RSS

Sunday, January 5, 2014

Maulidur Rasul: Anugerah Ilahi


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Abu Lahab, yakni bapa saudara kepada Rasulullah SAW, pernah bergembira pada malam kelahiran baginda SAW. Atas sebab itu, walaupun tempat Abu Lahab adalah di neraka (sebagaimana termaktub dalam Al-Quran), Allah SWT telah meringankan siksaan baginya pada setiap hari Isnin sebagai balasan kepada gembiranya Abu Lahab atas kelahiran Rasulullah SAW (Sumber: Ibn Al-Jazari, diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari).

2. Jika inilah ganjaran Allah SWT terhadap Abu Lahab, bagaimana pula dengan umat Islam yang sangat gembira dengan anugerah Rasulullah SAW daripada Allah SWT dan tidak pernah menyekutukan Allah SWT dengan apapun?

3. Sebelum saya meneruskan dengan beberapa persoalan tentang sambutan Maulidur Rasul, ingin saya ambil peluang ini untuk sentuh sikit tentang subjek bid'ah, kerana ada pula yang menyatakan bahawa meraikan kelahiran Rasulullah SAW itu adalah bid'ah hukumnya.

4. Pertamanya, dalam hukum syariat, hanya ada 5 hukum yakni wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Bid'ah tidak termasuk salah satu daripada hukum syariat. 

5. Justeru, menghukumkan sambutan Maulidur Rasul haram pula adalah sesuatu yang lazimnya ditakuti kerana padahal Maulidur Rasul itu kandungannya ialah bacaan Al-Quran, zikrullah, doa-doa serta alunan qasidah memperingati sirah dan mengagung-agungkan Rasulullah SAW; adakah semua yang disenaraikan tersebut haram di sisi syarak?

6. Kedua, para ulamak muktabar telah membahagikan bid'ah (yakni perkara baru) itu kepada dua, iaitu bid'ah hasanah (yang baik) dan bid'ah dholalah (yang sesat dan tercela) di sisi syarak.

7. Sambutan Maulidur Rasul umumnya adalah merupakan satu perkara baru, yakni bid'ah tetapi ia bukanlah yang tercela sebaliknya satu bid'ah hasanah yakni perkara baru yang mulia dan baik (di sisi syarak).

8. Jika kita cuba bahaskan, ada yang akan berkata bahawa dalam hadis disebut 'kullu bid'atin dholalah' (ertinya: setiap yang baru itu sesat). Tidak sama sekali pada perkataan bid'ah dalam hadis ini terdapat perkataan hasanah (baik) mahupun dholalah (buruk). Maka mengapa perlu DITAKWIL pula (dengan menambah kepada pembahagian atau pengkelasan bid'ah yang baik dan buruk)?

9. Maka jawabnya ialah kita semua ini bid'ah (kerana kita semua BARU wujud selepas kewafatan baginda SAW). Kita menggunakan internet, itu bid'ah. Kita menggunakan Facebook dan Twitter, semua itu bid'ah. Kita naik kereta, itu juga bid'ah. Soalnya sekarang, adakah atas sebab itu kita semua akan masuk neraka?

10. Maka pasti akan dibalas balik, bid'ah yang dimaksudkan adalah dalam hal-hal ibadah sahaja!

11. Pada saat ini, soalan kita ialah, bukankah dalam hadis tadi hanya menyebut perkataan bid'ah? Tidak disebut pula bid'ah dalam hal ibadah sahaja? Tadi kata tak boleh TAKWIL, tetapi sekarang tak mengapa pula DITAKWIL hadis yang sama dengan menambah bid'ah hanya dalam hal ibadah?

12. Kesimpulannya, jika kita bersikap adil, maka benarlah huraian para ulamak dalam memahami perkataan bid'ah dalam hadis Nabi SAW di atas. Janganlah atas dasar kepentingan nafsu dan ingin memenangkan pihak kita, sekejap kita tak benarkan takwil, sekejap kita benarkan pula.

13. Adakah semua yang Nabi SAW tak pernah buat itu bid'ah, dan dengan itu maka ia sesat dan membawa ke neraka? Ayuh kita teliti satu kisah yang sangat menarik daripada hadis Nabi SAW (Riwayat Al-Bukhari, An-Nasa'i, Ahmad dan Malik).

14. Ketika Nabi SAW sedang mengimami solat Maghrib, seorang sahabat bernama Rifa'ah ibn Rafi' Az-Zurqi telah menambah bacaan dengan doa yang tidak pernah diajar oleh baginda Rasulullah SAW.

15. Justeru, setelah itu, Rasulullah SAW bertanya siapakah yang membaca doa (pujian) itu, kerana baginda bersabda telah melihat 30 lebih para malaikat datang berebut dan berlumba-lumba siapakah yang paling awal mencatat pahala bacaan pujian tersebut. Subhanallah! 

16. Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah di dalam Kitab Fathul Bari merumuskan daripada hadis di atas bahawa dibenarkan mencipta doa di dalam sembahyang selain apa yang diterima daripada Rasulullah SAW selama mana ia tak bercanggah dengan apa yang diterima dari Rasulullah SAW.

17. Untuk perbincangan lanjut tentang subjek bid'ah dengan lebih teliti, adil dan mendalam, saya mencadangkan rakan-rakan untuk membeli sebuah buku karangan Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll bertajuk 'Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama'; Inilah Jawapannya'.


18. Ada beberapa persoalan lain tentang Maulidur Rasul yang akan disentuh dengan ringkas, kemudian saya akan tutup artikel ini insha Allah.

19. Pertamanya, bukankah Nabi SAW mahupun para sahabat tidak pernah pun menyambut Maulidur Rasul? 

20. Jawabnya, sebab itulah kita kena pergi mengaji lagi. Islam dan shariatnya itu cukup luas. Sesungguhnya, segala sesuatu (seperti sambutan Maulidur Rasul) hukum asalnya adalah harus, melainkan ada dalil atau nas yang menyatakan bahawa ia haram.

21. Justeru, kita bukan sepatutnya meminta dalil yang membenarkan sambutan ini diadakan, sebaliknya, kerana hukum asalnya adalah harus, maka sesiapa yang berhujah bahawa ia haramlah yang perlu datangkan dalil dan nas sebagai bukti pengharamannya.

22. Bahkan Nabi SAW telah menggalakkan kita memulakan sesuatu yang baik, selama mana ia patuh syariat, kerana apabila orang lain mengikutinya, maka kita akan turut mendapat ganjaran (kerana memulai dan memperkenalkan) tanpa sedikitpun dikurangkan ganjaran daripada orang yang mengikuti perkara baik ini.

23. Bahkan Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Pemurah! Alhamdulillah!

24. Seterusnya, adakah kita hanya mengingati Rasulullah SAW pada bulan Rabi'ul awwal sahaja atau pada 12 hari bulan sahaja? Bagaimana dengan waktu lain? Macam mana pula dengan adanya pendapat ulamak yang menyatakan tarikh selain 12 hari bulan?

25. Jawabnya ialah, mungkin kita tidak sedar, sambutan mawlid sebenarnya sentiasa dilakukan dengan cukup kerap, bahkan di sesetengah tempat atau masjid, pada tiap-tiap bulan (bukan hanya setahun sekali) dan mungkin ada yang lebih kerap lagi.

26. Jika kita renungkan secara logik, apabila kita mengkhususkan sebulan sekali untuk keluar menghabiskan masa dengan aktiviti istimewa bersama ahli keluarga, adakah wajar dikatakan kita hanya menyayangi ahli keluarga pada ketika itu?

27. Jelasnya, pemikiran sedemikian hanya satu andaian atau prasangka yang tidak adil dan mesti dibersihkan.

28. Tentang tarikhnya pula, memang ada pendapat yang pelbagai. Namun, pendapat yang paling kuat adalah 12 hari bulan. Pun begitu, bukanlah tarikh yang menjadi isu utama. Contohnya sambutan Laylatul Qadr, adakah kita meninggalkannya hanya kerana para ulamak ada pandangan yang berbeza tentang tarikh sebenarnya?

29. Akhir sekali, anggapan bahawa perbuatan seperti merayakan sambutan Maulidur Rasul adalah satu perkara yang berlebihan dan meng-Tuhankan Rasulullah SAW adalah satu andaian yang mesti dijauhkan, kerana ia mungkin terbit daripada hati yang hasad dan berpenyakit.

30. Hal ini kerana kita mengagungkan Rasulullah SAW atas sebab bagindalah yang mengajar kita makna dan erti tawhid yang sebenar. Bahkan, mana mungkin kita menganggap baginda sebagai Tuhan dengan bergembira atas kelahirannya, padahal sudah jelas bahawa sifat Tuhan itu adalah Dia tidak dilahirkan?

31. Justeru ayuhlah kita sama-sama bersihkan hati, saling memaafkan dan mendoakan agar umat Islam berlapang dada dan bersatu padu dengan husnu zhon yang kuat sesama orang Islam. Banyak-banyakkanlah berselawat terutamanya pada bulan yang mulia ini.

32. Mohon teguran di mana saya tersilap dan mohon maaf juga jika saya ada mengguris hati mana-mana pihak.

33. Wallahua'lam. Wassalamualaikum wbt.

Allahumma solli 'ala Muhammadin bi'adadi man solla alaih. Wa solli 'ala Muhammadin bi'adadin man lam yusolli alaih. Wa solli 'ala Muhammadin kama umirta bissolati alaih. Wa solli 'ala Muhammadin kama tuhibbu an yusolla alaih. Wa solli 'ala Muhammadin kama tanbaghissolatu alaih..

Read more "Maulidur Rasul: Anugerah Ilahi"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq