RSS

Friday, June 13, 2014

Kamu Serang, Kami Terang


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


"Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketaqwaan dan mempunyai akhlak yang baik."
-Nabi Muhammad SAW, hadis sahih riwayat Imam Al-Tirmidzi

1. Beberapa tahun yang lalu ketika saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah, saya tak berapa pasti jika saya renung balik sekarang, apa niat saya dulu-dulu.

2. Saya sedar bahawa tak adil untuk saya samakan pengalaman saya dengan orang lain namun jujurnya, menceburi bidang dakwah sedangkan bidang akademik (pelajaran) dan bidang kerjaya kita bukanlah bidang agama adalah suatu hal yang perlu diperhatikan betul-betul.

3. Allah SWT menempelak orang-orang yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan sebagaimana terdapat di dalam Al-Quran, Surah Al-Furqan, ayat 43-44.

4. Atas alasan berdakwah, berapa ramai antara kita berhujah dan berbicara tanpa ilmu, sebaliknya sama ada dalam sedar ataupun tidak, kita sebenarnya tunduk kepada hawa nafsu kita.

5. Agama kita Islam terdapat padanya kaedah. Dan itu yang akan saya sentuh sekejap lagi. Adakah boleh kita buat sesuatu yang Nabi SAW tak pernah buat? Soalan sebeginilah yang memerlukan KAEDAH dalam kita mencari jawapan.

6. Malangnya, kalau kita ikut nafsu, maka dengan mudah kita akan kata, "Oh kalau Nabi tak buat, kita tak payahlah buat!"

7. Sebelum saya sambung, suka saya sebut, seawal penglibatan saya dalam dakwah, ada beberapa insan yang menjadi ikon dan sumber rujukan dalam agama sehinggalah malam berganti siang dan siang berganti malam, akhirnya 'citarasa' saya berubah.

8. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT atas nasihat dan bimbingan beberapa orang sahabat sehingga saya cuba belajar mengenali pula aliran yang lebih tradisional seperti institusi pondok, dan tak lama selepas tu, para habaib. Tidak lupa juga, tokoh tempatan bertaraf dunia, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan pelajar-pelajar beliau hafizhohumullahu ta'ala.

9. Awalnya, saya merasakan bahawa yang terbaik adalah untuk bersikap neutral (kononnya) yakni ambillah sumber rujukan daripada siapapun, pandai-pandailah tapis sendiri.

10. Inilah hawa nafsu. Kerananya, pertimbangan aqal menjadi cacat lagi tempang! Bagaimana boleh saya tapis jika saya tiada penapisnya? Ya ilmu adalah penapisnya, bukan hawa nafsu. 

11. Akhirnya, secara ringkas suka saya sebut di sini 2 sebab utama kenapa saya mula merasakan (dan yakin) bahawa jalan yang sebenar adalah jalan yang diambil oleh para habaib dan asatizah yang menggabungkan Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf sebagai asas memahami dan mengamalkan agama (lantas saya mengikut dan 'berpindah' kepada mereka).

12. Sebab yang pertama ialah, majlis ilmu mereka membasahkan hati, ilmu mereka dalam lagi mendasar dan akhlak mereka akhlak terpuji.

13. Sebab yang kedua, ikon yang dulu saya hormati, mula saya perhatikan terzahir akhlak-akhlak yang buruk seperti suka menghukum dan membid'ahkan orang lain dan lebih menyedihkan saya adalah apabila sanggup memburuk-burukkan institusi pondok, berkata buruk tentang kitab-kitab silam dan ulamak-ulamak kita yang dulu-dulu (yang menjadi pegangan ramai umat Islam buat sekian lama).

14. Baik, dah la tu. Jom kita sambung bab kaedah tadi. Dua pengumuman ringkas sebelum bermula.

15. Pertama, ini bukan soal malam Nisfu Sya'ban sahaja. Ia ada kaitan dengan banyak yang lain seperti isu bacaan Yasin pada malam Jumaat, tahlil dan lain-lain lagi yang sering 'ditembak' sebagai satu bid'ah dan akan masuk neraka siapa yang membuatnya? Allah..

16. Kedua, rugilah anda habiskan masa membaca tulisan saya tanpa merujuk kepada yang lebih 'arif. Tulisan saya di sini dan pada banyak tempat yang lain, fokusnya bukanlah untuk membentangkan nas dan dalil daripada Al-Quran dan Sunnah.

17. Bukan kerana ia tak penting, tapi sebab saya tak layak, dan ahli agama kita yang layak sudah banyak membincangkannya dengan lebih baik dan terperinci.

NABI TAK BUAT KENAPA HANGPA NAK BUAT?

18. Awal-awal lagi saya sebut tentang kaedah. Dalam agama kita, tak ada kaedah yang menyatakan kalau Nabi SAW tak buat, maka kita tak boleh buat.

19. Dari segi bahasa, apa yang Nabi tak buat itulah yang dinamakan bid'ah, yang bererti perkara baru. Ia dipanggil perkara baru kerana Nabi tak pernah buat.

20. Tapi kita kena ingat, perbuatan kita dinilai bukan dengan mengkategorikan ia sebagai bid'ah atau tak bid'ah (yakni Nabi pernah buat atau tak pernah buat) tapi dinilai dengan 5 hukum iaitu adakah ia wajib, haram, sunat, makruh atau harus sahaja?


21. Dengan kata lain, jika orang kata sesuatu itu bid'ah, kita sepatutnya tanya balik, adakah ia bid'ah yang wajib? Haram? Sunat? Setakat sebut bid'ah, tak memberi sebarang erti yang berguna.

22. Yang jelasnya, kita diwajibkan melakukan apa yang Nabi SAW perintahkan sebagai wajib, dan mengelakkan perkara yang telah Nabi larang. Baca baik-baik, yang Nabi perintahkan dan larang, bukannya yang Nabi SAW tak pernah buat. Ini kaedahnya.

23. Imam Shafi'e rahimahullahu ta'ala, membahagikan bid'ah kepada dua yakni yang terpuji (bid'ah hasanah) dan yang dikeji (bid'ah dholalah).

24. Justeru, jika kita merujuk kepada hadis yang menyatakan setiap yang bid'ah itu tempatnya di neraka, ia merujuk kepada bid'ah dholalah, BUKAN semua bid'ah!

25. Bahkan, bid'ah hasanah (yakni yang baik menurut syarak) akan dibalas ganjaran pahala pula insya Allah.

26. Dengan kata lain, persoalan amalan yang dianjurkan pada malam Nisfu Sya'ban dan amalan-amalan lain seperti disebut di atas, adalah termasuk bid'ah (yang tak dibuat oleh Nabi) yang hasanah, yakni yang baik dan diberi ganjaran pahala siapa yang melakukannya.

27. Sahabat-sahabat Nabi radhi-Allahu 'anhu, sama ada ketika Nabi masih hidup mahupun selepas kewafatan Nabi, terdapat banyak contoh mereka membuat sesuatu yang Nabi SAW tak pernah buat, tapi Nabi tak larang, malah memujinya!

28. Para ulamak memahami juga daripada hal ini bahawa tiada larangan daripada Nabi menjadi hujah adanya bid'ah hasanah (yakni amalan yang tak dibuat oleh Nabi, tapi boleh diamalkan selagi ia tak menyalahi syarak).

29. Antara contoh yang mudah adalah seperti solat terawih berjemaah yang bermula selepas zaman Nabi dan selepas zaman Saidina Abu Bakr As-Siddiq radhi-Allahu 'anhu, yakni ketika zaman Saidina Umar Al-Khattab radhi-Allahu 'anhu.

30. Lalu ditanya: Tapi agama kita sudah sempurna. Kenapa nak ditambah-tambah (contoh: bid'ah hasanah)?

31. Soalan ini diajukan oleh orang yang mungkin tak memahami kaedah. Berdasarkan kaedah yang dah disebut, KESEMPURNAAN Islam itu juga merangkumi ruang yang disediakan kepada umat Islam untuk beramal dengan bid'ah hasanah, maka ia bukanlah perkara tambahan yang menidakkan kesempurnaan Islam!

32. Sesiapa yang menentang hal inilah yang sebenarnya seakan-akan meragui kesempurnaan Islam, kerana telah cuba menyempitkan dan mengurangi apa yang telah sedia ada dan diterima dalam agama (yakni bid'ah hasanah).

33. Seperti yang saya sebut, kedhaifan saya hanya membolehkan saya menghurai sebagaimana di atas berdasarkan pengajian dan pemahaman saya bersama para asatizah dan bermuamalah dengan mereka.

34. Sebelum berakhir, izinkan saya berkongsi satu penjelasan terbaik tentang persoalan bid'ah oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll hafizhohullahu ta'ala di pautan berikut Fahami Makna Bid'ah Sebaiknya. Baca, kaji dan hadamlah, kemudian kongsilah dengan seramai yang mungkin.

35. Sebagai penutup, izinkan saya memohon maaf jika terdapat kesilapan di mana-mana dan mohon teguran, nasihat serta pembetulan kalian yang lebih 'arif dan 'alim lagi bertaqwa berbanding saya.

36. Kedua, saya mohon maaf atas kekurangan dan jika saya ada mengguris hati sesiapa. Niat saya hanya untuk cuba terang, sebab adanya golongan yang suka serang (dan saya nukilkan saja daripada para asatizah kita, bukan asalnya ilmu saya pun).

37. Ketiga, dengan rasa rendah hati dan juga keikhlasan yang saya pohon daripada Allah SWT, saya memohon kita untuk bijak memilih siapa sumber rujukan kita.

38. Berhati-hatilah dengan golongan yang menggelar diri mereka salafi (pseudo-salafi) dan mempunyai 'hobi' membid'ahkan amalan itu dan ini. Pastinya kita terpegun dengan hujah mereka, namun bukan semestinya kerana mereka benar, tetapi kerana kita yang belum cukup ilmu.

39. Berpegang teguhlah dengan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah sebenar yang menggabungkan aspek Iman, Islam dan Ihsan dalam agama, yakni Aqidah, Fiqh dan Tasawwuf.

40. Golongan ini adalah golongan majoriti umat Islam yang selamat, dan mereka adalah daripada kalangan mazhab Asha'irah Maturidiah dalam hal aqidah, mazhab yang empat dalam fiqh dan mazhab Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Junayd dalam tasawwuf.

Wallahua'lam. Nastaghfirullah wa natuubu ilayh.

Allahumma solli wasallim wabaarik 'alayhi wa 'alaa aalih.
Read more "Kamu Serang, Kami Terang"

Tuesday, June 3, 2014

Apabila Sudah Kenal Allah, Tiada Lagi Solat?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Baca betul-betul, bukannya bila sudah kenal Allah (ma'rifatullah) maka TAK PERLU LAGI SOLAT, tapi TIADA LAGI SOLAT. Ertinya?

2. Ertinya, orang yang sudah mencapai maqam yang tinggi, maqam para auliya' maka dalam menunaikan solat pun, dia tak merasa seolah-olah dia yang menunaikan solat. Tiada lagi rasa KE'AKU'AN itu.

3. Jika tanpa daya dan kekuatan yang dikurniakan Allah jalla wa 'ala, maka seorang hamba pasti tak dapat menunaikan solat. Maka TIADA LAGI SOLAT membawa erti tak menisbahkan solat itu seolah-olah kita yang tunaikan, padahal seluruh roh dan jasad kita adalah milik Allah!

Nota: Namun, ini adalah maqam yang tinggi, bukannya maqam orang awam. Sebab itu, khuyuk dalam solat bukan menjadi syarat sah solat (kalau tak, betapa ramai yang tak sah solatnya).

4. Ada dua isu di sini. Pertamanya, salah faham dan salah pengajian boleh membawa ke arah kesesatan. Wal 'iya zubillah. Dan ya, saya secara peribadi pernah dimaklumkan tentang masih adanya orang yang mengaku tak perlu solat kerana kononnya sudah mengenal Allah. Ya Allah...

5. Ilmu haqiqat adalah ilmu yang dalam, dan bukannya layak dipelajari semua orang, apatah lagi belajar sendiri atau hanya rujuk buku!

6. Kewajipan yang sebenar adalah ilmu syariat yang merangkumi ilmu Fardhu 'Ain. Sedarlah, ini bukan ilmu budak sekolah rendah. Tetapi bahkan ramai orang dewasa yang masih belum sempurna ilmu Fardhu 'Ain nya.

7. Pesan Ustaz Wan Junaidi hafizhohullahu ta'ala, kalau ilmu syariat belum cukup 'alim dan sempurna, diharamkan untuk terjun ke dalam ilmu haqiqat, namun realitinya, banyak yang berlaku begini.

8. Apa contoh ilmu haqiqat? Diceritakan beliau tentang seorang bapa yang anaknya sakit. Diminta untuk ke hospital, tapi si ayah menjawab, kalau penyakit datang daripada Allah jalla wa 'ala, maka Allah jualah yang akan menyembuhkan.

9. Akhirnya, meninggal dunialah si anak. Menyesallah si ayah. Sejak itu, si ayah berubah. Kalau sakit sikit pun, terus nak ke hospital!

10. Ya, haqiqatnya, Allah sahajalah yang menyembuhkan. Namun Nabi SAW utusan Allah, mengajar kita berikhtiar. Inilah masalah orang yang belajar ilmu tinggi, tanpa terlebih dahulu sempurnakan ilmu yang asas.

11. Ustaz Wan Junaidi juga berpesan, tentang banyaknya terdapat kitab dan terjemahan Al-Hikam Ibn 'Athoillah sekarang.

12. Bukan kitab itu yang bermasalah, tapi kita yang bermasalah. Betapa ramai yang membacanya dengan sendiri tanpa pengajian, dan betapa ramai yang mengabaikan ilmu syariat (yang merupakan satu kewajipan) kerananya.

Sumber foto
13. Pada pemerhatian saya, kita amat mudah terpegun dengan orang yang terdedah kepada ilmu haqiqat, kerana kehalusan dan kedalaman ilmu ini (padahal dia belum layak mendalami ilmu ini)- walaupun saya tak nafikan ada yang layak dan saya tak berniat nak pukul rata (generalize) semuanya. 

14. Dalam masa yang sama, tak kita sedari bahawa orang yang bercakap ini, belum sempurna ilmu syariatnya, apatah lagi dalam melaksanakannya (contohnya, solat).

15. Benar sungguh perjuangan tokoh ulamak kita, Syed Muhammad Naquib Al-Attas hafizhohullahu ta'ala, bahawa masalah umat Islam adalah masalah adab, yakni tidak meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya.

16. Isu yang kedua pula, adalah golongan yang menolak ilmu tasawwuf, padahal ia adalah sebahagian daripada Islam.

17. Tidak susah untuk kaitkan bahawa penolakan ilmu tasawwuf ini boleh jadi berpunca daripada orang yang menerima ilmu tasawwuf, tapi tak beradab dan mengabaikan syariat sehingga menimbulkan fitnah yang besar.

18. Ilmu tasawwuf selalu dikaitkan dengan orang sufi, dan orang sufi selalu dikaitkan dengan menari (antara lainnya), justeru sufi dan tasawwuf adalah sesat!

Nota: Sepanjang saya mengikuti pengajian dengan para habaib dan anak murid Al-Attas pun, seingat saya kami tak pernah menari (bukan nak kata menari itu haram (nak bincang panjang bukan di sini), tapi nak jelaskan bahawa janganlah fikir semua orang yang belajar tasawwuf tu menari aje kerjanya). 

19. Padahal, ilmu tasawwuf itu berbicara soal Ihsan, yang merupakan bahagian agama selepas Iman dan Islam. Mudahnya, ia adalah ilmu menyucikan jiwa daripada sifat yang keji (mazmumah), kemudian menghiasi diri dengan sifat yang terpuji (mahmudah).

20. Ringkasnya, saya menasihati diri saya terutamanya, yang banyak menzalimi diri sendiri dan jahil dalam agama untuk bermuhasabah.

21. Ustaz Wan Junaidi berpesan agar kita orang awam, janganlah disibukkan dengan perkara lain melainkan ilmu syariat (Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf) terlebih dahulu, dan menyempurnakannya dengan sebaiknya.

22. Saya fikir ini juga satu kesedaran yang penting agar orang awam (seperti saya) tak berlagak mengambil tempat para 'alim ulamak, seperti yang banyak berlaku dalam dunia media massa hari ini.

23. Saya mohon pembetulan jika ada kesilapan, dan mohon maaf jika ada mengguris hati sesiapa. Kepada yang ingin belajar ilmu tasawwuf, eloklah kiranya khatam dan hadam dulu Kitab Penawar bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib rahimahullahu ta'ala.

24. Dengan kata lain, semoga Allah SWT membantu kita beradab dalam beragama dan menyibukkan diri kita dengan apa yang wajib untuk kita dulu, kemudian baru yang sunat dan seterusnya.

25. Nabi SAW sehingga akhir hayat baginda, tak pernah meninggalkan solat. Adakah kita lebih suci dan lebih mengenal Allah berbanding Nabi SAW sehingga kita boleh mengabaikan dan meninggalkan solat?

Allahua'lam. Allahummagh firlana warhamna watub 'alayna, innaka antat tawwaaburrohim.

Allahumma solli wa sallim wabaarik 'alayhi wa 'alaa aalih.
Read more "Apabila Sudah Kenal Allah, Tiada Lagi Solat?"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq