Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Baca betul-betul, bukannya bila sudah kenal Allah (ma'rifatullah) maka TAK PERLU LAGI SOLAT, tapi TIADA LAGI SOLAT. Ertinya?
2. Ertinya, orang yang sudah mencapai maqam yang tinggi, maqam para auliya' maka dalam menunaikan solat pun, dia tak merasa seolah-olah dia yang menunaikan solat. Tiada lagi rasa KE'AKU'AN itu.
3. Jika tanpa daya dan kekuatan yang dikurniakan Allah jalla wa 'ala, maka seorang hamba pasti tak dapat menunaikan solat. Maka TIADA LAGI SOLAT membawa erti tak menisbahkan solat itu seolah-olah kita yang tunaikan, padahal seluruh roh dan jasad kita adalah milik Allah!
Nota: Namun, ini adalah maqam yang tinggi, bukannya maqam orang awam. Sebab itu, khuyuk dalam solat bukan menjadi syarat sah solat (kalau tak, betapa ramai yang tak sah solatnya).
4. Ada dua isu di sini. Pertamanya, salah faham dan salah pengajian boleh membawa ke arah kesesatan. Wal 'iya zubillah. Dan ya, saya secara peribadi pernah dimaklumkan tentang masih adanya orang yang mengaku tak perlu solat kerana kononnya sudah mengenal Allah. Ya Allah...
5. Ilmu haqiqat adalah ilmu yang dalam, dan bukannya layak dipelajari semua orang, apatah lagi belajar sendiri atau hanya rujuk buku!
6. Kewajipan yang sebenar adalah ilmu syariat yang merangkumi ilmu Fardhu 'Ain. Sedarlah, ini bukan ilmu budak sekolah rendah. Tetapi bahkan ramai orang dewasa yang masih belum sempurna ilmu Fardhu 'Ain nya.
7. Pesan Ustaz Wan Junaidi hafizhohullahu ta'ala, kalau ilmu syariat belum cukup 'alim dan sempurna, diharamkan untuk terjun ke dalam ilmu haqiqat, namun realitinya, banyak yang berlaku begini.
8. Apa contoh ilmu haqiqat? Diceritakan beliau tentang seorang bapa yang anaknya sakit. Diminta untuk ke hospital, tapi si ayah menjawab, kalau penyakit datang daripada Allah jalla wa 'ala, maka Allah jualah yang akan menyembuhkan.
9. Akhirnya, meninggal dunialah si anak. Menyesallah si ayah. Sejak itu, si ayah berubah. Kalau sakit sikit pun, terus nak ke hospital!
10. Ya, haqiqatnya, Allah sahajalah yang menyembuhkan. Namun Nabi SAW utusan Allah, mengajar kita berikhtiar. Inilah masalah orang yang belajar ilmu tinggi, tanpa terlebih dahulu sempurnakan ilmu yang asas.
11. Ustaz Wan Junaidi juga berpesan, tentang banyaknya terdapat kitab dan terjemahan Al-Hikam Ibn 'Athoillah sekarang.
12. Bukan kitab itu yang bermasalah, tapi kita yang bermasalah. Betapa ramai yang membacanya dengan sendiri tanpa pengajian, dan betapa ramai yang mengabaikan ilmu syariat (yang merupakan satu kewajipan) kerananya.
Sumber foto |
13. Pada pemerhatian saya, kita amat mudah terpegun dengan orang yang terdedah kepada ilmu haqiqat, kerana kehalusan dan kedalaman ilmu ini (padahal dia belum layak mendalami ilmu ini)- walaupun saya tak nafikan ada yang layak dan saya tak berniat nak pukul rata (generalize) semuanya.
14. Dalam masa yang sama, tak kita sedari bahawa orang yang bercakap ini, belum sempurna ilmu syariatnya, apatah lagi dalam melaksanakannya (contohnya, solat).
15. Benar sungguh perjuangan tokoh ulamak kita, Syed Muhammad Naquib Al-Attas hafizhohullahu ta'ala, bahawa masalah umat Islam adalah masalah adab, yakni tidak meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya.
16. Isu yang kedua pula, adalah golongan yang menolak ilmu tasawwuf, padahal ia adalah sebahagian daripada Islam.
17. Tidak susah untuk kaitkan bahawa penolakan ilmu tasawwuf ini boleh jadi berpunca daripada orang yang menerima ilmu tasawwuf, tapi tak beradab dan mengabaikan syariat sehingga menimbulkan fitnah yang besar.
18. Ilmu tasawwuf selalu dikaitkan dengan orang sufi, dan orang sufi selalu dikaitkan dengan menari (antara lainnya), justeru sufi dan tasawwuf adalah sesat!
Nota: Sepanjang saya mengikuti pengajian dengan para habaib dan anak murid Al-Attas pun, seingat saya kami tak pernah menari (bukan nak kata menari itu haram (nak bincang panjang bukan di sini), tapi nak jelaskan bahawa janganlah fikir semua orang yang belajar tasawwuf tu menari aje kerjanya).
19. Padahal, ilmu tasawwuf itu berbicara soal Ihsan, yang merupakan bahagian agama selepas Iman dan Islam. Mudahnya, ia adalah ilmu menyucikan jiwa daripada sifat yang keji (mazmumah), kemudian menghiasi diri dengan sifat yang terpuji (mahmudah).
20. Ringkasnya, saya menasihati diri saya terutamanya, yang banyak menzalimi diri sendiri dan jahil dalam agama untuk bermuhasabah.
21. Ustaz Wan Junaidi berpesan agar kita orang awam, janganlah disibukkan dengan perkara lain melainkan ilmu syariat (Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf) terlebih dahulu, dan menyempurnakannya dengan sebaiknya.
22. Saya fikir ini juga satu kesedaran yang penting agar orang awam (seperti saya) tak berlagak mengambil tempat para 'alim ulamak, seperti yang banyak berlaku dalam dunia media massa hari ini.
23. Saya mohon pembetulan jika ada kesilapan, dan mohon maaf jika ada mengguris hati sesiapa. Kepada yang ingin belajar ilmu tasawwuf, eloklah kiranya khatam dan hadam dulu Kitab Penawar bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib rahimahullahu ta'ala.
24. Dengan kata lain, semoga Allah SWT membantu kita beradab dalam beragama dan menyibukkan diri kita dengan apa yang wajib untuk kita dulu, kemudian baru yang sunat dan seterusnya.
25. Nabi SAW sehingga akhir hayat baginda, tak pernah meninggalkan solat. Adakah kita lebih suci dan lebih mengenal Allah berbanding Nabi SAW sehingga kita boleh mengabaikan dan meninggalkan solat?
Allahua'lam. Allahummagh firlana warhamna watub 'alayna, innaka antat tawwaaburrohim.
Allahumma solli wa sallim wabaarik 'alayhi wa 'alaa aalih.
0 comments:
Post a Comment