita untuk sekali lagi renungi kata-kata iblis kepada Allah SWT (dalam Surah Al-A'raf di atas) apabila diminta sujud hormat kepada Nabi Adam AS. Al-Habib Ali Al-Jufri ketika menjelaskan tentang ayat ini menyebut bahawa sikap angkuh, bongkak dan merasakan diri lebih baik daripada orang lain ini adalah sifat iblis laknatullah!

11. Mahukah kita menjadi iblis atau seperti iblis?

12. Sebelum saya teruskan, saya perlu jelaskan dahulu bahawa MEMANG BENAR, terdapat jalan yang benar lagi sahih mengikut acuan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) yang berpandukan Al-Quran, Sunnah, Hadis dan rujukan lain yang disepakati para 'Alim Ulama'. Penyataan ini tiada ragu lagi, malah tak perlu dibahaskan di sini.

13. Namun, persoalan yang saya ingin bawakan sekarang ialah, adakah kita (lebih-lebih lagi orang awam seperti saya) mempunyai KUASA atau sixth sense, malah hak yang mutlak untuk menentukan siapa yang sesat dan kafir, apatah lagi menghukum seseorang sebagai ahli syurga atau neraka?

14. Mari kita telusuri satu hadis sahih yang cukup cantik dalam menjelaskan hal ini. Maksud hadis tersebut:

Berdiri seorang lelaki yang matanya dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata:

"Wahai Rasulullah, bersikap takutlah kepada Allah." (Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi).


Baginda menjawab: "Bukankah aku sepatutnya (sebagai Rasulullah) orang yang paling takut kepada Allah.?"

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid pun berkata:


"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah murtad)?"

Baginda menjawab: "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat."

Khalid berkata: "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)?"
Lantas jawab baginda: "Aku tak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka."

(Riwayat Al-Bukhari, No 4094, 4/1581 Muslim, 2/742)
 
15. Bukankah di situ terdapat contoh yang jelas daripada Nabi SAW tentang tak perlunya bersangka buruk dan cepat berprasangka lebih-lebih lagi dalam hal ghaib (isi hati manusia)?

16. Adakah sesiapa di antara kita yang lebih mulia dan hebat berbanding Rasulullah sehingga kita boleh melabel dan menghukum orang sesuka hati kita?

Milikilah hati yang suci bersih seperti seorang bayi yang tak mengenal erti hasad dengki dan perasaan buruk.
17. Bukankah kita selalu mendengar satu ayat Al-Quran yang cukup jelas menyebut tentang perkara ini?

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain..."
Surah Al-Hujurat (49:12)

18. Dalam ayat yang sama juga disebut, adakah kita semua suka memakan daging saudara kita yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik, kata Allah SWT kepada orang yang bersikap begini, na'uzubillahi minzalik (semoga Allah melindungi kita).

19. Saya tergerak untuk menyebut tentang perkara ini apabila melihat ada kecenderungan dalam kalangan kita untuk membuat penilaian yang cukup cepat terhadap orang lain lebih-lebih lagi dengan sekadar membaca satu atau dua artikel atau komen orang tentang mereka di media sosial seperti Facebook.

20. Padahal kita tak pernah bersemuka secara peribadi dengan individu atau kelompok berkenaan, apatah lagi membuat kaji selidik yang mendalam tentang mereka. Padahal Imam Fakhruddin Ar-razi pernah menghuraikan ayat Al-Quran (49:12) di atas dengan menyebut bahawa:

"Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad (usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam."
(Tafsir Ar-Razi, 28/115)

21. Malah, satu lagi perkara yang perlu sangat kita ambil kira adalah melalui satu hadis riwayat Imam Muslim yang dengan jelas menyebut, jika kita memanggil seseorang sebagai kafir, sedangkan dia tidak kafir, maka kelak panggilan itu akan kembali semula kepada diri sendiri! 

22. Al-Habib Ali Al-Jufri dalam ucapan yang sama ada menyebut, bahawa sepatutnya kita orang Islam (lebih-lebih lagi yang mengakui sebagai da'ie) mempunyai akhlak yang baik dalam menjalankan amanah Allah dan menyampaikan mesejnya. Orang yang tidak berakhlak mulia mesti ada sesuatu masalah pada hubungannya dengan Allah atau dalam ibadahnya, sehinggakan amalannya tidak membentuk akhlak mulia dalam dirinya.

23. Orang yang berakhlak mulia, penuh berhemah dan beradab dalam perbezaan pendapat, maka jauh sekali terlintas di fikirannya untuk memburukkan orang atau pihak yang tak sealiran dengannya, terutamanya jika hanya dalam bab yang kecil ataupun isu cabang (masalah furu').

24. Al-fadhil Ustaz Hasrizal menyifatkan bahawa orang yang tak menjaga perlakuan dan melabel-label orang lain semuanya salah mempunyai masalah yang harus diteliti segera. Kata beliau:

"Ini bukan lagi isu perbezaan pendapat.
Tetapi persoalan sikap dan mazmumah (sifat yang dikeji) akhlak!"

25. Satu lagi sikap sebahagian daripada kita adalah apabila kita melihat orang lain yang tidak sama soleh atau warak seperti kita (adakah kita sudah benar-benar soleh dan warak?), kita dengan segera mengeluh, alangkah jahil si fulan bin si fulan, atau kita kadang-kadang berdoa, semoga si fulan bin si fulan akan ditimpa balasan oleh Allah SWT.

26. Mengapa susah benar untuk kita mendoakan kebaikan saudara seislam kita? Jika betul kita akrab dengan Allah SWT, bukankah doa kita insya Allah akan dimaqbulkan-Nya tapi kenapa kita asyik mendoakan keburukan mereka sahaja?

27. Dalam kita merungut dan terkilan dengan keadaan masyarakat kita yang mungkin masih ramai yang jahil agama, saya juga meminta kita juga sedar bahawa mungkin juga hal ini berlaku kerana para da'ie kita miskin pula dengan doa dan harapan kepada mereka.

28. Bukankah Rasulullah SAW mengajar kita melihat semua orang (bahkan orang bukan Islam sekalipun) dengan pandangan rahmat dan kasih sayang? Masya Allah, betapa agungnya akhlak baginda SAW.

29. Sebagai penutup, ingin saya sentuh sedikit tentang penyebaran dua perkara yang mendukacitakan saya, malah kaedah kita bertindak balas pun tidak kena pada tempatnya (pada hemah saya).

30. Pertama, penyebaran gambar-gambar seksi melampau dan lucah serta yang kedua, penyebaran gambar menghina Islam seperti gambar seekor anjing gergasi membuang najis di atas Kaabah (kemungkinan menggunakan Perisian Photoshop) nauzubillah..

31. Bila disiarkan di Facebook, ada dua perkara yang saya rasa sangatlah elok dielakkan. Pertama, maki hamun serta jeritan seperti 'Go to Hell' atau 'Kafir Laknatullah!' Allahuakbar, perkara ini sangat memburukkan imej kita umat Islam, dan tak membawa apa-apa implikasi positif yang realistik.

32. Cadangan saya adalah agar kita block gambar itu supaya kita tak temuinya lagi, kemudian buat laporan kepada Facebook dengan hanya menekan Report this photo dan menanda Nudity or pornography untuk kategori seksi melampau tadi atau Hate speech or symbol untuk kategori penghinaan terhadap Islam.

33. Walaupun mungkin pihak Facebook tak akan membuang gambar itu, namun sekurang-kurangnya kita mainkan peranan kita dan dalam masa yang sama, mengelak daripada menemuinya lagi, serta yang lebih penting supaya kita buat perkara yang lebih baik daripada sekadar maki hamun.

34. Mana ada kewajarannya jika kita cuba memadam dosa dengan membuat dosa! Itu dua kali lima lagaknya.

35. Perkara kedua, saya agak kurang bersetuju dengan 'usaha' menyebarkannya pula di internet supaya orang lain pun marah. Pada pandangan saya, kalau ingin dihebahkan pun, supaya orang Islam kita peka, hebahkanlah sekadar dalam bentuk perkataan sudah cukup. Kerana kita khuatir gambar yang di 'share' hanya membantu orang lain membuat dosa melalui kita, malah menaikkan kemarahan umat Islam padahal tak perlu pun.
 
36. Marilah dengan itu kita sama-sama lebih berhikmah dalam mendepani musuh-musuh Islam serta masyarakat yang masih perlukan penjelasan tentang Islam. Ini semua tugas kita.

37. Sebagai penutup, saya kongsikan satu hadis yang insya Allah harapnya memberi manfaat untuk kita semua. Kata Rasulullah SAW:
 
"Setiap anak Adam itu ada kesilapan (dosa) dan orang berdosa yang terbaik ialah mereka yang bertaubat."
(Riwayat At-Tirmidzi No 2499, 4/659)

38. Hmm.. Kalau saya SunQuick, anda semua Ribena Blackcurrent lah kan? *wink wink*

P/S: Jangan terkejut jika anda terjumpa dengan orang yang cukup cepat menggelar orang lain Wahabi lantas apabila ditanya apa itu Wahabi, mereka hanya ternganga. Bukan setakat Wahabi, banyak lagi label-label lain yang diguna pakai. Inilah dunia penjenamaan.

Saya membesar dengan kicap kegemaran Cap Kipas Udang..
39. Saya cadangkan sahabat pembaca semua menonton dua video di bawah. Masya Allah, terlalu banyak manfaat yang boleh diambil daripada kedua-duanya. Dan sebahagian daripada intipatinya sudah saya sebut di atas. Wallahuaklam.

Wassalamualaikum wbt.




