RSS

Sunday, March 27, 2011

Isu Bunuh Diri: Tolong Saya!

Assalamualaikum wbt.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."  
Surah al-Hujurat (49: 12)

Bismillahirrahmanirrahim.

Berita Ibnu Hanaffi: Ahad, 27 Mac 2011
 
1. Baru-baru ini, kita sekali lagi dihidangkan dengan cerita sensasi tentang cubaan bunuh diri seorang gadis remaja di KB Mall, Kelantan. Khabarnya, gadis tersebut cuma cedera ringan alhamdulillah. Kali ini, Allah memberi peluang pengajaran bukan sahaja kepada yang melihat, tetapi juga kepada gadis itu insya Allah untuk insaf dan berubah.

2. Saya yakin semua orang sudah maklum akan tegahan keras oleh Islam terhadap sebarang usaha membunuh diri. Jadi, saya akan cuba sentuh secara ringkas tentang pengharaman ini. Pun begitu, saya akan lebih tumpukan kepada isu yang lebih besar dan lebih penting, iaitu bagaimana sepatutnya kita umat Islam mendepani hal-hal sebegini berdasarkan sedikit penelitian dan pendapat peribadi saya. 

Salah satu rakaman babak cemas cubaan membunuh diri:

video

3. Allah dengan jelas menyebut di dalam Surah An-Nisa' (4:29) maksudnya: ".... Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sungguh, Allah Maha Penyayang kepadamu."

4. Larangan ini dikuatkan lagi dengan banyak sumber Al-Quran dan hadis yang lain. Antaranya ialah melalui hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, katanya:  

"Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang bunuh diri dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung terus selamanya. Barang siapa yang minum racun sampai mati, maka ia akan meminumnya perlahan-lahan di neraka Jahanam selama-lamanya. Barang siapa yang menjatuhkan diri dari gunung untuk membunuh diri, maka ia akan jatuh di neraka Jahanam selama-lamanya." (Sahih Muslim No. 158)

Saya yakin bahawa tidak perlu lagi penerangan lanjut. Semuanya cukup jelas. Bunuh diri DITEGAH dalam Islam.

5. Sekarang, fokus yang lebih berat ialah bagaimana kita mengambil pengajaran daripada hal ini. Suka saya mulakan dengan meminjam satu peribahasa Melayu yang berbunyi:

Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata pun tak nampak.

Cukup pedas kata-kata pujangga Melayu. Teknik ironi yang digunakan berkesan dan jelas. Sedangkan sekecil-kecil mikroorganisma, jauh pulak tu, boleh nampak, bagaimana pula gajah yang punyalah besar, di depan mata pulak tu, tapi tak boleh nampak. Bunyinya aneh, tetapi ia berlaku.

6. Mesej yang ingin saya sampaikan sebenarnya sangat mudah. Saya agak terkilan dengan sikap kita menuding jari, mencerca dan menghina gadis yang cuba membunuh diri itu. Bukannya ingin menyokong perbuatannya cuba mengambil nyawa sendiri, bukan pula meminta masyarakat menerima perbuatan yang salah itu, tetapi saya fikir, kita telah membuat perkiraan yang salah.

7. Susah untuk mengolah kerana saya sendiri pun tidak maklum apa punca sebenar usaha bunuh diri itu. Cuma, saya tidak bersetuju dengan keluhan orang seperti, "Alah, gagal SPM pun nak bunuh diri ke? Bodoh betullah!" Dan banyak lagi keluhan yang lebih kurang serupa.

8. Tanyalah siapa pun, semuanya pasti mengaku bahawa hidup ini cukup kompleks. Saya yakin, gadis ini mempunyai banyak masalah dan emosinya tidak stabil. Kalaupun mungkin (walaupun saya ragu-ragu akan kebarangkaliannya) hanya ada BETUL-BETUL SATU sahaja sebab dia membunuh diri, kita perlu pula melihat bagaimana tahap ilmu agamanya, sekaligus kekuatan aqidahnya.

9. Ibaratnya, kalau seguni garam dicurah di atas tangan tidak mengapa, tetapi jika tangan itu luka, ditabur secubit garam pun akan meraung!

10. Apabila saya meminta kita memahami situasi gadis itu, bukannya saya menyeru kita mengiktiraf tindakannya. Memahami dan mengiktiraf adalah dua perkara yang jelas berbeza.

11. Kenapa kita perlu memahami? Berikut huraian saya. Saya khuatir, terkadang, kita terlalu angkuh dan yakin bahawa jika kita berada di tempat gadis itu dan mengalami tekanan yang sama, kita PASTI tidak akan bunuh diri. Berhati-hatilah! Pada saya, itu bisikan syaitan!

12. Saya minta kita cuba ambil contoh yang pernah berlaku kepada diri sendiri, barulah lebih terang untuk kita fahami. Contohnya, saya yakin kita pernah berjumpa dengan manusia yang ketika miskin, sangat marahkan orang yang kaya kerana kedekut, sehinggalah suatu hari dia menjadi kaya lantas menjadi lebih kedekut dan bakhil daripada yang telah sedia bakhil dan kedekut. Begitu juga orang yang marahkan ahli politik, tetapi apabila dia masuk politik, dia lebih teruk daripada orang yang dulunya dibenci olehnya.

13. Hujahnya cukup mudah. Yang salah tetap salah. Tetapi jangan kita terlalu yakin dengan diri kita sehingga kita sanggup menghina orang membuta tuli dan dalam masa yang sama hidup penuh angkuh dan bongkak (seolah-olah kita terjamin bebas daripada kesilapan). Tahukah kita iblis dahulunya antara makhluk Allah yang paling banyak ilmu dan ahli ibadah yang setia? Hanya sebab bongkak dan angkuhlah (enggan tunduk hormat kepada Nabi Adam a.s), iblis dimurkai oleh Allah, dikeluarkan daripada syurga, dan akan dihumban oleh Allah SWT ke dalam neraka Jahanam pada hari akhirat kelak. Maka masih mahukah kita angkuh dan bongkak? Nauzubillahi minzalik.

14. Pada pendapat saya, jika kita orang berilmu, begini cara kita mendepaninya. Pertama, kita sama-samalah berdoa agar kita dijauhkan daripada perkara sedemikian (niat membunuh diri). Setiap kali dan setiap hari kita solat, sama ada kita sedar atau tidak, kita meminta hidayah daripada Allah SWT melalui Surah Al-Fatihah, ayat ke-6, maksudnya: "Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus." Doa ialah permintaan kita daripada Allah. Kalau kita sudah ada, buat apa nak pinta betul tak? Dengan kata lain, disyariatkan kita memintanya  (hidayah) sebagai bukti dan pengakuan bahawa kita belum memilikinya, ini kita mesti faham! Maka itulah sebabnya kita perlu menghayati bacaan solat kita dan sentiasa meminta daripada Allah, agar kita tidak membuta tuli yakin, lantas menjadi angkuh dan bongkak seperti syaitan dan iblis.

15. Saya tidak bercakap kosong. Ini buktinya. Dalam hadis yang ke-24 daripada Himpunan Hadis 40 Imam An-Nawawi, Rasulullah SAW bersabda maksudnya (petikan): "..........Wahai hamba-Ku, kalian semua adalah sesat, kecuali siapa yang Aku beri hidayah. Maka mintalah hidayah kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan kepada kalian hidayah....." (Hadis Sahih, Riwayat Imam Muslim)

16. Selepas itu, eloklah pula jika berdoa supaya Allah mengampuni si gadis yang lemah ini, dan semoga Allah menunjukinya jalan yang betul. Jika tidak, dengan sikap berang, angkuh dan membuta tuli kita, saya amat yakin tekanan daripada orang sekeliling akan terus memaksa gadis ini ke arah yang lebih teruk, dan saya pasti dia akan cuba membunuh diri lagi. Jika itu berlaku, adakah puas hati kita? Bayangkan suatu hari kita buat kesilapan, memang kita perlu ditegur. Tetapi fitrahnya, kita perlukan orang sekeliling untuk memberi semangat dan motivasi untuk berubah dan kuatkan semangat menjadi lebih baik.

17. Anda semua sedar tak apa penghujung kepada ayat dalam Surah An-Nisa' di atas? Cuba baca sekali lagi. Dalam pada Allah menegah kita bunuh diri, Allah yakinkan kita di penghujung ayat bahawa dia Maha Penyayang. Tidak menitiskah air mata bila kita fikirkan kasih sayang yang Allah tunjukkan ini? Allah mahu kita melawan kebatilan dan kejahatan, dengan meyakini akan rahmat dan kasih sayang yang Dia ada. Jika begitu, susah benarkah kita mengasihi dan membantu insan lain  yang perlukan pertolongan untuk berubah? Fikir-fikirkanlah, dan mulai hari ini, banyakkanlah berdoa. Doa untuk menyelamatkan kita dan doa kepada orang-orang di sekitar kita.


