RSS

Sunday, July 31, 2011

Ashraf, Orang Sekampungku!

Muat turun saiz asal di sini.
Assalamualaikum wbt.


Hari akhir Bulan Rejab, 1432H (31 Julai 2011): 5.11 pm, Ahad, @ Seberang Takir

1. Menghampiri senja penutup bulan Rejab ini, izinkan saya kongsikan sedikit bingkisan minda dan coretan bicara dari penulis yang kecil dan masih belajar ini.

2. Kepada yang tak pernah miss baca surat khabar hari-hari, maka mestilah tahu tentang satu cerita kontroversi seorang teruna Muslim yang telah menukar jantina dan menjadi topik bualan masyarakat tempatan baru-baru ini.

3. Untuk makluman, beliau yang dikenali sebagai Aleesha Farhana, atau nama asalnya Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz baru sahaja meninggal dunia semalam, awal pagi hari Sabtu di Hospital Besar Kuala Terengganu, katanya kerana tekanan darah rendah dan masalah jantung. Takziah buat keluarga Allahyarham.

4. Tujuan saya menulis kali ini harapnya cukup jelas dan mudah difahami insya Allah. Saya ingin menyeru agar kita tidak terus menerus membenci, menghina, mencaci dan memaki hamun Allahyarham dan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang Ramadhan ini. Perkara ini sangat memalukan dan mungkin juga satu kesilapan yang harus diperbetulkan. 

5. Izinkan saya terangkan kenapa. Sebelum itu, elok saya sebut, bahawa Allahyarham ialah orang sekampung saya di Seberang Takir. Kaitannya dengan saya ialah sebagai orang sekampung saya dapat merasai sedikit sebanyak suasana dan perasaan yang mungkin dilalui oleh pihak keluarga.

6. Bukan ingin menyebelahi orang sekampung, tetapi jujur saya cakap, perbuatan membenci dan menghina ini sewajarnya memang tiada tempat dalam Islam dan ia langsung tidak membantu memberi pengajaran. Hanya Allah yang tahu perasaan orang yang tersayang keluarga Allahyarham dalam keadaan sebegini. Sudahlah kehilangan seorang ahli keluarga, dijadikan pula buah cerita yang sensasi dan bahan tawa oleh sebahagian daripada kita.  Astaghfirullah wana'uzubillah..

7. Saya cuma ingin mengolah pendapat dalam beberapa perspektif yang berbeza. 

8. Pertama, saya ingin menyeru kita sama-sama mendoakan agar Allah merahmati roh Allahyarham Ashraf dan agar kita mengambil pengajaran daripada peristiwa ini. Kita membangkang sekeras-kerasnya perbuatan Allahyarham namun bukan kita membenci orang atau pelakunya. Layakkah kita membenci?

Allah lebih mengetahui. Moga kita mati dalam ketaatan kepada-Nya ameen..
9. Memberi kemaafan adalah satu sifat yang sungguh mulia dan menjadi satu contoh terbaik oleh Nabi Muhammad SAW tersayang dari aspek akhlak dan peribadi baginda.

10. Mari kita ambil contoh tentang peristiwa hijrah dan dakwah Rasulullah SAW ke Taif. Taif terletak sekitar Mekah dan kini dalam negara Arab Saudi.

11. Setelah cedera dan keletihan menyeru umat di situ kembali kepada Allah, Nabi SAW dan  pembantu baginda, Zaid bin Harithah pulang meninggalkan Kota Taif. Zaid cedera parah kerana melindungi Rasulullah SAW daripada batu dan kayu yang dilemparkan kepada mereka. Rasulullah SAW  juga cedera dan berdarah. Baginda SAW berdoa mengadu kepada Allah dalam perjalanan pulang.

12. Lalu datanglah Malaikat Jibril yang mendengar doa itu dan meminta kebenaran baginda untuk menimpakan bala terhadap penduduk Taif. Tetapi mulianya hati baginda SAW, ditolak permintaan itu tetapi baginda SAW mendoakan agar orang-orang yang telah menganiayai baginda itu akan mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah SWT. Subhanallah!

13. Tahukah kita sekarang bahawa penduduk Taif adalah penduduk Islam? Jika tidak kerana kemuliaan peribadi Rasulullah dan kesabaran baginda SAW, mungkin komuniti Muslim di Taif ini tidak akan wujud sama sekali!

14. Kedua, baik juga kiranya diambil contoh seorang pelacur dari suku Bani Israel yang diampuni dosanya oleh Allah. Bagaimana? Bila dia melihat seekor anjing mengelilingi perigi dan hampir mati mencari air, dia menggunakan kasutnya untuk memberi air kepada anjing itu. Kerana perbuatan itu Allah mengampuni dosanya. Ini berdasarkan hadis sahih daripada Abu Hurairah RA dalam Sahih Bukhari.

15. Abang-abang dan kakak-kakak, pun begitu ada juga yang suka berhujah. Kata mereka, kalau macam tu, baik kita semua jadi pelacur, lepas tu bagi la minum dekat anjing, nanti hilang jugak dosa tu!

16. Hujah sebegini samalah seperti orang yang apabila dikatakan kepadanya syurga di bawah tapak kaki ibu, dia akan menjawab, tapi bawah tapak kaki ibu aku hanya ada debu dan pasir je! Itukah syurga?

17. Mereka tidak memahami hikmah sebenar dari kisah dan penyataan sebegini. Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok sedemikian. Pun begitu, biarlah saya cuba memberi jawapan dan penerangan. Untuk hadis berkenaan ibu itu, kita sedia maklum, bahawa apa yang dimaksudkan ialah ketaatan kepada ibu kita.

18. Cerita tentang pelacur ini bagaimanapun cukup menarik. Izinkan saya cuba berkongsi apa yang saya nampak daripada cerita ini. Saya kongsikan ia kerana sekali lagi, saya mahu mengajak kita untuk tidak sekadar menilai orang dengan satu faktor yang boleh dilihat sahaja. Sama juga seperti Allahyarham Ashraf, walaupun beliau dilihat melanggar hukum Allah kerana perbuatannya, namun ilmu kita terbatas, kita tidak tahu dan tidak mampu memberi penilaian yang sama dengan Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani.

19. Pendapat saya ialah, Islam mengajar kita untuk tidak sekadar melihat sesuatu dengan pancaindera fizikal. Kita diajar untuk menilai dengan iman melalui penggunaan mata hati. Pun begitu, ingatlah bahawa ilmu dan kemampuan kita amatlah terbatas.

20. Saya yakin, pelacur tadi bukan sekadar diampunkan dosa oleh Allah SWT kerana perbuatannya memberi minum anjing. Tetapi PASTI ada sesuatu yang lebih istimewa padanya yang kita tak boleh nampak-KEIKHLASAN!

21. Inilah antara perkara yang tak dapat dijelaskan tetapi hanya mampu dinilai oleh Allah SWT. Jika banyak manapun kita beribadat, memang orang sekitar boleh nampak perbuatan kita, tetapi hanya Allah yang mengetahui isi hati dan keikhlasan hamba-Nya.

22. Begitu juga dengan kisah Allahyarham. Betul, menukar ciptaan Allah (jantina dan sebagainya) adalah jelas haram. Tetapi hanya Allah yang tahu, jika dia benar-benar ikhlas bertudung kerana mahu menutup aurat sebagai seorang wanita. Sekejap, tunggu saya habis dulu.

23. Saya tidak bersetuju dengan perbuatan menukar jantina kepada wanita ini. Tetapi hujah saya begini. Pertama, kepada wanita di luar sana jika orang seperti Allahyarham pun ada inisiatif mahu menutup aurat, kenapa tidak anda? Kedua, saya bukan bersetuju dengan Allahyarham memakai tudung sebab dia lelaki sebenarnya, cuma saya mahu kita berhenti daripada menghina dan mencerca Allahyarham kerana kita tidak tahu bagaimana penilaian Allah terhadapnya, itu sahaja. Tidak sesekali saya mencadangkan bahawa jika kita ikhlas, kita boleh menukar jantina! Tidak sama sekali..

24. Ambillah pengajaran, itu sahaja. Teliti maksud ayat Al-Quran berikut, dalam Surah Al-Hujurat (49:12):

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

25. Sekali lagi, yang jelas haram, kita sama-sama tolak. Menukar ciptaan Allah haram, maka kita tolak dan elak. Tetapi, penilaian terhadap pelakunya itu, biarkanlah saja kepada yang lebih mengetahui, Allah SWT. Benar kata-kata Allah apabila Dia menutup surah yang sama dengan ayat yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”

Surah Al-Hujurat (49:18)

26. Sebelum saya menutup celoteh saya kali ini, izinkan saya menyentuh sedikit tentang peristiwa pembukaan kota Mekah yang diabadikan sebahagian daripada kisah dan pengajarannya di dalam Surah An-Nasr (110:1-3)

"(1)Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (2) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, (3) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

27. Bagaimana di dalam ayat ini diceritakan kepada kita, apabila datang pertolongan Allah untuk kemenangan umat Islam, Allah tidak menceritakan tentang bala atau hukuman, sebaliknya menegaskan bahawa dengan pertolongan-Nya manusia berbondong-bondong masuk Islam!

28. Hikmahnya mudah. Kita perlu ubah persepsi. Tugas kita bukan untuk menghukum dan melabel. Tetapi, tugas kita adalah menyampaikan dan berdoa agar orang bukan Islam pun suatu hari nanti mendapat hidayah dan bersama-sama kita bersatu di bawah kalimah Lailaha illallah, tiada Tuhan selain Allah.

29. Sempena Ramadhan yang mulia ini, izinkan saya meminta ampun dan maaf kepada anda yang membaca. Saya yakin kebanyakan yang membaca sekarang adalah individu yang saya kenali. Saya sedar saya banyak kekurangan dan kelemahan serta kesalahan, maka untuk itu, maafkanlah saya seikhlasnya. Pun begitu, ia hak anda dan andalah yang tentukannya.

30. Sebagai penutup, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kita mesti sedar had penilaian kita. Ingat, keikhlasan serta perkara sepertinya tidak dapat dilihat maka serahkanlah kepada Allah.

31. Saya baru sahaja selesai membaca buku "Faith Vs Materialism; The Message of Surah Al-Kahf" nukilan Sayed Abu Hasan Ali Nadwi. Antara mesej yang disebut adalah tentang kisah popular Ashabul Kahfi dan juga kisah Nabi Musa AS bersama Nabi Khidir. Kedua-dua kisah ini sangat jelas mengkisahkan tentang perkara yang tak tercapai dek akal kerana keterbatasan manusia, tetapi penting untuk memahaminya.

32. Banyak ditekankan tentang bagaimana Islam menekankan aqidah dan kepercayaan (faith), satu perkara yang ghaib dan tidak dapat dilihat, tetapi perlu ada pada orang yang beriman, serta dihuraikan juga bagaimana musuh Islam sedang menenggelamkan kita dalam dunia yang suka saya gambarkan sebagai dunia 'hanya bila nampak baru ada.' Dunia sebegini menafikan kewujudan Allah dan sebagainya semata-mata kerana mereka ghaib. Nauzubillah semoga kita terselamat daripadanya.

33. Cukuplah di sini sahaja. Terima kasih atas masa yang diluangkan. Kongsilah jika anda rasa tulisan ini bermanfaat. Ilmu itu milik Allah semuanya, bukan saya. Kita doakan Allah memberi kasihan belas terhadap roh Allahyarham dan mengampuni dosanya, sebagaimana juga semoga dengan doa itu, Allah mengampunkan juga dosa kita dan orang lain pun akan mendoakan kita ameen.

34. Selamat berpuasa. Ramadhan, kehadiranmu dirasai, pemergianmu nanti ditangisi.

Wallahuaklam dan wassalamualaikum wbt


4 comments:

zuluuniformlima100 said...

nice thoughts aleng,, selamat berpuasa

AzwanRamli said...

Alhamdulillah.May Allah bless u.

ffh said...

true am. at the end of the day, i believe he wanted to be treated as humans like others too. by the way am, i've closed my blog. but, will always stalking you through your blog or facebook.haha

Amirul Asyraf said...

@Zul:

Thanks a lot bro, selamat berpuasa and jaga diri baek2 =)

@Azwan Ramli:

May Allah bless you too and grant you and family jannah. Bereh bohh =)

@Petite girl:

Uih? y meyh? hehe have to be more careful nih, someone's watching =p

Sure farah, and btw selamat berpuasa and take care yea? Will miss your blog and writings ;-)

Thanks for dropping by =)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq