Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
".... maka tanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Anbiya', akhir ayat 7)
1. Menjadi kelaziman dalam hidup kita seharian, kita mahu buat apa yang kita rasa ada sebab dan logiknya.
2. Maka apa jua yang tak tercapai dek logik akal, kita abaikan atau tinggalkannya. Ataupun, kita tak mempercayainya.
3. Contohnya, kita tak akan sanggup terjun ke dalam api kerana logiknya, kita akan mati hangus terbakar.
4. Pun begitu, setahu saya yang cetek ilmu ini, Islam memberi perspektif yang lebih baik dan rasional dalam berhadapan dengan isu logik akal manusia.
5. Pertamanya, ada beza yang besar antara (a) apa yang tak logik dengan (b) apa yang tak mampu difikirkan oleh logik akal kita.
6. Contohnya, adakah orang awam mampu menerangkan bagaimana pembakaran minyak petrol dalam enjin boleh menyebabkan kereta boleh bergerak?
7. Untuk orang awam yang tak mendalami ilmu itu, dia tak mampu memahaminya, namun dia harus bersetuju bahawa ia perkara yang logik. Adalah LOGIK bahawa dalam dunia ini, banyak perkara yang kita tak tahu. Mengaku bahawa kita tahu semua perkara itulah baru TIDAK LOGIK.
8. Justeru, tak bolehlah kita kata sesuatu yang kita tak ada ilmu padanya itu adalah tidak logik, kerana logik manusia amat terbatas berbanding dengan pengetahuan Yang Maha Mencipta lagi Maha Mengetahui.
9. Teliti potongan ayat Al-Quran berikut:
".....Tetapi boleh jadi kamu tak suka sesuatu, padahal ia baik untukmu, dan boleh jadi kamu suka sesuatu, padahal ia tak baik untukmu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)
10. Sejurus selepas selesainya ceramah Dr Zakir Naik di UiTM Shah Alam baru-baru ini, saya dengan 2 orang sahabat lain sempat berbincang dengan seorang penganut agama Buddha, Richard, yang bertanyakan soalan kepada Dr Zakir Naik tentang isu ahli kitab.
11. Dalam perbincangan itu, Richard mahukan penafsiran yang berbeza tentang ayat Al-Quran kerana katanya, zaman sudah berubah, dan kita perlu memahami ayat Al-Quran dalam konteks yang boleh diterima logik akal manusia.
12. Maka baginya, tidak logik untuk penganut agama Buddha sepertinya tidak dapat berkahwin dengan seorang wanita Melayu Muslim di Malaysia, hanya kerana dia bukan seorang Muslim.
13. Maka di sinilah timbul isu logik. Richard meletakkan logik sebagai neraca utama dalam memahami ayat-ayat Allah SWT. Realitinya, Richard bukan keseorangan. Bahkan ada penganut agama Islam sendiri yang mengambil daripada agama hanya apa yang difikirkannya logik. Na'uzubillah!
14. Adakah hanya yang kita rasa logik sahaja yang benar dan sahih? TIDAK!
15. Sudah saya sebut di atas tentang keterbatasan akal manusia. Dan saya juga menyebut bahawa Sang Pencipta lebih tahu apa yang baik atau buruk untuk kita, melebihi logik akal kita yang tak mampu memahami semua perkara.
16. Nak tambah satu lagi. Sebagai umat Islam, kita beriman pada Allah, kekuatan-Nya dan kemampuan-Nya. Apa yang tak logik pada akal kita, Allah mampu lakukannya dengan izin dan kehendak-Nya.
17. Cuba teliti kisah Nabi Ibrahim. Baginda AS dicampak ke dalam api pun tak terbakar. Kerana yang menjadikan api itu panas ialah Allah SWT, maka Dialah juga yang mampu menjadikannya sejuk jika Dia mahu.
18. Ringkasnya, tiada batas dan had pada Allah SWT, tetapi manusia cukup terbatas dalam segala benda. Nota penting: Tak sama yang dicipta dengan yang mencipta.
19. Sebab itulah, Islamnya kita pertama-tamanya adalah dengan iman kita pada Allah SWT dan Rasul-Nya, diikuti ketaatan pada perintah-Nya dan Rasulullah SAW.
20. Apa jua yang sukar, atau mudah, berat atau ringan pada kita, semuanya adalah untuk kebaikan kita sendiri. Sedangkan kita diciptakan lemah. Lemah dalam membuat keputusan. Maka kita perlukan petunjuk, kerana petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya adalah sesuatu yang memudahkan kita, bukan sebaliknya.
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah."
(Surah An-Nisa', ayat 28)
21. Tujuan saya menulis artikel ini adalah supaya kita mengingatkan diri kita bahawa logik akal bukanlah neraca UTAMA dan PERTAMA dalam kita membuat keputusan dalam kehidupan.
22. Sebaliknya, Al-Quran dan Sunnah yang datang dahulu dan mengatasi segala-galanya.
23. Tapi itu sahaja tak cukup. Malah untuk memahami Al-Quran dan Sunnah pun kita lemah dan serba kekurangan. Sebab itulah kita perlukan para Nabi AS dan juga pewaris mereka, para ulama' yang telah Allah SWT muliakan dan anugerahkan ilmu kepada mereka. Rujuklah mereka. Hormati mereka. Kasihi mereka. Doakan mereka.
24. Sebagai penutup, mari saya bawa saudara dan saudari meneliti situasi berikut.
25. Kita maklum bahawa makan daging khinzir diharamkan dalam Islam. Bayangkan jika 50 tahun dahulu kita wujud di muka bumi ini dan berpegang teguh kepada pengharaman ini.
26. Dan jika orang bukan Islam mahupun orang Islam sendiri tanya kenapa diharamkan daging khinzir, lantas kita mengambil SENJATA LOGIK kita untuk memberi jawapan.
27. Kita kata, ia haram kerana khinzir binatang yang kotor, duduk di tempat yang kotor, dan makan makanan dari sumber yang tak bersih. Kita tak makan daging khinzir kerana takutkan penyakit.
28. Sekarang, kembali kepada tahun 2012. Era moden. Khinzir kini diternak ditempat yang cukup bersih (bahkan boleh jadi lebih bersih daripada tempat tinggal manusia). Daging khinzir juga kini cukup bersih dan menggunakan teknologi bioteknologi yang tercanggih, tidak ada seekor kuman pun dalam daging khinzir.
29. Soalnya, adakah sekarang DAGING KHINZIR MENJADI HALAL?
30. Jawapannya YA, jika kita fikir secara logik. Dan jawapannya TIDAK jika kita faham bahawa ARAHAN ALLAH SWT melebihi segala-galanya, mengatasi kemampuan logik akal kita.
Gambar hiasan |
31. Tidaklah salah menggunakan fakulti akal dan intelek yang Allah kurniakan. Namun, ketahuilah bahawa ia ada batas dan hadnya dan janganlah sampai ia menjadi punca kita melanggar perintah Allah SWT.
32. Bukanlah kita mengajak manusia menjadi pengikut agama yang buta dan tak perlu berfikir. Tetapi, kita mengajak untuk menukarkan sedikit soalan yang nak diajukan.
33. Contohnya, daripada kita tanya, kenapa daging khinzir diharamkan, kenapa tak kita lebihkan masa bertanyakan soalan seperti siapa yang mencipta aku, siapa yang lebih tahu apa yang baik untukku dan siapa yang harus aku taati.
34. Seperti jika kita sakit, kita tak perlu termakan dengan kebodohan sendiri mencari sebab kenapa ubat A lebih baik berbanding ubat B (jika kita orang awam), sebaliknya bukankah lebih baik kita kaji siapa doktor yang terbaik untuk mendapatkan nasihat, siapa yang paling boleh dipercayai dan diyakini?
35. Tidaklah ia bermakna kita buta. Sebaliknya kitalah yang celik kerana bertanyakan soalan yang lebih wajar dan rasional. Allahuaklam. Moga Allah SWT kekalkan kita dalam hidayah dan rahmat-Nya ameen...
0 comments:
Post a Comment