Artikel-artikel berkaitan:
a) Ashraf Orang Sekampungku
b) Kafir Vs non-Muslims
c) Egotism: Lessons to Ponder

Rujukan:
Dr Danial Zainal Abidin (1)
UZAR (1) (2)
Ust Hasrizal Jamil (1) (2)

2 comments:

Anonymous said...

Salam. A very well-written post. Congratz. Tapi saya ade sikit ke-concernan. Ada dikatakan, di akhir2 zaman, akan ramai muncul golongan2 yang cerdik pandai. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal sehingga tidak jelas haram dan halal itu.

As what you've mentioned, we are in no place to judge people, menghukum seseorang itu penghuni syurga ataupun tidak kerana Allah sahaja yang tahu antara yang hak dan yang batil. Jadi, kebenaran itu nyatanya samar2 di zaman ini, kadang kala menggoyah pegangan pada apa yang dipercayai. Yang mana satu betul, yang mana satu salah, kita sendiri tak pasti.

Soalan saya, apakah yang memungkinkan apa yang kita ikuti ini adalah sebenar2nya yang diperintahkan oleh Allah? Mungkin Wahabi, mungkin Syiah? Thanks.

Ibnu Hanaffi said...

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah, segala pujian hanya milik Allah.

Terima kasih untuk soalan tu. Soalan yang cukup baik, dan menariknya, saya juga pernah mempunyai persoalan yang sama hehe =p

Dan sama ada kita sedar atau tak, perkara ini juga diakui oleh para asatizah kita sekarang, bahawa timbul kekeliruan dalam kalangan orang awam tentang siapa yang harus kita rujuk.

Yang lebih teruk, masyarakat bukan Islam memandang situasi ini sebagai satu perpecahan dalam kalangan umat Islam, lantas menjadi salah satu alasan untuk mereka tak minat pada Islam. Ia juga menjadi salah satu punca mengapa sesetengah Muslim sendiri mula jemu dan ragu-ragu terhadap Islam nauzubillah.

Maka, soalan anda sangat relevan dan saya akan jawab dengan 2 jawapan di bawah.

Jawapan 1:

Sebagai seorang insan biasa yang bukan ustaz apatah lagi ulama', pandangan saya ialah, dalam mencari kebenaran, ia amat bergantung kepada sikap kita. Pertama, sikap yang perlu ada ialah sikap sentiasa merendah diri lantas sentiasa merujuk para ilmuwan dalam hal-hal agama. Jangan ego dan jangan fikir bahawa kita tahu semua. Dengan kata lain, mesti ikhlas dan jujur dalam erti kata yang sebenarnya.

Sikap kedua adalah untuk menghayati etika perbezaan pendapat. Jangan terlalu taksub pada mana-mana individu siapa pun mereka, dengan keyakinan bahawa hanya Allah yang sempurna, dalam masa yang sama yakinilah sesuatu berdasarkan hujah, dalil, bukti dan kefahaman, bukan ikut-mengikut.

Jawapan 2:

Alhamdulillah, Allah Maha Kaya, soalan yang ditanya kena pada masanya, kerana dengan izin Allah, saya pun baru dapat makluman tentang satu program hebat yang akan berlangsung tahun depan. Saya amat yakin bahawa program sebegini akan menjawab segala bentuk persoalan yang bermain di fikiran kita sekarang.

Saya ada tulis di status Facebook saya tentangnya jadi saya rasa elok saya 'tiru lekat' di bawah je ya? hehe

Sebagai penutup, saya ingin simpulkan bahawa pendekatan bersederhana dalam semua perkara adalah yang terbaik. Ia dipanggil wasatiyah dan boleh dirujuk dalam surah Al-Baqarah (2:143).

Dan yang PASTI, satu-satunya jalan yang benar dan betul ialah jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah seperti yang diajarkan nabi SAW.

Jujur dan ikhlaslah dalam mencari kebenaran, dan percayalah, sesudah itu, Allah akan tunjukkan kita jalan itu. ;-)

Wallahua'lam..

Mesej di fb:

Salam.

While people await 2012 as a year of Doomsday (so please pray more hehe), I think we have better things to expect especially this one, the first of its kind, and should be an important highlight of the year.

It's a convention involving many great local scholars like Dr Zaharuddin Abd Rahman and Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, not to forget international scholars like Mufti Sheikh Ismail Musa Menk. The author of international bestseller La Tahzan (Don't Be Sad) will also be part of the program! He is none other than Sheikh Dr Aidh Al Qarni!

Important: If you register before January 15th, then you are in early bird group, so you only have to pay RM100, which is a special offer and will be RM300 after the mentioned date instead. So register now! It's on weekends!

Official website:
http://k-fiqh.com/

Official Facebook page:
https://www.facebook.com/kfiqh

Official teaser:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=b4P6ANjv34k

More infos about the contents of this program here:
http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1009-konsep-sederhana-wasatiy-a-k-fiqh-2012.html

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq