RSS

Wednesday, May 30, 2012

Orang Kaya Sahaja Masuk Syurga


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.

1. Saya bukan orang kaya. Saya amat takut kalau hanya orang kaya masuk syurga. 

2. Sebab saya tak tahu, mampu atau tidak saya menjadi kaya.


3. Tapi usaha itu penting. Kita tak disuruh meninggalkan dunia. Kita diminta mengambil sebahagian daripadanya.

4. Bezanya, yang di dunia itu kita hanya jadikan alat. Untuk membantu mencapai matlamat yang tepat. Yakni kesejahteraan dan kejayaan pada hari akhirat. Hari yang tiada hujung atau penamat.

5. Malah, setiap kali selepas solat, kita amat lazim membaca doa meminta kebaikan pada kedua-duanya, dunia dan hari akhir.


6. Maka, bukanlah Islam menuntut meninggalkan terus kekayaan dunia. Bahkan sahabat Nabi SAW yang digelar As-Siddiq pun seorang saudagar yang kaya raya. 

7. Beliau ialah Abu Bakar RA. Dan beliau dijamin masuk syurga!

8. Tunggu. Selidik dulu sirah. Tentang bagaimana Abu Bakar RA membelanjakan hartanya. 

9. Malah, tidak juga Islam menuntut kita 'mengejar' kemiskinan. Kerana bahkan kemiskinan itu kata Nabi SAW, boleh menyebabkan kekufuran. Wa na'uzubillahi minzalik.

"Hampir saja kemiskinan (kemiskinan jiwa dan hati) berubah menjadi kekufuran."
-HR. Ath-Thabrani-

10. Asalkan hati dan jiwa tak miskin dengan iman, insya Allah selamatlah kita daripada kekufuran. Ameen..

11. Tujuan sebenar penulisan ini adalah untuk mencadangkan para pembaca sekalian supaya membuat penilaian yang adil.

12. Pada pandangan saya (kalau tak setuju tak apa), seorang nelayan yang membantu orang lain dengan nilai RM1, lebih baik dan mulia daripada seorang jutawan dan hartawan yang membelanjakan hanya RM10 daripada hartanya.

13. Bukan nilaian yang menjadi persoalan sekarang. Tapi keikhlasan dan juga keadaan insan yang membuat kebajikan itu.

14. Kita tak boleh mengukur keikhlasan orang. Tapi bayangkan diri kita sebagai pelaku kebajikan itu, dan nilailah keikhlasan diri kita sendiri. Maksud 'keadaan' pula dalam konteks ini ialah kedudukan ekonomi seseorang.

15. Bayangkan seorang nelayan yang mempunyai 10 orang anak dan memperoleh tidak lebih RM1000 setiap bulan. Itupun tak menentu. Pada musim tengkujuh, mungkin langsung tiada pendapatan.

16. Maka RM1 itu cukup besar nilainya buat dia. Jika dia sanggup sedekahkannya, dia sudah tunjukkan satu bentuk pengorbanan dan jihad pada hartanya.

17. Berbanding dengan seorang jutawan, apalah sangat RM10 itu. Kalau nampak di tengah jalan pun mungkin tak heran. 

18. Bukanlah salah untuk menghulurkan RM10. Malah itu lebih baik daripada tiada langsung.

19. Namun jika mampu menderma RM1000, kenapa tidak? 

20. Dikhuatiri timbul di dalam benaknya, "Alah, yang penting aku dah sedekah." 

21. Atau "Eh orang dah bagi RM10 syukurlah ya, kan tak bagi langsung baru tahu."

22. Seolah-olah harta itu miliknya. Siapa yang tak bersyukur sekarang?

23. Alamak. Inilah kerdilnya saya. Perlukan ayat yang panjang untuk buat penjelasan di atas. 

24. Cuba baca Al-Quran. Kata-kata Allah ada sebenarnya menggambarkan hal ini. Cukup tepat, ringkas, padat dan kena pada maksud dan tujuan mesej itu disampaikan.

Firman Allah bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui."
-Surah Ali-Imran: 92-

25. Demikianlah. Sudahkah kita mencapai tahap kesanggupan memberikan harta yang kita sayang kepada orang?

26. Bayangkan seorang miskin yang sangat gembira apabila kita hadiahkannya sepaket roti. Padanya mungkin, itu cukup berharga kerana sudah beberapa hari dia tak makan!

27. Bagi kita pula, bukan apa, roti tu dah nak sampai tarikh luput, daripada buang, kan ke lebih baik kita sedekah kat orang betul tak?

28. Alhamdulillah, baguslah bersedekah. Tapi cuba tanya balik, dalam kes ni, sayang tak kita pada roti tadi?

29. Astaghfirullah...

30. Berkenaan persoalan nelayan dan jutawan tadi, tidaklah saya mencadangkan bahawa menjadi nelayan lebih baik (melainkan dalam konteks sebenar yang saya sampaikan).


31. Bahkan bukankah jika kita banyak harta, lebih banyak manfaat boleh kita berikan pada orang sekeliling kita dek kemampuan dan kekayaan kita? 

32. Benar sekali. Cuma, jangan terlalu yakin. Tak ramai orang apabila kaya, pikirannya sama ketika dia masih 'miskin.' Anggaplah penyataan saya itu satu bentuk metafora, yakni satu perlambangan, atau simbolik.

33. Yakni dalam hidup ini, kita kadang-kadang (secara simboliknya) boleh menjadi seorang nelayan dan pada waktu yang lain menjadi jutawan pula. Pendek kata, kadang-kadang hidup senang, kadang-kadang sedikit malang.

34. Soalnya adalah, adakah kita mengelak berbuat baik jika kita dalam kesusahan? Padahal ketika susah itulah, pahalanya insya Allah lebih besar, dek perassaan berat dan perlunya 'jihad' untuk membuat baik dalam keadaan begitu.

35. Sebenarnya, sebelum saya terlupa, saya bukan sahaja nak bercakap tentang sang penderma atau yang menolong.

36. Saya rasa lebih penting juga, kita membayangkan diri kita sebagai seorang yang menerima derma atau yang ditolong.

37. Kadang-kadang kita jarang menghargai bantuan dan pertolongan orang pada kita.

38. Tanpa pula kita melihat kepada kesusahan yang dilaluinya.

39. Saya bagi satu contoh mudahlah untuk gambaran kita ya.

40. Pernah tak bila kita nak pergi ke mana-mana, ada sahabat kita datang ambik kita dengan kenderaan mereka?

41. Cuba ambik dua situasi. Kawan kita Man dan kawan kita Zack.

Situasi satu: Rumah Man

42. Kita nak ke rumah Man. Sampai di stesen LRT, Man datang ambil kita dengan motorsikal buruknya. Waktu tu hari hujan. Man berikan pada kita baju hujannya.

43. Sebab dia boleh tukar pakaian bila sampai rumah. Kita tidak. Tapi sampai di rumah, semestinya, ada la sikit basah-basah di badan kita kan? Mungkin kita pun merungut dalam hati. Tapi Man pula, basah kuyup letup tup tup..

Situasi dua: Rumah Zack

44. Kita nak ke rumah Zack, seorang anak jutawan. Sampai di stesen LRT, Zack datang dengan kereta Ferrarinya. Eh silap, kereta ayahnya.

45. Bukan dia pun yang memandu. Ada driver peribadi. 

46. Hari itu hujan juga. Namun kita sampai ke rumah tanpa setitik pun air hujan kena pada baju kita. Cuma mungkin beberapa titik air liur kerana terseliur dan tergamam pertama kali naik kereta Ferrari.

Man lebih baik atau Zack?

47. Baik. Masa untuk penilaian sekarang. Kalau kita 'cacat' dalam menilai, pasti kita lebih menghargai Zack.

48. Lebih selesa, malah mengiurkan!

49. Tapi siapa yang harus lebih dihargai dalam hal ini?

50. Saya harap mesej saya sampai- tentang bagaimana kita betulkan cara kita menilai dalam menghargai sumbangan dan bantuan orang. Bukan sekadar pada kadar dan bentuk bantuan yang diberikan, tetapi juga mengambil kira 'keadaan' sang pemberi bantuan itu.

51. Sebagai penutup, sekali lagi saya mahu mengulangi mesej yang sama namun menggunakan contoh dan sisi pandang yang berbeza.

52. Umumnya, dalam dunia sekarang, siapa yang paling kaya harta dunia? Orang Islam? Tidak, bukan?

53. Jika orang bukan Islam yang kaya raya ini banyak menderma dan membuat kebajikan, pertamanya kita memohon agar Allah SWT melapangkan hatinya untuk menerima hidayah, agar segala amalnya diterima Allah SWT.

54. Namun bagaimana pula yang kaya raya dengan jalan menipu dan menjadikan amalan kebajikan dan dermanya hanya sebagai penutup kejahatannya? Mengaburi dan menyembunyikan kezalimannya?

55. Mana nilainya kebaikan mereka tanpa bersaksi bahawa Allah lah Tuhan mereka?

56. Sebab itu, jangan kita dikaburi mata dengan fitnah kekayaan ini. Sedangkan Al-Masih Al-Dajjal pun menggunakan taktik yang sama. 

57. Mendatangkan apa yang indah pada mata, tapi jahat pada intipatinya. Dunia menjadi taruhan. Akhirat dilupakan, ditinggalkan.

58. Demikian juga kita di Malaysia. Ya, kita bersyukur jika ada ramai dermawan. Tetapi berhati-hatilah dengan musang berjanggut. Janggutnya itu bukanlah sunnah!

59. Maksud saya, ada orang yang menjadikan hartanya sebagai alat menyembunyikan kejahatannya.

60. Jika menipu untuk mendapatkan wang, usahlah berterima kasih atas wang yang dia sumbangkan.

61. Begitu juga dalam menilai isu politik.

62. Jangan sekadar melihat habuan dunia sebagai kebaikan orang. Ada masa kebaikan itu adalah kewajipan pemerintah.

63. Kita bersyukur atas pelaksanaan tanggungjawabnya, bukan atas dasar 'pengorbanannya' pada rakyat.

64. Malah lebih teruk jika tanggungjawab itu dianggap sebagai satu bentuk 'hadiah' daripada diri mereka sendiri- sedangkan harta itu milik Allah, atau jika di dunia, milik negara dan rakyat, bukanlah mereka punya pun.

65. Berhati-hatilah ya? Telitilah dengan mata hati, jangan biarkan ia mati.

66. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi, ayat 103-104 maksudnya:

"..............Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? (Yaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka sangkakan telah berbuat sebaik-baiknya."

67. Untuk tahu lebih lanjut siapa golongan yang rugi walaupun banyak buat baik ini, anda bukak Al-Quran dan sambung baca ayat yang berikutnya.

68. Saya tak nak tulis di sini sebab 3 perkara. 1) Sebab panjang sangat, 2) Sebab ini blog saya ikut suka hati sayalah! Jelez? Nak gaduh? (Baik yang ini gurauan sahaja ya huhu) dan 3) Supaya sekurang-kurangnya anda ada sebab untuk ambil wuduk dan baca Al-Quran.

69. Sekian sahaja untuk kali ini. Maafkan saya jika ada silap di mana-mana, mohon teguran daripada kalian.

70. Saya tinggalkan anda semua dengan satu hadis yang cukup awesome di bawah. Dalami dan selamilah maksudnya. Allahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” 
-Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih-

71. Tidak, bukan orang kaya sahaja masuk syurga. Bahkan lebih ramai daripada yang miskin.

72. Yang tahu membezakan apa FUNGSI dunia, apa pula STATUS hari akhirat.

73. Moga Allah SWT membantu kita mengenal pasti dengan tepat: mana satu alat, mana satu matlamat.

Ameen ameen ameen~

Tak sabar menantikan kunjungan bulan Ramadhan! =D
Read more "Orang Kaya Sahaja Masuk Syurga"

Wednesday, May 23, 2012

Debat PTPTN 2012



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Saya tak berhasrat untuk membuat komen panjang di sini.

2. Saya rasa anda semua pun tak berminat untuk mendengar celoteh saya. Mungkin lain kali insya Allah.

3. Maka di bawah saya sediakan empat perkara sahaja.

Pertama- Gambar-gambar yang saya peroleh daripada internet. Sebahagiannya daripada Laman Facebook Peminat YB Khairy sendiri.

Kedua- Video original yang berdurasi penuh (termasuk sidang media) oleh hos debat- Sinar Harian

Ketiga- Gambar peribadi yang saya ambil sendiri

Keempat- Sedikit pengenalan tentang Rafizi Ramli 

4. Saya serahkan kepada anda semua untuk membuat penilaian sendiri berdasarkan peristiwa yang cukup bersejarah ini, terutama buat kita anak-anak muda yang mempunyai aspirasi besar terhadap negara.

5. Pesanan saya, janganlah melihat politik sebagai satu persoalan taksub kepartian sahaja.

6. Politik itu adalah bagaimana kita menjalani hidup kita dan bagaimana perbuatan kita dan orang yang memimpin kita memberi kesan kepada satu sama lain.

7. Sikap yang perlu kita ambil cukup mudah- Ambillah cakna (ambil kisah atau ambil tahu).

Wallahuaklam. Wassalamualaikum wbt.

1. Sekitar Debat PTPTN 2012

YB Khairy Jamaluddin mewakili pemuda UMNO
YB Rafizi Ramli mewakili Parti Keadilan Rakyat. Nota: Bakal YB insya Allah..

Saya paling suka gambar ini ;-) 
2. Rakaman Video Penuh Debat PTPTN 2012






3. Siapa Rafizi Ramli?

Sumber- Laman web rasmi beliau sendiri (Rafiziramli.com)

Lahir: 14 September 1977
Tempat Lahir: Besut, Terengganu
Membesar: di Kemaman dan Kuala Kangsar

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Pendidikan awal @ Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman (1984 – 1989)
Kolej Melayu Kuala Kangsar (1990 – 1994)
Anugerah Carey/Bolkiah sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan

Pingat Emas Presiden Kesatuan Pelajar
Anugerah Pelajar Terbaik SPM 1994 (Fizik, Bahasa Melayu)
Anugerah Pelajar Terbaik SRP 1992
Johan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri 1992 dan 1993 antara sekolah-sekolah berasrama penuh
Pembahas terbaik Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri 1992 dan 1993 antara sekolah-sekolah berasrama penuh
Johan Pertandingan Bahas Piala Sri Paduka Sultan Perak 1993
Presiden, Badan Revolusi Agama
Presiden, Pancaragam Tentera
Presiden, Persatuan Bahasa Melayu
Ketua Pengarang, The Malay College Magazine
Dianugerahkan biasiswa PETRONAS (Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik) dan ESSO (Geology) sebelum keputusan SPM diumumkan
Morrison’s Academy, Scotland (1995 – 1996)

Anugerah AD Kippen, Pelajar Terbaik Fizik A-Levels 1996
Anugerah John Knox, Pelajar Terbaik Kimia A-Levels 1996
Pengawas
Orkestra Morrison’s Academy
Leeds University (1996 – 1999)

Anugerah Arthur Crabtree 1997, Pelajar Terbaik Tahun Pertama Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik
Ijazah Kelas Pertama (Tahun Pertama dan Kedua)
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik
LATAR BELAKANG KERJAYA

Jeffreys Henry Chartered Accountants, London (1999 – 2003) lulus semua peperiksaan akauntan bertauliah dengan Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW) dalam masa 2 tahun
diterima sebagai ahli ICAEW pada 2003, selepas tamat tempoh minima latihan di firma perakaunan diterima sebagai ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) pada 2003 apabila pulang ke Malaysia PETRONAS/MTBE Malaysia Sdn Bhd (2003 – 2005)

Pengurus, Propane Dehydrogenation Plant
Pengurus termuda semasa dilantik
PETRONAS/Pejabat Naib Presiden, Urusniaga Petrokimia (2005 – 2007)

Pengurus Kanan (Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Urusniaga Petrokimia)
Pengurus Kanan termuda semasa dilantik

Bertanggungjawab menguruskan kumpulan urusniaga petrokimia PETRONAS dengan aset melebihi RM30 bilion
PETRONAS/Petronas Carigali Sdn Bhd (2007 – 2009)

Pengurus Kanan (Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa)
Bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kewangan 51 anak-anak syarikat PETRONAS Carigali yang terlibat dengan operasi huluan di peringkat antarabangsa, membabitkan belanjawan tahunan melebihi RM20 bilion

Pengurus Besar
Pharmaniaga Berhad (2009)

Ketua Eksekutif
Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor (2009–sekarang)

Gambar keratan akhbar- DSAI sedang menyampaikan hadiah sebentuk cincin kepada pelajar terbaik keseluruhan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Rafizi Ramli sempena Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang kolej itu di Kuala Kangsar.
.........................................................
4. Gambar peribadi yang saya ambil (bukan semua)

Sampai di premis Karangkraf hampir-hampir Maghrib semalam.
Pelajar Tua MCKK: (Dari kiri- Pojan, Rashad, Akmal, Raja, saya)
Terima kasih Fendy untuk gambar ini ;-)





YB Saifuddin- sidang media selepas majlis
....................................................................................................

Mungkinkah ini yang kita nanti-nantikan selepas ini?

Read more "Debat PTPTN 2012"

Friday, May 18, 2012

Merakyatkan Industri Pornografi


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Saya teringat pada satu ceramah oleh Allahu yarham Sheikh Ahmad Deedat, seorang tokoh dakwah Islam yang tak asing lagi. Beliau meninggal pada tahun 2005. Moga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman insya Allah. Ameen.

2. Beliau menceritakan tentang sebuah poster atau iklan mempromosikan kereta Mercedes (dalam surat khabar yang beliau baca kalau tak silap saya).


3. Dalam iklan itu, terdapat gambar seorang perempuan seksi (mungkin tukang promosi) bersama-sama kereta Mercedes yang ingin diiklankan. Yang menariknya, tulisan pada iklan itu berbunyi "Test drive her now!"

4. Her? Ya, nama Mercedes diambil sempena dengan nama anak perempuan tokoh automotif terkenal Karl Benz- sebab itu nama kereta itu ialah Mercedez-Benz.

5. Namun, her dalam iklan itu seolah-olah turut 'mempromosikan' wanita seksi yang berada di dalamnya. Pandu uji dia (wanita) itu sekarang? Apakah maksudnya?

6. Astaghfirullah, beginilah besarnya fitnah yang melanda umat manusia sekarang.

7. Wanita dijadikan objek seks dan sesetengah yang berakal pendek dan cetek menganggap itu sebagai satu tanda penghargaan buat wanita. Memalukan!

8. Apabila Allah menceritakan kisah Nabi Adam AS diperdaya syaitan di syurga, bukanlah buah khuldi atau pokoknya yang menjadi isu. 

9. Isunya ialah syaitan mahu Adam AS dan Hawa dicabut pakaiannya serta melanggar perintah Allah SWT. Buah khuldi yang dimakan itu adalah sekadar sebab sahaja.

10. Cuba kita kaitkan dengan zaman moden sekarang.

11. Industri pornografi telah dirakyatkan.

12. Kalau kisah dongeng orang kita merakamkan bagaimana si Tanggang disumpah menjadi batu, wanita-wanita zaman sekarang yang 'tak cukup kain' pula telah disumpah menjadi kulit muka depan majalah, poster, tayangan media elektronik, papan-papan tanda dan billboards serta tak lupa menjadi wallpaper yang menghiasi banyak pusat membeli belah.

13. Ini pun hanyalah asbab (sebab). Bukanlah tujuan sebenar kejahatan syaitan.

14. Tujuan sebenar syaitan ialah mengajak kita ingkar kepada Allah SWT dengan melazimi dan membiasakan amalan zina.

15. Dan saya bercakap tentang industri pornografi yang telah dirakyatkan. Maksudnya apa? Maksudnya rakyat, dari apa jua latar belakang sosial dan ekonomi, kini terlibat dalam industri ini. 

16. Mana taknya, siapa yang boleh lari daripada majalah dan surat khabar? Siapa boleh lari daripada media elektronik? Dan lebih menyedihkan, di kampung-kampung yang tiada komputer dan internet pun, masih ada pameran percuma mencuci mata, kerana anak dara sekarang sudah ramai yang ambil mudah soal menjaga aurat. Sumbangan besar buat industri pornografi.

17. Penyudahnya, industri pornografi kini dirakyatkan. Lebih banyak jalan baru yang diturap menuju destinasi yang dinamakan zina- begitu liciknya syaitan.

18. Keadaan diburukkan lagi dengan sikap tak matang dan tak bertanggungjawab pihak yang dirosakkan oleh kehendak politik, apabila berita-berita pornografi dijadikan bahan bacaan utama rakyat tempatan.

19. Industri pornografi dirakyatkan lagi.

20. Tidak lupa pula penyebaran video-video lucah serta topik-topik berkaitan yang mewarnai isu politik tanah air. Ada juga bentuk senaman yang ada lenggok memalukan. Saya malu. Malu sebagai orang Melayu.

21. Industri pornografi dirakyatkan lagi.

22. Dalam pencarian ringkas yang saya lakukan, sebenarnya pornografi sebagai satu industri pernah menjadi satu industri komersial yang besar yang mendatangkan pulangan tahunan berjumlah sehingga berbillion dollar  USA sejak awal kelahiran era millennium.

23. Namun sejak akhir-akhir ini, keuntungan tahunan itu berkurangan.

24. Adakah ini berita baik?

25. Tidak buat golongan kapitalis pornografi. Dan tidak juga buat kita umat Islam yang percayakan Tuhan.

26. Salah satu faktor kekurangan untung itu adalah kerana wujudnya sesetengah golongan yang mempelopori industri yang sama tetapi mereka merupakan lanun cetak rompak.

27. Maka walaupun mungkin syarikat pengeluar video pornografi serta pengendali laman web berkaitan mengalami kekurangan pengunjung, hakikatnya, penyertaan masyarakat dalam industri ini semakin bertambah kerana versi cetak rompak jauh lebih murah dan mudah didapati.

28. Untung sebenar ialah pada syaitan dan iblis laknatullah yang mahukan kacau bilau dalam kalangan masyarakat.

29. Bukankah Allah SWT melarang kita mendekati zina? Industri pornografi yang kini dirakyatkan, semakin mendekatkan kita pada zina- na'uzubillahi minzalik.

30. Wahai wanita yang tidak mahu menjaga aurat kalian, anda mempunyai saham dalam usaha merakyatkan industri pornografi.

31. Anda memudahkan orang awam melempiaskan nafsu jahatnya dengan melihat kepada anda. Anda player yang amat penting dalam industri ini. Mungkinkah rakyat perlu 'bersyukur' atas sumbangan anda dalam industri ini?

32. Wahai orang lelaki, jangan jadi orang bebal. Kita pun sama juga.

33. Betapa ramai yang kini amat suka menunjuk-nunjuk susuk badan yang perkasa dan menayangkan gambar diri tanpa berbaju.

34. Lebih memalukan, ada juga nak tunjuk kelelakian, tetapi memakai rantai seperti perempuan. Kemudian ditayang-tayang. 

35. Di mana agamamu? Islam jelas dan tegas melarang orang lelaki menyerupai kaum wanita dengan memakai perhiasan sebegitu, apatah lagi jika orang lelaki mahu memakai pakaian sutera asli dan perhiasan emas.

36. Wahai wanita, itulah antara kelebihanmu. Dihalalkan untukmu pakaian daripada sutera serta perhiasan daripada emas, malah kedua-duanya adalah kesukaanmu. Tetapi orang lelaki pula diharamkan daripada kedua-duanya.

37. Adakah masih mahu merungut seolah-olah Islam sifatnya sexist dan lebih mengutamakan lelaki? Sudahlah perempuan, berlagak pula kamu mahu melawan Tuhan Maha Kuasa dengan perjuangan revolusi wanitamu!

38. Sebagai penutup, saya ingin menyebut sekali lagi bahawa perjuangan kita bukanlah antara golongan Hawa menentang golongan Adam ataupun sebaliknya.

39. Namun perjuangan kita adalah perjuangan antara Muslim beriman dan Muslimah beriman menentang lelaki jahat dan wanita yang ingkar!

40. Bersatulah atas nama haq dan keadilan, bukan atas nama gender dan seks. Orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan, akan sentiasa saling membantu.

"Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf (baik), dan mencegah dari yang mungkar...."
(Surah At-Taubah, ayat 71)

41. Saya lontarkan persoalan di atas bukanlah untuk mengkusutkan keadaan, tetapi mahu kita sama-sama mengambil pengajaran dan membentuk kesedaran.

42. Kadang-kadang persoalan yang timbul tak semestinya dilayan dengan mencari jawapan, kerana pada banyak persoalan, cara penyelesaian yang terbaik adalah dengan mencari Tuhan!

43. Wallahuaklam. Moga Allah SWT melindungi kita semua dan menguatkan iman di dada ameen ameen ameen..


Read more "Merakyatkan Industri Pornografi"

Thursday, May 17, 2012

Sembelih dan Makan Binatang Korban: Kejam?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Artikel ini akan cuba menjawab persoalan adakah pensyariatan sembelihan korban dalam Islam sesuatu yang rasional dan baik untuk manusia secara umumnya.

2. Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa telah timbul persoalan daripada sesetengah penganut agama tertentu kononnya manusia seharusnya hanya makan tumbuh-tumbuhan.

3. Dengan kata lain, manusia seharusnya menjadi seorang vegetarian ataupun mengamalkan sifat herbivor. Hal ini kerana membunuh binatang untuk dimakan menyakitkan mereka- maka dianggap kejam.

4. Sebagai umat Islam, adalah penting untuk kita percaya bahawa apa jua yang dituntut dalam Islam ada kebaikan dan rasional yang tersendiri. 

5. Maka jika kita ditanya, jawapan pertama kita kepada orang bukan Islam ialah- kita taat pada suruhan Allah SWT dan para Rasul-Nya- tiada bantahan terhadap kedua-duanya sama sekali.

6. Pun begitu, tak menjadi masalah untuk kita sediakan jawapan dari segi logik akal dan saintifik sebagai satu pelengkap- kerana bahkan Islam itu agama fitrah, apa yang dituntut memang selari dengan fitrah semulajadi manusia.


Jawapan

7. Manusia tak boleh hidup tanpa makanan. Bahkan haiwan dan tumbuhan pun memerlukan makanan.

8. Maka mereka yang vegetarian pun akan makan tumbuh-tumbuhan. Persoalannya, jika memakan haiwan dikira kejam, orang yang makan sayur-sayuran juga adalah kejam!

9. Kenapa? Kerana tumbuh-tumbuhan juga secara saintifik dikira sebagai benda hidup dan bernyawa.

Soalan: Tapi tumbuh-tumbuhan tak rasa sakit!

10. Perkara ini tidak tepat. Kajian saintifik terkini menunjukkan bahawa tumbuh-tumbuhan ada deria sakit. Namun, pastilah mereka tidak mengeluarkan suara yang boleh didengari. Malah mereka juga tak bergerak. Tapi ini tak menafikan bahawa mereka mempunyai nyawa dan perasaan seperti haiwan.

Soalan: Tapi tumbuh-tumbuhan tak banyak deria, berbanding haiwan.

11. Adakah dengan sebab itu dibolehkan berlaku kejam terhadap tumbuhan? Jika ya, ia seolah-olah menyatakan begini.

12. Kita dilarang memukul orang yang sempurna anggota, tapi tak mengapa memukul dan menganiaya orang cacat, sebab mereka kurang deria dan anggota? Begitu?

13. Sudah pasti tidak! Kurang deria atau sama banyak deria bukanlah syarat yang melayakkan kita  untuk menganiayai sesiapa dan apapun.

14. Namun persoalannya sekarang, memakan tumbuhan, apatah lagi haiwan bukanlah bermaksud bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya itu adalah fitrah.

15. Jika dilihat alam semulajadi di sekeliling kita, malah dari sudut Sains sekalipun, wujudnya kelompok yang memakan dan kelompok yang dimakan (prey-predator relationship) adalah kerana itulah fitrah, perkara biasa dalam menjamin kelangsungan hidup.

16. Jika anda belajar Sains, pasti anda pernah mendengar tentang rantai makanan (food chain) dan siratan makanan (food web) yang menggambarkan hubungan simbiosis ini. 

17. Malah tahukah anda terdapat jenis tumbuh-tumbuhan yang memakan haiwan! Contohnya, tumbuhan seperti periuk kera menjadikan serangga sebagai makanan. Adakah tumbuhan ini kejam? Tidak, inilah lumrah alam. Bahkan jika periuk kera ini tak diberi makan, itulah yang kejam!

Soalan: Ada satu pepatah menyatakan "You are what you eat." Maksudnya, kita adalah apa yang kita makan. Jadi, bukankah orang yang makan haiwan akan bertindak ganas seperti haiwan? 

18. Hakikatnya, manusia memang mempunyai persamaan dengan haiwan tetapi yang membezakan kita dengan haiwan ialah akal, yang membolehkan kita membezakan mana yang baik dan buruk, tak seperti haiwan.

19. Sebab itu manusia pergi sekolah untuk belajar, tetapi haiwan tidak.

20. Namun, memakan haiwan tak menjadikan manusia seperti haiwan. Malah, tidak pernah berlaku di dunia ini, lembu bertukar menjadi Incredible Hulk berwarna hijau kerana tiap-tiap hari makan rumput hijau.


21. Menariknya, Islam pun hanya membenarkan penganutnya memakan haiwan tertentu sahaja. Dan haiwan-haiwan ini adalah haiwan ternakan yang bukan sahaja jinak, malah hidup di persekitaran yang bersih.

22. Contohnya, umat Islam boleh makan daging lembu, kambing, ayam dan banyak lagi.

23. Haiwan pemangsa yang kasar dan ganas, biasanya haiwan karnivor seperti harimau dan singa pula, diharamkan untuk dimakan.

24. Malah haiwan reptilia seperti ular dan buaya pun haram dimakan.

25. Selain itu, haiwan yang berkuku dan bergigi tajam juga dilarang. Sebagai contoh, kucing dan burung helang tak boleh dimakan.

26. Ini satu lagi bukti kecantikan Islam, dalam membantu umatnya membuat pilihan antara mana yang baik dan buruk dengan menggunakan anugerah akal yang ada.

Soalan: Ada lagi tak sebab lain dan hikmah dibolehkan umat Islam makan haiwan?

27. Ada. Tapi biarlah rahsia. Err.. baiklah, itu gurauan semata-mata.

28. Selain sebab yang dinyatakan di atas, ada banyak lagi hujah saintifik, contohnya tentang bekalan tenaga dan zat penting yang diperlukan oleh tubuh badan manusia.

29. Dalam subjek Biologi, kita diajar bahawa hanya tumbuhan boleh menghasilkan makanan dan tenaga sendiri. Sebab itu agaknya tumbuhan tak mempunyai mulut. Mereka hasilkan makanan sendiri melalui proses yang dinamakan fotosintesis.

30. Ini membolehkan manusia memperoleh tenaga yang diperlukan apabila makan tumbuh-tumbuhan, kerana di dalamnya terdapat zat dan tenaga.

31. Jika seekor lembu memakan rumput, maka tenaga daripada rumput itu akan diperoleh oleh lembu, namun tenaga itu berkurang. Demikian juga, jika seekor harimau makan lembu, maka tenaga daripada rumput tadi pun juga semakin kurang.

32. Hal ini kerana tenaga ini hilang dalam bentuk haba dan sebagainya, daripada rumput, semakin kurang bila sampai kepada lembu dan semakin kurang bila sampai kepada harimau. Catatan di bawah diharapkan memberi sedikit gambaran.

Rumput: 100Kcal tenaga -> Lembu: 10Kcal tenaga -> Harimau: 1 Kcal tenaga

33. Dengan kata lain, kita melihat bahawa dari sudut saintifik juga, umat Islam haram memakan haiwan pemangsa kerana kurangnya tenaga yang boleh diperoleh daripada mereka, kerana semakin jauh pemangsa ini daripada pengeluar (yakni tumbuhan), semakin kurang tenaga yang disimpannya.

34. Lebih penting daripada itu, golongan vegetarian juga mengalami masalah kekurangan zat makanan yang signifikan.

35. Kajian saintifik banyak membuktikan hal ini.

36. Antara simptom yang dialami oleh golongan vegetarian adalah seperti masalah urat saraf, anemia, osteoporosis dan lemah sistem pertahanan badan (immunity)- yang penting untuk melawan penyakit.

37. Hal ini berlaku kerana zat penting untuk badan amat kurang untuk didapati daripada tumbuhan. Antara zat yang dimaksudkan ialah Vitamin B12, Zat besi (iron), zink (zinc), Asid lemak Omega-3 dan juga kalsium.

38. Malah, tanpa diet daging, seseorang akan mengalami masalah kekurangan zat protein, kerana zat ini bukan sahaja sangat kurang didapati dalam sayur-sayuran, malah asid amino dan zat protein yang diperoleh daripada sayur-sayuran tidak sama dengan yang didapati daripada haiwan, lantas memberi kesan terhadap kekuatan otot (muscle) pada tubuh badan.

39. Ada lagi. Dan yang ini saya paling suka.

40. Pernah tak anda perhatikan struktur gigi manusia? Kemudian bandingkan dengan struktur gigi haiwan karnivor dan herbivor?


41. Haiwan herbivor hanya mempunyai struktur gigi rata dan besar yang dinamakan gigi geraham. Ini kerana mereka perlu mengunyah dan menghadam makanan seperti tumbuhan yang sarat dengan serat (fiber) dan perlu dikunyah atau dihancurkan dengan menggunakan gigi geraham.

42. Haiwan karnivor pula hanya mempunyai gigi runcing yang tajam yang dinamakan gigi taring. Gigi ini digunakan untuk merobek dan memotong daging yang mereka makan.

43. Kita manusia? Ada kedua-dua bukan? Subhanallah! Hebat tak Allah?

44. Perkara ini jelas membuktikan tentang kejadian manusia sebagai makhluk Allah SWT yang memang makanannya berbentuk tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.

45. Jika anda kaji ilmu Sains dengan lebih dalam, perkara yang sama juga berlaku dalam bab sistem penghadaman manusia (digestion system). 

46. Proses dan kewujudan enzyme (sejenis protein penting untuk penghadaman) yang ada di dalam badan manusia sudah cukup menunjukkan bagaimana manusia mempunyai kemampuan untuk menghadam makanan yang diperoleh sebagai daging daripada haiwan mahupun sayur-sayuran dan tumbuhan.

47. Tak kanlah ciptaan ini semua sia-sia betul tak? Pasti ada hikmah dan gunanya alhamdulillah.

48. Akhir sekali, boleh juga dinyatakan di sini bahawa, kalaulah semua umat manusia adalah vegetarian maka pasti keseimbangan alam akan terjejas!

49. Hal ini kerana akan wujudlah keadaan yang dinamakan over-population kerana haiwan membiak dan beranak pinak dalam kadar yang cukup banyak tanpa dimanfaatkan daging mereka untuk kehidupan manusia. Bahkan inilah baru dikira kejam!

Soalan: Habis tu, siapa yang vegetarian tak boleh jadi Muslim lah?

50. Seorang vegetarian boleh menjadi seorang Muslim yang baik.

51. Kerana Islam tak menghalang seseorang untuk memilih hanya mahu makan tumbuhan sahaja.

52. Tetapi Islam membenarkan umatnya untuk turut sama makan daging haiwan. Maka kesimpulannya, tidak mengapa untuk menjadi seorang Muslim vegetarian dan tidaklah pula salah kalau tak mahu- semudah itu sahaja.

Isu penyembelihan binatang korban

53. Adakah cara penyembelihan Islam kejam dan menyakitkan? Bahagian berikutnya akan menjawab dan menolak penyataan ini insya Allah.

54. Pertamanya, kita perlu menilai cara-cara penyembelihan yang dianjurkan dalam Islam.

55. Pisau atau pemotong yang digunakan disunatkan tajam. Bermakna, Islam amat menekankan aspek memudahkan si penyembelih dan juga untuk mempercepatkan proses penyembelihan itu yang juga baik untuk binatang yang disembelih.

56. Kedua, dilarang juga untuk membiarkan binatang sembelihan lain melihat 'rakannya' disembelih. Hal ini dengan jelas menunjukkan kasih sayang dan toleransi yang ditonjolkan dalam Islam walaupun terhadap binatang korban- agar mereka tak ditakut-takutkan dengan melihat 'rakan' mereka disembelih.

57. Selain itu, cara penyembelihan Islam amat menekankan aspek membuang sebanyak mungkin darah daripada binatang korban, yang akan dijelaskan kebaikannya selepas ini.

58. Baik. Sembelihan dalam Islam hanya boleh dimakan jika lehernya dipotong sehingga putus corong pernafasan udara (windpipe/trachea), salur makanan (esophagus) dan juga pembuluh darah (vein and artery)- dan sembelihan itu haram dimakan jika syarat ini tak dipenuhi.


59. Pertama, melalui cara ini, kita dapat memastikan bahawa darah daripada seluruh tubuh badan binatang sembelihan dapat dikeluarkan.

60. Kajian saintifik telah membuktikan tentang bagaimana daging daripada binatang yang disembelih melalui cara begini lebih segar dan tahan lama.

61. Malah, fakta saintifik cukup jelas dalam menerangkan tentang bahaya darah sebagai medium pembiakan terbaik untuk microorganisma dan kuman.

62. Maka, langkah membuang darah sebanyak mungkin daripada binatang korban memastikan dagingnya lebih selamat untuk dimakan oleh manusia.

63. Jika anda lihat gambar di atas, hanya bahagian bawah leher yang dipotong, tetapi saraf tunjang (spinal cord) tidak sama sekali dirosakkan.

64. Dengan cara ini, pertama, darah yang dipam oleh jantung tidak lagi sampai kepada saraf otak di kepala sembelihan, kerana saluran darah telah diputuskan.

65. Maka, secara mudahnya, sembelihan tidak mengalami rasa sakit!

66. Bagaimana pula dengan saraf tunjang? Ia tidak dirosakkan kerana bila ia masih berfungsi, ia akan memastikan bahawa jantung sembelihan masih boleh berfungsi seperti biasa dengan mengepam darah keluar yakni ke arah leher sembelihan untuk menampung kekurangan darah di bahagian itu.

67. Namun, darah itu hanya akan terus keluar dan ini berita yang baik kerana memang tujuan sembelihan adalah untuk membuang sebanyak mungkin darah yang ada.

68. Begitu juga dengan persoalan sembelihan yang menggeletar atau menggelumpur seolah-olah menanggung kesakitan.

69. Sebenarnya ia merupakan tindak balas biasa pada otot sembelihan kerana kurangnya darah di bahagian kakinya. Malah pergerakan ini sebenarnya membantu menyalurkan darah keluar daripada badan sembelihan. Ia tak semestinya petanda bahawa sembelihan mengalami kesakitan!

70. Dalam satu kajian saintifik yang dijalankan oleh Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya Dr Hazim di School of Veterinary Medicine, Hannover University di negara Jerman, mereka telah membuat penemuan yang cukup mengujakan.

71. Dengan menggunakan alat dan mesin seperti electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG), mereka meneliti tindak balas dan aktiviti otak dan jantung ketika biri-biri dan lembu disembelih.

72. Kajian ini membandingkan reaksi kesakitan (pain) yang dialami oleh sembelihan antara dua kaedah, yakni kaedah Islamik melalui penyembelihan terus dan kaedah captive bolt stunning (CBS) yang diamalkan di negara barat.

73. Kaedah captive bolt stunning dilakukan dengan menembak di bahagian kepala sembelihan untuk menjadikannya tidak sedar (unconscious) sebelum disembelih.


74. Dengan menggunakan EEG dan ECG tadi, terbukti bahawa kaedah Islamik ternyata lebih baik berbanding CBS.

75. Dalam kajian yang dilakukan terhadap biri-biri, tidak ada tanda-tanda reaksi pada mesin yang digunakan apabila binatang itu disembelih. Selepas lebih kurang 3-4 saat, mesin menunjukkan bahawa haiwan itu sudah tidak sedar lagi atau unconscious!

76. Namun, kaedah CBS bukan sahaja menunjukkan sebaliknya (ada reaksi gelombang tertentu sewaktu sembelihan ditembak) malah mengambil masa yang lebih lama berbanding kaedah Islamik sebelum sembelihan tadi tak sedarkan diri.

77. Lebih menarik, dalam CBS, darah yang keluar tidak banyak selepas sembelihan. Ini kerana sembelihan telah pun mati ketika disembelih (darah tak dapat dipam keluar sepenuhnya).

78. Maka, dijangka lebih kurang 45% darah akan membeku dan masih terdapat di dalam badan sembelihan tadi, menjadikannya lebih berisiko mengakibatkan penyakit kepada manusia dan tidak tahan lama!

79. Malah, jika anda masih ingat, dalam kaedah Islam, berlaku perkara sebaliknya. Saraf tunjang yang tak dirosakkan memastikan tak berlakunya cardiac arrest, lantas memastikan jantung masih boleh berfungsi mengepam darah keluar alhamdulillah.

80. Demikianlah hebatnya syariat Islam kerana ia adalah perintah dan panduan yang diajar oleh Allah SWT sebaik-baik Pencipta untuk manfaat kita umat manusia melalui ajaran Nabi SAW yang amat kita cintai.

81. Moga usaha kerdil saya berkongsi tentang perkara ini menambahkan lagi iman kita kepada Allah SWT insya Allah.

82. Sebagai penutup izinkan saya kongsikan satu ayat Al-Quran yang cukup hebat dan powerful mesejnya apabila Allah SWT menyentuh soal penyembelihan ini. Firman Allah SWT:

"Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan kamu......"
(Surah Al-Hajj, ayat 37)

83. Sekian sahaja, wallahuaklam, wassalamualaikum wbt.



P/S: Artikel ini adalah sebahagian daripada Projek Menjawab Salah Tanggapan Terhadap Islam yang sedang saya usahakan. Insya Allah jika tiada aral melintang dengan izin Allahu ta'ala, saya akan lancarkan dan umumkan tentang projek ini pada bulan Ramadhan atau sebagai hadiah Aidilfitri tahun ini. Insya Allah, mohon doakan. Jazakumullahu khair ;-)
Read more "Sembelih dan Makan Binatang Korban: Kejam?"

Monday, May 14, 2012

Kalau Saya Ganti Tan Sri Muhyiddin


Nota: Semalam tarikhnya 13 Mei. Masih ingat apa yang berlaku pada tahun 1969? Hmm..

Batu bersurat
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Err.. kalau boleh tak nak sentuh hal politik. Hujung-hujung nanti barulah sentuh sikit kot.

2. Sebabnya ialah, ramai orang yang berbeza pendapat dengan kita dalam hal politik mungkin mula menjauhi diri kita.

3. Walaupun kita masih lagi sama se-Islam dan sama se-Melayu.

4. Kelakar juga bila dipikirkan.

5. Cuma saya teringat respon Ustaz Hasrizal apabila ada peminat beliau yang mengadu kecewa dengan pendirian politik beliau lantas tak lagi menjadikan beliau sebagai idola yang diminati.

6. Lantas dijawabnya si ustaz, "Ada aku kesah? Tuhan aku Allah!"

7. Lebih kurang begitulah. Comel kan ustaz ni?

8. Dengan kata lain, kenapalah nak mengharapkan sokongan manusia, sedangkan ganjaran dan pertolongan Allah SWT itu jauh lebih baik.

9. Bukan mahu berlagak, sombong atau bongkak, tetapi Tuhan lebih tahu tentang prinsip yang kita pegang. Berlapang dadalah.

10. Baik. Alamak! Dah lari topik. Kesian topik penat berlari.

11. Amaran awal: saya bukan nak kutuk Tan Sri Muhyiddin Yassin ya. 

(Kepada yang tak tahu, beliau ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia sekarang, juga merangkap Menteri Pelajaran)

12. Saya cuma nak berceloteh santai tentang beberapa perkara tentang pendidikan di negara kita.

13. Insya Allah saya cuba elakkan untuk tak terlalu berfakta atau ilmiah.

14. Tapi tak bermakna saya nak auta!

15. Saya cuma nak kurangkan muntahkan fakta dan figura bernombor-  dengan kata lain harapnya tulisan ini tak berat atau 'heavy' sangat insya Allah.

16. Err.. faham ke?! 

"Kalau tak faham pun, ada aku kesah? Tuhan aku Allah!" hehe.. 

17. Baik, begini kisahnya. Salah satu aspek penting dalam bidang pendidikan ialah BAHASA.

18. Sering kali menjadi isu juga tentang bahasa apa yang perlu digunakan di sekolah dan universiti kita. Sebelum saya jawab, izinkan saya sebut dulu hal berikut.

19. Saya berpandangan bahawa di Malaysia, salah satu perkara yang sama ada kita selalu terlepas pandang, atau mungkin ia masih baru dan belum bertumbuh dengan pesat (sehingga jarang dibicarakan) di negara kita ialah bidang penterjemahan.

20. Padahal, bila bercakap tentang pendidikan dan ilmu, sejarah telah membuktikan bahawa alih bahasa atau penterjemahan memainkan peranan yang sangat besar dan King Kong (kalau tak faham sudah hehe).

21. Bahkan banyak penyumbang ilmu terutamanya tokoh-tokoh Islam hampir dilupakan atau tak diketahui sumbangan mereka dek kerana penemuan dan kajian mereka yang akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa yang bukan bahasa mereka!

22. Sedih!

Tan Sri Muhyiddin- Menteri Pelajaran Malaysia
23. Jika saya menjadi Menteri Pelajaran (cakap senang la kan, tapi jangan la marah, saya cuma mahu melontarkan idea), saya amat 'berkenan' untuk memperkasakan bidang ini dengan lebih intensif dan berterusan- malah dijadikan salah satu agenda utama dalam bidang pendidikan negara kita.

24. Kenapa ya?

25. Baik. Berbalik kepada persoalan bahasa tadi. Kita sudah lali dengan isu PPSMI dan pelbagai lagi. Namun berikut ialah komentar kecil dari saya yang faqir.

26. Kesilapan sesetengah daripada kita ialah, apabila kita belajar bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, kita lupa bahawa tujuan sebenarnya adalah untuk menyerap ilmu yang banyak boleh didapati dalam bahasa tersebut.

27. Selain itu, ia membantu komunikasi kita dengan orang Inggeris lalu membolehkan pemindahan kemahiran dan pengetahuan daripada mereka.

28. Tetapi ada yang terlajak mempelajari Bahasa Inggeris sampai mereka menjadi lebih Inggeris daripada orang Inggeris.

29. Perkara ini termasuklah dari aspek sosial dan kebudayaan.

30. Saya bercakap dari kaca mata seorang Muslim.

31. Bukanlah tak boleh bersosial, tetapi Islam ada garis panduan yang harus dijaga. Baik, noktah.

32. Kesinambungan daripada itu, bila ilmu dan kemahiran itu sudah diperoleh, sepatutnya lebih banyak usaha untuk menterjemah ilmu itu ke dalam bahasa ibunda dibuat.

33. Dengan itu, perkembangan ilmu dan kemahiran di negara kita tak lagi terbantut atas faktor bahasa. Orang Melayu yang tak reti berbahasa asing pun, boleh menyumbang dalam pengkayaan ilmu di negara kita- lebih ramai penyumbang!

34. Sebab itu sesetengah orang bila bercakap tentang jati diri bangsa, akan mula mengambil contoh orang Jepun yang boleh 'survive' dan maju walaupun dengan bahasa ibunda mereka.

35. Pada pendapat saya, ada dua sebab utama yang wajib difahami. 

36. Pertama, orang Jepun dah maju. Maka tak sama keadaan dengan kita, sebab itu kita sedikit sebanyak perlukan input daripada negara maju seperti di Barat dan tak lupa negara Jepun itu sendiri boleh jadi contoh buat kita.

37. Kedua, dan ini lebih penting. Saya rasa kita terlupa bahawa orang Jepun juga menghantar orang mereka mempelajari bahasa luar supaya dapat mengambil ilmu daripada mereka.

38. Bezanya ialah, mereka bawa balik ilmu itu ke negara mereka, dan kemudian mereka perkayakan ilmu itu dalam bahasa mereka dan akhirnya mereka lebih hebat dan maju dalam bidang ilmu yang asalnya mereka terokai dari negara orang lain!

39. Inilah pada saya perbezaannya.

40. Kita terkadang mempelajari bahasa orang sehingga meninggalkan jati diri bangsa sendiri.

41. Sebab itu ada bezanya tahu berbahasa Inggeris dan menjadi orang Inggeris.

42. Dengan kata lain, jikalau kita buang persepsi bahawa Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca ini sebagai bahasa yang cikai, malah kita bangga dengan bahasa ini, kemudian kita utamakan ilmu dan perkayakannya untuk manfaat orang-orang di Malaysia, maka kita bukan sahaja akan maju, malah kemajuan kita taklah terlalu bergantung kepada bangsa lain!

43. Namun jujurnya, saya bukan bercakap dengan Hang Tuah. Kita sudah agak lewat sekarang, walaupun masih belum terlambat insya Allah.

44. Dalam mengajak kepada kita menyayangi bahasa ibunda kita dan juga memperkayakan ilmu menggunakannya, ada satu perkara yang amat penting untuk saya sentuh- khas ditujukan buat golongan yang berminda perkauman (Melayu) terlebih terlajak.

45. Kata seorang tokoh Islam, alangkah baik kita belajar bahasa orang, kerana dengan itu sukar untuk mereka menipu kita!

46. Kita amat bersyukur bahawa sebagai orang Melayu, Bahasa Melayu dijadikan sebagai Bahasa Malaysia (bahasa rasmi negara).

47. Tetapi amatlah rugi, bahkan memalukan jika sesetengah minda perkauman melihat ini sebagai satu bentuk Ketuanan Melayu!

48. Maksud saya, dalam mencari dan mengangkat gah bangsa kita, jangan terlalu bergantung kepada bahasa kita!

49. Bergantunglah kepada ilmu!

50. Bangsa mana yang banyak khazanah ilmunya, bangsa itulah orang akan pelajari bahasa mereka!

51. Malah dengan ilmulah (seperti yang saya sentuh tadi), kita tak akan perlu terlalu bergantung kepada bangsa asing, apatah lagi bahasa mereka.

52. Namun, dalam keadaan sekarang seolah-olah kita sedikit rugi. Kenapa kita rugi? Adakah anda perasan sesuatu?

53. Begini. Dalam jangka masa pendek, kita melihat bahawa kononnya bahasa menjadi satu 'kelebihan' malah kadang-kadang digunakan sebagai satu bentuk penindasan.

54. Contohnya, bila mencari kerja, orang Melayu akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk bekerja dalam profession yang mewajibkan kemahiran bertutur Bahasa Melayu, maka malanglah buat orang bukan Melayu yang bahasa ibunda mereka bukan Melayu!

55. Tetapi kita lupa kesan jangka masa panjangnya, yakni apabila lama-kelamaan orang bukan Melayu pun sudah fasih berbahasa Melayu!

56. Bayangkan hari ini jika ada seorang lelaki Melayu kurus kering berjumpa dengan samseng jalanan berbangsa Cina lalu dia mengutuk mereka dalam bahasa Melayu.

57. Matilah dibelasah lelaki Melayu itu kerana mereka pun (samseng Cina) faham bahasa Melayu!

58. Tetapi jika seorang perempuan Cina berjalan berjumpa samseng Melayu yang tak sekolah, lalu dia mengejek kumpulan samseng itu dalam bahasa Mandarin misalnya, senyum sempoilah si gadis itu sesuka hati mengutuk orang Melayu yang langsung tak sedar bahawa mereka sedang dikutuk!

59. Itulah maksud saya. Dalam kita terlalu taksub dengan penuh sombong memaksa orang memahami bahasa kita, akhirnya mereka lebih bijak daripada kita.

60. Mereka tahu bahasa mereka dan bahasa kita. Kita pula hanya tahu bahasa kita.

61. Benarlah kata-kata tokoh Islam tadi- perlunya belajar bahasa orang supaya kita tak ditipu mereka.

62. Kesimpulannya, saya ingin mengajak kita untuk tak taksub dan meletakkan kekuatan kita pada bahasa semata-mata.

63. Kedua, pelajarilah bahasa asing namun dengan tujuan untuk mengambil ilmu daripada mereka dan juga untuk berjaga-jaga dengan mereka, bukan untuk menjadi mereka!

64. Akhir sekali, marilah sama-sama membantu menyampaikan ilmu kepada orang kita dalam bahasa kita- supaya ilmu itu bercambah dan menaikkan identiti dan jati diri bangsa kita melalui cara yang sepatutnya.

65. Hormatilah bangsa lain dan bahasa mereka. Bukanlah tugas kita untuk membenci.

66. Sempena mood dan suasana menyambut hari istimewa untuk ibu dan guru, saya harap artikel ini ada kaitan dengan semangat seorang ibu dan guru yang tugasnya membimbing dan mendidik.

67. Ingatlah bahawa seorang guru itu juga seorang ibu, dan seorang ibu juga adalah seorang pendidik atau guru.

68. Mereka tempat kita menagih ilmu dan kasih sayang.

Gambar hiasan
69. Saya akhiri dengan satu pepatah peribadi:

"Jadilah seorang teacher yang baik; bila kita mendidik kita perlu educate, jangan kita mengherdik dan jangan kita hate."
(Bahasa Campur-ization)

Sekian, wallahuaklam dan wassalamualaikum wbt

P/S: Eh, siapa tahu berapa umur pencen kakitangan awam di Malaysia sekarang eh? 56 tahun kan? Kenapa masih ada yang 'bekerja' walaupun dah berusia 66 tahun? ehem ehem, tunggu pilihan raya dulu baru pencen kot ehem ehem.. ;-)
Read more "Kalau Saya Ganti Tan Sri Muhyiddin"

Followers

The Colours of Life

The Colours of Life
Picture taken on Syawal 1, 2009

THE BELOVED FAMILY-Hey, do the maths!

Dad: Mohd Hanaffi bin Hassin
Mom: Noorma bte Mamat

Siblings:

Mohd Ridzwan
Nurul Shuhada
Mohd Amirul Asyraf (blog owner)
Fatihah Sakinah
Nurul Ain Afifah
Ilyana Nazlin
Nur Amira Mawaddah
Mohd Aizat Aiman
Nur Anis
Mohd Amri Afiq