RSS

Wednesday, May 14, 2014

Dalil Yang Menyesatkan


Nabi SAW bersabda:

"Allah SWT tidak akan mencabut ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu dengan MEMATIKAN PARA 'ALIM ULAMAK..."
(Riwayat Imam Muslim)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Betapa banyak kelompok yang sesat dan menyimpang kerana salah tafsir dalil.

2. Mesej saya dalam artikel kali ini adalah supaya kita memperbetulkan cara berfikir kita. Seringkali kita melaungkan slogan 'Islam agama berdalil' sehinggakan kita melupakan peranan orang yang faham akan dalil.

3. Tidak hairanlah munculnya golongan yang setelah mendapat dalil (yakni Al-Quran dan hadis) maka menyangkakan tugas Nabi SAW sudah selesai, kerana baginda dianggap hanya sebagai posmen yang menyampaikan dalil.

4. Zaman ini (kononnya) lebih untung, kerana dalil semuanya ada di 'hujung jari'. Maka apa lagi guna Nabi SAW dan ulamak yang dikatakan mewarisi baginda SAW? Tak cinta mereka pun tak apa. Kita sudah ada 'alat' untuk kenal Tuhan. Wal 'iyazubillah.

5. Apakah contoh golongan yang salah tafsir dalil?

ANTI-HADIS

6. Mereka kata kita hanya wajib solat kurang daripada 5 waktu, yakni contohnya 3 waktu sahaja. Dan mereka ada dalil yang mereka ambil daripada Al-Quran.

7. Padahal Nabi SAW bersabda, solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat. Melalui Rasulullah SAW, yakni hadis baginda (yang ditolak golongan ini), kita tahu bahawa yang wajib solat itu 5 waktu dan kita tahu pergerakan, bacaan dalam solat dan perincian yang lain.

ISLAM AGAMA TERRORIS

8. Mereka kata agama Islam mengajar penganutnya membunuh siapa sahaja yang bukan Islam di mana saja mereka berada. Dan mereka ada dalil. Mereka rujuk Surah Al-Baqarah, ayat 191.

9. Padahal mereka tidak mengambil kira konteks ayat ini. Dan mereka juga tidak merujuk (atau sengaja menyembunyikan) ayat seterusnya, ayat 192 yang terjemahan mudahnya ialah, "Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 

10. Ayat berikutnya (193) pula menyebut, jika mereka berhenti, maka tiada lagi permusuhan.

SHIAH

11. Ada satu ayat Al-Quran yang kita Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) selalu dengar yakni "Inna akromakum 'indallahi atqookum." Ayat ini adalah ayat 13 dalam Surah Al-Hujurat.

12. Para ulamak kita menjelaskan bahawa ayat ini membawa pengertian, bahawa yang paling mulia dalam kalangan kita adalah yang paling BERTAQWA.

13. Perkataan 'atqookum' di sini merujuk kepada taqwa, yakni yang paling bertaqwa.

14. Tapi apa orang Shiah kata? Mereka kata, 'atqookum'  ini merujuk kepada bertaqiyyah, yakni berpura-pura, menyembunyikan yang sebenar.

15. Jika menggunakan pemahaman golongan ini, menggunakan dalil yang sama, adakah kita setuju bahawa yang paling mulia (akrom) dalam kalangan kita adalah yang paling banyak menipu (bertaqiyyah)?

SIFAT TUHAN

16. Banyak kalimah dalam Al-Quran mahupun hadis adalah kalimah yang jika diterjemah ke dalam bahasa kita secara literal, maka akan mendatangkan implikasi yang berat kepada aqidah kita, yakni tentang sifat Allah SWT yang sama sekali tidak sama dengan mahkluk.

17. Kita menafikan bahawa Allah SWT berkehendak kepada tempat (contohnya berada di atas langit) apatah lagi menyatakan bahawa Allah SWT mempunyai anggota seperti makhluk (subhanallahi min zaalik!)

18. Aqidah ASWJ sebenar adalah bahawa Allah SWT wujud tanpa tempat (Allahu maujuudun bilaa makaan) dan Allah SWT sama sekali tidak sama dengan makhluk.

KALIMAH ALLAH

19. Saya bersama-sama dengan para 'alim ulamak dan asatizah kita yang tegas dengan pendirian bahawa kalimah Allah SWT adalah kalimah agung lagi suci, yang bukan terjemahan kepada perkataan bahasa Inggeris 'God'.

20. Golongan yang ingin memenangkan pihak mereka telah menggunakan ayat Al-Quran (sebagai dalil) untuk membuktikan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan kalimah Allah di dalam Al-Quran.

21. Ayat yang dimaksudkan terdapat dalam Surah Al-'Ankabut pada ayat 61 dan ayat 63. Padahal ini bukanlah dalil yang membenarkan penyalahgunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

22. Sebaliknya, di penghujung kedua-dua ayat itu, Allah SWT mengkritik golongan yang menyebut kalimah Allah ini. Islam telah datang untuk membetulkan pemahaman golongan ini tentang maksud Allah SWT yang sebenar, contohnya seperti perincian dalam Surah Al-Ikhlas.

Dialah Allah. (Bagaimana?)
YANG MAHA ESA.
YANG MENJADI TEMPAT BERGANTUNG YANG MUTLAK.
YANG TAK BERANAK, TAK PULA DIPERANAKKAN.
YANG TAK SAMA DENGAN APA PUN.

23. Justeru, jika Nabi Isa AS yang dianggap tuhan atau 'god' oleh golongan Nasrani, soalan pertama, adakah mereka mempunyai konsep ketuhanan yang sama seperti yang terdapat dalam ajaran Islam seperti di atas? Adakah 'god' yang difahami mereka memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat Allah?

24. Kesimpulannya, agama kita memang agama yang mudah tapi ia bukan agama yang boleh dipermudah-mudahkan. Contoh-contoh yang saya kemukakan di atas menjadi BUKTI YANG NYATA bahawa yang kita perlukan bukan hanya dalil, tetapi BIMBINGAN DALAM MEMAHAMINYA DENGAN BETUL DAN SAHIH.

25. Mudahnya Islam bukan kerana ia cikai dan simplistik, tetapi ia memudahkan kerana ia meliputi segala aspek kehidupan, ia adalah fitrah setiap insan, dan kesemua ini hanya dapat digarap melalui bimbingan para anbiya' dan pewaris mereka, 'alim ulamak.

26. Sama-samalah kita merenung firman Allah SWTdi dalam Surah An-Nisa' ayat 58 yang banyak kali diulang-ulang dan ditegaskan oleh tokoh Islam hebat Al-Attas, mafhumnya:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya..."

27. Suka saya tutup bingkisan kerdil dan tak seberapa ini dengan sambungan kepada hadis yang saya kongsikan di atas sekali. Mohon maaf atas segala kekurangan, mohon pembetulan, tunjuk ajar, nasihat dan doa rakan-rakan ya? Barokallahu fiikum ajma'in.

".... maka apabila sudah tiada 'alim ulamak, orang ramai akan memilih orang-orang jahil untuk menjadi pemimpin mereka. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka justeru berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka SESAT dan MENYESATKAN ORANG LAIN!"

Wal 'iyaa zubillah! Allahua'lam. Wassalamualaikum wbt.

Read more "Dalil Yang Menyesatkan"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq