Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
1. Semalam sempat menemani atuk sepupu di Hospital Kuala Terengganu sehingga tengahari hari ni.
2. Sepanjang pagi seronok melihat muka-muka doktor muda (agaknya lah, nak tanya segan tapi ada nametag bertulis Dr fulan bin fulan).
3. Mereka berkumpul-kumpul di sebelah katil pesakit dan menerangkan sesuatu kepada doktor senior agaknya; saya andaikan ini satu latihan yang dipanggil rotation? (mohon pencerahan)
4. Melihat doktor-doktor lelaki muda yang dah la hensem, doktor pulak tu. Saya ni hensem pun idak, doktor pun lagilah idak. Kenangan lalu kadang-kadang menggamit memori (macam radio Klasik Nasional je) namun cuba dibuang jauh-jauh agar boleh fokus kepada bidang pentaulihan perakaunan yang diusahakan sekarang.
5. Terlepas la peluang macam ni. Wahai doktor-doktor wanita, janganlah hanya berkahwin dengan doktor-doktor lelaki sahaja (habis tu, nak kawen dengan doktor wanita ke? Erk..)
6. Tak. Maksud saya, berilah juga peluang kepada pemuda-pemuda yang bukan doktor juga haha. (kena bayar saya komisyen, kalau-kalau saham doktor wanita bujang naik lepas ni).
7. Saya bergurau.
8. Ingatkan, lepas satu-satunya abang dan satu-satunya kakak saya dah selamat diijab kabul, makin semangat saya nak tunggu turn saya, tapi macam terbalik je.
(Moga Allah SWT kurniakan zuriat yang soleh solehah buat Along, Kak Nazha dan Kakda, Abg Faris dan semoga disatukan semuanya di syurga pada hari akhirat kelak amiin)
9. Bukan senang rupanya nak menikah. Kenduri saja dah pening kepala.
10. Baguslah saya masih belajar. Perlu terus belajar. Biarlah masa yang menentukan. Saya akan cuba melamar mana yang berkenan haha. Jodoh tetap di tangan Tuhan ;-)
11. Sebenarnya, pengalaman tak sampai sehari sebagai Dr Amirul Asyraf (chewah, lebih-lebih nampak!) di hospital sedikit sebanyak memang menginsafkan.
12. Hospital adalah satu tempat yang amat baik buat mereka yang sangat suka berhias-hias dan lalai dibuai kemewahan.
13. Kerana ia mengingatkan yang sakit, serta yang menjaga orang sakit, bahawa dunia ini persinggahan, jangan jadikan ia destinasi, kerana menemui Tuhan itulah destinasi kita, bersama redha-Nya.
14. Kejap, yang tak tahu, saya bukan doktor ya. Pernah la belajar perubatan dan tak habis pun. Kat atas tu mengada-ngada je.
15. Antara lain yang menginsafkan, adalah betapa beratnya kerja seorang doktor dan jururawat.
16. Nurse tadi cakap, dalam wad ada 40 orang dan nurse ada 4 orang je.
17. Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada sahabat-sahabat saya di luar sana terutamanya yang bakal atau sedang menjadi doktor dan jururawat. Kerja kalian cukup mulia, namun tanpa keikhlasan, berhati-hatilah daripada terjatuh ke dalam lembah kehinaan!
18. Rupa-rupanya ramai ahli keluarga kita yang memerlukan kita.
19. Hal ini menguatkan lagi tazkirah kepada saya yang busuk hati ini untuk ikhlas mencari ilmu dan mengutamakan ahli keluarga dalam banyak hal terutamanya manfaat agama dan kerohanian.
20. Ramai orang mengejar ilmu untuk populariti. Padahal, dikenali ramai orang bukanlah jaminan keluarga mendapat manfaat yang sama.
21. Cukup ramai dalam sanak-saudara dan ahli keluarga sendiri yang memerlukan bimbingan, serta cukup ramai yang perlu disatukan silaturrahim yang dah memburuk atau terputus.
22. Wallahi, saya percaya dunia ini bukan satu drama. Masalah perhubungan sesama manusia wujud di mana-mana. Kenapa saya perlu beri tumpuan kepada ibunya dan dia memberi tumpuan kepada ibu saya?
23. Maksud saya, kita utamakan orang yang tak kenal atau ada pertalian dengan kita pun, kerana mengejar populariti dan mahu dikenali. Untuk apa semua ini?
24. Perubahan bermula dengan diri kita. Dengan organ yang paling penting, yakni hati nurani kita.
25. Seketul daging itu, yang jika baik, maka baiklah seluruh anggota badan.
26. Seakan memberi isyarat, jika kita baik, kita baikkanlah keluarga kita (walaupun seringkali diakui bahawa berdakwah kepada ahli terdekatlah yang paling mencabar). Kemudian, keluarga yang baik akan menghasilkan masharakat yang baik, dan negara yang baik dan dan dan... cliche! saya tahu, tapi bukan senang untuk orang melihat kesalahan diri sendiri. Semuanya salah orang.
27. Moga Allah SWT kurniakan kita ilmu bermanfaat serta cinta sebenar kepada Allah SWT dan para nabi, serta orang-orang soleh yang dicintai mereka. Dan semoga kita semua dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya untuk menjadi seorang hamba yang ikhlas dan bersih hati.
Amiin. Allahumma amiin.
Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.