1. Islam menggariskan empat kriteria untuk diambil kira dalam memilih pasangan sebagai isteri. Daripada keempat-empatnya iaitu paras rupa, agama, keturunan dan harta, agamalah perkara pertama dan utama.
2. Mana-manapun lelaki sepertiku jarang-jarang menilai kaum Hawa dari aspek selain kecantikan, tutur bicara dan tingkah laku. Namun tidaklah padaku hal yang demikian menjadi masalah kerana hakikatnya, penghayatan agama seseorang terlalu abstrak untuk diujikaji. Menariknya, penghayatan agama sebenarnya apabila diterjemahkan dalam bentuk yang boleh dilihat masih lagi merujuk kepada perkara yang sama- kecantikan, tutur bicara dan tingkah laku (tidak lupa juga penampilan seperti cara berpakaian).
3. Aku tidak selalu jatuh hati pada insan bergelar wanita, mungkin dulu ya, tapi setelah pengalaman bercinta (ini betul-betul, bukan cobaan) dalam tempoh 2006-2009 berakhir dengan perpisahan, banyak pengajaran yang telah membuka mataku. Mujurlah hubungan kami terbatas dek Laut China Selatan yang tak sanggup aku renangi, kerana sekurang-kurangnya, aku berpeluang merasai dan melayan naluri biasa seorang remaja yang mahu disayangi, tapi dalam masa yang sama bunga cinta kami mekar tanpa pernah kami berjumpa melainkan sekali, apabila cinta mula berputik pada tahun 2006, seawal sesi perkenalan pertama.
4. Padaku, Allah cukup berhikmah dalam memberi pengajaran. Aku dijauhkan daripada berlebih-lebihan dalam pergaulan dengannya, tetapi masih ada sedikit ruang di mana hatiku disuntik dengan indahnya cinta manusia, sehinggalah Allah menariknya kembali, supaya aku faham bahawa sebenarnya itulah yang terbaik. Mungkin dia bukan milikku, tetapi hubungan persahabatan kami tidak pernah putus, malah bertambah baik, alhamdulillah. Sungguh, cinta itu lebih indah setelah ini semua berlaku, kerana cinta kini ditakrifkan dengan akal yang lebih matang dan berusia.
5. Mungkin hanya sejak kebelakangan ini, hatiku disentuh lagi. Dia ini bukanlah seorang yang calang-calang padaku. Cukup lain daripada yang lain. Kehadirannya mengajar aku perbezaan antara wanita yang kelihatan menggoda dan wanita yang bila dipandang, sejuk mata memandang.
6. Ada hadnya, betul sekali. Tetapi dia cukup istimewa. Orang kata kalau sudah terpalit rasa berkenan, di mana-mana pun terfikir tentangnya. Indahnya akhlak dia sehingga bila diingati rasa bersalah timbul di hati. Sekaligus menjadi motivasi untuk terus berdoa dan berharap dia dapat menjadi pendamping hidup pada suatu hari, atau sekurang-kurangnya seseorang sepertinya. Juga motivasi untuk memperbaik diri, sebelum kelak tiba masa melangkah ke fasa hidup seterusnya, gerbang perkahwinan (alamak, lama lagi sebenarnya, jangan gatal Ibnu Hanaffi!)
7. “Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan perempuan yang keji (pula),sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” (24:26)
8. Sebenarnya, artikel yang aku rancang lebih kepada pendapatku tentang pendekatan dakwah yang ku pegang. Tapi mungkin kerana tajuk seperti di atas lebih menarik dan sebenarnya ada kaitan dengan artikel ni, maka kumulakan begitu.
9. Begini kisahnya. Sekali lagi, insan istimewa ini menjadi rujukan. Aku harap ia adalah satu persamaan denganku. Inilah yang buat ku kagum padanya. Padaku, dalam dia menjaga identitinya sebagai muslimah solehah, dia tidak kulihat kekok menjalankan tanggungjawab ukhuwah sesama manusia. Aku amat berharap orang di sekelilingnya tersentuh dengan akhlaknya hanya kerana bergaul dengannya. Bukan senang ingin menjadi ikan yang tidak masin sepertinya, walaupun dia di dalam lautan natrium klorida. Sebetulnya begitu, kerana hormatku lebih besar kepada ikan-ikan yang tawar di lautan masin, sedikit sahaja mungkin hormat kepada ikan tawar di sungai yang tawar.
10. Inilah padaku, pendekatan dakwah yang sebenar- iaitu yakin dan kuat dalam membawa identiti Islam kepada yang bukan Islam, atau yang Islam tapi hanya separuh masak- inilah usaha yang bukan mudah, tapi besar impaknya.
11. Aku tersentuh dengan artikel oleh Muhammad Jihad dalam Bahagian Kata Dua, Majalah Solusi Isu 24 (2010) yang sekurang-kurangnya tidak membuat aku rasa keseorangan. Benarlah katanya bahawa dalam dakwah, jangan kutuk tapi pujuk. Pendekatan hitam putih atau regimented (itu boleh ini tak boleh) bukan lagi caranya. Malah tidak pernah menjadi caranya. Rasulullah S.A.W sendiri dalam menyampaikan Islam (walaupun orang pertama) gah berani berdakwah dan banyak benar insan yang terkesan dek akhlak baginda yang masya Allah sangat tinggi dan berhikmah.
12. Inilah yang kulihat masih kurang pada orang banyak yang mungkin juga termasuklah aku. Realitinya siapa pun kita sekarang tidak pernah menjamin siapa kita besok dan seterusnya, tidak pernah pula pasti siapa kita semasa kita mati nanti. Sebab itu amat bahaya untuk orang yang terlalu yakin akan terus kekal imannya sehinggakan orang lain dicelanya- atau mungkin jika tidak dicela, tidak diendahkan kerana dianggap masuk kategori ‘tiada harapan.’
13. Pertama, siapa kita untuk menghukum? Kedua, harapanku begini. Jikalah aku mampu mengubah walaupun seorang menjadi lebih baik daripada sebelumnya, itu adalah supaya suatu hari kelak, jika aku berubah ke arah jalan yang salah, mungkin dia yang berubah kerana pertolonganku ini yang akan menarikku kembali ke jalan yang diredhai. Nauzubillah, tapi inilah padaku antara contoh terbaik untuk menggambarkan bagaimana hidup ini ibarat roda.
14. Ketiga, lihat dan kajilah latar belakang. Ini ialah sebahagian daripada konsep adil dalam Islam. Adil ialah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Maka jika tidak adil, lawannya ialah zalim. Kita maklum bahawa Allah melarang keras kita menzalimi diri sendiri. Dan ingatlah tidak semestinya melakukan perkara yang buruk itu sahaja dikira zalim, tetapi tidak melakukan perkara yang baik juga adalah zalim, cuma sebutan zalim dalam situasi ini mungkin perlu diringankan sedikit kerana ia merujuk kepada mendatangkan keburukan kepada diri sendiri (bukan zalim dalam erti kata kejam).
15. Keadaan inilah yang aku gambarkan sebagai dinamik kejadian manusia. Sebab itu padaku jika ingin membenci, jangan benci tuan empunya badan, tapi bencilah sifat atau akhlak yang buruk, dengan satu keyakinan bahawa akhlak dan sifat itu boleh diubah atau dibuang. Juga dengan keyakinan bahawa sifat dan akhlak buruk itu boleh juga berjangkit pada kita pula. Yakinlah yang manusia berubah, supaya datang kemahuan dakwah penuh berhikmah. Ibaratnya, jika benci pada perisian Windows Vista OS, janganlah benci pada laptop Acer (artikel ini ditaip menggunakan Acer =p), sebab mungkin suatu hari, Windows Vista OS itu akan diganti dengan Windows 7 OS pula. hehe Faham ke? =p
16. Latar belakang individulah yang ku rasa perkara paling sukar untuk dikaji dan difahami terutamanya dalam usaha menyampaikan dakwah. Cukup sukar masya Allah. Dan sebab sukarlah ramai yang tak buat. Walaupun sebetulnya, persoalan sebenar bukanlah susah atau senang, tetapi adakah perlu atau tidak. Perlu, perlu sangat-sangat. Walaupun takkan habis. Tapi bagaimana caranya. Padaku, sekali lagi, pendekatan yang terbaik ialah mendekati masyarakat. Bukannya membenarkan apa yang mereka lakukan, tetapi fahami dan cari punca kenapa mereka lakukannya. Mereka bukannya orang yang keliru dalam memilih cara hidup sebenar (belum pilih), tetapi mereka orang yang telah memilih jalan, tetapi jalannya salah. Ibarat peti sejuk yang penuh. Jika mahu gantikan isinya, tidak boleh terus disumbat, harus dibuang dulu yang sedia ada. Keadaannya sungguh lain dengan peti sejuk yang masih kosong tanpa isi.
17. Begitulah situasinya. Sebab itu, kurasakan eloklah jika didampingi orang yang tidak Islamik cara hidupnya, supaya kita menjadi contoh yang baik, dan dalam masa yang sama, dakwah yang halus berjalan walaupun mungkin secara tidak langsung, bukan juga secara paksaan. Aku khuatir, entah-entah ada dalam kalangan kita hidup dalam cara hidup Islam pun hanya kerana itu satu kebiasaan, dan bukannya pilihan. Maka berhati-hatilah kita semua untuk memperbetulkan balik keadaan. Bukan, bukan satu kebetulan bahawa berbanding segelintir (atau mungkin ramai) saudara lama, saudara baru (muallaf) biasanya lebih bersemangat mempelajari Islam, kerana mereka tidak mengikut sahaja, mereka membuat pilihan. Islam itu pilihan mereka. Maka, berjalanlah di bumi Allah untuk memahami ciptaannya, kerana melalui ciptaan, kita memahami Penciptanya. Jangan mudah melabel, tetapi berdoalah kepada Allah semoga jikapun bukan kita, mereka-mereka yang ‘jauh’ ini kembali dekat melalui inspirasi yang terpancar oleh kumpulan da’ie yang jelas identiti Islamnya, tetapi prihatin terhadap mereka yang bukan dari golongan mereka.
18. Amat kuharapkan agar aku tidak disalahfahami. Berdamping dengan ulamak dan bijak pandai adalah amalan yang sangat baik, benar sekali, tetapi janganlah sampai menjadi alasan untuk kita membiarkan insan lain terkapai-kapai, seolah-olah syurga itu terlalu sempit dan hanya muat untuk kita seorang sahaja, padahal nikmat Allah banyaknya tidak akan terbayang dek pancaindera kita, apatah lagi Allah itu Maha Kaya dan tidak terbatas rahmat dan balasan baiknya.
19. “Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yakni (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (32:17)
20. Tidak juga aku kata perlu menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal hanya untuk tujuan mendekati masyarakat, tetapi aku lebih menekankan kepada bagaimana kita mendepani perkara-perkara sebegini, lebih-lebih lagi bila ia sudah berlaku (It is not only a matter of what you say about it, it is instead also a matter of how you deal with it). Setiap yang berlaku, jika salah, ambil pengajaran, jika betul buat pedoman. Seterusnya, terus maju ke hadapan dan dekati orang ramai dengan mulakan melalui pergaulan yang baik, untuk membuka pintu perkenalan, supaya kita memulakan langkah untuk memahami, sebelum kita difahami. Ingatlah, biarlah mungkin hasilnya bukan sekarang, padahal bagi orang yang beriman, dia akan yakin bahawa dakwah itu satu proses! Proses yang paaaaaanjannnnnnnnng. <--- lebih panjang daripada ini semestinya =p.
21. Maaflah jika terlalu panjang artikel ini. Sebab itu saya ambil pendekatan untuk nomborkan setiap perenggan, supaya jika hanya baca sebahagian, boleh tahu di mana nak sambung bila saudara atau saudari singgah lagi di sini.
22. Akhir sekali insya Allah, adalah berkaitan dengan situasi sebenar dunia sekarang dari kaca mataku sendiri. Aku yakin hampir semua orang pernah menonton, atau sekurang-kurangnya mendengar tentang The Arrivals. Cukup panjang jika mahu dijelaskan komenku tentangnya. Namun satu perkara yang padaku mesti diceritakan di sini ialah kepentingan untuk kita sedar strategi musuh untuk melawan pihak musuh. Taktik halus yang digunakan golongan yang bertentangan dengan umat Islam memang cukup bijak. Tapi aku percaya, ia tidak mudah. Mereka sudah lama mengkaji Islam dan umatnya. Inilah yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian kita. Sebut sahaja musuh Islam, kita terus lari dan jauhkan diri daripada mereka. Padahal yang jahat letaknya pada niat dan perbuatan mereka. Habis tu apa yang tak jahatnya?
23. Senang sahaja. Nilai dan sikap. Inilah persepsi yang perlu diperbetulkan. Sejahat manapun orang kafir ini, mereka dianugerahkan akal oleh Allah dan jika kita percaya bahawa akal mereka itupun adalah kurniaan Allah, kenapa tidak kita mengkajinya? Dekatkan diri kita dengan mereka, sebagaimana mereka mendekati kita. Dekati di sini bermakna kita kaji. Malah, banyak nilai-nilai positif ini dicedok daripada Islam dan Al-Quran, maka kenapa kita tidak mengkajinya?
24. Itulah padaku antara cara yang terbaik untuk menentang musuh Islam- memahami mereka, kerana mereka pun sudah faham dan cukup masak tentang kita. Contohnya, cukup bijak mereka apabila tahu bahawa Islam itu kuat bila umatnya meletakkan sandaran kekuatan pada yang kekal, iaitulah Allah. Maka apa yang mereka lakukan? Tukar sandaran itu.
25. Daripada bergantung kepada Allah, kita kini bergantung kepada hiburan. Kita bergantung kepada wang. Kita bergantung kepada makanan. Apa bezanya makanan, hiburan dan wang berbanding Allah? Pertama, mereka tidak kekal. Kedua, siapa yang memonopoli industri hiburan, industri makanan dan juga mencipta wang? Mereka. Apa signifikannya? Signifikannya ialah apabila kita tidak lagi boleh hidup tanpa hiburan, makanan dan wang kerana terlampau bergantung kepadanya, musuh Islam ini boleh menarik semuanya dalam sekelip mata dan hanya akan memberikannya semula selepas kita ikut kehendak mereka. Logikkah? Jangan gundah. Percayalah pada Allah. Kerana mereka pun (musuh Islam) sebenarnya bergantung kepada ciptaan mereka, tetapi dengan syarat kita sedar dan tidak bersama-sama mereka.
26. "Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah..." (4:103) kerana itulah yang pasti kekal. ;-)
27. Ayuhlah kita semua berfikir sejenak dan merangka strategi yang lebih baik dan jangan sesekali ambil jalan mudah. Ingatlah, jalan ini pasti getir, tapi kita tak boleh mengalah. Kita tak boleh biarkan umat Islam terus menjadi buih di lautan. Sebaliknya kita mahu menjadi tsunami yang kuat dan padu. Orang kafir hebat dan petah menyampaikan hujah dan propaganda, janganlah kita cari alasan untuk tidak banyak bercakap kerana ingin kurangkan dosa daripada perkataan kononnya, padahal sebaiknya padaku, ialah menambah ilmu dan menyampaikan, supaya setiap perkataan, biarlah sikit atau banyak, yang lebih penting ialah isi dan manfaat daripadanya. Letaklah sesuatu di tempat yang sepatutnya. Begitu cara kita melawan mereka, jangan pasif!
28. Kata Saidina Ali, “Kebenaran yang tidak tersusun (terancang) akan kalah oleh kebatilan yang tersusun.” Renung-renungkanlah. Kejayaan tidak datang dengan mudah.
29. Wahai muslimah solehah yang memberikanku inspirasi, ku bertasbih kepada Allah (alamak, pengaruh KCB? =p) atas kewujudanmu di muka bumi ini. Ku hanya mampu berharap, tetapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untukku dan juga untukmu. Semoga engkau kekal begitu, malah insya Allah bertambah baik lagi.
30. “Cinta itu,” kata Prof. Dr. Abdul Halim Abu Syuqqah dalam Tahrirul Ma’rah fi ‘Ashrir Risalah, “Adalah perasaan yang baik dengan kebaikan tujuan, jika tujuannya adalah menikah.”
Wallahuaklam. Ibnu Hanaffi mengundur diri. (^_^)V