"Biarpun menunggu betapa pun panjang, tiba masanya kau tetap akan ku sayang..."
Kelihatan Kecik mengintai-ngintai seekor kucing dari jauh. Di tangannya lastik dan beberapa biji buah getah membentuk bonggol di dalam poket seluar. Tiba-tiba habuk halus yang bersemayam di lubang-lubang dinding papan teratak usang milik Pak Husam ditiup lembut memasuki mata kanan Kecik. Penat dia menggosok matanya, gatal itu tak hilang juga. Kucing hitam tadi berjaya lari pecut dengan habuan keropok ikan yang Mak Mah berikan pada Kecik.
Kecik hati Kecik. Kempunan pun ada. Dia marah. Dibalingnya lastik tadi. Terkena kepala Pak Husam yang sedang solat. Dia tengah sujud. Waktu tu tengahari. Matahari panas terik. Panas lagi hati Kecik.
Tapi tidak Pak Husam. Dia masih bersahaja dan tenang. Solat diteruskan.
"Assalamualaikum!"
Kecik tak menjawab. Lagipun matanya masih sakit. Dia biarkan saja Mak Mah masuk rumah. Tapi bukan dari depan. Dari dapur.
"Eh Kecik? Ayah kamu mana? Kamu menangis ke?" Mak Mah kesat mata Kecik yang merah saga dengan kain batik yang dia litupkan pada kepalanya. "Oh solat ke Husam ni? Sejak bila pulak?" Duduk Mak Mah di atas tangga dapur, menggaru-garu kepala melihat Pak Husam solat di ruang tamu rumah yang hanya ada satu tingkap itu. Sejadah pun tiada. Cuma beberapa helai surat khabar lama yang melapik lantai rumah. Itupun koyak. Mungkin sebab basah terkena air wuduk di dahi Pak Husam ketika sujud.
15 tahun kemudian..
"Brader, kat sini ada jual budu tak?" Terkejut beruk Pak Man Muda yang sedang membaiki motosikal pelanggan di bengkelnya. Dia hanya mampu menggeleng. Sheila ni nakal juga orangnya. Tapi belum sempat dia mintak maaf atas gurauannya itu, fokusnya hilang melihatkan Kecik yang melambai-lambai dari jauh di restoran seberang jalan.
Memang sah. Kalau dah tahu nak makan dengan Sheila, mesti Kecik akan order air sendiri awal-awal. Itulah Kecik. Otak kecik tapi belanja besar!
Selepas 15 minit berbual dan bergelak ketawa, Sheila kelihatan mula serius.
"Awak, ingat lagi tak baju yang saya bagi hadiah kat awak dulu?"
"Yang mana ek?" Kecik tak pernah tahu yang Sheila sebenarnya dah lama simpan perasaan padanya. Bercakap pun tak memandang. Dia lebih selesa menghirup air Fresh Orange gelas besar di depannya. Bukan duit dia pun. Pasti Sheila yang kena belanja.
"Ala, yang kaler coklat tu. Tak pernah pulak nampak awak pakai?"
"Oh yang tu? Baju ke tu? Saya ingatkan kain buruk?"
Muka Sheila merah padam. "Eleh, orang gurau je. Eh Mak Mah apa cerita?" Kecik dengan suka hatinya tiba-tiba menukar topik. Sheila diam kaku. Beku. Bisu.
Kecik pun diam juga. Fresh Orange dah habis. Namun dari riak wajahnya macam belum hilang dahaga.
"Mak Mah dah takde.." Kali ni mata Sheila bergenang air sikit. "Dia yang pesan suruh bagi baju tu. Tapi kalau awak dah tak simpan takpela.." Sheila memang kuat. Sejak lahir, dia yatim bapa. Mak Mah pulak, entah kenapa seperti lebih sayangkan Kecik sejak dulu lagi walaupun bukan anak kandungnya. Mungkin itu perasaan Sheila saja. Tapi dia memang pernah tanya Mak Mah, dan Mak Mah kata dia kenalah tegas dengan Sheila, kalau tak, dia mana ada ayah lagi yang boleh bertegas dengannya.
Nada suara Sheila sentiasa tenang dan tak pun teresak-esak. Tapi kali ini dia pandang ke bawah.
"Kenapa awak tunduk? Merajuk ke?" Sekali lagi Kecik macam Cyborg dengan nada robotnya.
"Taklah. Tengah baca SMS."
"Oh. Sapa bagi?"
"Ni yang Sheila nak tunjuk kat Kecik.." Kecik menadah tangan tapi Sheila hanya mengangkat telefon bimbitnya, seakan tak mahu Kecik sentuh barang kesayangannya itu. Dari jauh pun tulisan di skrin telefon jelas nampak.
Mata Kecik terbelalak. Bulat montel. Macam bola pingpong yang direndam dalam air panas.
"Ada orang nak kawin dengan awak ke?" Tak pernah Kecik serius macam ni. Dia memandang tepat mata Sheila.
"Sapa bagi tu? Boyfriend kan?"
"Uncle.." Balas Sheila, pendek. Perlahan pulak suara dia kali ni. Kecik tak puas hati. Dia tak rasa itu jawapan yang dia nak dengar. "Mamat pekan mana yang mengada-ngada usik Sheila ni?" Bentak hati Kecik. Kali ini muka dia pulak yang merah padam.
Bukan sebab cemburu.Tapi Kecik sejak dulu memang pantang bila orang cakap pasal cinta, apatah lagi soal kahwin. Padahal ini bukan dia. Ini cerita Sheila.
Di kampung, Pak Husam cuba lagi untuk kali ketiga. Kali ini berjaya. Pintu rumahnya kalau tak ditolak kuat tak tertutup rapat. Lega Pak Husam. Tapi dia terpaksa duduk sekejap. Siapa suruh tendang kuat sangat? Terseliuh sikit buku lalinya. Terbahak-bahak dia batuk kepenatan. Sampai tercampak gigi palsunya. Nasib baik sempat disambut di tangan.
Dia mendongak lurus ke depan. Ombak yang mengalun-alun perlahan seakan menyanyi mempersendakan Pak Husam. Dia menoleh ke kiri. Tepat ke arah bangsal rumah. Sudah lama bot nelayan itu tersadai. Pak Husam memandang padanya. Sayu. Dia lantas pejamkan mata.
"Amik ni. Kecik tengok sendiri lah." Dihulurkan pula telefon bimbitnya kali ni. Langsung tak membantu. Kecik masih buntu. Memang hanya nama Uncle yang tertera di skrin. Tapi siapa dia?
"Eh?" Kecik cepat-cepat selamkan tangannya ke dalam poket. Unlock keypad. Dia membuka senarai nombor telefon kenalan. Mata hitamnya ligat memandang kiri dan kanan. Tangan kiri memegang telefon Sheila. Di tangan kanan pulak telefonnya.
Pak Husam tersedar dari lamunan. Dia bangun perlahan-lahan. Diperiksanya botol-botol dalam beg plastik itu. Dia tersenyum sendiri. Seperti teringatkan seseorang. Mak Mah. Ya, suatu ketika dulu, dia pernah lalu melintasi rumah Mak Mah. Sejuk hatinya melihat kelibat lembaga putih di dalam rumah yang tekun menghadap Tuhannya. Sejak itulah dia mula berjinak-jinak solat. Itupun dengan bantuan Haji Limbong dari kampung seberang.
Mak Mah kehilangan suaminya yang ditelan lautan dalam. Arwah pergi tak pulang-pulang. Sejak itu juga Mak Mah mula solat. Demikianlah singkatnya jodoh Mak Mah. Padahal dia sebenarnya dulu cintakan Pak Husam.
Tapi kerana Pak Husam suka makan budu, Mak Mah terpaksa batalkan hasratnya. Bukan isu besar pun, cuma Pak Husam tak pernah tahu, Mak Mah selalu ingat kalau makan budu kena kanser. Hanya lepas suaminya meninggal, dan apabila Sheila sama-sama 3 tahun seusia Kecik, dia sedar semua itu hanya mitos.
Sejak itu, Mak Mah tekun pula mengajar Sheila makan budu. Sheila memang suka budu. Padahal darah daging Sheila dan nenek moyang Mak Mah memang dah sebati dengan budu. Tapi entahlah, mungkin sebab jodoh tak ada, Mak Mah dan Pak Husam dipisahkan dek budu.
"Husam, maafkan aku sebab tolak pinangan kau dulu. Aku tahu semuanya sebab budu. Maafkan aku. Lagipun waktu tu kau bukan jenis yang solat. Mana mak bapak aku nak bagi kawin dengan orang tak solat macam kau. Dia nak carik orang yang boleh bimbing dan ajar aku solat.."
"Tak apalah Mah, bukan jodoh kita la tu. Apa kata kita kahwinkan je si Kecik dengan Sheila. Mungkin Tuhan nak temukan anak-anak kita. Boleh jadi itu jodoh dan takdir budak-budak ni."
Tenang saja Pak Husam. Seakan-akan redha walaupun pasrah. Tapi akalnya panjang. Sejak mula solat, dia lebih tabah dan rasional.
Kecik meneliti setiap angka yang tertera di dua-dua buah telefon. Tak Mungkin!
"Ayah! Ini nombor ayah!" Kecik tergamam. Seperti tanah tempat dia berpijak tiba-tiba tenggelam ke dalam perut bumi. Seperti Kecik digodam masuk ke dalam dunia Matrix dan infiniti ruang. Dia membaca semula SMS tadi. SMS itu untuk Sheila!
Biarpun menunggu betapa pun panjang, tiba masanya kau tetap akan ku sayang...
Mesej diterima (5.31pm)
Terbeliak lagi mata Kecik. Sheila hanya tersengih. "Kecik, dah lama Sheila tunggu awak.."
"Maksud Sheila?"
"Memang SMS ni dari pakcik. Ayah Kecik, Pak Husam. Tapi bukan untuk Sheila. Pak Husam mintak Sheila bacakan untuk Kecik. Tapi Sheila tak berani. Sebab tu Sheila nak Kecik baca sendiri."
"Sheila harap awak faham. Ni harapan Pak Husam dan arwah mak.."
"Tapi Sheila..."
"Tapi apa?"
"Tapi Kecik tak suka makan budu!"
Sheila pengsan serta merta.
Di teratak usang itulah Pak Husam menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bersama-sama botol-botol budunya. Bersaksikan ombak laut yang pernah menjadi laman rumah keduanya.
P/S:
(1) Cerpen ini adalah cubaan menandingi sebuah novel yang diadaptasikan kepada filem, Ombak Rindu. ;-)
(2) Penyataan (1) dan cerpen ini hanyalah fiksyen semata-mata
Nota kaki: Karya ini bukan sama sekali usaha menyokong filem Ombak Rindu. Ibarat hanya Jauhari yang kenal Manikam, begitu jugalah hanya diri kita sendiri yang faham apa maksud sarcasm ;-)
Nota mata: Saya tak tengok filem Ombak Rindu ;-)
Nota kaki: Karya ini bukan sama sekali usaha menyokong filem Ombak Rindu. Ibarat hanya Jauhari yang kenal Manikam, begitu jugalah hanya diri kita sendiri yang faham apa maksud sarcasm ;-)
Nota mata: Saya tak tengok filem Ombak Rindu ;-)
0 comments:
Post a Comment