18.  Akhir sekali, saya mahu kita semua membuka mata dan melihat isu membunuh diri ini lebih daripada sekadar apa yang berlaku di KB Mall. Terlebih dahulu, sila teliti maksud ayat berikut:

"... dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri..."
Surah Al-Baqarah (2:195)

19. Membunuh diri meletakkan kita ke arah kebinasaan. Sama ada kita sedar ataupun tidak, ada juga perkara yang membunuh kita secara perlahan dan dalam jangka masa yang panjang. Contohnya, merokok. Perbuatan ini juga membinasakan dan memudaratkan. Saya minta maaf kepada yang merokok, tetapi anda perlu fikirkan baik-baik, perbuatan ini telah terbukti mendatangkan mudarat dan penyakit, maka melakukannya mendekatkan kita ke arah membinasakan diri sendiri. Ringkasnya, dalam pada mungkin kita mengutuk orang yang cuba membunuh diri, adakah kita sedar takut-takut kita pun sedang cuba membunuh diri dengan membakar tembakau?


20. Sekali lagi, saya faham keadaan perokok walaupun mungkin tidak sepenuhnya (sukar mengelak ketagihan). Seperti huraian saya di atas, kita (termasuk saya) tidak boleh angkuh dan bongkak walaupun saya tidak merokok alhamdulillah. Malah saya berdoa agar saya dijauhkan daripadanya dan juga semoga yang merokok berusaha meninggalkannya. Sebab itu saya cuba memahami. Saya juga ada ahli keluarga yang pernah merokok dan kini alhamdulillah langsung 'kebal' daripada melakukannya lagi dan saya ambil pengajaran yang besar daripada perkara ini. Apa pengajarannya?

21. Pengajaran pertama ialah perbuatan yang tidak baik memang sukar untuk ditinggalkan tetapi itu bukan alasan untuk tidak berusaha kerana telah terbukti ada yang berjaya. Kedua, saya selaku ahli keluarga sudah melihat bagaimana kasih sayang dan sokongan ahli keluarga berjaya akhirnya membantu individu meninggalkan perbuatan seperti merokok ini. Sekaligus, saya sendiri telah melalui kisah hidup sebenar tentang pentingnya doa, sokongan dan sifat positif walaupun dalam berhadapan dengan perkara yang tidak baik.

22. Sebagai penutup, suka saya mengajak kita semua untuk melindungi diri daripada terkesan dengan persekitaran fitnah dalam dunia politik tanah air sekarang. Saya sendiri merasa malu dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila difikirkan bahawa semua ini berlaku oleh dan dalam masyarakat Islam sendiri. Masya Allah, jauhnya kita daripada Islam.

23. Saya juga sangat bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk belajar banyak perkara daripada seorang hamba Allah yang merupakan jurulatih debat Bahasa Melayu sewaktu di MCKK dulu. Sekarang pun alhamdulillah, beliau masih banyak memberi tunjuk ajar dan motivasi, doa saya semoga beliau sentiasa di dalam rahmat Allah dalam setiap perbuatannya. Kehadirannyalah yang banyak mematangkan saya tentang politik dan membuka mata tentang bagaimana sebenarnya realiti dalam percaturan politik Malaysia sekarang.

Video berikut ialah persembahan ringkas ketika dijemput dalam Majlis Makan Malam bersama delegasi persidangan  anjuran IMU. Suka saya akui bahawa banyak keyakinan yang datang untuk berucap di khalayak ramai sehinggalah kepada persembahan seperti gurindam, saya pelajari melalui jurulatih saya ini, yang banyak menekankan tentang pentingnya berusaha menjadi yang terbaik insya Allah. Semoga kalian  semua terhibur.


Sekian sahaja buat masa ini. Insya Allah akan menyusul semula tidak lama selepas ini. Moga Allah berkati kita semua sekeluarga. Wallahu a'lam wassalamualalaikum wbt.

P/S: Saya baru sahaja membuka ruangan (page) baru untuk blog ini iaitu Freebies (pautan di sudut belah kanan di atas). Melaluinya, saya bercadang untuk berkongsi hasil seni dan poster yang saya hasilkan dengan cara memberikan pautan untuk memuat turun di ruangan tersebut (Freebies). Insya Allah, akan ditambah dari masa ke masa.

Ini yang pertama. Selamat berkongsi!:

Muat turun di sini

3 comments:

Kaoshi said...

post yg menarik.
sesungguhnya kita patut mengambil iktibar terhadap perkara yg berlaku di sekeliling kehidupan.
teruskan post yg bermakna.

asharina said...

salam..huh..cemas2..tgok video nk bnuh dri tu

down_driller said...

Kaoshi: Terima kasih. Visited ur blog. Yours is unique and beautiful too ;-)

asharina: Waalaikumussalam. Take care saudari =)

Post a Comment

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq